Rantai Kehidupan

Seminggu dua lepas, banyak benda yang dapat. Realiti masyarakat yang sangat perit untuk ditelan. Saya kongsikan senario.

Kami berjumpa Pakcik Amran hari Jumaat, warga emas umur lebih 60 tahun yang sudah beberapa tahun jadi gelandangan kota. Homeless. Yang nasib hari ini mereka tidak tahu samada punya makanan atau tidak. Yang tidak tahu malam nanti kalau hujan dapat tempat berteduh yang selesa atau biarkan sahaja diri tidur dalam hujan. Kami bersembang panjang, tetapi cukuplah saya simpulkan, masalah Pakcik Amran adalah masalah keluarga dari ibu bapa yang saling bertengkar.

Kemudian Sabtu lalu, kami ke sekolah tahfiz. Melihat keputusan peperiksaan mereka, mata saya bulat hampir tidak percaya. Semuanya banyak merah, biru dan hitamnya hanya sedikit. Dan paling mengejutkan ada yang mendapat markah Bahasa Melayu 0, kosong.

Hari Ahad, kami ke rumah anak yatim dan miskin. Ada adik-adik yang menulis namanya terbalik. Ada yang masih tergagap-gagap tidak boleh membaca. Ada yang boleh membaca passage Bahasa Inggeris tetapi mereka tidak faham apa yang dibaca sehingga tidak dapat menjawab dengan baik soalan di buku latihan.

Saya melihat rantai kehidupan yang berlangsung.

Adik yang menulis terbalik itu kemungkinan besar akan berakhir menjadi Abang yang mendapat markah Bahasa Melayu kosong. Abang yang Bahasa Melayu kosong itu mungkin hidupnya berakhir di jalanan kota seperti Pakcik Amran.

Realiti ini meruntun jiwa saya bagai tidak dapat ditahan-tahan. 

Dan masyarakat kita obses dengan air jampi yang dimasukkan anai-anai yang makan 22 juzuk Al Quran! Kata kawan saya jika masalah boleh selesai dengan air jampi, tentu adik-adik yang berada di sekolah Tahfiz itu akan lebih dulu mendapat penawarnya.

Malam kami bersama Pakcik Amran, seorang gelandangan yang sungguh saya kagumi pemikiran dan cara bercakap seperti orang yang sangat terpelajar. Di celah ketiak kanannya kotak yang dilipat. Mungkin akan digunakan untuk alas tidur malam nanti. Sebelah tangan kirinya makanan yang kami beri tadi. 

Saya sepanjang masa melopong mengutip bicara Pakcik Amran. Kata Pakcik Amran, ubat paling mujarab untuk menyelesaikan masalah gelandangan (baca: ummat) ialah dengan "Kasih Sayang." 

Kata Pakcik Amran, "mulakan dengan memandang kami sebagai manusia yang perlu dibela. Mereka yang terlantar di jalanan sudah tentu punya masalah yang bukan kecil. Tetapi masyarakat akan menambah beban dan tanggungan mental dan emosi mereka, jika tidak mahu menolong dan menampung kekurangan mereka."

Jika air jampi, kismis, sabun dan sebagainya boleh ubat masyarakat, lama sudah masyarakat kita sembuh.

Dunia ini hanya perlu kasih sayang. Kasih sayang yang percuma itu pun kedekut untuk kita berikan. Jika itu yang masih bergumpal dalam hati, jangan menyumpah jika masa depan yang kita wariskan kepada anak-anak dan cucu cicit adalah zaman yang kelam dan suram.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK