Insaf
Usia yang banyak pun belum menjamin kematangan. Saya kira betul. Kawan saya pernah bertanya apa yang difikirkan oleh mereka yang sudah berusia lebih 40an? Yang ditemui kawan saya, umur sudah banyak tapi tindakan masih anak-anak. Tanya saya? Saya tidak tahu, betul saya tidak tahu.
Mak juga pernah berpesan yang sama. Usia tidak menjamin, tetapi pengalaman. Kerana itu kita tidak perlu terpinga-pinga mengkagumi Imam Syafei dalam usia muda sudah menjadi guru, malah dalam hidupnya menjadi pendiri mazhab. Imam Syafei yang telah dihantar menggembara menuntut ilmu seusia 12 tahun! Pengalaman apa yang tidak dilaluinya?
Saya mendapat satu kesedaran hari ini, antara lain yang mendorong orang menjadi matang adalah kefahaman. Nampak satu ayat yang mudah, tetapi ya, bukan semudah itu.
Saya insaf, saya tidak belajar banyak dulu. Bahawa hidup ini cuma akan nampak keindahan dan warnanya, bila kita mahu kembali menjadi manusia.
Dulu saya fikir, tidak salah kita berperanan di mana-mana. Kalau ada duit banyak, sedekahlah banyak-banyak. Tetapi dalam waktu duit sikit kita kata tunggu duit banyak sikit dulu. Bila sudah ditambah rezeki, kita masih cakap belum mampu (sebab masa itu kita tambah liabiliti lain seperti memberi barang-barang yang perlu komitmen bayar bulanan) dan kita kata, tunggu ada rezeki bertambah lagi. Bila dapat bonus pun kita tidak memberi kerana beralasan ada hak lain yang perlu dilunaskan dulu. Dan saya fikir, jika menunggu kaya, kaya seperti apa? Seperti Bill Gates?
Ada juga terfikir untuk berbakti kepada ibu bapa. Ada jenis rasa setakat kita memberi sumbangan bulanan, kata sudah selesai tanggungjawab, dan bertanggungjawab. Tanpa fikir perlu tidak bertanya tentang sakit pening, makan minum, beri masa untuk berbual dan menyampaikan kata-kata penuh kasih sayang. Sehingga saya dikejutkan dengan tindakan drastik rakan yang mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibu bapa yang sudah tua. Walau dia relatifnya muda berbanding abang-abang dan kakak-kakak.
Saya pasti formula lain yang perlu ada untuk capai kematangan, adalah kefahaman.
Mungkinkah itu nama lain untuk iman?
Kata kawan saya yang selalu menyejuk hati, ada 3 peringkat iman. Satu dengan tindakan, dua dengan perkataan dan tiga dengan hati (niat). Dan yang akhir itulah yang selemah-lemahnya.
Dan dari ilmu pengetahuan yang lain pula menyebut, bahawa iman dan Islam yang saya belajar di sekolah Arab dulu adalah apa-apa yang kita benarkan dengan hati, sebutkan dengan perkataan dan menterjemahkan dengan perbuatan. Datangnya serangkai, pakej 3 sekaligus.
Saya tidak pernah tahu bahawa untuk merasai manisnya iman dan kefahaman itu, bukan cuma-cuma. Ia tidak pernah cukup dengan mendalami dengan hanya sekadar berteori.
Bila menjumpai rakan yang saya kira hidup bersederhana dan bukan ada kekayaan seperti Bill Gates, menginfakkan wang yang banyak tanpa berkira-kira dan tertangguh, saya rasa seperti mata saya dimasukki habuk dan bawang. Apakah yang menggerak dia? Saya jadi tertanya-tanya sendiri.
Akhirnya saya faham pesan guru yang mengajak saya untuk benar mendalami Islam aktual, bukan Islam teoretikal. Kata guru, "Islam aktual Asal, ialah mereka yang terjun ke dalam masyarakat, dan merasai beban mereka yang kecil dan ditindas. Dan menangis bersama mereka dengan merasai kepedihan dan derita itu."
Hari ini, insaf itu menghimpit dada saya padat.
Memahami itu menjiwai
Menjiwai itu melibatkan diri
Melibatkan diri itu merasai
Merasai itu menghargai
Menghargai itu bersyukur
Bersyukur itu menuju kebenaran
Kebenaran itu adalah menjumpai...Tuhan Yang Maha Esa!
Dan kerana itu Nabi bersama-sama ummah, menggali parit di panas terik untuk persediaan Perang Khandak. Berlapar diri kerana ada ummah yang berlapar tidak menjumpai rezeki berhari-hari. Menangisi, untuk menunjuk kita jalan keluar dari kehampaan hidup dan tekanan orang yang menekan, untuk nantinya kita dapat mengecapi sebenar-benar kebebasan dengan menghambakan diri hanya pada Tuhan!
Sejahtera kepada jiwa yang mencari Islam dan iman yang aktual (sebenar-benarnya) dengan menginfakkan harta, masa dan diri untuk kesejahteraan ibu bapa dan ummah. Sejahteralah, sejahteralah di dunia dan akhirat. May Allah bless all of you, Ameen.
Comments