Thursday, May 30, 2013

Sebelah Sayap - Matluthfi


Tahniah kepada Matluthfi yang telah mengarah drama pendek ini dengan sinematografi yang cemerlang, lebih dari itu mesej yang sangat cemerlang. Juga kepada rakan-rakan yang begitu berkesan seni lakon mereka.

Saya percaya, muvie ini dibuat sepenuh hati kerana ia sampai ke dalam hati. Di petang-petang yang redup dan sejuk ini, saya menghayati. Satu rakaman realiti yang dibuat dengan bentuk drama. Alangkah bagusnya kalau drama-drama kita menyiarkan sesuatu seperti ini, penuh nilai, penghayatan, dan memberikan kita harapan.

Tidak perlu cerita berjela berpuluh-puluh episod dengan sentimen, keganasan, pesimisme, segala yang buruk-buruk sedangkan episod pengajarannya dibuat di hujung untuk cuma satu episod ringkas dan klise.

Jauh dari drama ini, saya memandang diri, sekeliling, dan persekitaran. Kita tidak jauh dari drama ini, barangkali ada yang terimbas di fikiran ketika menghayati lakonan, dialog dan aksi yang ditayangkan. Kita mungkin salah seorang dari watak-watak dalamnya.

Untuk semua manusia, saya percaya tetap meletakkan untuk dunia ini sepenuh harapan, dan bonus jika dipenuhi kasih sayang. Seperti yang dilakonkan oleh Mat Luthfi. Kita semua dilahirkan berbeza, ada jalan yang kita lalui tidak sama, walaupun di satu masa kita bertembung di persimpangan yang sama. 

Orang mahu melihat kita seperti mereka. Dengan wajah dan peribadi serupa. Kadang-kadang saya juga susah mengerti kenapa orang terlalu mahu persamaan. Adakah kerana mudah untuk dikawal, mudah ikut cakap, mudah untuk berbuat apa sahaja? 

Dan bila berbeza, orang terlalu kedepankan perbezaan itu sehingga menjejaskan keharmonian, perbincangan baik, dan berlapang fikiran. Jalan untuk menuju Tuhan itu bukan satu. Dalam Quran sendiri Allah tekankan kita dilahirkan berbeza, berbilang kaum, supaya nanti kita mudah untuk saling berkenal. Saling berkenal, sekali lagi saling berkenal-kenalan. Bukan bermusuhan.

Apa jadi kalau dunia ini hanya satu warna. Hitam dan putih? Kerana itu Allah jadikan pelangi, supaya kita dapat melihat keindahan melalui warna-warnanya. Kerana Allah lebih kenal kita, potensi sebagai manusia untuk kembali kepada fitrah itu lebih besar, daripada kita terus-terusan tergelincir di lembah kehinaan.

Tetapi kita perlu sedar dunia ini kita tidak hidup seorang. Kerana itu setiap kita mesti berperanan untuk menjadikan dunia lebih baik, walau sekadar dengan melemparkan senyum dan kebaikan dalam diam seperti doa. 

Saya memimpikan dunia tanpa prejudis. Terbuka untuk menerima perbezaan, selagi tidak menyimpang dari jalan yang jelas Allah gariskan. 

Saya mimpikan dunia lebih memberi kasih sayang dan bersikap pemaaf. Untuk itu kita tahu di mana-mana ada harapan. Harapan untuk kebaikkan, harapan untuk berubah, harapan untuk kembali kepada Allah.

Kita tidak memulakan sesuatu pekerjaan dengan ancaman, kita memulakan setiap perkara, malah setiap benda yang kita lakukan, dengan Bismi Allahu Ar Rahman Ar Rahim, dengan nama Allah YANG MAHA PEMURAH MAHA PENYAYANG.

Berhentilah melabel. Mulakan dengan lapang dada. Tanyakan sejarah mereka bagaimana boleh sampai ke sini. Mungkin dalam cerita mereka ada pengajaran berguna untuk kita. Masa depan kita jauh lagi (jika dipanjangkan umur), kita ada ahli keluarga, kita ada orang yang kita sayang. Mungkin kita terselamat, tetapi yang lain-lain belum lagi. Kerana jaminan keselamatan itu bukan milik kita, ia kekal dan tetap milik Allah.

Petang ini, saya jauh merenung diri. Moga dunia lebih indah, aman, bermakna, penuh kasih sayang dan cinta untuk kita semua.

Salam sayang.

Ya ini, untuk awak.


Wednesday, May 29, 2013

Al Mahdi: Hadiah Kepada Kemanusiaan 2



2011 kami mendirikan Teach for the Needs (Malaysia) Berhad (TFTN). Dalam banyak ujian, ujian untuk dapatkan latihan kepada sukarelawanlah yang paling merungsingkan saya. Kami pertubuhan sukarelawan pendidikan yang bergerak sepenuhnya atas komitmen masyarakat, dengan maksud, dana kami cukup terhad. Untuk dapat menghantar sukarelawan mendapatkan latihan yang bersesuai adalah sangat memakan kos. Dalam pertimbangan BOD, duit-duit yang diterima dari masyarakat adalah lebih wajar untuk kita salurkan terus kepada anak-anak yatim/miskin di bawah kelolaan TFTN berbanding memberi latihan kepada sukarelawan.

Walaupun jauh di sudut hati saya mengatakan bahawa latihan itu sangat penting. Kerana kebanyakkan sukarelawan kami tidak mempunyai latar belakang mempunyai ilmu khas dalam perguruan, tetapi sangat komited untuk menyumbang kepada masyarakat.

Sehinggalah dalam banyak keadaan, saya menzahirkan keluhan saya kepada rakan, "kalaulah Prof Al Mahdi masih hidup, Prof tentu akan sponsor latihan untuk TFTN secara percuma."

Entah, berapa kali saya keluhkan itu kepada rakan.

Sehinggalah pada 18-19 Mei 2013 yang lalu, benar-benar kami mendapat jemputan dari Khalifah Institute untuk mendapatkan latihan KM secara percuma! Kami bukan sekadar mendapat 1-2 tempat, tetapi 10. Subhanallah, keajaiban apakah ini?

Pagi Sabtu (18 Mei) saya menggigil memegang stering kereta bergerak dari Jengka ke Ampang. Perasaan bercampur, teruja untuk mempelajari KM dan terharu mendapat perhatian langsung dari KI. Sehingga terdetik jauh dari sudut hati, "adakah benar Prof sendiri yang menjemput kami?"

Saya memberi pesanan sms kepada rakan yang selalu saya adukan keluh kesah, "ingat tak saya pernah kata, kalaulah Prof Al Mahdi masih hidup, beliau tentu tidak ada masalah untuk beri latihan kepada TFTN secara percuma. Saya tidak pernah sangka, Prof sudah lama meninggal tetapi beliau tetap mahu memberikan latihan kepada TFTN secara percuma."

Mesej itu saya hantar dengan mata digenangi air. Sedangkan kereta saya penuh dengan 4 orang lagi sukarelawan yang akan turut menyertai.

Tidak ada kata yang boleh dijelaskan, saya sendiri tertanya-tanya, "benarkan hubungan dimensi spritual itu boleh wujud?" Kalau ini contohnya, saya boleh sahkan ia benar berlaku.

Saya kongsikan peristiwa mistik ini bersama lembaga pemegang amanah KM, Prof Dr Alini. Beliau sendiri terharu tanpa kata.

Dari 2004 mungkin saya berdoa untuk dapat mempelajari KM, tetapi sebenarnya untuk mengenali Prof Al Mahdi. Saya mungkin tidak mengenali beliau sepenuhnya, tetapi saya diberi kehormatan untuk mendapatkan ilmu beliau lewat melalui buku-buku Unified Theory of Existence (UTE) (tiga jilid), melalui laman web, melalui perkongsian dengan rakan Pembantu Peribadi Prof, melalui bengkel baru-baru ini dan bonus terbesar, melalui Lembaga Pemegang Amanah Prof Al Mahdi, Dr Alini.

Kata orang, tanamlah benih. Meski kita tidak tahu bila kita dapat menuai hasilnya, yakinlah bahawa benih itu akan membesar jika selalu kita siram dan letakkan baja. Kalau kita diberi rezeki, Tuhan akan beri kita rezeki untuk lihat hasil dan tuai sekaligus.

Doa saya 2004 mungkin benih yang saya tanam. Sehingga ke hari ini mungkin saya selalu mendoakan Prof dalam doa saya dalam keadaan separuh sedar. Terutama bila sosok Prof menjadi inspirasi kepada watak penulisan saya. Bila ilmu beliau lewat UTE memberikan input yang berguna ketika memulakan perbicaraan dan diskusi.

Begitu saya sirami doa dengan air dan juga ingatan.

2013 saya berpeluang, kemuliaan terhebat yang dirasai bila dapat membawa sebahagian besar dari sukarelawan TFTN bersama. Sudah tentu untuk menerima ilmu dan kemudian dipraktikkan di seluruh rumah anak yatim (RAY) kelolaan TFTN dan anak-anak sekolah di bawah tajaan TFTN yang lain. 

Kata orang lagi, Tuhan akan memberikan kita sesuatu di waktu paling tepat, di waktu paling kita gembira terima dan hargainya.

Benar saya anggap Prof Al Mahdi sebagai hadiah peribadi kepada perkembangan spritual dan intelektual diri sendiri. Tetapi lebih besar daripada itu saya menganggap beliau, HADIAH KEPADA KEMANUSIAAN.

KM tidak syak, boleh membantu semua lapisan masyarakat untuk merubah diri sendiri dan cara pandang kita terhadap kehidupan, dan inshaAllah dengan keyakinan, dapat membentuk generasi lebih terarah, berakhlak, bertanggungjawab dan mencintai kebaikkan.

Saya doakan cahaya lebih cerah menyuluh KM di masa akan datang. Sungguh saya berdoa.


Semoga kebaikkan yang kami terima, kebaikkanlah yang akan kami pulangkan. Pertama kepada diri sendiri, kemudian kepada keluarga dan seterusnya masyarakat. InshaAllah, doakan. 

Sudah pukul 5.00 pagi. Masjid sedang melantunkan azan pertama. Sekejap lagi Subuh akan masuk. Saya merasa udara nyaman, sejuk dan aman sebagai petanda baik. Cahaya matahari pertama akan menjengah bumi sedikit masa lagi. Esok, dan hari-hari seterusnya saya mimpikan dunia penuh cahaya.

Masa depan kita adalah cahaya, ilmu itu cahaya.

Moga Prof Al Mahdi, tidak kira di mana pun berada, menghalalkan ilmu beliau yang kami terima, dan terus membimbing dari dimensi jauh yang 'dekat'.

Al Fatihah.

(gambar-gambardi scan dari Majalah i, Januari 2006, April 2006 Prof menghembuskan nafasnya yang terakhir)

Monday, May 27, 2013

Al Mahdi: Hadiah kepada Kemanusiaan 1

Saya akan ceritakan kepada kamu, peristiwa magis yang dituai dengan hati percaya. Saya juga akan kongsikan, bahawa menunggu itu indah, menunggu itu ada seninya. Seperti bumi yang diliputi kabus tebal, di baliknya ada sinar matahari. Cahaya itu tetap ada menyinari meski samar-samar, kita hanya perlu menunggu sehingga kabus pergi dan matahari bersinar terang kembali.

Entri ini khas saya tulis untuk Prof. Dr. Muhammad Al Mahdi. Yang saya hanya kenali namanya, kerja-kerja akademik dan pembangunan manusia, pencapaian ilmu yang sangat luar biasa, yang saya sangat mahu berjumpa tetapi tidak diizinkan kerana beliau sudah lama meninggal, pada 2006 yang lalu. Prof. Al Mahdi adalah seorang manusia biasa, yang pernah berjalan di bumi Tuhan penuh kesombongan. Namun bila kebenaran terkuak di hadapan pintu kesedarannya, Prof. tunduk dan berserah.

Prof. Dr. Al Mahdi tidak syak adalah hadiah kepada kemanusiaan. Sekurang-kurangnya, itu pengiktirafan yang saya mahu berikan kepadanya, jika orang lain tidak mahu akuinya sekalipun.

Saya sendiri tidak pernah menyangka, dihubungkan dengannya dengan dimensi spiritual yang tidak dapat dijelaskan dengan tepat. Ya, mungkin susah nak percaya, tetapi itulah yang sebenarnya. Dan cerita ini inshaAllah, akan saya kongsikan ikhlas terbit dari sukma. Tidak punya maksud apa-apa kecuali untuk menyatakan kesyukuran kerana keajaiban yang menyelubungi diri dengan nama Al Mahdi ini begitu mencengangkan.

Syarat bersyukur itu mensyukuri. Mensyukuri itu tidak benar hanya dengan tutur kata, ia perlu dilihatkan dengan tindakan. Kerana bersyukur saya berkongsi, dan moga ada kebaikkan yang dapat dimanfaatkan.

Semoga roh Prof. Al Mahdi mendapat keampunan Tuhan dengan sepenuh rahmat pembelaan.

Seawal 2004 saya sudah mendengar nama Prof Al Mahdi, melalui website tentang Kaedah Khalifah (Khalifah method) di sini. Yang saya kagumi ialah jiwa akademik Prof yang tidak pernah mengenal lelah. Kesungguhannya menghabiskan 3 Phd. dan satu lagi setengah jalan, membuatkan saya begitu mengkagumi. Mungkin Prof. lebih menghayati, kata-kata "tuntulah ilmu dari buaian sehinggalah ke liang lahad." Atas dasar itu jiwa saya meruntun mahu berjumpa.

2004 itu pun saya sudah tahu Prof. menghidapi kanser terminal peringkat 4. Doktor mengesahkan Prof. hanya berbaki 2-3 bulan sahaja. Tetapi Allah memanjangkan umur Prof. sehingga segala ilmu tentang Khalifah Method diturunkan kepada pewaris-pewaris yang layak.

Mungkin saya terlalu meringkaskannya di sini. Prof. Al Mahdi adalah seorang Barat yang dilahirkan sebagai atheist, malah atheist tegar. Saya sehingga sekarang pun tidak pernah tahu nama Inggerisnya. Tetapi kisahnya mahsyur boleh dibaca melalui buku-bukunya. Beliau mencari agama dari semua agama sehinggalah akhirnya bertemu dengan Islam.

Kata beliau Islamlah agama kesempurnaan. Yang boleh memberi kepuasaan dalam jiwa dan seluruh potensi kemanusiaan yang ada padanya: akal, jasmani, ruhani.

Kesempatan terbaik saya apabila seorang rakan yang berkerja sebagai Pembantu Peribadi Prof menjemput saya ke Ampang untuk bertemu. Saya jadi tergamam. Teruja dengan tawaran, tetapi terhindar dengan kesibukkan kerja dan juga tidak tahu hendak berbincang apa. Walaupun terlalu banyak benda yang mahu ditanya.

Kesempatan pun larut, dan April 2006, Prof Muhammad Al Mahdi pulang ke 'kampung' halaman yang kekal. Bila rakan memberitakan pemergiaan Prof, saya sangat terkesan. Saya masih ingat bagaimana menulis ucapan takziah di blog, masih lagi boleh disemak dalam lipatan sejarah di sini. Barangkali saya memang mengkagumi tokoh akademik ini sungguh-sungguh sehingga menulis mengenai kerinduan dengan peristiwa pemergian beliau.

Hairan, orang yang saya hanya kenali namanya, mempunyai tempat yang khas di hati saya.
     
Saya masih mengingati Prof dalam banyak keadaan. Terutama bila mendengar perkataan Khalifah, dan khabarnya pra sekolah yang menggunakan brand Little Caliph adalah mengambil sempena Kaedah Khalifah (Khalifah Method-KM). Begitulah ingatan saya dihubungkan dan diulang-ulang. Barangkali mereka yang mengamalkan KM belum tentu mengenali Prof walaupun dialah tokoh menunjangi pedagogi pendidikan yang pada saya bertaraf revolusioner terutama untuk budaya Melayu dan masyarakat Malaysia.

Kenapa?

Kerana Prof Al Mahdi seperti yang disampaikan oleh lembaga pemegang Amanah, Dr Alini, "Prof tidak minta untuk dikenali. Prof juga tidak kisah jika namanya tidak disebut setiap kali KM dibengkelkan."

Subhanallah. Jenis academician apakah Prof Al Mahdi ini? Saya sering tertanya-tanya, dan melabelkan beliau sebagai Genuine Academician (Cendiakawan tulen). Tidak meminta upah atas apa yang telah beliau usahakan dalam kebanyakkan usia beliau, dan usia yang tersisa sebelum menemui Tuhan.

  


    

Wednesday, May 22, 2013

Sahabat Gua 2

Saya menyenangi Sahabat Gua (Ashabul Kahfi), sejak dahulu. Sejak saya mampu membaca kisah mereka secara terperinci dalam perjuangan mereka menentang pemerintah despotik yang tidak berhati perut. Malah menghalang mereka untuk tunduk kepada fitrah, kembali kepada Pencipta Yang Esa. Mereka dipaksakan untuk menerima Tuhan Manusia, bukan Tuhan Pencipta Manusia.

Mungkin seawal umur sahabat muda itu saya mula membaca kisah Tamlikha dan 6 sahabat, bersama seekor anjing yang dinamakan Qitmir. Penentangan mereka kepada Raja Diqyanus. Begitu berkesannya kisah ini dijiwa saya. Ada satu masa ketika di kolej saya menulis pementasan Sahabat Gua, tetapi malangnya tidak pernah dilakonkan. 

Ketika menulis, saya merasai semangat mereka masuk. Mereka, Tamlikha dan kawan-kawan juga adalah orang muda, sama seperti sahabat muda itu. Tamlikha dan kawan-kawan adalah pegawai Istana yang berpengaruh, penting, bangsawan dan kaya raya. Keputusan mereka ditunggu Raja Diqyanus dalam urusan pemerintahan negara. 

Tetapi mereka mempunyai amalan aneh. Di sebelah malam, ketika tidak perlu terlibat dalam urusan negara, mereka akan berkumpul di rumah salah seorang rakan-rakan. Mereka akan bergilir menjadi tuan rumah. Berkumpul, sembang-sembang dan berbincang. Bicara mereka ialah bicara mengenal alam, tentang persoalan-persoalan penting dalam hidup, dan tentang mencari kebenaran. Sehinggalah mereka merasakan benar-benar dalam hati, bahawa mereka meragui Diqyanus sebagai Tuhan. Mustahil Diqyanus Tuhan, tetapi hidup seperti manusia lainnya, dan kadang-kadang merasa cemas dan takut. Mustahil Tuhan mempunyai sifat-sifat lemah seperti itu.

Satu hari Tamlikha berkata, telah datang dalam hatiku pencerahan. Bahawa aku tidak pernah merasakan rasa seperti ini sebelumnya, bahawa ada Tuhan sebenar yang kita cari-cari. Tuhan itulah yang sewajibnya kita sembah, kita perhambakan diri, bukan kepada manusia. Tetapi andai kata apa yang dirasai ini diketahui Raja Mahazalim itu, sudah tentu kita tidak akan selamat.

Rupanya perbualan mereka berganti malam itu turut menyentuh fitrah ahli kumpulan yang lain. Mereka turut merasai apa yang dirasakan Tamlikha, dan mahu tunduk menyerah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Bukan kepada orang lain, bukan kepada sistem, bukan kepada kerja, bukan kepada gaji, bukan kepada kekayaan, bukan kepada kemuliaan, bukan kepada tompokan harta, bukan kepada kebodohan yang menurut tanpa berfikir dengan akal! Mereka mahu tunduk dan menyerah kepada Allah, hanya dengan itu sahaja jiwa mereka akan bebas, sebebas, bebasnya.

Saya boleh bercerita panjang lebar lagi mengenai kisah Sahabat Gua, kerana dari usia remaja sehingga sekarang mereka sangat di hati saya. Kerana ia kisah orang muda yang memilih, kesejahteraan akhirat berbanding dunia. Walau tiada siapa yang menunjuk mereka jalan, tetapi mereka mencari. Mereka menggunakan segenap potensi akal yang ada pada diri, untuk berfikir tentang kebenaran, tentang hak, tentang hakikat. Mereka menjumpai dan kemudian bertindak. Melarikan diri ke dalam gua!

Gua lebih mereka sukai dari terpaksa tunduk kepada Raja zalim. Yang memaksakan ketundukan kepada manusia lainnya, walau mereka diberikan kedudukan, nama, harta melimpah. Tetapi mereka memilih untuk lari dari kekufuran dan kezaliman, untuk mempertahankan iman!

Tamlikha mengajar saya, bahawa dalam semua keadaan kita ada pilihan, lebih dari itu bebas memilih. Setiap pilihan yang dibuat atas dasar untuk mendekatkan diri kepada Tuhan akan diganjari, meski kita tidak diberi umur panjang untuk menyaksikannya, ia akan disimpan di akhirat sana.

Tamlikha tidur lebih 300 tahun. Tidurnya bererti, tidurnya menjadi tanda, tidurnya adalah bukti kekuasaan Allah. Dalam tidur pun mereka menghimpun pahala berguni, malah tercatat kisahnya dalam Al Quran. Kalam dari Tuhan sendiri. Allah yang menceritakan peristiwa ini kepada kita, sebagai ibrah, sebagai pedoman, sebagai contoh tauladan. 

Mereka tidur merentas kurun dan dimensi. Kenapa kurun, kerana mereka tidur 300 tahun. Kenapa dimensi? Kerana kita dapat mengetahui kisah Pemuda Beriman ini, hari ini, saat ini, langsung dari Al Quran. 

Selalu saya pejamkan mata saya ulangi doa mereka, 

"Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami," 18:10. 

Amin.

Allah memakbulkan doa Tamlikha dan kawan-kawan, moga Allah memakbulkan doa kita juga.

Saya selalu berharap diberi kekuatan seperti mereka. Di keadaan dunia yang mendesak, yang menawarkan pelbagai tawaran hebat-hebat, di antaranya akan menyebabkan cita-cita tercapai tetapi mengorbankan jiwa dan kemanusiaan, saya akan memilih lari ke 'gua'. Jika orang memandang kita menolak tuah, saya serahkan semuanya kepada Allah. Moga tindakan selalu dipandu, diberi pilihan dan kemudian memilih jalan yang lurus, jalan yang akan membuatkan kita selangkah lebih dekat kepada Allah.

Seperti sahabat muda, dia menjumpai kebesaran Tuhan di dalam gua. Dia mempelajari kebergantungan tulen dan sejati kepada Allah Pemberi Nyawa. Gua bukan kelam, gelap dan suram, tetapi tempat kita belajar untuk memahami sifat hamba yang sebenar. Di situ ada ilmu, dan ilmu itu cahaya.









Tuesday, May 21, 2013

Sahabat Gua 1

Seorang sahabat, selalu berbicara dengan suara yang rendah dan lembut. Di sebalik diam dan tenang, dia mempunyai mata memerhati, otak berfungsi dan hati yang tidak mati. Cuma akhir-akhir ini difahamkan dia menganggap diri sebagai makhluk anamorphic. Satu terminologi yang sangat asing di telinga.

Katanya, anamorphic lebih berjiwa seperti kehidupan dalam gua, gelap dan suram.

Susah untuk difahami, seorang individu yang mempunyai suara penuh kelembutan, tutur kata yang sopan, pemikiran jauh dan matang, hati yang hidup dan pemberani, menganggap diri sendiri sebagai sahabat dalam gua. Barangkali dia masih belum nampak keistimewaan unik, yang tidak dipunyai oleh orang lain.

Satu hari, sahabat muda ini datang menjumpai di bilik. Akhir-akhir ini bilik menjadi begitu terbuka untuk menerima orang masuk dan keluar. Terutama dari anak muda pewaris generasi, bangsa dan negara. Menerima mereka walau dalam keadaan sibuk, semuanya kerana terasa terhutang budi. 

Mereka inilah yang menunjukkan jalan keluar untuk kembali mempunyai hati yang hidup. Mereka inilah yang sebenarnya mengajar, bahawa untuk hidup gembira itu bukan sekadar mempunyai jawatan dan gaji hebat, tetapi hati mesti mahu memberi. Dengan melihat masyarakat yang terpinggir, anak-anak yatim yang mahukan perhatian dan pembelajaran, orang yang akan menunjuk anak-anak ini jalan keluar dari sejarah hidup mereka yang kelam. Anak-anak muda inilah, yang menyebabkan kembali menyinsing lengan baju, berpenat lelah untuk sama-sama peduli. Supaya ilmu yang diperolehi tidak hanya tertinggal di meja pejabat, di rak buku, atau di atas sijil.

Cerita sahabat gua ini, adalah cerita orang yang berhati berani. Ketika berada dalam bilik, awal perbualan adalah kisah-kisah yang biasa. Sehinggalah dia bercerita tentang aktiviti menjelajah gua. Ada di atara gua yang dijelajah tidak pernah dimasuki orang, termasuk orang tempatan. Dalam banyak keadaan, suasana sangat gelap gelita. Kerana dia masih seorang pelajar, dia hanya masuk gua dengan peralatan serba asas. Harness yang digunakan pun, tali, tanpa ada sokongan lain. Pendek kata, dia mempertaruhkan nyawa untuk menjelajah khazanah alam yang ada di Malaysia. Yang tidak pernah dijejak orang, guna untuk memasukkan data-data dalam rekod harta semulajadi di negara ini. 

Ya, masih lagi hairan, dia menganggap dirinya anamorphic.

Dia melakukan pekerjaan luar biasa, bukan orang-orang biasa yang boleh menyanggupi pekerjaan menjelajah gua. Perlu ada kemahiran, perlu ada kekuatan, perlu ada keyakinan dan paling penting jiwa pemberani. Dia, melakukan semua itu.

Katanya, satu masa keadaan sangat ekstrim. Mereka terpaksa turun dalam shaft menegak dengan hanya bergantung seutas tali, tanpa pengudaraan yang baik, tanpa cahaya. Perjalanan vertikal itu lebih dari 30 m, jika tidak salah.  

Dia seorang pelajar, tanpa kelengkapan lengkap kerana faktor kewangan, turun dengan seutas tali yang diikat langsung pada badan. Tanpa cahaya, dia mempercayakan nyawa dengan seutas tali tersebut, dengan sebulat keyakinan kepada Tuhan Pemberi Nyawa.

Allah.

Jiwa pemberani seperti apakah?

Katanya masih dalam suara lembut yang merendah, pada waktu itulah dia menyerahkan segala kepada Sang Pencipta. Tiada jaminan dalam perjalanan turun, tiada jaminan kepada tali, tiada jaminan tubuhnya akan kekal bertenaga untuk menahan berat dan beban, segalanya. Dia membuat segalanya supaya Malaysia tahu harta apa yang kita punyai. Sebuah gua semulajadi yang begitu hebat ciptaan yang masih menjadi rahsia, sehinggalah dia dan kawan-kawan menjelajahnya. Malaysia terhutang kepada usaha yang digerakkan mereka.

Dia, manusia anamorphic yang masih tidak menyedari pekerjaan hebat yang dilakukan, yang telah dicatatkan dalam sejarah peradaban.

Tiada manusia dilahirkan anamorphic. Tetapi barangkali kita perlu bergerak dan berhijrah ke dalam gua hanya untuk satu tujuan, untuk lebih mendekatkan diri kepada Pencipta. Untuk lari dari sistem yang korup dan menyeksa, seperti yang dicontohkan oleh Sahabat Gua Ashabul Kahfi.

***  

Thursday, May 16, 2013

Puisi untuk Guru

Seperti mana 16 Mei setiap tahun, ia adalah hari yang diraikan penuh sedar bagi setiap manusia yang pernah bergelar anak murid. Guru sentiasa hidup dalam hati, dan punya makna tersendiri. Tiada inci dalam penghidupan saya, fizikal, mental, dalam roh, jiwa tiada kesan kehadiran mereka. Guru pertama kita adalah ibu dan ayah, kemudian guru-guru di sekolah, sekolah menengah, universiti. Mereka yang bersaing dengan saya, yang bertembung dalam satu detik dalam kehidupan saya, yang mengajari, berkongsi,  menegur, menasihat, mengingat. Tiada ucapan yang lebih indah seperti dihantarkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang.

Terima kasih Cikgu, kerana hadir dalam hidupku. Mengajarkan apa yang aku tidak tahu dengan sepenuh kasih sayang. Terima kasih Cikgu, kerana menunjukkan ku jalan menjadi manusia, yang punya belas dan ihsan, sehingga ku dapat kembali pulang ke pangkuan Tuhan. Semoga Allah menyayangi, lebih dari kemampuan kami menyayangi. Seluruh kehormatan, kesejahteraan dan bahagia untuk Cikgu.    

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG 1979