Berjuanglah! Hanya itu yang akan dinilai di sisi Rafiq'ul A'la. Benar, berjuang menuntut lelah, menagih keringat, meminta darah juga membiar air mengalir di pipi.
Ya, mereka tidak benar mengerti. Perjuangan tidak memilih gender. Tidak memilah-milah atas kedudukan atau status duniawi. Yang tertulis nanti diakhirnya, dalam kitab yang akan diguna untuk mempertahan diri; adalah persoalan tanggungjawab yang dilunaskan atau tidak, tentang amanah yang dijunjung, tentang erti kesungguhan dalam melaksana. Itu sahaja.
Mengapa mesti manusia membenci mereka yang bersungguh. Disinar mata mereka cuma satu, keredhaan. Yang mereka tahu kebenaran perlu ditegakkan. Kerana yang diperjuangkan bukan survival semasa, tetapi generasi mendatang yang bergantung penuh pada usaha hari ini. Kerana itu masa bukanlah ukuran, wang juga bukan, tenaga, fikiran, malah segala cerca dunia pun tegar diterjah. Segalanya juga tidak menjadi kudis.
Tapi manusia tetap membenci pejuang. Disini letak kemanisan. Madu disebalik sengatan lebah. Pejuang yang tidak sakit hati, tidak mengalir tangis di malam sepinya, tidak sanggup bangun selepas ditendang rebah mencium bumi, bukanlah pejuang namanya.
Pejuang yang mengharap balas, dijunjung tinggi hingga ke petala, diiktiraf anak bumi, adalah pejuang yang tidak tulen selamanya. Kerana ketulenan pejuang hanya layak dibalasi oleh Yang Maha. Meski dihujung nafas masih disakiti, dicaci cerca, dihina, ia tetap menghadap wajah lurus ke arah Yang Esa. Sepincing tidak terluka, kerana pembelanya ada di sana, Maha Adil, Maha segala.
Justeru senyumlah wahai semua pejuang. Senyumlah dengan senyum manis yang rela dan redha. Pejuang yang dihimpit rusuh di malam hari, dibeban himpitan hinaan di siang hari. Senyumlah dengan rela dan redha dalam sujud dan tadah jemarimu menghadap hamparan langit. Kerana sebelum kamu terfikir untuk senyum, anda telah dibalasi. Sebelum kamu mengadu, anda telah dinaungi. Sebelum kamu bersedih, anda telah digembirakan dunia dan akhirat.
Pejuang yang rusuh di malam hari, di hina dengan kehadiran mentari. Senyumlah! Kerana Rafiq'ul A'la sedang senyum menanti anda disisiNya!




Comments

zf_zamir said…
katarsis seusai membaca wacana ini..

terima kasih..
Muhammad Teja said…
perjuangan. terasa kalah. mahu pulang , memungut semangat dari guru.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK