Malaikat Kecil

Dia tiba lewat. Dengan wajah putih yang cerah, tiada siapa menyangka dia adalah malaikat yang diutus Tuhan. Sekurang-kurangnya untuk seseorang yang tandus jiwanya mengalah atas cubaan dunia. Tapi lewat dia bersebab, dan sebabnya, sebab yang Agung. Dia kemudiannya menghadiahkan senyum, senyum seorang malaikat dunia. Hatinya putih, setulus jiwa yang sentiasa mengharap pengampunan. Sebersih kalbu yang sering menguntum zikir puji-pujian. Tanpa sekelumit rasa janggal, dia menyeluruhi wajah manusia yang sudah hanyut dan menghulur salam perdamaian. Salam ukhuwah. Salam kasih sayang. Manusia yang kelam tadi tiba-tiba dibanjiri cinta Tuhan. Dengan hanya jabat mesra dan huluran keikhlasan. Kerana kasih Tuhan, takdir yang tercipta, manusia dan malaikat tadi dipertemukan dalam kamar yang selesa untuk perjumpaan yang singkat. Mereka akrab, seperti pernah bertemu. Seolah-olah saudara yang terpisah kerana masa dan zaman yang tidak mengizinkan. Dan malam-malam hingga ke dinihari, cuma disulami cerita-cerita cinta. Cinta Tuhan. Cinta yang Satu. Yang tidak boleh dibahagi-bahagi.
Benar, malaikat itu tidak punya istilah kantuk. Dia cuma ada perkataan taat. Juga berani memperkata kerana benar. Dia malaikat yang teguh pendirian. Yang penuh kasih sayang. Diniharinya akan diperuntukkan untuk sujud dan rukuk. Untuk menadah hamparan ke langit. Untuk mengira butir tasbih mengekal zikir. Kerana itu manusia tadi begitu terkesima. Kerana dipertemukan dengan hamba Tuhan yang sebenar.
Akhirnya, malaikat berkata, dia mahu manusia itu menjadi kakak iparnya. Hairan! Malaikat juga bergender. Tapi sang manusia tahu, mana mungkin manusia dipersaudara dengan makhluk suci. Manusia terus sahaja senyum, meski tidak bersaudara, dia tahu satu, dia telah dipertemukan dengan malaikat kecil. Meski pertemuannya singkat, tapi dia telah diberkati dengan cinta, cinta sesama kerana Cinta Tuhan!

Comments

ieka said…
ehem ehem.. :D manusia tu terima ke risikan malaikat tu? ;)

p/s: sekadar mengusik
ASaL said…
uiks! manusia kena sedar diri selalu :)
nanti payah kalau dah tumbuh sayap, nak terbang sentiasa sehingga tak mahu kembali lagi ke bumi :)

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang