Massugu Itte Migi 2

“Kau jangan main-main Ichiro, ini bukan pilihan yang dibuat atas kau rasa kau boleh buat. Ini soal komitmen, soal tanggungjawab dan…”

Iskandar Ichiro mendengar penjelasan Mak dengan sabar.

“…dan ini soal bersedia untuk berkorban”.

Aroma kopi Kapal Api mengapung. Mak mengacau air dalam teko laju, gula melarut lebih cepat. Wap air marak menghias udara seperti tiris awan di angkasa.

“Kau jangan ingat kali ini kau memilih sama seperti waktu hendak masuk universiti dulu”.

Ah, Mak masih menganggap Iskandar Ichiro anak kecil. Hal dulu jadi begitu besar pada Mak. Masih kekal dalam benak Mak mungkin.

Iskandar Ichiro terkenang Datuk. Hanya Datuk dapat menukar pandangannya. Masa itu seluruh keluarga kecoh. Masing-masing tidak terdaya untuk menasihati lagi. Antara masuk USM dan ITM, Iskandar Ichiro memilih mahu masuk USM. Sedang seluruh ahli keluarga, Ayah, Mak, pakcik-pakcik dan makcik-makcik berkeyakinan penuh ITM telah lama punya rekod yang diyakini industri. ITM telah lama punya graduan yang berprofil tinggi. Makcik-makcik menjelaskan panjang lebar 20 kelebihan ITM. Pakcik-pakcik menjadi nasi tambah dengan bercerita lagi 30 kelebihan ITM. Tapi Iskandar Ichiro hanya mahu masuk USM. Tiada seorang pun tahu apa alasan Iskandar Ichiro mahu ke situ. Ichiro hanya mahu masuk USM. Bukan Iskandar Ichiro mahu jadi doktor pun. Ichiro akan jadi jurutera juga akhirnya. Apa salahnya belajar di ITM? Itulah yang menjadi butir bicara seluruh keluarga.

“Ichiro, ekau mari sini. Atuk nak cakap”, Datuk yang sudah susut daya penglihatan bersuara lunak. Nama yang disebut Datuk kerap kali mengundang rasa tidak enak. Selalu Ichiro rasa meluat dengan namanya sendiri. Lebih Jepun dari orang Jepun.

“Apo sobab eh ekau nak sangat masuk USM tu?” Iskandar Ichiro hilang kata.

Cicak tiba-tiba bersuara nakal, seolah mentertawa. Cicak juga tidak memihak. Mak Ayen, Abang, Abob, kucing-kucing Along tiba-tiba menggesel manja di sisi.

“Masa inilah pula banyak betul binatang hendak bermanja-manja”, keluhan yang hanya bergema dalam minda.

“Ichiro, donga sini. Ekau fikir baik-baik, I tu apo?”

Ichiro jadi dungu.

“I tu ese, ado jugak orang sobut den. U tu apo?" Ichiro mahu menjawab, Datuk lebih cepat memintas. "U tu ekau”.

Datuk teruskan hujah. “I tu maknonyo den, kek sini”, Datuk menunjuk ke dalam hati.
“I, diri ekau sendiri, jadi, I dokek. U tu ekau, ekau tu boleh jadi orang lain, jauh. Jadi eh, ekau pilih yolah masuk ITM, dokek kek hati”, Datuk menepuk-nepuk bahu Iskandar Ichiro. Seluruh ahli keluarga memandang Ichiro. Pelajaran pertama tentang membuat pilihan adalah dari subjek ganti nama dalam Bahasa Inggeris.

Jawab Ichiro ringkas, “Yolah Tuk, den masuk ITM”.

Ruang tamu rumah warisan Datuk jadi kecoh. Makcik-makcik tersenyum sampai ke telinga. Pakcik-pakcik bersorak seperti menang pilihanraya. Iskandar juga nampak Mak Ayen, Abang dan Abob, kucing-kucing Along berpeluk girang.

Bau masam menusuk hidung. Ketul-ketul putih melekit tersisa di mulut Sarah. Lantai di penuhi ketul putih yang sama. Lebih banyak dari yang tersisa di mulut Sarah. Iskandar Ichiro kembali di ruang tamu rumah Mak.

“Sarah!” Ichiro hilang sabar.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK