Thursday, January 29, 2009

David dan Goliath 2

S : Tombo ati iku limo perkarane

Shafiq : Kaping pisan moco Quran lan maknane.
S : Shafiq, kamu orang Jawa?
Shafiq : Saya orang Melayu Jawa. Tapi saya sebenarnya orang Melayu. Orang Keramat.
S : Bukan kamu lahir di Kelang?
Shafiq : Saya lahir di Kelang, tetapi diputerakan di Keramat. Saya putera Keramat.
Setiap mata memandang Cikgu dan Shafiq bergilir. Dalam cepu fikiran tertanya-tanya.
Asytar : Macamana lahir di Kelang boleh jadi putera Keramat pula?
Cikgu memandang Asytar yang selalu tidak sabar. Membiarkan soalan supaya dijawab Shafiq untuk memberi tenang pada orang lain.
Shafiq : Saya diaqiqahkan dan dicukur rambut di rumah Datuk saya di Keramat. Datuk saya Alias, moyang saya Sulaiman. Sama nama dengan anak Nabi Daud, Sulaiman.
S : Ok, ok. Macamana jadi cerita asal usul Shafiq pula ni?
Kelas pecah tawa. Merah menyerbu pipi Shafiq yang putih dan gebu. Shafiq senyum mesra ikhlas tanpa rasa kecil hati. Shafiq memang anak yang putih, luar dalam.
S : Shafiq, kawan-kawan awak semua ini tidak faham apa yang kita bualkan tadi. Terjemahkan.
Shafiq : Tombo ati iku limo perkarane maksudnya, ubat hati itu lima perkaranya. Kaping pisan muco Quran lan maknane tu pula, yang pertama baca Quran dan maknanya.
Alif : Yang lagi empat itu apa dia?
Shafiq memandang Cikgu, menggeleng tidak tahu. Ada bunyi kuat diluar. Khali. Cikgu mengisyaratkan Asytar menjenguk. Masing-masing tertumpu ke arah pintu.
Asytar : Dia duduk di luar tadi, bekas pensil dia terjatuh di lantai.
Gadis kecil tertunduk malu. Bergerak ke arah Cikgu dan mengatakan sesuatu. Cikgu senyum sambil menepuk bahu.
Cikgu : Aliya, bagi Ika duduk sebelah kamu. Kelas, Ika tidak ada kelas pukul 10-12 hari ini, jadi dia minta izin untuk sertai kita. Boleh?
“Boleh”. “Duduk sebelah saya pun tidak mengapa Cikgu”. Kelas meriah.
S : Ada sebab kenapa saya tidak meneruskan lagi empat perkara mengenai ubat hati. Kita bincang dulu, mengenai baca Quran dan maknanya. Seperti cerita David dan Goliath, mungkin kamu pernah baca dulu jika kamu sudah khatam Quran. Saya yakin kamu sudah membaca secara tartil dengan bahasa Arab.
Masing-masing tunduk.
S : Kamu boleh semak semula cerita David dan Goliath dalam surah Al Baqarah 246 hingga 251.
Asytar : Cikgu, sebelum kelas saya ada baca. Macam pelik je, macamana anak batu David boleh mengalahkan komanden Jalut yang terkenal sangat hebat. Siapa sahaja yang berani berduel dengan Goliath pasti akan menempah maut.
S : Asytar, banyak lagi benda yang pelik-pelik tetapi tidak pernah diceritakan. Cerita anak batu David membunuh Goliath tidak pelik sangat saya rasa.
Shafiq : Makju, oppss, Cikgu, cerita apa yang lagi pelik?
S : Saya tanya dulu, benda apa paling kecil dalam dunia yang kamu tahu?
Semut.
Pasir.
Debu lah.
Apa pula. Atom lah yang paling kecil.
Betul juga.
S : Jangan bergaduh. Betul tu, yang kamu belajar benda paling kecil ialah atom. Kecil mana atom tu?
Alif : Kecil sangat sampai kena tengok guna mikroskop.
S : Percaya tidak dunia ini dan seluruh galaksi, seperti yang kita semua lihat dalam gambar. Gambaran angkasa sewaktu Sheikh Muzafar naik ke IIS, semua di angkasa lepas itu terjadi dari sebutir atom itulah.
Biar betul?
Ye ke?
Uiks, macam susah hendak percaya?
Betul ke?
S : Memang betul. Sebab itu saya katakan, anak batu David yang kecil itu tidak mustahil menumbangkan Goliath.
Alif : Seperti apa yang dibuat oleh anak-anak Ghazzah di Palestin, Cikgu.
S : Seperti jihad anak-anak Ghazzah, Alif. Betulkan ayat kamu, jihad. Jihad mereka di Palestin, Lubnan, Afghanistan, Filipina, dan yang semua yang ditindas.
Cikgu diam. Kemudian bergerak ke arah komputer. Cikgu menekan kekunci di komputer, mata tertumpu dilayar.


Tuesday, January 27, 2009

Tombo Ati

Terima kasih Geolife menemukan tombo ati (ubat hati), mengubat hati yang kehilangan pada pengkarya siri Busa (Busa Sukma, Busa Hati dan Busa Kalbu - SN Arenawati). Lagu yang indah, sesuai didendangkan untuk anak. Cukup magis.
Entri ini, untuk kawan yang sering mengulang-ulang Gusti Allah. Mugi mugi Gusti Allah nyembadani.

Monday, January 26, 2009

Gerhana


Gambar langsung pada 5.08 petang (26 Januari 2009)

Kamera SONY Cyber–shot 7.2 MP, ISO1000, lensa Carls Zeiss

Setelah beberapa kali percubaan, Allah telah mengizinkan kami untuk mendapatkan gambar langsung Gerhana Matahari Annular atau Gerhana Matahari Cincin, dan kami berkongsi dengan anda semua. Gambar ini di ambil di bawah langit Keramat (nota: latar jadi hitam dan matahari merah kerana kamera ditutup dengan filem).

Disunatkan pada waktu gerhana ini untuk solat sunat gerhana 2 rakaat. Ini adalah tanda-tanda kosmik dan pertama kali saya secara sedar merasai bahawa bumi ini betul-betul bergerak. Kami berjemur di bawah langit petang, di atas menara KLCC kami melihat fasa bulan menutupi matahari.

Gambar hiasan

Kami merancang untuk dapat merakamkan fasa bulan menutupi matahari dengan lensa kamera Abang. Hanya satu yang menjadi (gambar di atas). Perlahan-perlahan cuaca terik sehingga membasahi baju kami hampir lenjun, menjadi redup dan gelap seketika. Pada satu masa, awan besar menutupi matahari gerhana, dan pada waktu ini kami dapat melihat kejadian kosmik ini langsung tanpa menggunakan filem atau refleksi air dari besen. Menunggu 'cincin' itu muncul hanya angan-angan, tetapi tidak di mata Cikli nun jauh di Sabah. Mereka yang mendalami geologi (seperti Geolife dan Muhammad Teja) dan mengkaji astronomi akan segera faham bahawa ini adalah satu kejadian alam penuh keajaiban. Ini adalah antara bukti mengesahkan matahari, bulan dan bumi bergerak dalam orbit (landasan) yang tersendiri dan penuh aturan. Hanya satu landasan, landasan Tuhan.

"It is He Who created the night and the day, and the sun and the moon. They swim along, each in an orbit". (Quran 21:33)

"And the sun runs to its resting place. That is the decree of the Almighty, the All-Knowing". (Quran 37:38)

"By the sky full of paths and orbits". (Quran 51:7)


Jika Kosmik bergerak dan tunduk pada satu jalan, mengapa kita masih tidak menjumpai jalan yang satu itu? Seperti dalam surah Al Fatihah, 'siratal mustakim', jalan yang lurus, jalan yang lurus.

p/s: Bumi dibandingkan dengan matahari hanyalah satu noktah, kita ini dimanakah?

Gerhana di MyAdha

"They said 'Glory be to You! We have no knowledge except what You have taught us. You are the All-Knowing, the All-Wise". (Quran 2:32)


Belasungkawa Arenawati (1928-2009)

Di Strait Meridien Melaka, kami telah bercadang untuk melawat Pak Arenawati. Kata Kak Nisah (Nisah Haron), Pak tidak sihat. Sekarang dia berada di HUKM, di ICU.
Kami menyimpan hasrat untuk mengujungi selepas berbengkel, meski di hospital.
Pagi 25 Januari, selepas sarapan saya mengutip bicara Salleh Rahmat kepada Bonda Zaharah, Pak sudah pergi pukul 1.30 pagi malam tadi. Saya menyampaikan pada mereka, tetapi mereka tidak percaya. Sehingga berita diumumkan di sidang rumusan pembimbing bengkel.
Al fatihah. Khali. Saya sendiri-sendiri rasa hilang.
Saya bukan kenal Pak lama. Saya baru mengenal karya Pak tahun 2006. Saya menghabiskan karya Sandera milik ayah pada tahun yang sama. Itu permulaan, dan itu juga membuat saya menulis semula. 'Langit Permulaan' ditulis dan dihasilkan pada tahun yang sama.
Kemudian saya mula membaca, Panrita, Sukma Angin, Mevrouw Toga dan mengumpul karya-karyanya di dalam almari, tersusun kemas.
Dalam Sukma Angin, Pak memanggil Darusi dengan panggilan "Dar".
Terasa Pak memanggil saya sendiri setiap kali menemukan baris dengan panggilan Dar.
Saya teringat Kak Ngah yang konsisten memanggil saya dengan panggilan itu. Saya teringat Ayah yang memanggil nama saya penuh-penuh dan menekankan bunyi Dar di hujung.
Tetapi Pak telah pergi. Tetapi meninggalkan bekal yang banyak, Bunga Di Kuburan, Sakura Mengorak Kelopak, Sudara dan banyak lagi.
Arenawati, Sasterawan Negara telah pergi. Namun karya akan tetap ada. Tiap baris ayat, penuh mutiara dan hikmah, panduan dan pedoman generasi akan datang.
Al Fatihah.

Thursday, January 22, 2009

Hadiah kehidupan

Sebelum menyambung cerita mengenai David dan Goliath, saya ingin memanjangkan tentang sesuatu. Tentang kebaikkan dan keikhlasan. Yang rasa saya sudah pudar warna. Tetapi dalam satu kesempatan, ia dijelmakan semula dalam nafas baru.

Pernahkah anda melihat kebaikkan dan keikhlasan yang datang sekaligus? Pernahkah anda melihat warnanya? Atau anda bertanya saya sekarang, apa warnanya?

Warna kebaikkan dan keikhlasan, adalah apa yang dijelmakan sebagai ‘Cahaya’. Cahaya yang jika tiada ia, kita akan hilang arah, kita tidak mampu melihat, malah mustahil boleh hidup. Cahaya ini, jika dibiaskan melalui prisma akan memancarkan tujuh warna. Tujuh warna itu adalah warna-warna pelangi. Warna inilah melukiskan bumi dan isinya yang jauh lebih indah dari lukisan Van Gough, Da Vincci dan Picasso. Kerana warna-warna inilah kita dapat refleksi Tuhan yang penuh keindahan dan Al Sani (The Art Master).
Hari ini, saya dapat melihat warna kebaikkan dan keikhlasan dalam warnanya yang asli. Cahaya itu sendiri.

Is that love I see in your eyes, or merely a reflection of mine?

Bagaimana?

Mmm, hari ini saya telah memenangi satu anugerah, Anugerah Tokoh Penulisan kategori Penulis Harapan. Setahun lalu saya melihat orang lain di atas pentas dan menerima anugerah ini sambil hati saya berdetik, tahun hadapan saya akan memenanginya pula. Wah! Bukankah doa ini didengar Tuhan dan benarlah kalamNya, ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kumakbulkan’.
Itu bukan halnya. Saya bercerita bukan untuk itu.
Selepas menerima anugerah dalam majlis yang gilang gemilang, saya diberitakan sebenarnya terdapat seorang lagi calon yang berkongsi markah yang sama dengan saya. Calon ini memang tidak dinafikan kredibilitinya, malah amat berbangga dia adalah saingan saya. Ini perlawanan yang menarik. Perlawanan buku bertemu ruas. Persaingan yang meski kalah, anda akan tetap berbangga. Pertembungan yang berbaloi!
Akhirnya lewat majlis saya mengetahui satu kebenaran. Kebenaran itu terhampar di hadapan mata dan menjadikan saya hilang kata. Khabarnya, panel juri telah meminta pandangan sahabat ini. Kata sahabat itu kepada ketua juri, “Ini adalah kategori penulisan, maka anugerahkanlah kepada Asal. Asal yang lebih layak. Dia telah membuktikan bahawa dia adalah seorang penulis, penulis yang sebenarnya”.

And in the end, is not the years in your life that count, it's the life in your years

Saya terkesima. Dari meja saya, saya boleh melihat dia. Melemparkan senyum ikhlasnya mengucap tahniah dengan hati yang bulat dan penuh. Dalam kering tandus dunia tanpa harapan, Tuhan telah menjelmakan warna cahaya dari wajahnya. Yang ikhlas dan penuh kebaikkan, datang sekaligus. Dan lebih indah, ia datang dari wajah seorang rakan!

Orang lain membawa pulang hadiah kerana pencapaian dan usaha.

Saya membawa pulang anugerah juga dengan alasan yang sama, tapi sehingga akhir hayat dengan seluruh cakera kosmos menyaksi: saya membawa pulang anugerah diiringi dengan satu pengorbanan yang datang dari rasa kasih, dengan penolakkan mutlak dari sebarang bentuk balasan, dari hati suci keikhlasan seorang rakan.

Mengetahui ini, dunia jadi khali. Saya telah mendapat kegembiraan, ganda dua!

Allah, Engkau anugerahkanlah untuk ‘Cahaya’ itu yang selayaknya dengan pengiktirafan yang disaksikan malaikat langit dan bumi.

They may forget what you said, but they will never forget how you made them feel

Allah telah membuatkan saya melihat syurga, dari warna cahaya yang terbias cerah kemilau dari wajahnya.

Inilah sebesar-besar anugerah.

Maha Suci Allah. Allahu Akbar.

Wednesday, January 21, 2009

David and Goliath

Asytar : Ceritakan pada kami apa yang sebenarnya terjadi di Palestin.
Saya : Baik, sebelum saya cerita, saya mahu tanya tentang kisah Nabi-nabi. Sebutkan pada saya siapakah nama anak-anak Nabi Ibrahim?
Asytar : Mmm, Nabi Ismail.
Saya : dan?
Asytar : Siapa ya? Macam ingat, siapa ya...(sambil memandang rakan kiri dan kanan)
Saya : Awak ni biar betul, nama anak Nabi Ibrahim pun awak tidak tahu?
Mereka diam membisu, memandang satu sama lain. Saya memandang mereka, sungguh mereka tidak tahu.
Saya : Bukankah seorang lagi anak Nabi Ibrahim adalah Nabi Ishak?
Asytar : Oh ya, betul la baru saya ingat.
Subhanallah. Saya hampir mengurut dada. Mereka tidak tahu mengenai kisah nabi-nabi. Dan bagaimana mahu cerita mengenai sejarah Palestin dan Jurusalem? Nanti, nanti saya akan kisahkan pada mereka sejarah panjang Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Ishak. Hari ini saya akan cerita pada mereka tentang permainan lastik dan pistol-pistolan. Tentang David dan Goliath. Tentang revolusi batu. Batu yang hidup, batu yang bersuara, batu yang bercerita. Batu yang meragut nyawa.
S : I once have a kid, and if he still alive, he will be at your age. He'll be here, studying at your place.
Jeda.
S : He was kill in a road accident. Riding his motorcycle in one fine afternoon, then he was hit by a construction lorry. The lorry carrying aggregates. Tahu apa itu aggregates?
Asytar menggeleng kepala. Kawan-kawan Asytar menggeleng kepala.
S : Aggregates adalah batuan kecil yang dipecahkan dari kuari dengan saiz-saiz yang tertentu. Batu-batu kecil ini akan dicampurkan ke dalam bancuhan simen untuk dijadikan sebahagian bahan dalam bancuhan konkrit.
Semua mengangguk kepala tanda faham. Saya puas hati.
S : On that one fine afternoon, saya berada di dalam kereta pulang dari kerja melalui jalan yang sama. Dalam perjalanan pulang saya melihat begitu banyak kenderaan yang berhenti di bahu jalan. Saya melihat lori yang berhenti. Saya melihat begitu ramai orang yang berkerumun. Debu berterbangan mengapung di udara. Bila habuk sudah tiada, disitulah saya melihat sekujur mayat terbaring di atas jalan. Ditutupi dengan kain pelikat. Tapi saya tidak pernah tahu pada masa itu yang terbaring itu adalah...anak saya.
Asytar dan kawan-kawan melopong. Ada linangan air jernih di dalam mata mereka. Saya senyum.
S : Awak tahu, saya lebih redha jika dia tidak tewas di tayar lori hantu yang membawa batu, sebaliknya tewas ketika membaling batu ke arah tank Merkava Zionis Israel. Hanya dengan demikian, anak saya akan mengulang cerita David dan Goliath. Tahukah kamu cerita tentang David? Tentang batu yang paling mahsyur yang menumbang Goliath jatuh tersungkur dan terus dihantar ke pengadilan Tuhan?
Asytar dan kawan menggeleng-geleng ikhlas. Mereka juga tidak tahu tentang itu.
S : Anak-anak, inilah dia David dan dialah yang menumbangkan Goliath.
Asytar : Adakah David itu Nabi Daud?
S : Alhamdulillah, ya betul, David as adalah Nabi Daud as.
Asytar : Apa yang dia lakukan Cikgu?
S : David sewaktu umurnya masih kanak-kanak lebih kurang umur 10 tahun, memohon kepada Raja Thalut untuk keluar dan berperang dengan tentera Goliath.
Shafiq : Adakah Goliath itu Jalut Cikgu?
Saya memandang tepat ke arah Shafiq. Remaja yang berkulit cerah, berbadan sedikit gempal. Riak mukanya memancarkan hanya satu, wajah kasih dan hati yang bersih dan ikhlas.
S : Ya Shafiq, Goliath itu Jalut. Jalut itulah Goliath.
Asytar mengangguk kepala. Shafiq mengangguk kepala. Yang lain-lain turut mengeyakan. Bunyi ketukan kuat di atas bumbung sedikit tidak mengganggu mereka. Hawa dingin yang semakin sejuk di dalam kelas juga tidak memberi kesan.
S : David masih kecil, dan dia tidak dibenarkan pergi berperang. David merayu untuk turut serta menyumbang bakti. Tetapi dia tidak punya kelengkapan perang. Di tangan David cuma ada lastik dan batu. Seperti anak-anak kecil yang lain, yang hanya lastik dan batu. Seperti anak-anak Palestin, hanya punya batu. Juga mereka hanya punya serpihan konkrit yang jatuh hasil ledakan roket dari jet pejuang Zionis Israel yang menghancurkan bangunan yang dibina susah payah. Serpihan konkrit yang dibancuh dengan menggunakan aggregates. Itu sahaja yang mereka ada.
Asytar : Kemudian?
Asytar tidak sabar. Saya memandang dan senyum. Jam sudah pukul 11.50 pagi, bukankah saya perlu berhenti?

Tuesday, January 20, 2009

'Role Model'

Saya lama telah membaca mengenai Ingrid Mattson, seorang wanita intelektual, pemimpin, seorang muslimah. Dan membaca dalam entri di blog Peduli Palestina, menambah kagum dan hormat pada seorang wanita ini yang berperanan dan signifikan dalam perjuangan ummah.

Ingrid Mattson

Dia Nek Zainab saya, yang dijelmakan dalam penulisan saya paling baru 'Benih Sakral Aphesus'. Bagaimana saya mendeskripsi Nek Zainab yang satu ini dalam tulisan saya itu, ialah seorang Nenek dan Profesor sekaligus, seorang yang konsisten dalam perjuangan dan sanggup berkorban untuk legasi akan datang yang lebih luhur dan sakral,

'Kalau ada pohon rendang yang memberi teduh kepada seluruh manusia dan kemanusian, Nek Zainab tempatnya. Kalau ada kemarau yang dapat mengeringkan hujan yang melimpah ruah, di hujung jari Nek Zainab ada magis yang menyapu segala kesedihan'.

Saya bertanya, bolehkah saya menjadi sepertinya?

"Be the kind of Muslim you want to be. Do not let other people define your faith for you."

Subhanallah.

p/s: sorry, Ingrid Mattson is Dr. Ingrid Mattson

Perlawanan sebenar

Abang M : Sebenarnya, musuh kita paling besar adalah diri sendiri.
Saya : Kenapa pula?
Abang M : Jika kita berjaya menawan sikap negatif dalam diri, barulah kita boleh berjaya dan mengecapi bahagia.
Saya : Ye ke?
Abang M : Betul, Tiger Wood sendiri kata, dia bukan berlawan dengan orang sewaktu dalam tournament, dia berlawan dengan diri sendiri. Sebab itu dia boleh berjaya.
Saya : Mmm...patut pun dia boleh berjaya, sebab dia kena berlawan dengan Rimau, rimau kayu pulak tu.
Abang M : (Diam tak terkata)

kui, kui, kui

Sunday, January 18, 2009

Faham!

PAS telah memenangi parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti undi 2000 lebih. Semenanjung Ghazzah masih bergolak dengan perbuatan pembersihan etnik dari askar rejim Israel. Dunia masih menyaksikan perbuatan yang aneh-aneh dari pemimpin-pemimpin Islam. Bermula dari pemimpin Saudi, dari bangsa-bangsa Arab, dari Mesir malah yang terpecah dari dalam Palestin sendiri. Semua ini, luar normal dan bagi saya susah untuk dicerna.

Saya cuba faham. Cuba mahu faham. Susahkah untuk memahami perangai apa yang merasuk kepala dan naluri Yahudi Zionis di Israel? Logikkah manusia yang dicipta mulia, punya kerendahan budi dan nilai kemanusiaan sekeji ini. Baik, saya cuba memahami. Dan rupanya, tidak susah pun untuk faham.
Jauh dari Palestin, di Malaysia. Ya, tanah air kita. Di Selangor untuk lebih tepat. Sebuah rumah kediaman sederhana besar, cukup selesa untuk sebuah keluarga. Rumah itu dibina dari tanah warisan, yang didapati sah dari legasi ibu dan ayah yang ditinggalkan. Ianya dibina, beberapa ratus meter dari jalan besar. Penghubung untuk ke jalan besar, cuma sebatang jalan berturap tar muat untuk laluan sebuah kereta. Masuk dan keluar.

Penghuninya, seorang ibu tunggal tua, yang tidak berdaya untuk berjalan. Ibu tua semenjak akhir ini dan dalam keuzuran, menggunakan sebuah kerusi roda untuk bergerak. Kaki yang masih mempunyai sisa tenaga itulah yang digunakan untuk menguis lantai mozek bagi membantunya untuk bergerak ke hadapan dan belakang. Peneman ibu, anak perempuan yang didiagnos menghidap kanser dan sudah menjalani beberapa kali rawatan kimoterapi. Rambut telah gugur dan kesakitan itu telah meragut dan mengambil keceriaannya. Mereka dua beranak, berkongsi hidup ditanah warisan sah. Ayah yang pernah dipotong sebelah kaki kerana penyakit kencing manis telah 4 tahun pergi. Adik-beradik yang lain punya keluarga sendiri dan duduk di rumah masing-masing.


Ya, dua tiga bulan, setepatnya setahun kebelakangan ini, sekeliling kediaman mereka telah dibina tembok tinggi. Pembina tembok adalah anak saudara sendiri yang menuntut hak atas tanah yang ada disebelah rumah ibu tua. Kata anak-anak saudara ini, mereka adalah waris yang sah untuk tanah disebelah rumah ibu tua dan juga tanah dihadapan rumah yang digunakan untuk laluan masuk dan keluar dari rumah ibu tua. Dua tiga hari ini, ditengah hiruk pikuk langit Ghazzah disimbah bom phosphorus dan anak-anak Palestin dikebumi borang ke dalam tanah, anak-anak saudara ibu tua ini telah menutup jalan penghubung dunia ibu tua untuk mendapatkan keperluan hidup. Untuk makan, untuk bekal perubatan ibu tua dan anak yang mengidap kanser terminal. Untuk membolehkan anak-anak lain datang menjenguk, memberi perawatan, menggembirakan hati ibu tua.


Ya, anak-anak saudara dari darah daging sendiri, membina tembok tinggi untuk menghalang pemandangan, juga paling keji telah menutup jalan. Satu-satunya jalan ibu tua dan anaknya yang sakit kanser untuk terus hidup.


Keji? Benar keji. Dan ini tuan-tuan, bukan perbuatan yang dibuat oleh Zionis Yahudi. Orang kita, orang Melayu-Islam-berdarah daging dari turunan nenek moyang yang sama. Yang aneh-aneh, bukan perlu pergi jauh-jauh untuk kita memahaminya.

Aduhai, serendah ini kemuliaan manusia telah merundum. Petaka apakah?

Saya menangisi kemanusiaan yang telah hilang dari anak-anak yang sedarah daging demi untuk keduniaan yang sementara. Untuk sekeping tanah, yang nilaiannya hanya dunia. Hanya dunia.


Aduhai, aduhai.


Saya mencela, kerendahan budi yang ada disukma anak-anak ini, sedang pada masa yang sama mereka juga ada seorang ibu yang telah tua seusia dengan ibu saudara yang telah mereka perlakukan tanpa sekelumit rasa kemanusiaan dan persaudaraan.

Saya merintih lirih, pembelaan apa yang pernah saya lakukan untuk mereka? Pembelaan apa?


Ya Akhi, bela mereka! Tolong.

Saya sudah faham, susut kemanusiaan bukan hanya di Ghazzah. Bukan hanya ada di Falistin.

Kekejaman bukan hanya kesumat di dada Israel.


Percabulan nilai persaudaraan darah daging dan Islam, bukan diraikan dengan meriah oleh pemimpin-pemimpin Arab seorang.

Saya berdoa, agar Allah memelihara hati saya dan anda, teman/sahabat saya, untuk tidak turun menjadi rendah seperti mereka. Nauzubillah.


Ya Allah.

Wednesday, January 14, 2009

Pakcik Tempang dan Boikot


Ada orang kata, kenapa boikot, it will not change anything. Dan ia bukan sunnah yang ditunjukkan Rasulullah.
Hairan.
Dalam konteks ini, saya lebih menyanjungi seorang pekerja pam minyak, pertengahan usia, tempang, tinggal mungkin seluruh usianya di kampung yang orang katakan ceruk dan pedalaman. Di pedalaman yang rimau dan beruang pun ada. Babi hutan bersepah. Tenggiling kadangkala menjadikan jalan raya yang kecil itu sebagai tempat teduh. Dan pakcik tempang tersebut mungkin tidak pernah tahu pun menggenai blog dan bloggers.
Tetapi pakcik tempang, tanpa mengenali saya pun menghulurkan secebis kertas. Ketika sedang mengisi minyak. Kata pakcik,
“Ini barang-barang Israel dan US. Kita jangan beli! Kita boikot.”
Tegas.
Kami tersenyum memandang pakcik yang tempang. Saya hendak katakan padanya,
“Pakcik, boikot-boikot ini bukan sunnah…”
Memikirkan saya mungkin dilempang kerana ignorance begitu tinggi (al maklum, bukan tempat saya), saya memandang dan senyum seikhlas mungkin kerana rasa begitu kukuh seperti bersaudara. Saudara seagama.
Pakcik tempang, yang tidak tahu blog pun punya rasa tanggungjawab dan ingin menyumbang.
Kita yang celik maklumat dan pandai internet, at the greatest ignorance said, it is not a sunnah.

Well…mungkin orang itu tidak pernah tahu sunnah apa yang terjadi di Khaybar. Dan kalau dia tahu pun sunnah, I'll bet these kind of peoples will first offer themselve to destroy the gate of mighty fortress at Khaybar. Well...
"Khaybar, Khaybar ya Sahyun, Hizbullah qadimun"
"Khaybar, Khaybar you Zionists, Hizbullah is coming"
Humayra with 10 steps to support Ghazzah.
Umaq Eiman lintas langsung dari Sudan untuk perjuangan Ghazzah
Empangan Jernih dengan sorotan berita-berita
Rausyanfikir with intectual discourses and analysis
Peduli Palestina support the Black Ribbon of Ghazzah
Berat-berat puisi yang meruntun jiwa
Ustazah-Engineer boikot berstrategi
Demo bersama Rabecca Ilham di US

Monday, January 12, 2009

Seperti mereka?


Foto 1 Kamu tidak akan tahu rasa tangisan anak itu
Lama dulu, 2001, saya berdialog dengan seorang senior mengenai Palestin. Beliau, perlu dijelaskan di sini, adalah seorang tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi. Jadi saya menganggap pendapatnya antara lain perlu bersandarkan disiplin kesarjanaan yang ada di dalam dirinya. Beliau, secara ringkas mencela perjuangan rakyat Palestin untuk kemerdekaan dan kebebasan tinggal di Palestin. Beliau juga berkata, tidak bolehkah mereka duduk aman damai dengan masyarakat Israel. Seperti kita duduk aman damai berbilang bangsa di Malaysia.
Jika dan hanya jika saya tidak hormat dia sebagai orang yang lebih banyak umurnya dari saya, saya tentu akan menjawab dengan sopan seperti berikut,

“*&cel---$%&@))*&”.
Tapi saya menjawab juga, jawapan yang lain.
“Excuse me, don’t you remember, the Israel Jews and Europian Jews which came from nowhere, after 2000 years, to Palestine and claimed Palestine as theirs. They claim they inherited from their ancestor which has been proclaimed in the Holy Book. You, bloody Palestinian, get out from this land!”
Saya menjawab seperti itu supaya dia membuka mata. Tapi nampaknya dia kurang faham. Saya tidak mahu mempersenda fakulti mindanya, tetapi terpaksa, lalu membuat simili, perumpamaan.
“Katalah anda, duduk di rumah ini bersama keluarga bertahun-tahun. Anda tahu dan seluruh penduduk kampung pun tahu, tok penghulu tahu, JKKK tahu, rumah ini dan tanahnya adalah hadiah dan warisan dari gemulah nenek moyang. Apa rasanya, kalau saya, yang tidak punya talian apa-apa dengan anda, datang hari ini, di rumah ini, dan menghalau anda dan seisi rumah anda keluar, nyah dari sini! Antara sebabnya ialah, ini tanah saya yang telah lebih dulu diwariskan pada saya kira-kira 2000 tahun lampau. Dan buktinya boleh dicari dalam Kitab Suci.
Kitab Suci yang suruh saya buat ini”.
Saya meneruskan,
“Adakah anda dengan rela memberikan saya rumah ini dan seluruh isinya, dengan alasan, kita perlu hidup aman dan damai?”
Tapi dalam hati, saya tetap berbicara santun seorang rakan seperti berikut:
“*&cel---$%&@))*&”.
Yang diulang-ulang.

Foto 2 Satukan kepala dan tubuhnya!

Itu dulu. Tahun 2001. Dari seorang academia, sarjana, cerdik pandai. Pandai tapi tidak belajar sejarah rasa saya. Sejarah perlu diceritakan, sejarah perlu dipelajari. Saya pasti lebih ramai manusia seperti itu hari ini. Meski dia seorang Islam. Meski dia dari ras bangsa Arab. Saya pasti dan tidak pernah hairan pun. Kerana itu kita sedang menyaksikan, dan kitalah juga nanti menjadi saksi di hari akhirat kelak, bahawa Mesir telah menutup pintu mereka ketika Palestin diganyang dan disembelih, The Keeper of Haramain (Penjaga 2 Tanah Haram) menahan diri dari membantu saudara seagama di Palestin, kita yang mengakui Islam dan bersaudara juga membelenggu diri dari membantu mereka di sana.
Ini kezaliman. Ini penindasan. Kejahilan juga adalah satu bentuk kezaliman dan penindasan atas diri dan mereka yang teraniaya.
Saya, meski mengutuki apa yang dilakukan Israel, saya lebih mengutuki kezaliman dan penindasan manusia jenis ini. Kejahilan telah membutakan dia. Kejahilan telah membuat beliau sama seperti Yahudi Zionis, melakukan penindasan keilmuan dengan sedar dan terang-terangan. Meski dia seorang Islam. Meski dia seorang yang sepatutnya menjulang tinggi budaya intelektual dan akademik.
Nyata, mata hatinya telah dibutakan.
Mari kita mengutuki Israel, mari juga kita mengutuki kejahilan. Ignorance is a deasease!
Kerana itu antara lain, jadilah kita orang yang celik. Celik ilmu. Celik kebenaran. Celik sejarah. Celik Tuhan.
Moga Allah beserta dengan orang yang mengikhlaskan diri demi agamaNya. Takbir!
Free Palestine from Isreal’s occupation, aggression and oppression!
Down with Zionis Israel!

Quran: Al-A'raaf:76, "Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir".


Lagi di,

Humayra with 10 steps to support Ghazzah.
Umaq Eiman lintas langsung dari Sudan untuk perjuangan Ghazzah
Empangan Jernih dengan sorotan berita-berita
Rausyanfikir with intectual discourses and analysis
Peduli Palestina support the Black Ribbon of Ghazzah
Berat-berat puisi yang meruntun jiwa


Thursday, January 08, 2009

Hari ini kawan...

Hari ini kawan, luputkanlah segala rusuh dalam hatimu.


Sekiranya kita masih mengeluh atas kesusahan di bawah naungan langit yang masih lagi biru, kita telah dan sedang, menghina keperitan dan derita mereka di Ghazzah.

Hari ini kawan, ikrarkanlah, bahawa kamu bersama-sama mereka. Merasa derita mendasar dan mengigit. Pejamkan mata, dan deriakanlah igau mereka.


Langit perang, hanyir darah yang meruap, belerang yang menghiasi langit pagi dan petang, jeritan yang menghantui tulang belulang, dan tiada satu yang tinggal meski secebis harapan.

Janganlah kita hina mereka dengan mengeluh-ngeluh atas nasib dan kemalangan diri sendiri lagi.

“Para syuhada sudah mati, kita yang mati inilah pula hidup. Para syuhada telah menyampaikan pesan dan kita yang pekak inilah yang perlu menjadi pendengarnya. Mereka telah memilih untuk syahid bila mereka merasakan tidak mampu hidup dalam dunia tanpa Tuhan, dan kita yang tidak tahu malu masih sanggup menjadi mereka yang tertinggal’.

Kawan, hari ini, janganlah kita mengeluh-ngeluh lagi.

Kawan, hari ini, derialah derita mereka.

...kerana kita yang pengecut tiada daya membela,
dan kerana itu janganlah pula menjadi orang yang menghina!

Tuesday, January 06, 2009

Telah dicabutnya dari kamu, telah dicabutnya dari kamu

Semalam, berkuda, menuruni bukit menuju ke kota Jurussalem. Tidak seperti di Damascus dan Acres, menginjak tanah Jurussalem di bawah pemerintahan Sallehuddin Ayubi saya melihat damai. Memasuk sempadannya sahaja, saya dihamparkan hijau. Rumput yang menghijau. Sehijau hati Khalifahnya, sehijau hati rakyatnya. Kerana mereka melemparkan damai. Mereka menghulurkan salam perpaduan.

Saya memberhentikan Xoulzana. Di atasnya, saya boleh melihat kubah As Sakhrah. Begitu agam, menyimpan seketul batu yang menangis mahu mengiringi Rasulullah ke langit. Di malam Isra' Mikraj. Tetapi saya tidak boleh melihat Masjid Al Aqsa, ia tidak dibina agam seperti Masjid As Sakhrah. Ia diselindung, tidak jauh dari Kubah Batu, tapi sudah dilupakan orang. Maruah umat Islam disini, dan kita membenarkan ia dicabuli.

Hati saya dihentak pilu. Ini tanah Anbiya'. Nabi-nabi menjejak kakinya yang mulia di sini. Dan Salehuddin menebusnya untuk membolehkan saya menghidu haruman Anbiya'.

Saya berpapasan dengan orang-orang di Kota. Mereka berjubah, saya juga berjubah. Ini kota 3 agama. Salehuddin menjadikan ia syurga. Mereka berjubah, tunduk dengan hormat, melempar senyum, rasa bersaudara, dalam sukma aman.

Itu cerita semalam. Saya bermimpi.

Hari ini, abang saya telah dibom mengandungi bahan phosphorus. Kakinya buntung, dia masih hidup ketika sebelah kakinya hancur. Memandang saya sayu, sambil merayu, 'Tolong, sakit adik, sakit'.



Semalam bonda dalam rumah. Saya menjumpainya. Keseluruhan tubuhnya hitam. Ya, bonda rentung. Saya menarik nafas, itu bau yang akan saya ingat seluruh hidup saya. Bau daging hangus terbakar. Bau bonda di hujung nyawa.

Adik kecil saya, sudah mati. Dadanya ditembus peluru. Ketika itu dia sedang menangis tanpa suara. Kerana dia haus benar. Matanya merintih sayu. Sukma saya menafsirkan begitu. Tapi kami sudah keputusan air. Tentera musuh memutuskan bekalan air kami. Saya pergi mencari, untuk membasahkan bibir adik yang masih menyusu dengan air. Dengan setitis air. Sekembalinya, dia sudah tiada. Dada adik ditembusi peluru.

Tadi, Pakcik Salleh datang merapati saya. Katanya, abang saya juga telah pergi.

Saya berdiri, mencari Salehuddin di langit Ghaza. Langit berwarna jingga dihiasi letupan yang menggila. Sekeliling negera saya, semuanya orang yang mengucap syahadah yang sama. Ras yang sama. Bangsa yang sama. Berkongsi Salehuddin yang sama. Berkongsi Rasulullah yang sama.

'Ya Rasul, saksikanlah, mereka meninggalkanku tanpa pembelaan. Mereka tegar membiarkan ku menjadi simpai keramat di hari yang sama mereka meninggalkan keluargamu di Karbala. Ya Rasulullah, saksikanlah, mereka yang menyaksikanmu mereka jugalah menutup jalur Rafah. Mereka yang menjaga Haramain membelenggu tangan dari membantuku'.

'Ya Rasul, saksikanlah. Bondaku rentung. Abangku buntung. Adikku ditembusi peluru. Dan Rasul, saksikanlah mereka tidak pernah peduli'.

'Ya Rasul, seperti inilah juga keluargamu dulu, tidak terbela, di hari Asyura'.

'Ya Rasul, aku mengadu, lalu saksikanlah'.

Pakcik Salleh menepuk bahu saya yang tidak tinggal apa lagi meski secebis harapan. Di bibir Pakcik Salleh meratib berulang-ulang,

"In the End, we will remember not the words of our enemies, but the silence of our friends."
Telah dicabutnya dari kamu, belas ikhsan dan kemanusiaan. Telah dicabutnya dari kamu rasa bersaudara...
p/s: gambar di ambil dari Along Faiz, petikan Martin Luther, 'in the End, we will remember not the words of our enemies, but the silence of our friends, dari' Cikli
lagi kekejaman zionis di Peduli Palestina , Umaq Eiman , Empangan Jernih dan demo bersama Rebecca Ilham

Friday, January 02, 2009

Tahun baru, azamnya?

Masih belum, masih belum dapat mencari apa yang mahu dicapai tahun 1430 Hijrah ini. Terlalu banyak perkara yang bermain di benak, meski mahu untuk merealisasikan, namun belum mahu komited.
Sebelum masuk 2009, saya bertemu dengan orang yang memperjuangkan OAT. Apa OAT? OAT adalah makanan jenis bijiran, dan saya baru tahu bijiran itu adalah barli. Dan rupanya Rasululullah juga suka makan barli yang tidak diproses.
Tetapi salam OAT ini bukan makanan, OAT ialah Objektif, Adil dan Telus. Kami, berkongsi pandangan yang sama. Betul, saya mengimpikan keadilan yang merata. Dan untuk itu ia menuntut juang.
Sebelum masuk 2009, dia mengajari saya. 'Rabbana atina min ladunka rahmah, wahayyi'lana min amrina rashada. Wahai Tuhan limpahkanlah kepada ku rahmat, dan permudahkanlah untuk segala urusan'. Dan kata dia lagi, jangan terlalu fokus untuk mendapat hasil untuk sesuatu urusan, sebaliknya sebutan doa itu perlu diulang-ulang, kerana yang lebih penting bagi kita adalah rahmat Tuhan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, bukan hasilnya.
Saya tersentak! Benar, saya sudah salah fokus. Fokus saya hasilan. Sedang yang lebih baik adalah rahmat Tuhan.