Hadiah kehidupan

Sebelum menyambung cerita mengenai David dan Goliath, saya ingin memanjangkan tentang sesuatu. Tentang kebaikkan dan keikhlasan. Yang rasa saya sudah pudar warna. Tetapi dalam satu kesempatan, ia dijelmakan semula dalam nafas baru.

Pernahkah anda melihat kebaikkan dan keikhlasan yang datang sekaligus? Pernahkah anda melihat warnanya? Atau anda bertanya saya sekarang, apa warnanya?

Warna kebaikkan dan keikhlasan, adalah apa yang dijelmakan sebagai ‘Cahaya’. Cahaya yang jika tiada ia, kita akan hilang arah, kita tidak mampu melihat, malah mustahil boleh hidup. Cahaya ini, jika dibiaskan melalui prisma akan memancarkan tujuh warna. Tujuh warna itu adalah warna-warna pelangi. Warna inilah melukiskan bumi dan isinya yang jauh lebih indah dari lukisan Van Gough, Da Vincci dan Picasso. Kerana warna-warna inilah kita dapat refleksi Tuhan yang penuh keindahan dan Al Sani (The Art Master).
Hari ini, saya dapat melihat warna kebaikkan dan keikhlasan dalam warnanya yang asli. Cahaya itu sendiri.

Is that love I see in your eyes, or merely a reflection of mine?

Bagaimana?

Mmm, hari ini saya telah memenangi satu anugerah, Anugerah Tokoh Penulisan kategori Penulis Harapan. Setahun lalu saya melihat orang lain di atas pentas dan menerima anugerah ini sambil hati saya berdetik, tahun hadapan saya akan memenanginya pula. Wah! Bukankah doa ini didengar Tuhan dan benarlah kalamNya, ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kumakbulkan’.
Itu bukan halnya. Saya bercerita bukan untuk itu.
Selepas menerima anugerah dalam majlis yang gilang gemilang, saya diberitakan sebenarnya terdapat seorang lagi calon yang berkongsi markah yang sama dengan saya. Calon ini memang tidak dinafikan kredibilitinya, malah amat berbangga dia adalah saingan saya. Ini perlawanan yang menarik. Perlawanan buku bertemu ruas. Persaingan yang meski kalah, anda akan tetap berbangga. Pertembungan yang berbaloi!
Akhirnya lewat majlis saya mengetahui satu kebenaran. Kebenaran itu terhampar di hadapan mata dan menjadikan saya hilang kata. Khabarnya, panel juri telah meminta pandangan sahabat ini. Kata sahabat itu kepada ketua juri, “Ini adalah kategori penulisan, maka anugerahkanlah kepada Asal. Asal yang lebih layak. Dia telah membuktikan bahawa dia adalah seorang penulis, penulis yang sebenarnya”.

And in the end, is not the years in your life that count, it's the life in your years

Saya terkesima. Dari meja saya, saya boleh melihat dia. Melemparkan senyum ikhlasnya mengucap tahniah dengan hati yang bulat dan penuh. Dalam kering tandus dunia tanpa harapan, Tuhan telah menjelmakan warna cahaya dari wajahnya. Yang ikhlas dan penuh kebaikkan, datang sekaligus. Dan lebih indah, ia datang dari wajah seorang rakan!

Orang lain membawa pulang hadiah kerana pencapaian dan usaha.

Saya membawa pulang anugerah juga dengan alasan yang sama, tapi sehingga akhir hayat dengan seluruh cakera kosmos menyaksi: saya membawa pulang anugerah diiringi dengan satu pengorbanan yang datang dari rasa kasih, dengan penolakkan mutlak dari sebarang bentuk balasan, dari hati suci keikhlasan seorang rakan.

Mengetahui ini, dunia jadi khali. Saya telah mendapat kegembiraan, ganda dua!

Allah, Engkau anugerahkanlah untuk ‘Cahaya’ itu yang selayaknya dengan pengiktirafan yang disaksikan malaikat langit dan bumi.

They may forget what you said, but they will never forget how you made them feel

Allah telah membuatkan saya melihat syurga, dari warna cahaya yang terbias cerah kemilau dari wajahnya.

Inilah sebesar-besar anugerah.

Maha Suci Allah. Allahu Akbar.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK