Wednesday, December 30, 2009

Gerhana di bulan penuh Muharram

Muharram adalah bulan ajaib bagi saya. Disebalik sejarah strategik Muharram sebagai satu bulan yang diraikan dari pelbagai sudut pandang, kali ini kita bakal menyaksi gerakan alam pada 1 Januari 2010 bersamaan 15 Muharram 1431H.

Tahun baru ini, kita mungkin boleh meraikannya dengan cara lain. Rakyat Malaysia diberikan kelebihan untuk menyaksikan fenomena galaksi pada jam 1.17 pagi dan 5.28 pagi.

Apa dia gerhana bulan?

Kejadian ini wujud apabila tiga komponen matahari, bumi dan bulan terletak pada satah atau satu barisan yang sama atay sangat hampir. Pada lazimnya, ia akan berlaku ketika bulan purnama akan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. Gerhana maksimum dijangka berlaku pada jam 3.24pagi.


Berikut informasi yang diterima, 'Angkasa dengan kerjasama Masjid Negara akan menganjurkan bersama program gerhana bulan separa di perkarangan luar Masjid Negara (berhampiran dengan tapak ekspo) pada 1 Januari ini bermula pukul 1 pagi hingga 6 pagi. Orang awam dijemput hadir untuk menyaksikan fenomena ini menerusi beberapa buah teleskop yang disediakan dan ia adalah percuma. Bagi yang tidak berkesempatan, anda berpeluang menyaksikan siaran langsung gerhana bulan separa di laman web http://www.angkasa.gov.my/ pada awal pagi 1 Januari 2010 pukul 1.17 hingga 5.28 pagi.'

Double check ya!

Jangan lupa solat sunat eclipse ya. Ingatkan saya juga.

Monday, December 28, 2009

Avatar dan Benih Sakral Aphesus

Suprisingly speachless. Tiga jam yang berlalu tanpa merasa apa-apa. Ia sebuah filem wajib tonton, meski kita sering bertanya tentang logik dan rasional di setiap penjuru sepanjang ia ditayangkan.

Cerita ini mengambil konsep sains, bagaimana minda kita berpindah dari tubuh kita yang asal kepada tubuh jelmaan. Tubuh jelmaan inilah yang dipanggil Avatar. Makhluk Avatar ini telah diklon dari bangsa pribumi Planet Pandora dari kaum Nav'i. Manusia menakluk Pandora hanya semata untuk menggali hasil bumi yang dinamakan Unobtanium. Mineral ini sangat mahal, harganya di bumi ialah 1kg = USD20 juta. Ia telah menyebabkan pemodal besar telah menghantar mesin besar dan robot untuk tujuan pengalian dan juga menangkis dari serangan kaum Nav'i. Di sinilah Avatar menjadi sangat signifikan. Avatar diperlukan untuk memboleh manusia berinteraksi dengan lebih akrab dari kalangan kehidupan kaum Nav'i sendiri. Hanya dengan kedatangan Jake Sully, seorang marin yang lumpuh kedua-dua kaki telah membolehkan interaksi ini berlangsung dengan harmoni.


Sudah tentu, Jake Sully hanyalah sebagai ejen. Misi sebenar ialah untuk memujuk kaum Nav'i berpindah dari kediaman asal ke satu lokasi lain. Ini adalah kerana tempat tinggal Nav'i di Hometree kaya dengan Unobtanium dalam linkungan parameter berkilo-kilo meter luasnya. Dengan maksudnya, limpahan kekayaan dari hasil itu akan meningkatkan lagi tabungan pemodal di Planet Pandora. Namun setiap yang kita mahukan, ada harga yang perlu dibayar. Pemodal perlu membayar dengan kemusnahan alam dan juga meninggalkan warisan tinggalan nenek moyong. Tidak ada apa yang terlalu asingkan? Sama sahaja yang dialami di bumi. Kes-kes untuk memindahkan setinggan, kerakusan menebang hutan untuk tujuan industri dan sebagainya. Jangan lupa, bagaimana pula penjajahan bentuk baru Amerika di Afghanistan dan Iraq, dan mungkin akan menukar missile head mereka ke Iran pula. Siapa tahu?

Namun filem ini memperihalkan ketamakan dan kerakusan manusia yang semakin besar. Selagi ada hasil bumi yang boleh memberi keuntungan kepada segelintir orang, ke Planet Pandora pun mereka akan cari. Hingga ke lubang cacing, come what may. Pendek cerita ia mungkin menyindir secara sinis dasar luar Amerika dan Israel yang tidak pernah akan berubah. Pada pendapat saya, saya memandang secara literal Amerika sebagai Avatar, dan Israel adalah pemandunya (a.k.a Jake Sully tetapi sampai sudah Israel tidak mungkin akan mempunyai hati bersih Jake Sully).


Sepanjang filem ini berlangsung, saya hanya teringat novel Benih Sakral Aphesus (BSA). Ia novel pertama saya yang dibawa bertanding. Ramai kawan saya maklum ia tidak memenangi apa-apa hadiah meskipun hadiah saguhati. Jika awak membaca entri ini, awak pun tahu ia tidak diangkat sebagai karya yang baik. Kata kawan saya (untuk menyedapkan hati) novel saya bukan tidak bagus. Mungkin panel tidak faham kerana saya menulis sains bergabung dengan falsafah serta sastera. Tetapi saya tahu, mungkin saya belum mencapai apa yang hakim perlukan dengan itu saya perlu berusaha lagi terus menerus. Perjuangan masih belum selesai.

Tema yang saya bawa dalam BSA ialah tema yang sama dalam Avatar. Tentang hutan dan kerakusan manusia. Tentang benih yang sakral sifatnya tetapi tidak difahami pemodal rakus yang gila kekayaan. Saya juga bercerita tentang alam yang berinteraksi, setiap satu kejadian alam mempunyai perkaitan dengan makhluk lain termasuk kita sendiri. Itu yang diulang tayang selama 3 jam dalam Avatar. Iaitu tentang kesalingkaitan alam, manusia dan Pencipta.

Saling perkaitan antara manusia, alam dan ciptaan saya tulis di dalam BSA begini,

‘Aqeel, jika kita tidak ambil peduli apa yang berlaku di China, itu adalah pandangan yang salah. Dunia ini hakikatnya wujud bukan independen, wujud kita mempunyai keterikatan dengan alam semesta, kait mengait. Dan dengan itulah baru cendiakawan China menuturkan, ‘langit dan bumi dan saya adalah daripada punca yang sama, sepuluh ribu benda dengan saya ialah satu jirim.’

Saya mempunyai keterikatan kuat dengan filem Avatar. Jika saya mempunyai duit yang banyak, beginilah visual BSA akan dipamerkan. Indah, harmoni, hijau dan mendamaikan. Ketika Jake Sully belajar menunggang kuda versi Pandora, saya juga telah menulis menunggang kuda versi Aphesus. Jake Sully saya dalam BSA ialah Taheri, seorang remaja berilmu teori tetapi kosong praktikalnya. Ayah Ji dalam BSA adalah Neftiri (guru Jake Sully) dalam Avatar.
“Ini Xoulzana untuk kamu, Ayah Ji akan menunggang Sembrani”.
“Saya tidak tahu menunggang”.
Nasr Munajji tersentak. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Pelajaran pertama menunggang kuda adalah dengan mengusap kepala Xoulzana”. Xoulzana mengelipkan mata. Hembusan nafasnya terasa hangat di tangan Taheri. Taheri takut-takut. “Pegang dulu, bak kata pepatah Melayu, tidak kenal maka tidak cinta”.
Nasr Munajji tidak berkata apa mendekati Taheri dan menunjukkan cara-cara untuk menaiki kuda. Taheri sedikit menggeletar bila berada di atas pelana. Taheri memegang tali kekang kejap. Tangannya berpeluh-peluh. Dahi memercik keringat, dada berdegup kencang. Taheri gugup.


Avatar dan saya begitu intim jadinya. Bila mana kuda dan burung tunggangan Neftiri (kaum Nav’i merangkap isteri Jake Sully) diberikan nama untuk memperihalkan akrab dan saling memerlukan, saya telah menulis dalam BSA begini,

Taheri masih ingat, dalam kuliah-kuliah Ayah Ji yang menerangkan tentang sejumlah besar hadith Rasulullah menceritakan tentang perhatian baginda berhubungan dengan haiwan. Rasulullah banyak mengkhususkan kepada kuda dan unta. Bagi Rasulullah mereka adalah teman yang setia “Rasulullah telah menjelaskan prinsip terbaik bagaimana berinteraksi dengan haiwan.”
Taheri mengalih pandang ke arah Nasr Munajji. Memasang telinga dengan sungguh-sungguh. Derap kaki kuda sedikit mengganggu butir bicara yang masuk.
“Dalam Mishkat al Masabih, disebut, ‘Jika seseorang didapati membunuh walau seekor burung tanpa sebab yang munasabah, apatah lagi hidupan lain, dia akan mengadap Allah di muka pengadilan”.
“Rasulullah menunjukkan dalam pengurusan dengan haiwan, kita perlu menunjukkan rasa hormat dan kasih. Rasulullah percaya haiwan adalah makhluk Allah yang perlu dilayan penuh bermaruah”.
dan bersifat hero untuk perjalanan jauh dan di dalam peperangan. Keldai Rasulullah berwarna putih di beri nama Dul Dul. Unta betina Rasul diberi nama Al Qaswah. Pemberian nama adalah lambang kasih.
Rasulullah menjumpai ketenangan yang mendalam dan hikmah dalam penciptaan haiwan sehingga mewariskan hadith, ‘Di dahi kuda, telah terhimpun kebajikan dan keredhaan sehingga hari kebangkitan’.

Saya tidak main-main bila mengredkan Avatar sebagai surprisingly speachless. Ia seolah-olah membaca puisi yang menangkap segala deria. Sehingga berpusat pada satu titik dan seterusnya memuji, MasyaAllah, Engkaulah yang mencipta manusia sehingga membolehkan manusia lain melihatMu melalui keindahan, kebijaksanaan, kesungguhan, kesenian.

Betul Avatar karya Hollywood yang terlalu banyak bahasa kapitalis dan penjualan budaya pop berlebih-lebihan. Pujian yang diberi meski keterlaluan, maafkan saya. Saya melihat dekat Avatar tertumpah demi kecintaan saya pada BSA (proses penciptaan BSA, derita yang tertumpah, kasih sayang terserlah, jiwa yang derita, pengkhianatan, simpati, empati, pengorbanan, nubari yang hilang, talian dipautkan) sesuatu yang bukan boleh tidak diendahkan.
Ya pujian saya pada Avatar mungkin bersifat peribadi. Tetapi tanyalah mereka yang telah menonton dan menilainya melalui akal rasio, James Cameroon sekali lagi telah menghidupkan jelmaan kejayaan Titanic dalam stail yang asli, out of this world (literal sebab dilatarkan di Pandora).
Saya menahan sebak dada dalam banyak syot dalam filem ini. Terutama tentang keindahan hutan dan keajaiban yang terkadung di dalamnya. Sorotan yang dihadiahkan oleh James Cameroon (pengarah filem) benar-benarnya mengujakan dan menjadikan novel BSA saya itu begitu kecil dan kerdil. Mungkin hanya sekecil benih Pohon Suci di dalam filem Avatar.

Saya puas menonton kerana kekuatan cerita dan juga falsafah yang terkandung dalamnya. Saya puas menonton kerana daya tariknya adalah sesuatu yang saya sendiri pernah cuba jelmakan dalam karya. Ya, saya hampir-hampir tewas mengalirkan air mata kerana keajaiban penceritaan. Dan filem ini benar-benarnya mengajar saya betapa perlunya saya menjadi pencerita yang baik, mempunyai visual yang cemerlang, konsisten serta paling penting berwawasan. Baru dengan itu saya dapat berkongsi dengan keikhlasan.

Saya akan baiki BSA, meski ia menjadi 400 muka lebih panjang. Moga-moga nanti, ia dapat dikongsi ramai.
Owh betul-betul, awak betul-betul mengenal saya.
Betul selepas skrin membariskan nama pelakon dan pemain belakang tabir dipancarkan dilayar, saya menepuk tangan kagum. Dan saya hanya keluar panggung bila semuanya telah kembali pulang dengan perasaan dan kenangan sendiri.
Saya?
Saya membawa pulang, jelmaan BSA di Pandora.


Akhir bicara, tontonlah Avatar. Ketepikan bias anda tentang manusia dan kesempurnaan ciptaan, ketepikan logik dan rasional. Sebagai sebuah filem, ia surprisingly amazing!





Sunday, December 27, 2009

Muharram ini bulan mengenang guru

Apa kaitan tajuk dengan kiub Rubik?
Kiub ini telah mengiringi lama sudah semenjak kecil sehinggalah sekarang. Percaya tidak bertahun-tahun, boleh dikatakan sudah lebih sedekad saya tidak pernah berjaya menyelesaikannya.
Kemudian saya menonton, Pursuit of Happiness yang memperihalkan cerita mengenai kiub ini.
Minggu cuti ini saya akhirnya berjaya menyelesaikannya.
Bagaimana?
Mudah sahaja, kerana saya mempunyai seorang guru.
Sebelum penutup tahun ini, saya diberi pesanan oleh seorang Profesor, kejayaan itu mudah jika kita tahu caranya. Kata-katanya itu pernah diucapkan kepada kami tahun 2007 yang lalu, diulang semula tahun ini dan saya mendapat cerah cahaya kata-katanya minggu ini.
Ya, saya kongsikan dengan awak. Kejayaan itu memang mudah jika kita tahu caranya. Dan saya berpendapat, dengan kehadiran guru yang mengajari kita depan berdepan adalah salah satu cara paling efektif dalam dunia.
Saya menyimpan keinginan menyelesaikan masalah kiub berdekad lamanya. Percaya diri untuk menyelesaikan secara logik tidak banyak membantu sebenarnya. Hanya pembelajaran efektif selama 3 hari telah membolehkan saya berjaya.
Ya Muharram ini telah membuatkan saya percaya, guru itu adalah pembina kejayaan tuntas. Dalam mengenang peristiwa pahit manis Muharam, saya diberi ilmu klasik yang akan ditanam kukuh dalam jiwa.
Bergurulah, dan carilah guru yang benar.
Moga 'mereka' akan membawa awak dan saya ke daerah penyelamatan.

p/s: guru kiub rubik saya adalah adik saya sendiri.

Wednesday, December 23, 2009

Rasulullah dan Copenhagen Summit 09

Sidang kemuncak Copenhagen 2009 membincangkan betapa perlunya negara-negara dalam dunia bersetuju untuk menghadkan pengeluaran karbon ke atmosfera untuk mengembalikan bumi dalam keadaan aman.

Soal saya, bumi tidak amankah?

Ya saya tahu itu soalan bodoh yang tidak patut dilayan.

Setiap orang yang sedar (tidak perlu Karam Singh Walia untuk menyedarkan), tahu yang bumi sudah begitu sakit sehinggakan dia tidak mampu untuk mengatur musim lagi.

Di Malaysia, kita sampai berhadapan dengan gelombang ke 4 untuk keadaan banjir. Di negara Barat, di musim salji ini kematian akibat kesejukan meningkat.
Kata bijak pandai, ketidakstabilan ini natural, tidak perlu dibimbangkan sangat.
Kata saya, ya sangat. Tak baca ayat Quran 'telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)' - Surah 30 Ayat 41.
Kalau bijak pandai tersebut bersetuju yang bumi sakit kerana keadaan semulajadi, persidangan di Copenhagen adalah satu persidangan yang meng'abihkan boreh.' Kerana tahu, keadaan cuaca yang melampau tidak menentu ini bersabit dengan kesalahan kita mencemar dan mengotorkan bumi, maka persidangan itu berlangsung. Tujuan, untuk mendapatkan satu keputusan secara kolektif antara ahli-ahli negara dalam dunia untuk membaik pulih apa yang telah kita rosakkan.
Kata PM, negara Barat tidak serius dalam membuat keputusan ini kerana hanya memperuntukkan beberapa billion dolar untuk memulih alam sekitar. Seharusnya lebih duit disuntik menunjukkan kita serius menangani masalah yang semangat jelas terasa dan bahangnya kian panas.
Penyelesaian dunia adalah RM, wang ringgit. Kita melihat masalah persekitaran telah pun menjadi komoditi untuk dipugar oleh kapitalis yang rakus untuk mengaut untung atas kesusahan orang lain. Dalam kes ini, kesusahan bumi sendiri.
Saya kira Michael H Hart ketika menulis 100 Most Influential People tertinggal satu kriteria, iaitu pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang mengambil kira tentang ekologi dan pembangunan persekitaran mapan untuk menjamin kesihatan bumi untuk beribu-ribu tahun lagi. Rasulullah lama sudah telah melihat masalah ini. Dan kerana Hart tertinggal kriteria ini, Rasulullah jarang dikenal sebagai environmentalis avant la lettre. Makna lain, iaitu sebagai perintis dalam pemuliharaan, pembangunan mapan dan pengurusan sumber alam.
Rasulullah mengajar kita mudah sahaja. Tidak perlu guna duit sangat pun, jika kita ikhlas. Dan kalau kita ikut Rasulullah sejak 1400 tahun yang lalu, kita tidak perlu berbelanja berbillion-billion ringgit kerana untuk membaikki segala kerosakkan akibat bencana alam.
3 prinsip yang diajar Rasulullah mudah. Sidang Copenhagen patut mempertimbangkan secara serius penyelesaian masalah secara tuntas yang diajari Rasulullah. Pertama ialah tawhid (unity), kedua khalifah (stewardship) dan ketiga amanah (trust).
Prinsip pertama, meletakkan Allah sebagai pencipta Mutlak, dan manusia bertanggungjawab atas segala tindakkannya. Iaitu dengan mengambil kira bahawa 'kepada Allah kepunyaan apa yang ada di langit dan dibumi, segalanya adalah milik Allah (4:126)' maka melanggar batas atau menodai ciptaanNya, baik yang manusia hidup atau sumber alam adalah satu perbuatan DOSA. (dengan kata lain, dosa membawa ke neraka tau!)
Kedua dan ketiga, prinsip khalifah dan amanah. Prinsip ini tidak akan dapat difahami sepenuhnya jika masih belum menghayati tawhid, prinsip pertama. Maksudnya, tawhid adalah asas kemudian baru datang perihal khalifah dan amanah.
Khalifah bahasa mudahnya ialah tok wakil. Wakil rakyat ialah agen kepada rakyat. Khalifah bi makna, agen kepada Allah. Menjadi agen bukan jawatan boleh dibangga-bangga kerana ia tidak datang percuma, ia datang dengan amanah. Sebagai agen, kita bukan sahaja bertanggungjawab atas maslahat umum manusia, tetapi semua penciptaan Allah yang ada antara langit dan bumi. Dalam Al Quran, Allah malah menganggap burung-burung sebagai bangsa seperti manusia yang perlu diambil berat keperluan dan kebajikan mereka (6:38).
Masalah besar kita ialah, ramai manusia tidak menganggap sumber sebagai amanah. Tetapi sebagai bahan modal untuk diperdagangkan. Asal boleh jadi duit, mereka sanggup buat apa sahaja walau bahan taruhannya ialah bumi tempat kediaman mereka sendiri.
Kalau nanti, apa yang divisualkan dalam The Day After Tomorrow dan 2012 jadi kenyataan, jangan salahkan sesiapa melainkan diri kita sendiri kerana Rasulullah telah lama berpesan, tapi manusialah yang mahu mengambil jalan lain.
Saya? Owh, alhamdulillah, artikel ini ditulis setelah selesai sudah saya menganjurkan aktiviti kitar semula ditempat saya. Anda bila lagi?
(idea diangkat dari rencana Prophet Muhammad: A Pioneer of the Environment oleh Francesca De Chatel)

Friday, December 18, 2009

Azam Muharram


Al Kuliyyah petang ini (masih berlangsung ketika saya menaip) membuat saya sedar peri penting menanam azam. Bukan sekadar menanamnya pada awal tahun baru sahaja, tetapi hendaklah berazam di akhir tahun nanti kita dapat mengutip hasilnya. Seperti kata Covey (1989) dalam bukunya, 7 Habits of the most Effective People (lebih kurang la...bukannya hafal pun) Begin with end in mind. Kita tanam azam hari ini, moga nanti menjadi hamba Allah yang bertaqwa. InsyaAllah.

Satu - seperti entri sebelumnya saya berazam untuk menjadi orang yang gemar menolong (tentunya untuk jalan kebaikkan). Dan membuatnya kerana Allah, seikhlasnya.

Dua - Kurang berkira (tidak berkira langsung mungkin payah :). Barangkali saya perlu meletakkan calculator saya jauh-jauh, agar kurang menekan nombor-nombor dan tanda tambah, tolok, darab dan bahagi. Supaya setiap amal nanti tidak sirna kerana terlalu sangat mahu menghitung hasilnya. Tahun lepas dan tahun ini sekali lagi saya menyaksikan mukjizat bahawa berbuat sesuatu tanpa mengira, Allahlah yang menjadi penghitungnya. Jika kita berasa dianiaya dan diperosok jauh ke dalam tanah, bila mana manusia lain mahu menanam kita hidup-hidup supaya tidak dikenal, Allah nantinya akan menghantar malaikat mengeluarkan dan menerbangkan kita ke langit-hingga dapat mencapai bintang.

Tiga - mengurangkan mengadu-adu tentang lara dan pedih hati. Dalam Al Kuliyyah, Ustaz Razi berpesan, orang yang selalu mengadu dan berkeluh kesah, mereka adalah golongan berpotensi untuk tidak bangkit untuk bangun berqiamulail. Kerana mereka telah puas hati melepaskan apa yang berbuku untuk didengari manusia. Pada mereka yang menyerap segala ujian kesusahan, kesedihan dan kehilangan dengan senyum dan lapang dada, mereka akan merasa tidak sabar untuk berjumpa Allah pada malam hari. Kerana dia pasrah berserah, dan yakin Allah Yang Maha Mendengar. dan padaNyalah tempat pengaduan paling hak.

Empat - mahu jadi orang baik :) (huhu, saya tahu saya bukannya baik sangat). Kata Rhonda Byrne 'like attracts like'. Saya mahu orang baik dan ikhlas disekeliling saya, rajin berusaha dan adil dalam bertindak (banyaknya permintaan...). Kalau saya mahu mereka mengorbit kehidupan saya, saya sendiri perlu menjadi dulu seperti itu, bukan?

Sudah tanam azam? Marilah berusaha, ingatkan saya nanti bila saya lupa. Tahun depan, kita sama-sama mengutip hasilnya ya?

Salam Maal Hijrah.





Thursday, December 17, 2009

Hijrah Ini

Hijrah ini mengajar banyak perkara.

1. Termaktub dalam Sunnah
Ya, berpindah itu Sunnah. Segala kebaikkan dalam perpindahan itu harus difahami, satu persatu. Agar tidak salah mentafsir. Rasulullah mengajar sunnah berpindah itu wajib demiNya. Berjalan beratus-ratus kilometer itu sunnah meski terpaksa meninggalkan segala: rumah, harta benda, saudara, tanah, jati diri. Ketika orang Makkah berpindah ke Madinah, modal permergiannya kosong tapi hati penuh harapan pada Tuhan. Hijrah itu wajib, tujuan untuk menegakkan agamaNya yang hak. Itu sahaja, iaitu untuk mengEsa hanya Sa. Noktah.

2. Bahawa manusia itu tidak semua lurus hati

Saya baru faham, kadang-kadang orang memakai label dan pakaian orang soleh, supaya orang lain melihat mereka suci dan penuh kebaikkan. Sedangkan hati mereka penuh kesumat dan prasangka. Hati yang sepatutnya putih mereka hitamkan dan biarkan ia berbau seperti bangkai. Setiap hari mereka berjalan tunduk, kata orang mereka tawaduk. Tetapi satu hari Allah dengan kebesaranNya, dengan kehendakNya jika Dia mahu menunjuk, Dia akan membuka satu persatu. Waktu itu pakaian hormat akan tanggal, aib akan terbuka. Tetapi aneh, mereka tetap tidak mahu mengaku salah dan berubah.


Soal saya: untuk apakah mereka kekal berpakaian seperti orang soleh?

Doa saya: Agar Allah sentiasa membisikkan pesanan, untuk sentiasa menjadi orang yang lurus dalam jalanNya, meski dunia melihat saya orang yang dalam kerugian. Dan saya sungguh-sungguh untuk mendoakan awak juga.


3. Kemenangan itu hanya manis dengan direstui langit

Allah itu Maha Adil. Itu adalah fondisi (foundation) agama. Saya percaya begitu. Dalam agama, adil itu rukunnya. Hanya dengan itu keharmonian sosial dapat tertegak. Tetapi orang yang adil selalu dimusuhi. Allah tidak menilai manusia dengan merit senioriti, kekayaan, pengaruh, kekuasaan. Allah hanya menilai dengan merit taqwa. Hanya orang bertaqwa meletak adil sebagai prinsip hidupnya. Hanya taqwa boleh menjadi kekuatan orang adil, lain tidak. Lillahi ta'ala. Orang adil biasanya teraniaya, diambil kesempatan kerana adilnya dia. Dimusuhi kerana dia tidak akan bertindak atas suara majoriti. Yang benar tetap benar yang salah tetap salah. Dia tidak kisah tidak popular. Dia tidak kisah dipulaukan. Tetapi Allah memandang. Dia Melihat dengan kasih. Dan Dia menganjari dari jalan yang tidak disangka. Melalui jalan magis.

4. Kita pasti berpindah

Muharram adalah tarikh hijrah kakak saya ke alam kekal. Sejarah menulisnya begitu. Saya akan terus menangisi Muharram. Ia adalah bulan tangisan. Ia bulan berkabung. Saya selalu berharap dia masih ada menemani saya, mendengar keluhan dan kepayahan. Bercerita tenta suka, dan gelak ketawa. Tetapi saya seharusnya insaf, kakak saya lebih adil berada di sana. Kerana Allah mahu mententeramkan jiwa dan hatinya. Agar dia tidak lagi bersedih, agar dia tidak lagi berduka. Muharram ini, langit sudah menurunkan kesedihan mencurah-curah. Mengusik hati untuk berkabung. Ia adalah bulan pemisah antara batil dan hak. Akhir nanti kita akan berpindah, ke alam baqa'. Itu yang lebih pasti.

Monday, December 14, 2009

Wajah kebaikan

Cuba awak tutup mata fikirkan untuk sekejap. Siapakah yang anda jelmakan dalam minda dengan wajah kebaikan? Ada? Jika tidak, cuba fikirkan di sekeliling awak kawan-kawan yang suka menolong. Ada?

Saya ada seorang. Dia sangat suka menolong. Jika awak sudah menonton Tinker Bell and the Lost Treasure, awak mesti tahu ada satu watak peri(lelaki) bernama Terrance. Kawan saya itu seperti Terrance. Dia sangat suka menolong, tetapi rakan saya ini lebih hebat dari Terrance kerana dia tidak memilah-milah dalam membuat kebaikkan. Bila mana ada orang memohon pertolongan, sekiranya dia mampu melakukan dia akan lakukan dengan senang hati dan rela. Malah satu lagi ciri hebat dalam dirinya ialah, dia akan melakukan yang terbaik malah paling baik seolah-olah dialah yang diemban dengan pertanggungjawaban tugas. Sedangkan dia ada di situ sebagai seorang penolong, penolong yang setia.
Saya kelaskan dia sebagai seorang yang polos tetapi comel. Mungkin orang lain beranggapan dia lurus kerana tidak berkira. Saya menganggapkan dia punya kelebihan kerana tidak berkira. Malah itulah kelebihan paling ulung.
Seperti Nabi, Nabi tidak berkira. Jika Nabi dan Rasul berkira dengan umatnya, kita akan ditimpa malang berulang.
Mengapa saya memandangnya sebagai kelebihan, kerana kawan saya itu sering dipuji orang. Jarang sekali saya mendengar kata-kata yang tidak baik mengenainya. Segala-galanya baik. Maka dia mendapat kelebihan yang orang lain tidak dapat, doa yang diapung secara tidak sengaja ketika puji-puji dilimpahkan kepadanya, meski dia tidak pernah tahu orang memuji.
Saya tidak mempunyai ciri yang ini. Saya malah sering berkira-kira. Berkira-kira tentang kerja, tentang mahu mencurahkan keringat menolong, tentang beban tugas, tentang segala-galanya.
Saya memandang rakan saya itu dengan insaf. Ya, ramai yang menganggapnya lurus kerana kebaikkan dan keseronokkan dia dalam menolong orang jarang sangat mendapat balasan materi dan ganjaran. Malah mencuri masa dia dalam menyelesaikan sesuatu yang lebih penting untuk dirinya.

Semalam saya telah melihat manifestasi keadilan Tuhan kepada dirinya. Itu yang menginsafkan saya. Orang yang tidak berkira, Tuhan yang lebih layak menganugerahkan ganjaran padanya. Kerana Tuhan itu memilih, keadilan Tuhan itu teratas. DIA akan menunjukkan pada masa yang tepat dan pada mereka yang suka merenung, akan dapat melihat magis ini.
Semalam Allah telah menakdirkan cerita kawan saya yang tidak pernah berkira dan suka menolong orang, dipaparkan di dalam dada akhbar. Satu catatan sejarah yang tidak boleh diubah-ubah. Namanya dipaparkan di situ harum semerbak seantero negeri. Berita yang ditulis dalam akhbar adalah aset kepada kami. Lebih-lebih lagi ia menceritakan tentang kejayaan.
Bagi saya, berita yang saya baca bukan menceritakan tentang kejayaan tetapi sebaliknya tentang kebaikkan. Cerita mengenai seorang rakan yang ikhlas membantu. Dengan tujuan untuk meringankan beban orang yang sedang dalam kesempitan dan susah. Saya sangat bangga menjadi sebahagian dari saksi cerita kebaikkan ini, kerana sayalah orang sempit dan susah yang ditolongi dia.
Saya insaf. Orang yang berkira sering meminta ganjaran dan dibalasi. Dia akan dibalaskan dengan apa yang mereka mahu dalam bentuk fizikal. Kemudian selepas itu apa? Ya, kemudian selepas itu apa.
Saya bersyukur kerana dapat menyaksikan keajaiban Tuhan sekali lagi. KeadilanNya Maha meluas dan tidak terjangkau dalam fikiran. Tepat selalu mencengangkan. Langitlah yang memuji golongan yang mereka kelaskan sebagai lurus dan polos ini. Hanya langit yang dapat menilai kebaikkan mereka dan kemudian menganjari dengan puji-pujian penghuninya tiada henti-henti.
Saya insaf. Saya juga mahu diganjari seperti itu. Tidak mengapa saya disakiti. Sakit badan dan hati orang menyakiti apalah mahu disamakan dengan puji-pujian penghuni langit? Terlalu besar bedanya bukan?
Subhanallah. Ini bulan DzulHijjah, Tuhan melimpahkan kebaikkan dengan manifestasi kebaikkan yang sejati. Allah menganugerahkan saya menjadi saksi, maka saya saksikan. Ia bulan yang baik untuk menginsafi, kerana saya boleh menanam azam yang baru nanti di Muharram ini, di hari Jumaat penghulu segala hari.
Ya, saya berazam untuk tidak menjadi orang yang berkira, hari ini baru saya faham. Orang yang tidak berkira hanya langit paling layak melimpah balasan untuk mereka. Saya berazam untuk tidak menjadi orang yang tidak terlalu berkira, kerana hari ini saya percaya Tuhan itu Maha Melihat dan Mendengar. DIAlah pemelihara hambaNya dengan keadilan. Saya percaya itu, semoga saya akan menjadi manusia yang baru, Muharram ini. Ya! Muharram ini.
Doakan saya. Dan saya juga akan selalu doakan awak.

Sunday, December 13, 2009

Puncak Alam

Ini bukan tempat peranginan, tetapi sebuah kampus yang dibina di Puncak Alam Selangor. Pemandangannya sangat indah dan mempersona. Kampus dan pemandangan diadun sekali menjadikan ia sebagai tempat menimba ilmu juga boleh jadi mencari ilham. Saya berada di sini dengan tekanan selama 5 hari, jadi tidak dapat menghayati. Saya ingin lagi ke sini, untuk menyaksikan keindahannya sepenuh hati.
Bila tiba di Puncak Alam, pada waktu pagi ketika matahari naik dan memerhatikan garis-garis cahaya menembusi awan, ia sungguh segar dan aman. Berdiri di sisi jalan, melihat hutan terbentang luas dan masih belum diusik seolah-olah dapat mendengar alam berbicara. Satu hari nanti, saya akan ke mari insyaAllah (sebelum tu kena beli kamera dulu bukan?)

Friday, December 11, 2009

Kembali semula untuk apa?

Saya kembali, setelah selesai mengambil peperiksaan PTK yang boleh mencederakan otak dan emosi. Entah kenapa ya, kita selalu mendesak diri sendiri ke tahap yang kadangkala diri tidak mampu menanggung, tetapi kita teruskan juga.
Kata dia orang mahu memperbaiki diri.
Sedangkan mereka mahu anjakan gaji.
Kata dia orang untuk usaha diberkat,
Sedangkan tujuan mereka untuk naik pangkat.
Saya berfikir, kenapa saya juga terheret dalam kancah yang sama? Bukankah saya melihat dari dimensi yang lain. Tetapi saya ikut juga.
Kesimpulan 5 hari yang saya lalui, ia sangat BERAT dan MENEKAN.
Lalu saya ingat kembali tagline yang ditulis dalam blog rakan,
Yang berat itu perlu dipikul, Punyakah kudrat untuk kita memikul? Apa perlunya jika yang dipikul tidak berharga?
Saya benar-benar terasa saya sedang memikul sesuatu di bahu saya. Tidak nampak tapi ia berat. Bagaimana saya tahu di bahu saya berharga atau tidak?
Ya Allah, adakah saya sudah menjadi sama seperti mereka?

Thursday, December 03, 2009

3 Tiga

1 Ditawan orang Jepun
Melihat di ruangan komen, saya jadi hairan. Kenapa begitu ramai orang Jepun memberi komen di entri Infiniti? Adakah interface saya yang memaparkan tulisan Jepun, hakikat sebenar tulisan Rumi biasa? Cerahkan saya :)
2 Jatuh sakit tiba-tiba
Tiada angin ribut tiba-tiba sahaja tidak boleh bernafas. Langkah kaki jadi terhad. Pemikiran kabur. Akhirnya saya meminta kawan menghantar saya ke rumah. Takut kalau tumbang ditempat yang tidak sepatutnya. Betulah, nikmat sihat hanya akan kita hargai bila kita sakit tidak berdaya untuk buat apa-apa.

3 Serangan intelektual
Bila mana kita berada di daerah kreatif atau produk intelektual, yang paling ditakuti ialah bila membincangkan tentang idea ada orang mengambil kesempatan dan mahu mencurinya. Lalu kita akan jadi begitu berhati-hati, tetapi agak merisaukan jika orang yang tidak bersih hatinya mahu menggunakan jalan hitam. Kita perlu buat apa? Banyak-banyak berdoa agar tidak terkena hasad dan dengki orang lain. Hidup ini hanya sekejap sahaja bukan?