Wajah kebaikan

Cuba awak tutup mata fikirkan untuk sekejap. Siapakah yang anda jelmakan dalam minda dengan wajah kebaikan? Ada? Jika tidak, cuba fikirkan di sekeliling awak kawan-kawan yang suka menolong. Ada?

Saya ada seorang. Dia sangat suka menolong. Jika awak sudah menonton Tinker Bell and the Lost Treasure, awak mesti tahu ada satu watak peri(lelaki) bernama Terrance. Kawan saya itu seperti Terrance. Dia sangat suka menolong, tetapi rakan saya ini lebih hebat dari Terrance kerana dia tidak memilah-milah dalam membuat kebaikkan. Bila mana ada orang memohon pertolongan, sekiranya dia mampu melakukan dia akan lakukan dengan senang hati dan rela. Malah satu lagi ciri hebat dalam dirinya ialah, dia akan melakukan yang terbaik malah paling baik seolah-olah dialah yang diemban dengan pertanggungjawaban tugas. Sedangkan dia ada di situ sebagai seorang penolong, penolong yang setia.
Saya kelaskan dia sebagai seorang yang polos tetapi comel. Mungkin orang lain beranggapan dia lurus kerana tidak berkira. Saya menganggapkan dia punya kelebihan kerana tidak berkira. Malah itulah kelebihan paling ulung.
Seperti Nabi, Nabi tidak berkira. Jika Nabi dan Rasul berkira dengan umatnya, kita akan ditimpa malang berulang.
Mengapa saya memandangnya sebagai kelebihan, kerana kawan saya itu sering dipuji orang. Jarang sekali saya mendengar kata-kata yang tidak baik mengenainya. Segala-galanya baik. Maka dia mendapat kelebihan yang orang lain tidak dapat, doa yang diapung secara tidak sengaja ketika puji-puji dilimpahkan kepadanya, meski dia tidak pernah tahu orang memuji.
Saya tidak mempunyai ciri yang ini. Saya malah sering berkira-kira. Berkira-kira tentang kerja, tentang mahu mencurahkan keringat menolong, tentang beban tugas, tentang segala-galanya.
Saya memandang rakan saya itu dengan insaf. Ya, ramai yang menganggapnya lurus kerana kebaikkan dan keseronokkan dia dalam menolong orang jarang sangat mendapat balasan materi dan ganjaran. Malah mencuri masa dia dalam menyelesaikan sesuatu yang lebih penting untuk dirinya.

Semalam saya telah melihat manifestasi keadilan Tuhan kepada dirinya. Itu yang menginsafkan saya. Orang yang tidak berkira, Tuhan yang lebih layak menganugerahkan ganjaran padanya. Kerana Tuhan itu memilih, keadilan Tuhan itu teratas. DIA akan menunjukkan pada masa yang tepat dan pada mereka yang suka merenung, akan dapat melihat magis ini.
Semalam Allah telah menakdirkan cerita kawan saya yang tidak pernah berkira dan suka menolong orang, dipaparkan di dalam dada akhbar. Satu catatan sejarah yang tidak boleh diubah-ubah. Namanya dipaparkan di situ harum semerbak seantero negeri. Berita yang ditulis dalam akhbar adalah aset kepada kami. Lebih-lebih lagi ia menceritakan tentang kejayaan.
Bagi saya, berita yang saya baca bukan menceritakan tentang kejayaan tetapi sebaliknya tentang kebaikkan. Cerita mengenai seorang rakan yang ikhlas membantu. Dengan tujuan untuk meringankan beban orang yang sedang dalam kesempitan dan susah. Saya sangat bangga menjadi sebahagian dari saksi cerita kebaikkan ini, kerana sayalah orang sempit dan susah yang ditolongi dia.
Saya insaf. Orang yang berkira sering meminta ganjaran dan dibalasi. Dia akan dibalaskan dengan apa yang mereka mahu dalam bentuk fizikal. Kemudian selepas itu apa? Ya, kemudian selepas itu apa.
Saya bersyukur kerana dapat menyaksikan keajaiban Tuhan sekali lagi. KeadilanNya Maha meluas dan tidak terjangkau dalam fikiran. Tepat selalu mencengangkan. Langitlah yang memuji golongan yang mereka kelaskan sebagai lurus dan polos ini. Hanya langit yang dapat menilai kebaikkan mereka dan kemudian menganjari dengan puji-pujian penghuninya tiada henti-henti.
Saya insaf. Saya juga mahu diganjari seperti itu. Tidak mengapa saya disakiti. Sakit badan dan hati orang menyakiti apalah mahu disamakan dengan puji-pujian penghuni langit? Terlalu besar bedanya bukan?
Subhanallah. Ini bulan DzulHijjah, Tuhan melimpahkan kebaikkan dengan manifestasi kebaikkan yang sejati. Allah menganugerahkan saya menjadi saksi, maka saya saksikan. Ia bulan yang baik untuk menginsafi, kerana saya boleh menanam azam yang baru nanti di Muharram ini, di hari Jumaat penghulu segala hari.
Ya, saya berazam untuk tidak menjadi orang yang berkira, hari ini baru saya faham. Orang yang tidak berkira hanya langit paling layak melimpah balasan untuk mereka. Saya berazam untuk tidak menjadi orang yang tidak terlalu berkira, kerana hari ini saya percaya Tuhan itu Maha Melihat dan Mendengar. DIAlah pemelihara hambaNya dengan keadilan. Saya percaya itu, semoga saya akan menjadi manusia yang baru, Muharram ini. Ya! Muharram ini.
Doakan saya. Dan saya juga akan selalu doakan awak.

Comments

ieka said…
sis, bagusnya.. ramai org yg baik2 di sekeliling awak.. yang boleh membantu dan boleh dinilai.. berada di sekeliling orang2 baik ni kan satu rahmat.. dan dapat hidayah (utk berubah jadi lebih baik atau sebaik mereka) itu pula satu anugerah dr ArRahman.

mungkin hubungan kita dengan manusia ni berdasarkan 'reverse effect' juga kot.. i have been always feel good about your comment as well.. :)
asal said…
reverse effect? care to xplain...:)
NorziatiMR said…
Dua tiga hari kebelakangan ini, saya berhenti menolong kerana terasa penat. Nikmat pertolongan itu kurang terasa, hati jadi sakit, penat usah cakaplah. Saya berhenti menolong dan menjeir kepadanya supaya buat dan sudahkan sendiri. Saya penat.

Sesudah memaca entri ini, barulah saya sedar kenapa saya kurang 'rasa' nikmat menolong. Niat saya supaya menolong diganjari Tuhan, diganjari Tuhan, diganjari Tuhan. Say amahu dilihat baik dan bagus, dilihat rajin dan bagus, dilihat pandai dan bagus.

Maka Tuhan menahan segala nikmat itu dilangit, sehingga saya lelah dengan manusia.

Saya insaf
NorziatiMR said…
Pembetulan:

*saya berhenti menolong dan menjerit kepadanya supaya buat dan sudahkan sendiri. Saya penat.
ASaL said…
satu hari saya melihat mata letih dan lesu rakan yang penuh wajah kebaikkan, saya tahu dia penat. saya tahu penat dia kerana saya pernah melalui jalan yang sama. ketika mata lelah itu saya tenung, ketika itulah hati saya mengapung doa 'Ya ALlah, permudahkanlah jalanNya'. Saya bersyukur Allah datangkan dia pada saya ketika saya lupa benar apakah nikmat ikhlas. Bila saya telah alpa tentang tiada untungnya terlalu berkira. Tiada ruginya kalau kita mempermudahkan jalan orang lain. Kawan saya yang penuh wajah kebaikkan itu telah membuatkan saya faham, bila mana orang meminta tolong itu adalah nikmat. kerana kita tahu kita adalah peringan beban, pemberi nafas, membuat suasana ripuh jadi aman, ruang sempit menjadi luas. Saya berharap, ada orang juga mendoakan saya dengan detik hati, bila melihat wajah dan mata lesu saya. Kerana diakhir nanti, balasan materi itu tidak pernah menjadi penting kepada saya. kerana nanti saya akan menuntut, doa-doa mereka yang diapungkan ke langit dengan ikhlas, sebagai perisai, sebagai peguam pembela yang menjadi saksi atas segalanya.
Betul, rakan saya itu benar-benar telah menjadikan saya insaf.

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?