Saturday, January 23, 2010

Allah itu baik sangat pada kamu


Ada orang meneka bahawa saya sangat suka bulan kerana tajuk cerpen yang diangkat mempunyai perkataan bulan. Tidak, saya bukan suka bulan sahaja tetapi segala pergerakkan kosmik yang berlaku di langit. Termasuk juga cuaca. Peredaran malam dan siang. Secara peribadi, saya selalu melihat perubahan yang berlaku sebagai petanda. Ada orang kata saya romantik kerana selalu rasa terkesan dengan alam. Bukan, saya tidak romantik, tetapi percaya apa yang berlaku ialah sebenarnya adalah tanda kebesaran. Tuhan redha dan meredhai boleh dikesan dengan tanda-tandanya yang berlaku di langit (cloud (dalam awan): nampak sangat romantik).

Dunia untuk saya ceritanya begini, semenjak sekolah ke universiti hingga bekerja selalu sahaja menunjukkan bahawa dunia ini menyebelahi orang yang tidak adil, tempat pengampu dan pengambil kesempatan. Di sekolah kita selalu dibuli oleh mereka yang lebih besar dan kaya. Kadang-kadang kita disuruh menggantikan tempat mereka sewaktu membersihkan kelas dan meniru kerja rumah. Di universiti begitu juga. Ramai pengambil kesempatan selalu mahu meniru assignment yang kita buat dengan susah payah. Hasilnya, si peniru-peniru ini mendapat markah lebih. Kalau kita tidak membenarkan mereka kata kita ini pengkhianat, suka melihat kawan jatuh dan sebagainya. Sama sahaja ketika ujian dan peperiksaan, mereka memaksa kita supaya menulis besar-besar dan meletakkan di sudut yang boleh dilihat mereka. Percayalah, sewaktu awak ke tempat kerja nanti begitulah juga akan jadi nanti. Laporan yang dibuat akan diletakkan nama si penindas dan pengampu. Kita seolah-olah sebagai pencacai yang tiada harga diri. Itu semua buat kita terfikir, dunia ini adalah untuk orang yang tidak adilkah?

Saya juga berfikir begitu. Kerana selalu sahaja kami mengalami keadaan tertindas dan penganiayaan. Sehinggalah saya berjumpa dengan kata-kata ini,

'Dunia adalah negeri kebenaran bagi yang membenarkannya. Negeri keselamatan yang mengetahui tentangnya. Negeri kekayaan yang mengambil bekal darinya. Tempat turunnya wahyu Allah swt. Tempat solat para malaikatNya. Masjid para Nabi Nya. Dan tempat jual beli para wali Nya. Mereka beruntung dengan mendapatkan rahmat darinya dan di dalam mereka mengharapkan syurga'
Ali Ahmad Maleya - dalam buku Al Quran Rahsia Terunggul

Dengan maksud bahawa dunia dan kekayaan tidak pernah diciptakan Allah untuk orang-orang kafir dan zalim. Pewaris yang sebenar adalah pada mereka yang menciptakan kemakmuran di alam dunia ini hanya untuk hamba-hambaNya yang beriman. Apa yang kita lihat dan alami hari ini adalah pemindahan status, sehingga kaum-kaum kafir, zalim dan penindas ini yang mengecapi kekayaan dan keamanan dunia. Kenapa? Kerana kaum beriman, pencinta adil, pejuang kebenaran telah merelakan terjadinya ketidak adilan ini. Kita telah tunduk di hadapan orang-orang kafir dan zalim serta menurut kehendak mereka.

Hakikatnya, pewaris kekal adalah pejuang keadilan. Kerana kita selalu melupakan, bahawa di bumi inilah juga diturunkan Al Quran. Bukankah Al Quran itu Al Furqan, pemisah antara hak dan batil. Bukankah Al Quran itu diturunkan untuk memenangkan Nabi? Memenangkan sewaktu pertabalan Kenabian dan Kerasulan, juga untuk memenangkan Nabi sepanjang zaman dan waktu? Janji Al Quran, yang hak akan memenangkan batil. Saya percaya. Awak?


Kerana itu saya selalu melihat tanda-tanda keredhaan Allah di langitNya.

Masih ingat lagi cerita saya tentang satu majlis menjemput Sultan datang merasmikan satu majlis forum di tempat kami? Hari itu Allah Yang Maha Baik itu telah menunjukkan tandaNya. Forum itu berlangsung pada sebelah petang. Namun pada pagi sehingga ke tengahari, Allah memerintahkan awan melindungi langit. Telah diberiNya cuaca yang redup dan aman. Sehingga kami tidak merasa lelah pun bekerja. Sehinggalah Sultan datang dan berlangsungnya forum. Meski di tengah-tengah forum hujan lebat mencurah, tetapi sekali lagi Allah membicarakan tentang redha. Sebaik sahaja selesai forum dan Sultan perkenan berangkat untuk santapan, hujan telah berhenti.

Bukankah langit juga meninggalkan tanda sewaktu kelahiran Nabi? Buruj Leo dan Libra pada masa itu tersusun dalam kedudukannya sejajar. Tanda bahawa Nabi itu adalah Nabi yang amat berani dan menebarkan keadilan hak maghrib wa masrik (timur dan barat).

Saya sebagai pemain kecil dalam majlis ini tersenyum. Langit juga berbicara dan mahu memberi tanda dalam majlis ini. Dalam hati saya kembang. Mahu sahaja saya mengucapkan terus pada sang rafiq yang berusaha 'Lihat, Allah itu amat baik pada kamu." Tetapi saya simpan, bukan semua suka untuk berkongsi perasaan romantik saya yang mengada-ngada ini :)
Langit, bulan, bintang, kosmik, cuaca segala adalah tandaNya bagi orang yang mahu melihat. Pada orang yang mahu membaca. Kerana tanda itu perlu dibaca, baharu ia boleh memberi makna. Seperti kita membaca tanda ketika memandu di jalan. Tanda itu tidak bermakna apa-apa jika kita tidak melihat dan memahamkan maknanya, kan.

Saya suka bersahabat dengan alam, kerana saya percaya Iqra' ayat yang diturunkan bukan sahaja penegasan untuk membaca teks. Ia adalah penegasan untuk kita membaca alam dan juga sejarah. Di situ ada tanda, di situ tempat refleksi untuk melihat dan merasa...kebesaranNya.

Saya teringat, ketika usai menyelesaikan program OBE lama dulu, sewaktu menghantar pulang guru lewat petang dan ketika dia menghadiahi saya senyum, saya memandang langit. Saat itu hujan renyai dan langit...dihiasi pelangi.

Ah, benar Allah itu Maha Baik.

Bumi ini diwarisi pada para pejuang keadilan.

saya mahu menjadi pewaris. Awak?


3 comments:

ieka said...

Langit, bulan, bintang, kosmik, cuaca ... mengingatkan saya tentang perbicaraan hangat kita lebih setahun yg lalu. begitu cepat masa berlalu.. Tiba2 teringat.. apa khabarkah HAM? :D

ASaL said...

bila teringat tentang itu, saya juga mahu kata, "Allah itu baik sangat pada kamu juga :)"

Ya, apa khabar dia ermm...

NorziatiMR said...

Ya, Allah itu baik sangat pada kamu. Jadi, bersangka baiklah kepadanya selalu