Hujan di Kuala Lumpur


Dua hari lepas, saya berjalan di Kuala Lumpur. Ia bukan kota yang asing. Bagi ramai orang, ia seolah sebuah kota yang punya banyak harapan. Semua mahu berada dan bergerak dalam denyut nadi KL, kerana ia memberi nilai tambah pada mata dan telinga orang yang mendengar. Bila orang bertanya dan kalau mampu menjawab seperti ini, "saya bekerja di Kuala Lumpur", pandangan mereka akan jadi lain. Ada satu stigma superior dalam segala hal yang bersangkutan dengan Kuala Lumpur.

Ya, saya suka KL. Ia adalah kampung, saya lahir di sini. Setiap jalan dan lorong ada nuansa romantika di hati. Setiap jalan mengandungi makna dan cerita. Salah satunya kerana Kuala Lumpur adalah sebuah kota peradaban. Dalamnya ada bangunan tinggi yang megah, setiap inci yang menjadi tarikan pelancong akan dihias dengan landskap pokok dan hidupan, segala brand terhebat di dunia terhidang dan dapat dicapai dengan mudah.

Saya rindu KL kerana ia adalah kota peradaban. Kerana begitu buruk KL di mata orang, ia tetap menyimpan toko-toko buku dengan judul yang berbagai rencam, orang arif berilmu yang sentiasa berwacana untuk membentuk ideal tamadun, setiap inci dan lorong adalah kehidupan dinamik yang bergerak. Jarang melihat orang yang statik di sini, melainkan peminta sedekah yang sudah buntung kaki, atau orang gila yang berjalan perlahan dengan pakaian lusuh tidak pernah berganti, atau peniaga kiosk kecil di kaki lima yang kepenatan mencuri rehat dengan terlelap sebentar bertupangkan lengan.

Dua hari lepas saya berada di sana. Memang KL kampung saya tetapi saya tidak bekerja di sini. Jadi setiap kali dapat menjejak kaki, saya seperti perantau yang pulang ke desa. Sebagai seorang perindu, sudah tentu saya perlu menziarah. Kerana itu jika berada di daerah sini, saya memilih untuk tidak menaiki kenderaan sendiri. Saya akan menaiki kenderaan awam, meski terpaksa bersesak dengan orang lain. Meski terpaksa bertoleransi dengan bau-bauan dari orang lelah yang keluar bekerja. Hangit, masam, bacin, stoking basah terpaksa dikongsi ramai dalam padat keretapi aliran transit ringan. Jika bertuah, kadang-kadang terbau juga perfume mahal.

Kerana bergerak dengan kenderaan awam, waktu transisi bertukar keretapi saya perlu bergantung penuh dengan kudrat kaki. Saya tidak berjalan sepantas orang Kuala Lumpur. Bagaimana saya mencuba pun saya tetap ketinggalan di belakang. Aneh, orang KL berjalan pantas. Adakah ada perlumbaan di hadapan? Sudah tentu tidak, mereka memang begitu. Lalu saya salahkan kasut yang tidak sesuai. Patut menyarung sneakers untuk menyaingi.

Selepas habis urusan rasmi saya bergerak ke toko buku. Ketika sampai ke toko buku Fajar Ilmu Baru (FIB) yang terletak di Jalan Masjid India, hari masih lagi cerah. Ia adalah sebahagian antara kerinduan pada KL. FIB dulu dengan nama Pustaka Indonesia, kemudian berpindah di tingkat dua di Wisma Yakin dengan nama FIB. Banyak buku ilmiah di sini yang jarang ada di toko buku yang biasa. Jangan mengharap judul-judul buku seperti yang ada di jual di MPH, Popular dan Kinokuniya. FIB selalu menawar alternatif. Di FIB saya menjumpai novel Baltasar's Odessy, novel-novel terjemahan Orhan Parmuk. Ketika kaki kanan masuk ke kedai, saya sudah menciumi bau ilmu. Nanar sekejap melihat yang tersusun. Bagi pencinta buku dalam musim belum bergaji ia bukan langkah yang bijak. Di celah rak ada cermin yang dapat melihat luar. Awan hitam menyelubungi langit KL. Barangkali sekejap lagi akan hujan. Saya tidak peduli apa, peluang berada dalam FIB bukan selalu dapat. Saya menjelajah dari rak ke rak, berharap agar dapat jumpa dengan buku yang dalam senarai. Kemudian bunyi riuh di luar, hujan sudah turun. Lebat. Saya mempunyai alasan lebih untuk berada lebih lama dalam kedai buku. Dari satu judul ke judul lain, saya mencari. Mengangkat buku dan membelek. Dalam ralit, ada suara pekedai menerangkan serba ringkas tentang buku kepada mahasiswa mahasiswi yang berkunjung. Tawar menawar belaku. Mahasiswi tadi jelas kesiangan untuk bersolat Asar, lalu meminta izin tuan punya kedai untuk tumpang bersolat. Bukankah saya katakan FIB punya alternatif? Mereka turut menyediakan ruang untuk pengunjung bersolat.

Begitu lama saya membelek dan mencari. Hanya dua judul yang cocok dengan kemampuan finansial waktu itu. Lalu saya membeli buku Anne Marie Schimmel dan Dr Ali Shariati. Cukup dua. Saya melangkah keluar. Langit hitam dan hujan masih lebat. Saya mahu bergerak pantas ke stesen Masjid Jamek, air di depan Wisma Yakin sudah naik sampai ke buku lali. Pekedai berhempas pulas menyelamatkan jualan dari tempias hari hujan. Tetapi baju, tudung-tudung yang dipamer telah pun lencun. Saya tidak yakin untuk menempuh hujan sebelum masuk ke kawasan berbumbung pejalan kaki. Oleh kerana ramai lelaki yang merokok bersidai di depan wisma, saya tidak jadi menunggu teduh. "Hujan boleh ditempuh." Ada suara dalam hati berkata begitu. Jadi saya bejalan cepat, dengan melipat seluar ke paras selamat tidak dibasahi hujan. Lalu bergerak perlahan menempuh air yang tinggi ke buku lali ke stesen Masjid Jamek.

Hujan di KL meski sekejap tetap mengundang banjir. Terowong SMART tidak berfungsi?

Ketika sampai di stesen, ramai orang sedang berkumpul di situ. Pasti menunggu teduh. Saya memandang sungai, air sedang deras berpusu-pusu bergerak ke haluan. Aliran air sungai utama berwarna hitam. Air yang keluar dari longkong-longkang sisi berwarna merah. Yang merah membuak keluar bercampur dengan yang hitam. Bau tidak enak mengapung di stesen Masjid Jamek. Tetapi orang KL masih lagi berjalan pantas. Mereka tidak peduli pun pada air sungai yang merah dan hitam. Oh, bukan mereka orang baru pulang dari desa. Saya yang baru pulang, kerana itu setiap satu ditangkap deria untuk terus merakam cerita KL pada hari ini.

Saya memerhati. Orang KL memang berjalan laju. Sudah pukul 7 malam, mereka masih berpakaian kerja. Hari gelap, mereka masih belum sampai ke rumah.

Saya berjalan mengambil tiket untuk ke Setiawangsa. LRT sendat sampai ke pintu. Seperti berada dalam bas mini berpuluh tahun dahulu. Cuma mereka tidak berebut untuk mengambil peluang masuk dalam keretapi. Gerabak banyak, masa sampai pula tidak perlu tunggu sampai 10 minit. Saya membiarkan orang KL yang masih berpakaian kerja masuk dalam gerabak. Saya boleh tunggu. Saya tidak ada perlumbaan di hadapan untuk dikejar.

Di luar KL masih hujan. Aliran sungai deras, sama seperti orang KL berjalan. Warna hitam dan merah air buangan bercampur dalam sungai, seperti mana watak-watak manusia di nadi kota berjalan dan bercampur. Peniaga-peniaga kecil akan terus merungut dengan bahan jualan yang rosak akibat hujan. Peminta sedekah akan bertaburan untuk mencari atap. Tiada orang akan berhenti untuk memberi dalam musim hujan lebat begini.

Kuala Lumpur kota peradaban. Di dadanya ada seribu macam teknologi yang mapan. Namun setiap kali hujan, manusia tetap berserakan. Banjir di KL tetap akan menjengah, meski janji telah seribu kali ditabur sumpah.

Comments

Anonymous said…
Asal, buku yang dibeli karya Dr Ali Shariati itu bertajuk apa?

Ali Shariati sememangnya tokoh yang sangat hebat. Karya-karyanya sememangnya memberi pencerahan yang bermakna. Begitu juga dengan karya Shahid Murthadha Muthahari.
ASaL said…
Baru mencuba untuk mendekati Dr Ali Shariati.

Tajuk: Haji

Baru baca beberapa helai, mashaAllah, his eloquence in words sangat menakjubkan. Setiap patah kata seperti air mengalir.

Dan beliau menulis Haji bukan untuk tatacara manasik Haji, tetapi bagaimana kita perlu menghayati sebagai tetamu Allah.

Kata Dr Shariati, bila dijemput untuk menunaikan Haji, datanglah seperti Ibrahim, Ismail, Siti Hajar, dan Rasulullah.

MasyaAllah.
ieka said…
*pengalaman sendiri*
org gila di kuala lumpur pun tak boleh dipandang ringan... mereka boleh bercakap tentang pasaran saham dan hala tuju syarikat :)

bila lagi balik kampung?

tapi betullah, lahir, duduk, belajar, tinggal dan kerja di sini memang macam2 boleh jumpa.. cuma niat di hati je nak baik ke buruk. dari the most superior to the most inferior things.

saya pun rindu nak berjalan2 di lorong2 kuala lumpur..dah lama tak buat.. paling2 pun sebelum kahwin je dulu.. that was like almost 2 years ago.. now kena cari babysitter.. nak ke? atau bila awak balik kampung, bolehlah minta abah dia tolong jagakan sementara saya jalan2 sama.. mahu?:P
ASaL said…
suka yang last tu. bila ya? ayahanda tak marah ke jadi baby sitter?

boleh, insyaAllah, nanti kita akan menyusur lorong Kuala Lumpur bersama.
ieka said…
inshaAllah boleh kaw-tim itu punye dgn ayahanda die hihi

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah