Uda dan Dara: Naskah yang gagal difahami Istana Budaya

Bermula 10 Julai sehingga pesembahan penutup pada 20 Julai, naskah Uda dan Dara (Usman Awang) dimainkan di Istana Budaya. Kami diberi kesempatan menonton pada 10 Julai. Seperti yang tertera di tiket, jam 8.30 malam ia akan dimulakan.

Kata orang, teater di Istana Budaya ialah hiburan untuk orang kaya. Jika begitu, bagaimana pula kami dapat pergi? Sudah tentu berbekalkan tiket termurah RM30 untuk disaksikan dari tingkat 3. Mungkin kerana tiket tidak habis dijual atau kata petugas Istana Budaya sedang dibaik pulih, tingkat 3 tidak digunakan. Kami diminta turun untuk duduk di tingkat 2. Itu pun, masih lagi ditunjukkan tempat yang sesuai untuk tiket RM30. Walaupun disekitar tempat duduk yang lebih mahal, kosong tidak berisi. Tidak tahulah pula kalau tiket yang berharga lebih RM100 di bawah penuh atau tidak.

Uda dan Dara adalah naskah kisah cinta. Malangnya saya tidak pernah membaca naskah asal Usman Awang, yang terhidang di depan mata adalah interpretasi pengarah. Untuk mudah, ia seperti mana-mana cerita cinta tentang sehidup semati seperti dalam Romeo dan Juliet, Laila Majnun dsb. Ia kisah Uda seorang anak kampung yang kurang serba serbi, harta, kedudukan, wang ringgit yang mencintai Dara, seorang perawan anak orang kaya dan tuan tanah, Alang Bakhil. Kerana cintakan Dara, Uda meminta ibu menghantar tepak sirih untuk meminang Dara. Seperti yang awak agak, memang pinangan Uda ditolak mentah-mentah. Kata mudah, jika kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga. Tidak setaraf, itulah kelemahan Uda.

Uda (Razali Husain), sebaliknya tahu, hanya dengan Ringgit dapat menjadikan dia dipandang mak Dara dan Alang Bakhil. Lalu Uda ke kota untuk mengumpul seberapa banyak Ringgit. Ketika di kota, Uda tidak mengirim sebarang berita. Juga, tanah sawah mak Uda dan orang kampung bakal dirampas Alang Bakhil kerana tidak mampu membayar hutang. Situasi tegang itu diselamatkan oleh Uteh, watak unik yang akan muncul ketika saat yang diperlukan. Uteh, seorang pengkritik pada kezaliman dan ketidakadilan. Memanggil Alang Bakhil sebagai haiwan yang berkata-kata.
Untuk meringkaskan cerita, Uda pulang dengan sejumlah kekayaan. Kekayaan yang akan menyalakan harapan cinta Uda dan Dara. Uda malah mampu menebus tanah orang kampung untuk didirikan rumah impian dan bakal anak mereka di masa depan.

Tetapi Alang Bakhil berhelah. Dia tidak mahu menerima Uda meski Uda sudah penuh dengan Ringgit. Alasan kerana darah, darah Uda bukan dari golongan bangsawan dan terhormat.

Uda marah. Diungkapkan sumpah keramat untuk ditentang Alang Bakhil. Katanya, perjuangannya bukan sekadar cinta. Tetapi untuk kemanusiaan, kasih sayang, keadilan yang akan mati kalau tegar membiarkan budaya menyembah Ringgit dan kedudukan dibiarkan hidup dalam desa.

Namun, seperti awal tadi saya katakan ini cerita cinta, akhirnya, Uda ditikam hingga mati oleh orang Alang Bakhil dan Dara tinggal meratapi kekasih hatinya. Begitulah, sinopsis yang diceritakan secara berjela melalui Muzikal Uda Dara yang sedang ditayang. Berjela kerana terlalu banyak lagu dan juga menjadikan penonton sangat kecewa kerana kegagalan teknikal di awal persembahan yang menyebabkan penonton terpaksa menunggu selama 40 minit.

Secara persembahan, ia menghiburkan. Dengan gemersik suara Misha Omar dan pemain-pemain serta kareograf yang berjaya menguasai pentas, ia satu persembahan perlu tonton. Saya disentuh dengan elemen terperinci oleh pengarah yang dapat menghidupkan suasana desa yang bergantung penuh kepada sawah padi untuk hidup. Bagaimana orang kampung disatukan dengan gotong royong untuk semua perkara yang rumit dilakukan secara persendirian.

Namun satu sahaja, kisah Uda dan Dara dilihat sebagai satu perhubungan yang begitu akrab. Tentu sahaja dalam hati akan tertanya, begitukah cara orang Melayu yang terkenal santun dan berbudi, bercinta? Bagi saya, ia menyimpang dan sengaja dipertontonkan kareograf erotis pada salah satu babak bermadu kasih antara Uda dan Dara (mengikut tafsiran masing-masing tentunya) untuk mensensasikan cerita ini. Bahkan, siri promosi teater yang disiarkan dalam akhbar yang menwar-warkan Misha Omar (Dara) malu untuk berhadapan Razali Husain (Uda) sebelum persembahan bermula membuatkan saya berfikir demikian. Ya benar tidak salah untuk Misha Omar berasa malu, kerana kareograf tariannya begitu.

Kami membincangkan bagaimana teater mahu mendapat tempat dikalangan penonton. Kerusi di malam pembukaan tidak banyak berisi. Untuk kami penonton marhaen hanya sempat memandang kerusi kosong berharga mahal dengan iri. Akhirnya, kami membuat helah. Hanya mahu merasa sensasi yang dibuat sendiri ketika slot berehat 10 minit teater Uda dan Dara.
Kami turun dari tempat duduk RM30 berhati-hati supaya tidak dilihat petugas Istana Budaya ke tempat duduk mahal yang banyak kosong, tentu untuk mendapat pemandangan lebih jelas bagaimana pemain-pemain teater yang bertungkus lumus di bawah sana. Ketika petugas Istana Budaya tidak memandang, kami membuka langkah duduk dihadapan. Untuk berapa ketika kami rasakan kami akan dibenarkan untuk terus duduk di sana. Di tempat mahal dengan pandangan yang lebih luas dan jelas. Namun gelak ketawa kami yang dikeluarkan berhati-hati tanpa memandang petugas istana, akhirnya dikesan juga. Dengan segala hormatnya kami dijemput pulang semula ke tempat asal. Malu? Tidak, ia sebahagian dari taktik kami untuk melihat bagaimana Istana Budaya ini berfungsi.

Dalam beberapa dialog kritikan Uteh pada sistem yang dipakai di desa, Uteh menjeritkan tentang Ringgit untuk membeli kuasa. Ringgit untuk membeli kedudukan. Ringgit untuk membeli gelaran. Saya rasa Uteh juga perlu menjerit dengan kuat, Ringgit perlu ada untuk membeli kerusi!

Ya benar, kerusi yang kosong pun tidak dibenarkan mereka yang ada untuk diisi. Dan rasa saya, sampai bila-bila pun sukar untuk penonton datang menyokong dan memenuhkan kerusi di Istana Budaya.

Uda dan Dara, ia naskah mengkritik bagaimana manusia dikastakan kerana kuasa duit dan harta. Ia relevan sewaktu Usman Awang menulis lama dulu, kini dan mungkin selamanya. Ia relevan di desa, di kota, malah lebih-lebih lagi di kosmopolitan. Dan ia relevan, dalam panggung Istana Budaya itu sendiri.

Uda dan Dara, satu persembahan yang mengkagumkan dari segi persembahan dan props, tapi sayang, ia naskah yang gagal difahami oleh Istana Budaya itu sendiri.

Istana Budaya, satu bangunan bernilai jutaan yang dibangunkan dari duit rakyat, dapat menampung seni dan kebudayaan. Tetapi sekali lagi, sayang seribu kali sayang, ia tidak sekali-kali dapat menampung makna!

Uda dan Dara yang dipentaskan di Istana Budaya, 10-20 Julai 2010 menarik, menghiburkan, tetapi tidak kuat kerana tidak bersikap. Uda mati, tetapi Alang Bakhil terus ada hidup dan bermaharajalela, di luar sana.

Uda mati, meninggalkan dua nisan di bawah pohon. Sentiasa dilawati orang, silih berganti. Tetapi siapa yang akan meneruskan perjuangannya? Menuntut kesaksamaan dalam dimensi manusiawi, bukan dengan pengaruh materi. Soalnya, siapa?
gambar diambil dari blog rasmi Teater Muzikal Uda dan Dara.

Comments

ieka said…
wahh..sudah ke teater pula :D
asal said…
tu namanya tak do kojo cari kojo :)
Vamp Mary said…
Saya suka gaya komentar anda. Lembut tapi menusuk kalbu buat saya berfikir. Terima kasih.
ASaL said…
terima kasih berkunjung. Pengalaman pahit diminta kembali ke tempat marhaen masih lagi berlegar-legar di kepala. Petugas Istana Budaya tidak salah, dia hanya menjalankan tugas. Pemilik Istana Budayalah yang perlu membuat polisi yang mesra rakyat marhaen.
zf_zamir said…
saya dah pautkan tulisan saya mengenai mereka di fb uda dan dara, hahaha..
zubin mohamad said…
saya tak berapa paham dengan ayat2 di bawah ni, tolong jelaskan, terima kasih, saya tertarik dengan statement ni "Uda dan Dara, satu persembahan yang mengkagumkan dari segi persembahan dan props, tapi sayang, ia naskah yang gagal difahami oleh Istana Budaya itu sendiri. Istana Budaya, satu bangunan bernilai jutaan yang dibangunkan dari duit rakyat, dapat menampung seni dan kebudayaan. Tetapi sekali lagi, sayang seribu kali sayang, ia tidak sekali-kali dapat menampung makna"
ASaL said…
salam, terima kasih Tuan yang berkunjung.

sebetulnya, saya bukan punya keahlian dalam mengkritik teater dan seni pentas. Untuk pembuka, kami ke pentas teater sebagai wadah utk berhibur juga atas tujuan untuk melihat seni dari pelbagai variasi yang ada. Menghayati dalam konteks ilmu utk mengangkat budaya, dn juga melihat bagaimana satu2 teks Sasterawan Negara diolah dan dikembangkan.

Ringkas sahaja penjelasan dari ayat2 yang Tuan minta saya jelaskan.

Kami datang sebagai pencinta seni dan budaya. Bagi golongan kami, modal adalah masalah utama, dengan itu kami hanya dapat menempah tiket paling murah untuk pementasan Uda dan Dara. Jadi tempat kami sudah tentu jauh dan sudah tentu tidak akan melihat bagaimana reaksi pemain di atas pentas. Setelah semua penonton ditempatkan berdasarkan tiket masing-masing, kami dapati banyak kerusi kosong tidak berisi. Jadi kami berpindah tempat, tetapi petugas mengarahkan kami kembali di'tempat sendiri'.

Teks Uda dan Dara lantang mengkritik tentang golongan penindas (tuan tanah) dengan rakyat marhaen. Kritikan lebih lantang tentang kasta dan pengkelasan. Itu yang dihidangkan lebih 2 jam dalam pementasan Uda & Dara (termasuk berhenti kerana kerosakkan teknikal dan rehat).

Uda & Dara dipentaskan 7 hari (jika tdk salah) dengan dialog2 kritikan terhadap golongan borjuis dan layanan tidak adil kepada golongan kecil dan miskin.

Absurd, kami mendapat layanan yang sama di dalam panggung yang sedang melontarkan kritikan berulang2. Namun dlm konteks rasionalnya, kami berlapang dada kerana kami mendapat kerusi dengan harga yang dibayar, meski bertaburan sana-sini kerusi kosong tidak diisi.

Utk sy yg dangkal ilmu, sy berpendapat pentas sebesar Istana Budaya, yg dibanggakan utk memasarkan produk seni bangsa Malaysia, perlu diluaskan akses dan fleksibiliti. Agar semua golongan tidak kira miskin kaya dapat menikmati produk budaya sendiri.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah