Alangkah Lucunya (Negeri Ini) - Refleksi Transformasi Dunia Arab Hari Ini?


Kagum. Cerita ini bergenre parodi. Namun santak dengan pengajaran. Saya tidak tahu perlu gelak, atau bersedih pada setiap lucu yang diselitkan dalam paparan visual. Kerana kalau saya ketawa pada setiap lucu yang ada, seolah-olah saya mengeyakan tentang dunia ini yang sudah celaru nilai.

Ia cerita tentang Muluk, seorang sarjana lulusan sekolah manajemen mencari kerja. Kerja itu nanti akan menjadi hantaran bermakna pada bakal bapa mertua yang mahu bakal menantunya mempunyai pekerjaan tetap. Supaya anak gadis dan bakal cucu hidup terjamin di masa depan. Tetapi kerja yang dicari tidak kunjung datang. Dan Muluk tidak tegar pula bekerja sebagai buruh.

Muluk, secara tidak sengaja berkenalan dengan seorang remaja yang kerjanya mencopet (penyeluk saku). Hingga membuahkan idea untuk kerjasama paling pelik, sarjana manajemen menguruskan profesyen pencopet supaya lebih terorganisasi dan berjaya. Tujuan Muluk, satu hari nanti mereka akan keluar dari pekerjaan mencopet, dan menjadi peniaga kecil-kecil. Sebagai imbalan, Muluk akan mendapat 10% hasil dari pendapatan kumpulan kanak-kanak pencopet ini.

Muluk memang berwawasan. Bukan setakat mengurus dan mengendali kewangan kumpulan pencopet ini, malah mengundang Shamsul, sarjana pendidikan (yang juga penganggur) untuk mengajar menulis dan membaca serta Pancasila. Juga Pipit (penganggur) untuk mengajar anak-anak tentang agama.

Mereka bertiga punya orang tua yang kental beragama. Dan ini, menjadikan filem ini celaru nilainya. Sehingga membuat saya terfikir, dalam keadaan begitu tersepit, adakah kita boleh tawar menawar dengan nilai agama yang telah bertunjang kukuh dalam hati dan masyarakat?

Benar, filem ini terlalu banyak lucunya. Namun ia tidak pula boleh membawa saya bergelak ketawa dengan aman. Kerana setiap lucunya mengundang persoalan lebih besar, tentang nilai, rakyat bawahan yang telah dilupakan, survival hidup, tentang pendidikan dan agama, korupsi, segala. Sehingga saya merasakan, setiap lucu itu saya perlu sambut dengan tangisan.

Ini filem Indonesia. Yang jika dilontarkan untuk negara kita yang tercinta ini juga tiada bedanya. Masih ramai rakyat yang terlupakan. Yang kita telah pinggirkan mereka atas apa juga nama, survival politik, survival ekonomi, malah agama, segala. Sedangkan apakah ertinya Negara, jika kita tidak mampu menjanjikan sejahtera pada rakyat. keamanan dan tentu paling penting, keadilan.

Filem ini menjerit-teriakkan tentang apa pentingnya pendidikan kerana ia tidak lagi dapat menjamin apa-apa, tentang pengangguran, korupsi, wakil rakyat yang sudah tidak lagi mewakili rakyatnya, marhaen miskin dan terpinggir, kelas sosial, ketidakadilan dalam bentuk satire lucu, namun pada saya begitu menghiris jiwa. Bila mereka yang sanggup berjuang merubah, tetapi tidak didokong masyarakat, maka mereka yang jernih ini turut terpaksa mengambil jalan salah.

Sehingga akhir filem ini saya merintih dalam diam. Beginikah sebuah Negara nanti akan jadinya bila rasuah itu tidak lagi diperangi, malah dibiar merebak luas dan merata. Saat itu, kita akan melihat keadilan melebur, dan masyarakat tidak lagi akan percaya, nilai yang kita percaya kurun zaman relevan untuk dijunjung lagi.

Kisah ini menjadi semakin relevan dengan perkembangan terbaru di rantau Asia Barat. Di Tunisia, Algeria, Mesir dan beberapa Negara di Afrika. Tunisia mulanya, sebuah Negara yang telah menggulingkan pemerintahan kuku besi Ben Ali.

Mungkin ramai tidak tahu, atau tidak ambil tahu. Bagaimana pemerintah yang begitu berkuasa diguling. Ianya bermula dari seorang penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan. Kerana kadar pengangguran yang begitu tinggi. Dengan itu penganggur tersebut tidak mempunyai sumber untuk menyara keluarga. Untuk jalan keluar, dia mengambil jalan untuk berniaga kecil-kecilan. Malang, barang jajaannya dirampis Majlis Bandaraya. Kecewa, dia menuntut peralatan jajaannya di pejabat Majlis. Permintaannya ditolak. Akhirnya, dengan nekad seorang diri, dia membeli dua botol minyak dan membakar dirinya di depan pejabat Majlis Bandaraya. 18 hari kemudian penganggur tersebut meninggal dunia.

Itu cerita pencetus kepada kebangkitan rakyat. Dan bulan Januari menyaksikan pemerintahan Zine el Abiden Ben Ali selama 23 tahun digulingkan sehingga terpaksa melarikan diri ke Arab Saudi. Seperti diberitakan dalam akhbar, meski dihinakan begitu rupa, ketika melarikan diri, mereka tetap mampu membawa keluar bertan-tan emas.

Parodi? Seperti dalam filem ini, ia realiti yang ada di mana-mana!

p/s: Iklim ditempat saya sudah jadi makin tidak menentu. Bukankah sepatutnya sekarang musim panas, malah kami mengalami sejuk yang berpanjangan sejak seminggu lalu. Iklim politik juga menggerunkan, kerana gelombang tsunami kebangkitan rakyat, menjadi-jadi di seluruh tanah Arab!

Comments

Cikli said…
salam,

soalan, kenapa diktator tunisia lari ke arab saudi?
kanapa tidak ke negara barat?
ASaL said…
saya ni bukan celik politik sangat, tetapi dlm berita khabo yang mereka telah cuba mendapat pelindungan dari Perancis, ttp permohonan ditolak.

Arab Saudi juga sebuah monarki, sebuah regim seperti yg dilapor berita. In some way, they might share distant relation or mutual relation that me as a commoner, could not understand.

The Arab world government might shake to its foundation right now, they even been toppled down by the people.

The foundation they build, base on monarki, despotic and athocratic somehow have collapse. The soil which willing to support before might has loose it bearing capacity. The weight is to huge, so they sink (settle).

Perhap we can hear a good words from you which observe politic closely, so that, we will be enlightened.

:)

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK