Mazhab Jurutera

Dalam beberapa hal, selalu saya menerima pertanyaan-pertanyaan aneh seperti ini; apa sebenarnya isu semasa Dr Maza ditangkap, apa yang berlaku di Hauzah Ar Ridha pada Muharram lalu, dan juga pertanyaan polos seperti ini; mazhab itu apa? Mazhab yang diterima pakai cuma empat sahaja kan?

Jadinya saya mengasihani diri sendiri kerana tidak punya kelayakkan untuk menjawab dengan keyakinan ilmu. Ilmu yang saya ada hanyalah setakat sekolah menengah (ceramah, pembacaan, diskusi langsung dengan ustaz ustazah), sedang mereka yang selayaknya menjawab ditempat kami begitu terasing tempatnya. Bukan mereka itu duduknya asing, tetapi keberadaannyalah yang asing. Pertanyaan-pertanyaan bernilai intelek itu bagi yang memegang sarjana agama mungkin dianggap leceh untuk ditangani. Atau mereka berminat menjawab cuma ruangnya begitu kecil untuk penerangan panjang lebar. Perlu platform formal untuk tujuan ini.

Kerana itu ada jurang yang agak besar antara masyarakat marhaen (seperti saya) untuk mendalami ilmu agama dengan suasana lebih santai, bukan bersifat kuliah formal dengan golongan pemegang ilmu-ilmu ini. Jadi dikalangan rakan saya yang bersifat ingin tahu, jalan mudahnya bertanya orang paling dekat. Dalam konteks ini: saya :)

Tapi saya sedar tidak pandai, dan tak akan melulu dan terburu untuk menjawab. Dalam banyak hal saya masih sedar kelemahan diri dan ruang, dan sekiranya mahu berkongsi ilmu akan dikritik menunjuk pandai. Saya masih sedar, dan saya berusaha tidak melangkahi sempandan itu.

Untuk rakan saya yang bertanya, yang saya fahami tentang mazhab, ia adalah satu platform untuk kita bertaqlid tentang ilmu dan amalan agama. Maksud saya, kita yang mustahil akan sampai tahap mujtahid yang boleh mengeluarkan fatwa-fatwa, keterbatasan itulah melayakkan kita menjadi orang yang bertaqlid. Meski orang ada mengatakan, kalau nak bertaqlid sekalipun, janganlah bertaqlid buta. Tetapi memandang ruang untuk mendapat ilmu itu begitu terbatas, taqlid buta itulah yang cocok sementara mendapat guru yang kompeten dan mudah akses untuk pertanyaan-pertanyaan agama.

Yang saya tahu hanyalah tentang jurutera. Dan bagaimana jurutera di Malaysia bermazhab dalam amalan profesionalnya. Mungkin senbae Cikli dapat menerangkan dengan lebih baik.

Dalam praktis jurutera kami sememangnya bermazhab. Oleh kerana ilmu kejuruteraan di Malaysia diperoleh dengan menghantar pelajar-pelajar keluar, maka kami bertaqlid dengan ilmu yang dihidangkan dari British (BS) dan Amerika Syarikat (ASTM). Terutama untuk merekabentuk bangunan. Ya, bangunan di pejabat awak, atau rumah yang awak diami sekarang, juga mungkin masjid yang kita solat di dalamnya, direkabentuk dengan mematuhi dengan cermat *fiqah-fiqah yang tersusun dalam buku-buku BS dan ASTM. Meski demikian, mazhab ini berevolusi.

Begini, sebelum saya masuk kuliah, mazhab yang diikuti oleh pendahulu-pendahulu kami dengan mematuhi CP. Sewaktu kami pula berada dalam kuliah, kami mematuhi BS. Namun juga diperkenal dengan ASTM. Terutama bila rujukan dalam BS tidak lengkap, maka kami akan beralih kepada ASTM. Lama kemudian cerdik pandai dalam bidang kejuruteraan lokal semakin ramai. Banyak masa dihabiskan dalam penyelidikan. Hasil kebijakan ini, akhirnya Malaysia juga berjaya menghasilkan buku panduan sendiri yang dikenali sebagai Standard Malaysia (MS) yang diperakui SIRIM dan boleh digunapakai untuk merekabentuk di dalam Malaysia. Tentunya MS belum lagi sempurna dan kami masih lagi merujuk kepada BS dan ASTM. Mutakhir, ia mungkin akan berevolusi lagi dengan mengikut perkembangan global. Dan dalam masa terdekat mungkin kami perlu menggunakan Standard Eropah (EN Code).

Soalnya kenapa mesti berubah dan berevolusi?

Pada permulaan, penemu-penemu teori dalam jurutera telah merumuskan teori-teori tertentu untuk digunapakai dalam alam bina. Setelah dicuba uji dengan pelbagai ujikaji, juga kadang-kadang hasil kegagalan setelah pembinaan dan dipakai pengguna. Teori akan dikaji semula dan dimurnikan. Setelah terbukti selamat ia menjadi apa yang dipakai untuk praktis dimuatkan dalam BS dan ASTM. Teori inilah yang kami guna untuk beberapa puluh tahun.

Ternyata, setelah ilmu berkembang, teori ditimbang tara semula. Hasilnya, ahli-ahli dalam bidang kejuruteraan merasakan kami menggunakan pakai teori yang selamat tetapi tidak ekonomi. Jadi ia dinilai dan dihasilkan untuk membolehkan bangunan direkabentuk paling selamat, dan pada masa yang sama ekonomi. Kerana itu ia berevolusi.

Jadi apa kena mengena dengan Standard Malaysia (MS)? Ini adalah kerana ada beberapa keadaan, apa yang terkandung dalam BS dan ASTM tidak sesuai dengan iklim, sumber semula jadi, environmen, praktis yang ada dalam Malaysia. Juga kerana kita juga telah yakin dengan keilmuan dan praktis, juga dengan penyelidikan yang telah dilakukan dengan tidak mengenal penat lelah. Kerana itu MS juga digunapakai oleh jurutera-jurutera untuk kesesuaian yang paling cocok dengan apa yang ada di Malaysia.

Meski pelbagai, dalam profesionalisme kami patuh. Dengan itu baru datang keyakinan untuk menghasilkan binaan dengan faktor keselamatan maksima kepada pengguna tanpa kompromi, juga ekonomi kepada pengeluar modal, juga jaminan kepada kerajaan atas amalan profesional kami. Begitu.

Dengan kata mudah, sekiranya dipatuhi dengan tuntas, tentu setiap bangunan di Malaysia boleh dicap SIRIM. Sama seperti peralatan yang kita beli di pasaraya.

Namun, untuk praktis, di setiap Negara masing-masing juga bebas menggunakan standard masing-masing. Yang ada di Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan China dan mana-mana bahagian di dunia, masing-masing akan mengikut apa yang lebih cocok dengan diri mereka. Begitupun, seperti di Malaysia kita menggunakan BS dan ASTM, kita juga masing dibenarkan guna MS. Tidak ada apa salahnya, kerana setiap satu pun mempunyai asas penilaian teori yang kukuh dan terbukti. Ia adalah alternatif, masing-masingnya tetap diusahakan terbaik untuk pengguna, malah semua.

Dan saya percaya apa yang ada dalam sekolah kami, juga ada dalam sekolah Ekonomi, Perundangan, Kedoktoran, lain-lain lagi.

Saya tahu pasti ramai akan mengkritik lagi. Tapi saya berjujur, sekurang-kurangnya dengan keterbatasan yang terlalu banyak, itu paltform yang ada boleh mengajari dan fahami tentang mazhab. Dalam disiplin yang dididik, begitu kerangka keilmuannya. Apa-apa pun mungkin satu bentuk pemahaman yang boleh diterima global, bahawa ilmu itu datangnya dari guru yang pakar, yang telah memahami dengan mendalam, mempertimbangkan duduk perkara, yang diperakui keahlian, dengan itu baru kita yakin untuk menggunapakai. Baru kita yakin untuk beriktikad dengannya.

Ada orang tidak berani untuk menyeberangi sempadan ilmu luar dari bidang mereka kerana beralasan tidak ahli, takut tersalah langkah. Tetapi ilmu itu luas, kalau kita sendiri tidak berupaya untuk menghilangkan dahaga dalam lautan ini, siapa lagi yang akan memberi kita minum melainkan diri kita sendiri!

Glossari

Fiqh - "deep understanding" or "full comprehension".
Mazhab – school of law
Taqlid – imitation

Comments

Cikli said…
hui...tulisan dari engineer yang bermazhab sastera.
ASaL said…
:) kalau salah tolong betulkan, senior.

malangnya, saya tidak pernah masuk sekolah sastera yang sebenar-benar.
Vee pun tak pernah ambil kursus sastera dan penulisan. :)

Assalamua'laikum Asal,

Vee dah publish cerpen asal.
Asal dah boleh publish dekat blog Asal dan minta bloggers vote dekat link ini ye? :)

http://kisahklasikita.blogspot.com/2011/01/99-hari-kisah-klasik-asal-jernih-suci.html
ASaL said…
terima kasih Vee :)

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?