Tanpa Mahram – Di Bawah Lindungan Tuan Empunya Kaabah

Ramai orang bertanya saya di mana. Saya masih di bawah langit yang sama. Kalau awak dapat melihat bulan waktu malam, saya juga melihat bulan yang sama. Jika awak menyahut seruan azan untuk solat, saya juga bersolat. Mungkin dalam doa usai solat, awak juga ada. Dan sangat indah kalau saya dapat mendengar suara awak meng’amin’kan doa.


Hakikatnya saya berpergian. Menyahut jemputan yang lama saya tunggu, yang kadang-kadang mustahil dapat pergi memikir kekurangan yang nyata dan tersembunyi dalam diri, tanpa persediaan yang jika dibanding dengan orang lain yang sangat tersusun dan jelas jitu, dan ya, tanpa mahram.


Saya memenuhi jemputan dan menyahut panggilan musim Haji 1432H pada 24 Oktober – 6 Disember yang lalu. Masih dipenuhi dengan pelbagai rasa, fikiran, soalan dan jawapan, akhirnya saya gagahkan diri untuk menulis di sini. Dorongan kuatnya ya pasti, kerana awak.


Saya tidak tahu logik akal mana yang saya pakai untuk bercita-cita menunai Haji. Sudahkah saya ceritakan pada awak yang saya punya kekurangan yang banyak? Dan seharusnya cita-cita ditangguhkan lebih lama kerana saya tidak punya mahram. Ayah telah lama meninggal, wali-wali yang tinggal adalah abang-abang dan adik dengan tanggungan, dan ya, saya masih belum punya zawaj.


Tetapi logik Allah berbeza. Dia tidak dicatur dengan rasional yang kita ada. Aturan tetap dan kekalNya satu yang kita tahu, jika dia berkehendak kun, fayakun. Itu sahaja. Tidak perlu tanya, tidak perlu tanda soal. Kerana seluruh alam jagat raya milikNya, termasuk masa, ruang, kesempatan. Soalnya, adakah saya benar yakin dan percaya?


Oktober lalu buat saya bulat percaya. Tuhan dalam dimensinya yang pelbagai, hanya ada satu wajah, iaitu Cinta. Dia memilih, menjemput, memanggil siapa yang Dia kehendaki. Dia memilih kami kali ini. Satu hari nanti saya pasti Dia juga akan memilih awak. Untuk bernaung dalam rahmat di tempat Dia paling dekat. Jika awak cukup percaya, jemputan dia sangat dekat. Kerana itulah yang berlaku pada kami. Bekal kami cuma percaya tanpa sekelumit prasangka kami akan kecewa.


Benarlah hadis Kudsi yang bermaksud: “Aku (Allah) berada dalam sangkaan hamba-Ku. Maka bersangkalah dengan Aku apa yang kehendaki.” (Riwayat Ahmad).


Saya bersama dua sahabat melangkah ke Tanah Suci untuk menunai rukun Islam ke 5 tawakal berpergian dengan hanya membawa pakaian yang melekat di tubuh, tulang belulang, daging dan kulit, sedikit bekal perjalanan.…dan apa yang ada dalam dada. Lain-lain tentang hal keselamatan dan naungan ketika berada di sana, kami serahkan sahaja dalam lindungan Tuhan Yang Empunya Kaabah. Meski kami tahu perlu bergelut dengan 3 juta jemaah lain, dengan kepelbagaian budaya, bahasa, amalan, budi. Ya, siapa boleh meneka hati budi & niat 3 juta umat?


Tiada siapa memberi taklimat pada kami, kami akan ditumpangkan dengan mahram yang sekian-sekian. Tiada. Jadinya jalan kami nanti, kami-kamilah yang akan menjaga. Namun bila sampai di sana, kami dikejutkan dengan cabaran lain. Waktu biologi kami berbeza. Akan ada waktu kami dapat bersolat di Masjid Haram bersama, akan ada yang tinggal seorang. Minggu pertama sebelum wukuf, saya tinggal seorang. Namun jauh dalam kalbu saya tahu mustahil saya seorang. Bukankah Allah yang menjemput? Saya tetamuNya, ini cukup untuk merasai diselimuti dan rasa penuh dilindungi.


Ramai yang bertanya, “bagaimana keadaan bertawaf dalam jemaah padat dan ramai dan awak seorang?”


“Sudah tentu getir. Kiri kanan orang yang akan menghimpit. Bukan semua jemaah punya disiplin yang sama seperti kita.”


Adakalanya rasa seperti dalam mesin basuh. Ditolak, dihimpit, dipijak, segala. Segala yang kita terfikir bila di dalam ramai. Tetapi saya pegang satu, “Apabila telah berazam, maka bertawakallah.” Itu yang menjadikan segalanya jadi mudah.


“Tidak takut berjalan waktu subuh, pulang waktu malam sendirian?”


“Entah bagaimana, Allah menutup rasa curiga dan takut saya. Sepanjang masa saya rasa aman, malah saya berani untuk berjalan ke masjid dari mana-mana jalan saya sukai, dan memasuki pintu dari mana-mana yang saya sukai.”


“Sedikit tidak takut?”


“Maha Suci Allah, ya, sedikit tidak takut. Malah mungkin perkataan takut itu sendiri telah luput secara automatik dalam pemikiran. Sehinggalah kami mahu pulang ke Malaysia. Bila jemaah bercerita tentang kemalangan, musibah yang berlaku. Yang menakutkan dan tidak masuk akal. Terutama bila kita katakan tentang Tanah Haram mustahil yang buruk berlaku, tetapi ia berlaku. Alhamdulillah, ia tidak terjadi pada kami sebatang kara ini.”


Bukankah saya telah bercerita, Allah itu punya wajah, dan Dia menjelmakan wajah Cinta pada kami.


Begitulah. Saya di sana selama 43 hari. Tentu, saya rindu. Selalu berdoa punya waktu. Agar saya dapat memanjangkan kisah Cinta Allah pada hambaNya yang berserah.


Perjalanan ini mengajar banyak perkara. Di kala kita rasakan sebatang kara, tiada punya tempat untuk bernaung, rasa sendiri dan tidak dipeduli, percayalah, pada waktu itu Allah sendiri menjadi wali dan menaungi.


Benarlah, Allahlah sebaik-baik pelindung.





Comments

Anonymous said…
assalamualaikum, terserempak dgn entri dlm blog ini. saya juga menunaikan haji dan umrah 1432H, bertolak dan pulang pada tarikh yg sama. juga pernah pulang dan pergi ke Haram berseorangan hatta jam 2 am..mungkin kita pernah berselisih bahu..
ASaL said…
Ya mungkin. Di mana-mana sudut di masjid haram dan madinah, kita mungkin pernah berbalas senyum.

Dan takdirnya, kita bertemu di sini.

Subhanallah.

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?