Friday, April 29, 2011

Menang


Kekalahan pada seseorang atau pihak lawan akan mengakibatkan kemenangan pada orang yang lain. Ini logik akal dan logik alam.

Pernahkah kita mendengar, kemenangan bagi seseorang juga akan menyebabkan kemenangan bagi orang yang lain juga?

Saya belajar dari kawan yang ahli hikmah (banyak betul kawan saya yang ahli hikmah kan? - tapi belum tentu saya sendiri penuh dengan hikmah :P). Beliau menyorot dari perspektif seorang guru. Sudah tentu guru yang arif dengan ikhtisas perguruan, bukan guru yang caca merba yang banyak ada seperti zaman sekarang. Ya, beliau seorang guru dan secara konsisten selalu mengajari saya.

Kata beliau, menjadi seorang guru akan ada 2 kemenangan. Satu apabila pelajar mendapat kejayaan di akhir pengajiannya. Pelajar menang, guru juga menang. Satu lagi bila pelajar gagal di akhir pengajian. Pelajar kalah, tetapi cikgu menang.

Pelik. Tetapi itulah cerita beliau.

Kemenangan yang pertama itu norma, rutin dan selalu berlaku.

Kemenangan yang kedua ialah apabila pelajar secara konsisten tidak fokus pada apa yang diajar, berlaku kurang ajar, tidak tahu bagaimana mahu berakhlak dengan ilmu & guru, selalu merasa diri pandai dan tidak perlu diajar lagi, ego, rasa mempunyai hak pada markah sedang mereka tidak perform, tidak sedar diri, tidak datang kelas, tidak jujur. Pendek kata, pelajar yang tidak tahu akhlak terhadap ilmu dan guru, tidak tahu tentang adab.

Saya tanyakan pada beliau, adakah guru tersebut akan menghukum pelajar tersebut dalam ujian dan peperiksaan.

Kata beliau, "guru yang baik tidak akan menghukum dengan prestasi yang ditunjukkan. Guru yang baik akan menilai adil seperti mana sepatutnya. Namun, akan ada berlaku magik dalam hal ini."

Magik?

"Ya, walau pelajar-pelajar ini mengakui telah belajar bersungguh-sungguh, atau kata mereka belajar bagai nak rak, akhir nanti mereka akan gagal juga."

Adakah perkara ini berlaku?

"Ya, secara magisnya begitu. Mereka akan mengulang pelajaran tersebut. Entah bagaimana, jawapan yang ditulis salah, ada pun selalu tidak tepat atau membiarkan kosong sahaja. Seolah-olah fikiran dan ilham mereka dihijab. Jika ditakdirkan saya mengajar pelajar yang sama sehingga mereka mengambil pelajaran bahawa ilmu itu perlu dipelajari dengan rasa hormat dan rendah diri, saat itu barulah mereka akan lulus."

Wow. Begitu hebat.

Dia senyum penuh makna.

Dalam diam saya harus percaya guru-guru yang ikhlas juga punya kuasa. Cuma ia datang tanpa disedari bila dan di mana.

Ya kemenangan lebih besar dirasakan bila ego orang yang kalah ditundukkan, bukan kerana kelemahan dan kesalahan. Menang lebih manis dirasakan seperti itu :) (Rasa nak lompat-lompat dan gelak macam orang jahat, HAHAHA)

Kemenangan bagi saya?

Bila guru yang mengajari lama dulu, bertahun-tahun tidak bertemu, bila kembali berjumpa, beliau rasa kemenangan dan puas. Meski tidak menyatakannya, senyum mereka penuh makna.

Ya, sudah tentu dengan definisi kemenangan yang pertama!


Thursday, April 28, 2011

Belas

Satu perkataan yang akan dikembarkan dengan kasihan, belas kasihan. Dalam kata Inggeris adalah Mercy. Ramai dari kita mahukan orang berkasihan belas dengan kita dan melayan kita dengan simpati. Supaya kita mudah untuk melaksanakan kerja, supaya mudah juga hidup kita bukan? Seperti mana yang kita lihat dari peminta sedekah, yang kita hulurkan itulah mercy.

Saya beranggapan belas kasihan juga perlu ada tempatnya. Jika kita beranggapan ia adalah satu perbuatan untuk menghulurkan subsidi, ia mungkin akan mengakibatkan kesan negatif dalam jangka panjang.

Sebagai contoh, jika kita melayan anak yang sakit, kemudian doktor memprekripsi suntikan. Anak kita akan menjerit-jerit memohon belas dan kasihan minta dilepaskan dari azab jarum yang tajam. Sebagai ibu bapa, apa yang kita akan lakukan? Adakah menurut kata anak, atau menurut kata doktor? Hati kita akan menuntut menurut kata anak, tetapi akal kita akan mengikut kata doktor. Yang penting kesihatan anak, supaya dia kembali cergas dan ceria.

Belas juga menuntut keadilan. Keadilan menuntut sesuatu diletakkan pada tempatnya. Kerana itu saya menyorot belas kasihan Tuhan pada manusia, selaras juga dengan sifatNya yang Maha Adil.

Itu konsep yang selalu kita terlepas pandang. Menyangka jika bersifat pemurah, orang akan lebih suka dan kita akan menjadi popular.

Contoh, seorang guru yang mendidik anak muridnya, mungkin di musim peperiksaan akan berlaku timbang tara yang begitu payah. Anak murid, walaubagaimanapun lakunya, tetap akan disayangi. Mereka ialah golongan yang dibentuk ditangan guru tersebut, dan apa yang terhasil adalah refleksi dari ajaran guru dalam dan luar kelas. Di satu aspek yang lain, pelajar juga akan turut menyorotkan mata dan perilaku simpati minta dikasihani. Agar mereka memperoleh markah yang cemerlang untuk ditunjuk kepada ibu bapa di kampung.

Dan guru, dalam satu sudut dalam hatinya tetap akan mempunyai belas.

Namun, apa yang lebih patut dibuat oleh guru tersebut? Memberi markah yang diminta atau bertindak dengan keadilan yang sepatutnya?

Logik akal, kita akan menasihatkan guru tersebut untuk berlaku adil. Memberi markah ditempatnya, agar anak murid tersebut tahu letak duduknya dimana. Agar pelajar boleh refleks diri sendiri, di mana tempat yang perlu diperbaiki, juga mengenal dimana kekuatan diri.

Namun, guru tetap manusia. Kadang-kadang perasaan belasnya melebihi perasaannya untuk berlaku adil. Dalam pada ini, timbang tara yang berlaku begitu hebat. Sehingga mungkin akhir nanti guru akan lebih mengutamakan rasa belas terhadap anak murid.

Sistem juga boleh jadi demikian. Seperti pelajar SPM kita yang gah dengan sederetan A yang tidak refleks kepada pemegangnya. Boleh jadi mereka berbekal dengan A yang banyak, namun A mereka cuma tertinggal atas kertas, bukan mencerminkan peribadi pemiliknya.

Barangkali, kita perlu menghapuskan perasaaan belas. Kerana ia tidak banyak membantu dalam perkembangan yang sepatutnya. Mungkin akan mencacatkan dalam jangka masa panjang.

Namun seperti biasa, guru yang adil tidak disenangi kerana sukar untuk didampingi dan diberi apa yang diminta. Namun, guru jenis ini melihat masa depan lebih jauh dari orang lain.

Saya bertuah kerana dalam pembentukkan diri, saya sering diserahkan di tangan guru yang adil. Yang akan memberi kredit bila saya berhak dapat, dan akan memberi komen yang setimpal (constructive comment) bila saya membuat kesalahan. Dari situ, saya dapat menimbang kekuatan dan kelemahan diri, sehingga saya sentiasa dapat menjadi lebih baik setiap hari. Itu juga yang berlaku dalam setiap hasil karya. Dikritik dengan begitu hebat tanpa belas kasihan, dengan itu dapat menghasilkan yang lebih baik.

Saya lebih suka perkataan adil. Ia lebih universal dan mesra alam. Adil adalah cerminan kasih sayang dan perasaan belas yang sebenar. Jika menyanjung keadilan, keamanan hasilnya. Namun, seperti mana yang kita kenal dunia hari ini, kita lebih suka dengan simpati dan belas. Supaya hidup serba serbi dimudahkan.

Kita tidak mahu pelajar atau graduan yang terhasil, meski di atas kertas sebagai graduan kelas pertama. Bila minta dia berbuat sesuatu, jangan soalan begini keluar dari mulut mereka, “Nak cari kat mana maklumat tu.”

“Lah banyakkan sumber, awak google aje lah.”

Dan jangan terperanjat jika soalan seterusnya dari mereka,

“Macamana nak google?”

Jika hal begini terjadi, dengan segala pelajaran dan ajaran yang mereka dapat, perlukah kita melempang mereka untuk memberikan ajaran seterusnya?

Friday, April 22, 2011

Hantu Kak Limah Balik Rumah

Ya, saya menonton muvi seperti ini.

Kalau kita ingat orang, orang akan ingat kita. Sebab itu dia datang cari kita.

Itu adalah tagline yang ada dalam cerita HKLBR yang kurang disebut di mulut berbanding, “Kita bakor aje” yang di popularkan oleh Usop Welcha atau “cer citer” atau lagu Solei Solei. Tetapi itu adalah mesej utama dalam cerita ini.

Jika hendak menilai, saya mengkelaskan HKLBR sebagai cerita parodi. Sebuah filem untuk mengkritik filem-filem hantu yang bergentayangan banyak di layar perak dan DVD. Untuk saya sendiri, saya menyama tarafkan filem ini dengan filem The Da Vincci Code yang dibodohkan ke tahap penduduk Kampung Pisang.

Dalam Da Vincci Code, tagline yang selalu diulang oleh Sir Leigh Teibeig ialah, “We see what we want to see” perkara yang sama diulang dalam Hantu Kak Limah.

Kak Limah adalah seorang pesakit gila yang terlepas lari dari wad. Yang penduduk kampung sudah hilang peduli pada golongan seperti dia, iaitu golongan tua yang tinggal sendirian. Oleh hanya kerana luaran Kak Limah yang tidak terurus, orang menyangka dia sebagai hantu yang kerjanya untuk menyakat orang kampung.

Oleh kerana penduduk Kampung Pisang disakat oleh Zombie sebelum ini, sentimen hantu puaka masih menebal. Oleh kerana mereka mahu melihat Kak Limah seperti hantu, Kak Limah dinisbahkan sebagai hantu (we see what we want to see). Dalam hal ini seluruh kampung dibodohkan dengan lembaga yang tidak ada, tetapi diada-adakan oleh persepsi sendiri.

Ini filem parodi bergenre komedi sarat kritik yang membina. Saya menyorotnya setaraf masterpiece yang dibikin P Ramlee. Filem P Ramlee yang sarat kritik terhadap politik, sosial, budaya, kebodohan, kesombongan, kebejatan dilembutkan dengan adegan-adegan komedi bersahaja. Tetapi dalam Hantu Kak Limah, komedi yang telah dikareograf (ala ala gaya Stephen Chow Sin Chee) tetapi tetap menjentik hati untuk terus bergelak ketawa.

Filem ini mengkritik budaya Melayu yang telah luput prihatin kepada orang tua yang tinggal bersendirian. Turut mengetengahkan tentang obses orang Melayu tentang hantu dan puaka, dikaitkan dengan percaya pada bomoh dan jampi serapah, tentang kepimpinan iaitu pemimpin-pemimpin yang telah tua tetapi masih bernafsu menjadi ketua sedang ada pelapis muda yang berkelayakan, tentang kesukaan orang Melayu duduk di kedai kopi bersembang dan bergebang sampai ke pagi, tentang mentaliti rendah dan meninggalkan budaya intelektual yang akan memacu perubahan bangsa, juga tentang betapa melulu menjatuh hukuman sedang kita belum benar-benar pasti. Seperti usul Usop Welcha dalam mesyuarat tergempar Kampung Pisang, “Kita bakor je”.

Banyak. Jika untuk diteliti satu persatu, saya sendiri tidak mampu.

Hantu Kak Limah adalah filem kritik pada bangsa Melayu. Yang kita sendiri bergelak ketawa melihat setiap satu jalinan komedinya yang kemas, dalam tidak sedar mentertawakan kita sendiri.

Dalam musim pilihanraya sekarang ini (meski sudah pun berakhir), HKLBR punya mesej yang tepat. Namun kita hanya memerhati, jika betul tranformasi itu akan benar-benar terjadi.

…atau hanya salah satu rakaman filem untuk janji di musim pilihanraya.


Wednesday, April 13, 2011

Ismail

Akan ada apa di dada bapa kita Nabi Ibrahim itu? Bila mana seluruh hidupnya bermohon agar dikurniakan zuriat, penyambung keturunan dan melestari kehidupan beragama. Sehingga sudah renta masih belum diqabulkan permintaan. Sehinggalah Allah memperkenan, dan lahirlah Ismail dari rahim bonda Hajar yang mulia.

Akan ada apa di dada bapa kita Nabi Ibrahim itu? Bila hidup ditemani keceriaan dan gelak tawa anak yang cerdas dan cemerlang, tegar dia meninggalkan di tanah tandus tanpa apa-apa. Lembah yang kering kontang, di tengah padang pasir, tanpa air, tanpa makanan, tanpa harapan. Tegar apa dia sehingga sanggup membiarkan isteri yang melahirkan zuriat yang didamba, dan anak yang telah didoakan seluruh hidupnya.

Apa ada di dada bapa kita Nabi Ibrahim al Halil itu? Bila mana mereka telah diselamatkan dengan keajaiban, dan tanah kering kontang dikenal sebagai tanah Bakkah, baginda kembali. Kemudian dengan tegar meletak kepala anak di batu, untuk disogokkan pisau tajam dileher Ismail, guna untuk sebuah pengorbanan.

MashaAllah. Rasa apa yang mendesak sehingga Nabi Ibrahim tegar seperti itu?
Kata orang, ia adalah cerita mengenai kepatuhan pada perintah. Dimensi vertikal, yang menentu sah kedudukan Nabi Ibrahim sebagai hambaNya. Ketundukan atas suruhan, tanpa ragu, tanpa bantah membantah. Meski kelihatan perintahnya begitu absurd untuk dilunasi.

Tapi bagi saya ia bukan sahaja cerita berdimensi vertikal, ia ada elemen berpusat pada bumi. Horizontal, antara manusia dan dirinya. Mujahadah yang perlu dilakukan oleh seorang manusia yang punya rasa. Apa gambarannya, untuk sesuatu yang kita doakan sepanjang hidup, sehingga kita tidak mempunyai hasrat lain. Satu hari Allah memperkenan, dan pada satu hari yang lain Allah minta kembali. Subhanallah. Dan korban itu tidak boleh dilakukan, melainkan dengan menggunakan tangan sendiri. Derita apa yang bersarang di hati bapa kita Nabi Ibrahim itu?

Ia cerita perjalanan menuju dimensi vertikal, namun untuk mencapainya, kita perlu melepasi apa yang menghalang dalam diri. Ya, mengorbankan kecintaan pada apa yang kita cinta. Untuk membukti, pada siapa yang hak perlu diberikan Cinta.

Cerita mengorbankan Ismail, bukan hanya berpusat pada mujahadah Nabi Ibrahim. Bukan juga mutlak atas kerelaan Nabi Ismail, untuk sama-sama patuh pada perintah. Ia adalah cerita yang dihantar untuk refleksi pada diri kita sendiri. Seorang manusia yang punya rasa, sanggupkah berkorban yang dicinta demi menyerah pada Dia?

Ceritakan pada kami Cikli, tentang kehilangan. Ngilu hati menerima, mata sendiri yang menyaksi, sukma yang dipaksa merela. Ceritakan pada kami Aryasu, tentang musibah yang menimpa, ketika sedang bergelut dalam peperiksaan-peperiksaan besar. Ceritakan pada kami sahabat, tentang pengorbanan dan korban yang dicatat dalam massa di Mesir, Libya, Palestin, Lebanon dan yang mengharukan di Bahrain.

Bukan secara sengaja Allah memerintah korban itu tersedia dalam ibadah Haji. Ia telah direkabentuk dengan sempurna, Haji rukun Islam yang kelima, pasangannya ialah korban.

Haji itu sendiri, dalam erti yang saya percaya, adalah tentang pengorbanan. Memberi segala yang ada, yang dipunya, dalam diri, materi, hak milik, harta benda hatta keluarga, untuk satu tujuan, penyerahan. Dan ia harus, bukan, wajib, bersifat mutlak tanpa kompromi.

Ismail itu hanya simbol. Pada apa yang menjadi yang sangat cinta dalam diri kita. Ismail boleh jadi anak. Isteri. Suami. Cucu. Legasi. Turunan. Boleh jadi harta kekayaan, pangkat, kemewahan, empayar perniagaan. Ismail boleh jadi ego, nama, gelaran. Ismail boleh jadi wajah, tubuh, diri. Ismail, dalam diri manusia boleh jadi siapa-siapa atau apa sahaja.

Ismail boleh jadi cinta yang ada dalam diri, yang dipohon seluruh usia, minta diperkenan. Satu hari diperkenan, kegembiraan menyapa. Dan satu hari lain, bila diminta, akankah kita rela berserah?

Saya ada banyak Ismail, yang bertaut dan berakar, yang berdenyut, yang hadir ketika nafas dihembus, nadi, dan menjadikan saya terus hidup.

Saya sedang mempertajamkan pisau, moga ketika ia ditekan ditenggorokkan, mereka tidak perlu meronta kerana kesakitan.

Saya berdoa, bila mana dituntut untuk menyerah, saya akan menjadi Ibrahim yang tunduk, pasrah, berserah, rela, dan redha.

Moga mujahadah di dimensi horizontal ini, akan membuka jalan pulang vertikal, menujuNya.

Monday, April 11, 2011

Salah Faham

Salah faham

Ramai orang menyangka, yang penting untuk manusia adalah pemilikan. Paling mudah yang melibatkan tanah pusaka. Kerana itu kita letakkan sempadan agar garis pemisah itu nyata. Yang itu aku punya, yang sebelah sana engkau punya.

Saya pernah terbaca interpretasi lain tentang kisah Habil dan Qabil. Zuriat Nabi Adam yang memperihal tentang pertumpahan darah pertama dalam dunia. Setahu kita dengan cerita yang dipertuturkan oleh orang tua, ia kisah mengenai keikhlasan. Tentang bagaimana ikhlas kita pada Tuhan. Seorang menyerahkan korban terbaik, seorang lain menyerahkan juga korban, tapi korban yang ala-ala ado. Yang lain menceritakan mengenai wanita. Bahawa kecantikan wanita itulah yang menjadi api cemburu. Sebab itu penyerahan korban untuk Allah itu perlu dilakukan. Yang mana korbannya diterima, maka dialah selayaknya mendapat kurnia Allah. Yang mana tidak, juga menerima kurnia Allah tetapi tidak menurut pertimbangan nafsu dan kehendak diri. Itu kisah yang kita tahu.

Kisah lain mengenai Habil dan Qabil sebenarnya bermula dari isu sempadan. Satu hari Qabil telah membuat satu garis di atas tanah dan membuat deklarasi sempadan. Sebelah sini aku punya, sebelah sana Habil yang punya. Alasan Qabil adalah untuk memudahkan pengurusan sumber.Tetapi Habil yang mengetahui letak duduknya sebagai khalifah di bumi Allah, dan tunduk dengan ajaran yang di bawa Nabi Adam membantah. Kata Habil, tidak perlu dibahagi segala, kerana yang penting adalah untuk saling mempercaya dan berusaha bersama-sama. Tetapi Qabil tidak mahu mendengar, kerana Qabil lebih selesa dengan sempadan supaya dia merasa erti pemilikan. Di situ titik tolak pertentangan antara dua zuriat Nabi Adam. Habil dan Qabil. Bukan wanita yang memercikkan api cemburu dan hasad dengki, tetapi soal memutlakkan kepunyaan.

Milik. Ia kata yang begitu besar bagi saya. Ejaan jawinya tanpa baris memungkinkan kita membaca sebagai Muluk. Dan Al Muluk itu hanya satu sahaja yang mutlak memakai iaitu Allah Azza Wa Jalla. Tiada satu makhluk dalam dunia ini boleh menjadi pemilik, malah kita selamanya peminjam tegar tetapi saling lupa diri.

Saya percaya sebagai manusia biasa dalam beberapa hal kita mahu memiliki. Paling kurang perkara asas yang menjadi tunggak kehidupan. Rumah, isteri, anak-anak, keluarga, harta yang dapat menjamin makan dan minum seharian sehingga anak-anak mampu berdikari sendiri. Mungkin sedikit harta untuk dihadiahkan apabila renta menjemput diri untuk memberi selesa pada legasi. Itu, paling kurang kita harus memiliki perkara seas as itu.

Saya selalu diketemukan dengan ahli hikmah. Dari dia saya banyak belajar tentang hikmah. Kata dia,” manusia salah faham mengenai makna pemilikan.”

Seperti biasa saya yang kurang pandai ini akan bertanya maksud sebenar.

“Manusia percaya bahawa apa yang ada pada diri mereka itu adalah milik mereka. Sedangkan kita tidak pernah memiliki apa-apa, hatta nyawa kita sendiri, hatta nafas kita sendiri.”

Saya termenung panjang untuk memahami. Dalam erti kata sebenar, benar kata-kata sahabat saya ini.

“Tetapi itu bukan bermakna kita tidak memiliki apa-apa?”

Saya mula keliru dengan kata-kata dia.

“Kita adalah pemilik pada apa yang kita rasa.”

“Bimakna?”

“Dengan makna, apa yang jadi milik kita secara mutlak adalah apa yang kita rasa. Ada yang kita alami, apa yang kita dapat melalui pengalaman. Rasa itu mungkin tersimpan dalam otak, dalam hati, tetapi hakikatnya saya percaya, ia tersimpan dalam ruh.”

Ada bulu roma menengak seusai dia menyelesaikan kata.

“Kerana itu bila sampai masanya kelak, kita akan diadili. Dengan apa yang kita rasa dan alami. Bukan dengan pemilikan yang kita kenal sebagai harta, pangkat, pengaruh dan kuasa.”

“Bukankah kita akan diadili kerana harta, pangkat dan kuasa kita?”

“Anda benar. Tetapi yang diadili itu bukan harta, pangkat dan kuasa. Tetapi apa yang anda buat dengan harta, pangkat dan kuasa itu.”

Saya dengan susah payah mengangguk. Dia benar.

“Kita adalah pemilik sebenar atas apa yang kita lakukan. Tindakan kita, rasa kita. Kita tidak pernah menjadi pemilik atas segala bentuk material dunia. Kerana bila mati, semua ditinggalkan. Termasuk benda yang paling dekat, iaitu tubuh. Kita tinggalkan ia dalam tanah.”

“Iman yang akan dibawa mengadap Allah adalah rasa. Amalan yang akan dibawa mengadap Sang Penguasa adalah yang ikhlas-ikhlas sahaja. Ikhlas itu rasa. Dan rasa itu…”

“disimpan dalam ruh.” Itu sambung saya.

Dia mengangguk.

Akhirnya saya faham. Kita bukan pemilik atas apa-apa pun. Yang penting bagi kita ialah dapat merasa dan rasa. Itu bekal yang dibawa. Bukan ditinggal.

Harta kita sehebat mana pun akan ditinggal. Tetapi rasa itu melekat. Tidak dapat ditanggal-tanggal lagi. Ia akan menjadi saksi. Untuk mempertahan, atau ia sendiri, menjadi sebab untuk kita dijatuh hukuman.

Sunday, April 10, 2011

Marah

Sekarang ini mungkin kerana kesan pencemaran radiasi di Jepun, ramai orang marah-marah. Atau itu anologi yang salah. Kerana manusia sudah hilang penghayatan tentang hati budi, maka memikirkan tentang perasaan orang tidak lagi menjadi penting. Yang lebih harus ialah melepaskan perasaan, untuk melegakan yang terbuku.

Saya suka dimarah. Maksud saya ditempat yang sepatutnya. Dan saya tahu ia bentuk kemarahan yang disertai dengan penuh kasih sayang.

Setiap kali dimarah, saya tahu ia bentuk penyataan tentang perhatian. Yang tidak dapat ditunjuk dengan bentuk lain, kerana mungkin saya akan salah erti tentang bahayanya sambil lewa atau membuat silap.

Sekarang jarang sekali saya dimarah. Adakah sudah matang atau orang tidak mahu ambil peduli? Tetapi bila waktu itu tiba, saya sentiasa dapat menerimanya dengan senyum. Sudah tentu jika kita tahu ia disertai dengan perhatian penuh, rasa penuh.

Alangkah indah kalau semua orang tahu meletak perkara di tempatnya?

Marah itu, ada waktunya perlu. Untuk kita sedar, untuk memperbaiki. Bukan untuk melempiaskan hawa nafsu.

Thursday, April 07, 2011

Bahagia

Satu hari rakan saya meninggalkan catatan dalam ruangan komen entri saya. Kata dia waktu kecil semua orang menyimpan cita-cita untuk menjadi dan mengejar sesuatu. Dan dia, rakan yang saya hormati menjawab persoalan teka-teki waktu kecil, dengan jawaban begitu sederhana tetapi amat bererti, “Saya mencari bahagia.”

Indah.

Sehingga sekarang saya kagumi kesederhaan yang mengungkapkan segala yang dicari manusia. Tetapi dengan segala kelemahan dan kejahilan manusia juga, kita telah mendefinisi bahagia dengan pelbagai cara.

Ada yang menilai dengan pangkat. Lalu kerana pangkat mereka menjerumuskan diri ke kancah politik pejabat yang meloyakan. Cantas mencatas, memburuk dan memperdaya, malah ada yang menggunakan Dukun Tuk Bayan Tula, maksud saya ilmu dari alam hitam untuk membolehkan mereka memperoleh yang dihajati.

Tahu-tahu sahaja rakan kita jatuh sakit. Tidak semena-mena mereka menjadi kurus mendadak. Tidak tahu mana punca, yang empunya badanlah yang merasa. Malah sehingga hilang kewarasan fikiran. Mereka jadi tidak tentu hala dan punca. Menjadi orang yang tidak dikenal.

Dan jangan pula dihadkan dengan mainan kotor dan menjijikkan dalam arena politik. Kerana itu saya berhenti untuk menonton TV dan segala keanehan fitnah yang melongokan. Begitu rendah manusia itu bila taruhannya kuasa, pangkat dan wang. Saya juga percaya, wanita juga menjadi taruhan dalam kemelut yang gila dan tolol. Bejat. Tempelak sahaja tidak mencukupi, kerana boleh jadi sahaja manusia diracuni kepalanya, sehingga mengangguk-angguk pada perkara aneh yang tidak masuk akal.

Apa puncanya?

Barangkali kawan saya benar, kita mencari bahagia. Namun manusia mencarinya dengan definisi yang salah.

Material dunia tidak pernah menjadikan manusia benar-benar rasa bahagia. Ia cuma menjadikan manusia rasa tidak cukup. Tetap dahaga bila mana air selautan di depan mata. Tetap lapar bila makanan membukit di sekeliling kita. Kita tamak mencari, mencuri, merampas, walau tembolok kita sudah penuh diisi.

Material dunia tidak pernah menjadikan manusia bahagia.

Jika tidak percaya, tanya Nabi dan Rasul yang dijanjikan syurga. Tanya sahabat yang kunci syurga sudah berada di tangannya. Dalam kemiskinan, kelaparan, kekurangan, mereka punyai hati seluas alam semesta. Mereka selalu rasa cukup kerana itu mereka selalu memberi. Mereka lebih kaya dari mereka yang kita percaya sangat kaya di dunia ini.

Saya juga menjumpai definisi bahagia saya sendiri. Rupanya ia tidak jauh. Ia rasa bila ia hadir, hati kita akan mengelembung seperti belon helium. Kembang sehingga naik ke awan. Waktu itu segala kekayaan dan kemewahan dunia tidak menjadi cemburu di jiwa. Semuanya bagai terpeluwap di angkasa. Nihil hampir tidak bererti.

Saya menjumpai bahagia di dalam senyum ikhlas kamu. Yang menjumpai, dalam apa keadaan sekalipun, tetap jumpa. Yang percaya bahawa saya terbaik ketika menjadi saya, bukan lain. Bahawa saya ada dan memberi erti, meski hanya kecil seperti hama. Yang mengingati setiap waktu dalam doa. Dalam senang dan susah, ada dalam ingatan. Yang membawa saya hingga ke Makkah dan Madinah.

Ya, kamu.

Ya saya, kecil seperti hama.

Bahagia itu mungkin tidak jauh. Ia ada di sekeliling kita. Meski kamu tidak dikenal, tetapi Allah tetap mengenal kamu. Bukankah itu cukup, untuk kamu terbang seperti helang?


Sunday, April 03, 2011

Memilih

Antara 2 pilihan, kemahsyuran dan diingati, mana satu yang akan awak pilih?

Kita boleh memilih, akhirnya kita akan dinilai. Orang akan mengangkat kita sebagai mahsyur adalah golongan elit.

Orang yang akan mengingati kita adalah rakyat-rakyat marhaen, orang kecil. Tetapi itu tidak bermakna kita juga orang kecil.

Sunnah yang kedua apa yang dipelopori Nabi. Golongan elit yang menjadi pemimpin dalam struktur organisasi daulah Islamiyyah zaman Rasulullah adalah dari orang kecil. Mereka selamanya diingati merentasi zaman.

Saya kembali membaca Langit Permulaan. Di dalamnya ada fragmen 'keberjasaan yang ikhlas sampai bila-bila tidak dapat ditandingi gemerlap kemasyhuran. Berjaya daripada pengamalan lebih bermakna berbanding kerana memuaskan nafsu diri yang rendah. Walau apa sahaja, pilihan tetap di tangan sendiri. Pilihlah untuk memilih dengan bijak. Kita yang akan menentukan hala tuju sendiri'.

Semua orang mahu menjadi mashyur. Orang akan memandang kita tinggi walau kita sebenarnya rendah.

Namun, jika disuruh pilih, saya lebih gembira menjadi orang yang diingati. Yang mengukir senyum di bibir orang jika mereka melihat kelibat atau kehadiran. Yang menggembirakan hati mereka yang sarat dengan masalah dunia meski hanya dalam tempoh 2 saat.

Dan yang diingati mereka, ketika tangan ditadah, usai solat, dan mereka mendoakan kita untuk sejahtera dunia dan akhirat.

Apalah ertinya mahsyur, jika ianya datang dengan sumpah seranah orang yang dianiaya.

Kita yang memilih. Seperti dalam fragmen Langit Permulaan, pilihlah untuk memilih dengan bijak.

Awak, pilih apa?