Salah Faham

Salah faham

Ramai orang menyangka, yang penting untuk manusia adalah pemilikan. Paling mudah yang melibatkan tanah pusaka. Kerana itu kita letakkan sempadan agar garis pemisah itu nyata. Yang itu aku punya, yang sebelah sana engkau punya.

Saya pernah terbaca interpretasi lain tentang kisah Habil dan Qabil. Zuriat Nabi Adam yang memperihal tentang pertumpahan darah pertama dalam dunia. Setahu kita dengan cerita yang dipertuturkan oleh orang tua, ia kisah mengenai keikhlasan. Tentang bagaimana ikhlas kita pada Tuhan. Seorang menyerahkan korban terbaik, seorang lain menyerahkan juga korban, tapi korban yang ala-ala ado. Yang lain menceritakan mengenai wanita. Bahawa kecantikan wanita itulah yang menjadi api cemburu. Sebab itu penyerahan korban untuk Allah itu perlu dilakukan. Yang mana korbannya diterima, maka dialah selayaknya mendapat kurnia Allah. Yang mana tidak, juga menerima kurnia Allah tetapi tidak menurut pertimbangan nafsu dan kehendak diri. Itu kisah yang kita tahu.

Kisah lain mengenai Habil dan Qabil sebenarnya bermula dari isu sempadan. Satu hari Qabil telah membuat satu garis di atas tanah dan membuat deklarasi sempadan. Sebelah sini aku punya, sebelah sana Habil yang punya. Alasan Qabil adalah untuk memudahkan pengurusan sumber.Tetapi Habil yang mengetahui letak duduknya sebagai khalifah di bumi Allah, dan tunduk dengan ajaran yang di bawa Nabi Adam membantah. Kata Habil, tidak perlu dibahagi segala, kerana yang penting adalah untuk saling mempercaya dan berusaha bersama-sama. Tetapi Qabil tidak mahu mendengar, kerana Qabil lebih selesa dengan sempadan supaya dia merasa erti pemilikan. Di situ titik tolak pertentangan antara dua zuriat Nabi Adam. Habil dan Qabil. Bukan wanita yang memercikkan api cemburu dan hasad dengki, tetapi soal memutlakkan kepunyaan.

Milik. Ia kata yang begitu besar bagi saya. Ejaan jawinya tanpa baris memungkinkan kita membaca sebagai Muluk. Dan Al Muluk itu hanya satu sahaja yang mutlak memakai iaitu Allah Azza Wa Jalla. Tiada satu makhluk dalam dunia ini boleh menjadi pemilik, malah kita selamanya peminjam tegar tetapi saling lupa diri.

Saya percaya sebagai manusia biasa dalam beberapa hal kita mahu memiliki. Paling kurang perkara asas yang menjadi tunggak kehidupan. Rumah, isteri, anak-anak, keluarga, harta yang dapat menjamin makan dan minum seharian sehingga anak-anak mampu berdikari sendiri. Mungkin sedikit harta untuk dihadiahkan apabila renta menjemput diri untuk memberi selesa pada legasi. Itu, paling kurang kita harus memiliki perkara seas as itu.

Saya selalu diketemukan dengan ahli hikmah. Dari dia saya banyak belajar tentang hikmah. Kata dia,” manusia salah faham mengenai makna pemilikan.”

Seperti biasa saya yang kurang pandai ini akan bertanya maksud sebenar.

“Manusia percaya bahawa apa yang ada pada diri mereka itu adalah milik mereka. Sedangkan kita tidak pernah memiliki apa-apa, hatta nyawa kita sendiri, hatta nafas kita sendiri.”

Saya termenung panjang untuk memahami. Dalam erti kata sebenar, benar kata-kata sahabat saya ini.

“Tetapi itu bukan bermakna kita tidak memiliki apa-apa?”

Saya mula keliru dengan kata-kata dia.

“Kita adalah pemilik pada apa yang kita rasa.”

“Bimakna?”

“Dengan makna, apa yang jadi milik kita secara mutlak adalah apa yang kita rasa. Ada yang kita alami, apa yang kita dapat melalui pengalaman. Rasa itu mungkin tersimpan dalam otak, dalam hati, tetapi hakikatnya saya percaya, ia tersimpan dalam ruh.”

Ada bulu roma menengak seusai dia menyelesaikan kata.

“Kerana itu bila sampai masanya kelak, kita akan diadili. Dengan apa yang kita rasa dan alami. Bukan dengan pemilikan yang kita kenal sebagai harta, pangkat, pengaruh dan kuasa.”

“Bukankah kita akan diadili kerana harta, pangkat dan kuasa kita?”

“Anda benar. Tetapi yang diadili itu bukan harta, pangkat dan kuasa. Tetapi apa yang anda buat dengan harta, pangkat dan kuasa itu.”

Saya dengan susah payah mengangguk. Dia benar.

“Kita adalah pemilik sebenar atas apa yang kita lakukan. Tindakan kita, rasa kita. Kita tidak pernah menjadi pemilik atas segala bentuk material dunia. Kerana bila mati, semua ditinggalkan. Termasuk benda yang paling dekat, iaitu tubuh. Kita tinggalkan ia dalam tanah.”

“Iman yang akan dibawa mengadap Allah adalah rasa. Amalan yang akan dibawa mengadap Sang Penguasa adalah yang ikhlas-ikhlas sahaja. Ikhlas itu rasa. Dan rasa itu…”

“disimpan dalam ruh.” Itu sambung saya.

Dia mengangguk.

Akhirnya saya faham. Kita bukan pemilik atas apa-apa pun. Yang penting bagi kita ialah dapat merasa dan rasa. Itu bekal yang dibawa. Bukan ditinggal.

Harta kita sehebat mana pun akan ditinggal. Tetapi rasa itu melekat. Tidak dapat ditanggal-tanggal lagi. Ia akan menjadi saksi. Untuk mempertahan, atau ia sendiri, menjadi sebab untuk kita dijatuh hukuman.

Comments

Cikli said…
saya mengangguk-angguk. nanti petang kena baca sekali lagi. kena pi kerja dulu.
dalam....

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK