Menghargai

i.
2012 yang saya lihat di filem adalah satu keadaan penuh gawat. Berada dalam tahun ini membuatkan kepala ligat berfikir adakah kesudahan nanti sama. Seperti dalam filem, seperti diceritakan orang.
Tapi apa yang berlaku dalam realiti sekarang pun tidak jauh beza. Banyak negara sedang dalam keadaan rusuh meminta supaya diganti pemerintahan baru. Yang terkini berlaku di Syria sedang Mesir masih lagi bergolak. Orang tanya saya, saya katakan ia ada dalam prophecy. Saya sudah banyak kali baca, di zaman akhir akan berlaku pemberontakan masa terutama di sebelah kawasan Asia Barat.
Cumanya, gugatan dalam jiwa itu tidak ada kerana sudah kurang sangat membaca. Barangkali, bila loceng untuk pilihanraya dibunyikan semula, kita akan menyaksi sejauh mana respon rakyat Malaysia pada perkembangan dunia.

ii.
Seorang muda mengkhabarkan pada saya, "barangkali kita perlu merasa dikhianati kawan, baru kita faham erti dikhianati." Mungkin juga, atau lebih baik katakan ya. Sudah tentu pengalaman hidup yang ada telah melayakkan saya berkata ya. Khianat, satu perkataan yang besar. Ia tidak boleh diterangkan dalam bahasa biasa. Rasa tersayat, pedih, ditinggalkan, penderhakaan, celaka, amuk, semua. Saya tidak tahu ayat yang mana lebih melambangkan erti khianat.
Boleh jadi ia berlaku dalam situasi paling kecil. Kawan-kawan tidak menulis nama dalam tugasan yang perlu dihantar kepada pensyarah. Sedangkan kita orang yang paling bersusah payah.
Atau sebahagian besar kerja diselesaikan hingga berjaya program yang dianjurkan, yang mendapat kredit dan pujian adalah orang lain.
Macam-macam.
Tapi seminggu ini saya dikejutkan rakan supaya buka mata. Buka lebih luas dari kotak pejabat dan tempat bekerja. Nun jauh di Palestin, seorang lelaki muda Adnan Khader sedang melancarkan mogok lapar dan ia telah pun masuk hari ke 64! Adnan menolak sebarang makanan kerana protes ditahan tanpa bicara oleh regim Israel. Tetapi berapa ramai yang tahu, berapa ramai yang simpati. Saya juga sama sehingga ditegur teman seguru.
Bukankah kita sedang mengkhianati Khader?
Kata kawan, Adnan Khader adalah Forgetten Promises kita.
Kata kawan lain, "ada apa dengan dia. Ia hanya mogok lapar sahaja."
Ya, dalam keadaan tidak sedar kita berkhianat. Dan jangan salahkan orang lain bila suatu hari orang khianati kita.

iii.
Adik mengeluarkan entri pengalaman kembali ke asas. Bila mana dia perlu menaiki pengangkutan awam kerana van tidak berfungsi dengan baik. Dalam keadaan ini baru dia menghargai perkara-perkara yang terlepas pandang sebelum ini. Termasuk merancang perjalanan, melihat gelagat orang, dan bagaimana manusia mengatasi kesesakan dalam tren.
Saya tidak begitu. Setiap kali saya berpeluang pulang, saya hanya akan naik pengangkutan awam. Sebab saya merasakan begitu sukar untuk mengecam jalan dan juga parkir yang mahal di KL.
Ini membuatkan saya buat kesimpulan. Banyak orang tidak peduli dewasa ini adalah kerana kita tidak lagi berjalan. Kita lebih suka menaiki kereta, ke mana-mana sekalipun walaupun dekat.
Jalan membuatkan kita bergerak perlahan. Bila perlahan kita akan nampak banyak benda. Dengan berjalan kita nampak ramai orang yang tidak bernasib baik duduk di kaki lima. Dengan berjalan baru kita nampak orang asing yang menumpang di negara kita gigih berusaha untuk mencari rezeki. Sedang rakyat tempatan membiarkan peluang direbut orang. Berjalan mengajar kita berinteraksi dan berkomunikasi. Dengan orang, dengan alam.
Semua ini tidak ada lagi kerana kita berada dalam kereta. Ruang yang dibatasi material yang diproduksi untuk keuntungan. Juga untuk menindas pekerja dengan memberi upah yang kecil. Hidup kita dilingkungkan dengan material.
Rumah dengan konkrit.
Kereta dengan besi waja.
Kita tidak lagi berkomunikasi dengan orang, kerana itu kita tidak lagi menghargai.

iv.
Tanya kawan "bagaimana mahu menyedarkan orang kembali ke jalan yang lurus dan benar?"
Kata saya, "kembalikan ketuanan Tuhan Yang Maha Esa. Dengan izinnya, kita akan kembali, kita akan kembali."

Comments

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?