Tuhan Berimu Cahaya


Kalau ilmu itu benar diertikan sebagai kedatangan makna, gred-gred yang ada dalam transkrip saya sebelum ini adalah petunjuk yang salah!


1 Ramadhan 1433 Hijrah (21 Julai 2012), saya berkesempatan untuk bersama rombongan ahli admin Teach for the Needs (TfTN), Malaysia & UK ke rumah anak-anak yatim Dahikmah yang terletak di Gopeng Perak. Lawatan ini adalah untuk meraikan Pengarah Projek TfTN Dahikmah saudara Anas Hakimi dan kawan-kawan (pelatih perguruan IPG) yang telah memulakan program memberi tuisyen percuma kepada anak-anak Dahikmah sejak 3 bulan lalu.

Dahikmah menempatkan seramai 52 anak yatim yang terdiri dari pelbagai peringkat umur, sekolah rendah dan menengah. Fokus kumpulan TfTN Dahikmah ialah 30 orang pelajar anak-anak di sekolah rendah untuk memantapkan kemahiran asas membaca, mengira, menulis dan Bahasa Inggeris. Ada yang masih tidak boleh membaca dan menulis walaupun sudah berada di Tahun 6.


Dahikmah Gopeng terletak berhampiran dengan exit Gopeng. Hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai, namun lokasi terletak jauh dari jalan utama. Kami dihidangkan dengan hijau saujana pokok kelapa sawit, suasana permai kampung dan latar belakang bukit-bukau yang biru memagari bumi Gopeng. Blok bangunan tersusun dengan kemudahan lengkap untuk keselesaan anak-anak yatim ini, juga surau untuk beribadat. Di hadapan dewan ada kolam yang boleh diadakan aktiviti memancing.

Pasukan admin TfTN kali turut membawa sumbangan dari kawan-kawan dan saudara mara yang mahu turut serta, tetapi mempunyai kekangan masa, jarak dan kesempatan. Ada yang menganggap TfTN sebagai jambatan untuk menyampaikan tangan-tangan mereka yang jauh. Alhamdulillah, semalam ketika kami usap kepala dan wajah anak-anak ini, ia juga adalah tangan-tangan mereka yang membelai.

Kutipan wang hadiah telah membolehkan kami membelikan kamus dwi-bahasa untuk kemudahan pembelajaran bagi setiap anak-anak yang bersekolah. Semoga dapat dimanfaat sehingga ke akhir hayat. Program mewakafkan kamus ini paling popular dan moga dapat diteruskan untuk program TfTN yang akan datang. Rezeki anak-anak yang disayangi Nabi ini juga murah. Setiap dari mereka mendapat goody bag dan angpau Ramadan disumbangkan oleh dermawan yang berhati suci.  Didalamnya ada marker, frame gambar, gula-gula dan kami tambah dengan majalah Jom, biskut, kismis dan sekotak air, pen, keychain serta button TfTN. Pihak pengurusan pula kami sumbangan peralatan dan kelengkapan untuk kegunaan harian.


Sesi penyerahan hadiah buat jiwa saya tersentuh. Ketika menyiapkan goody bag untuk diserahkan kepada co-founder TfTN Cikgu Zamir, seorang anak memandang saya dan berkata, “Kak, yang budak ni tak payah bagi kamus.”

Saya melihat anak yang bersuara dengan rasa tidak percaya. Kemudian melihat anak yang ditunjuki yang sedang tercengang-cengang seperti tidak tahu apa-apa.

“Kak, tak payah bagi. Dia ni OKU kak, accident.”

Saya melihat anak yang dimaksudkan. Ya, dia cuma mengikut apa yang kawan dia buat. Allah. Allah sahaja yang menahan air mata supaya tidak mengalir di situ. Tapi kami serahkan juga kamus, jika dia tidak mampu membaca sekalipun, ia akan jadi tanda kasih sayang dari ramai yang masih lagi peduli.

Petikan dari Facebook TfTN, “Bukan kerja kita untuk menilai atau menentukan samada mereka mahu atau mampu guna kamus tersebut. Yang penting kita menyediakan situasi pendidikan sama rata sebagaimana anak-anak di luar sana menikmatinya.”

Mereka ada seribu macam cerita, masing-masing boleh mengajar kita erti kehidupan. Balik KL dengan hanya menyempatkan diri berbuka dengan biskut dan kismis dalam kereta, dada saya sarat dengan pengalaman. Anak-anak muda sukarelawan ini lebih dulu faham makna pelajaran yang diterima mereka di sekolah, maktab dan universiti. Sedang saya malu memandang usia saya jauh ke belakang yang seperti tidak pernah belajar apa-apa!

Hakimi bercerita, ada seorang dua pelajar UPSR berpotensi dan kami harapkan dia berjaya. “Sekiranya kita dapat jadikan seorang dua anak-anak ini berjaya, adik-adik mereka akan mengikut.” Di usia muda pun beliau sudah tahu untuk berbudi.

Sekiranya ilmu itu benar diertikan sebagai kedatangan makna, maksudnya saya perlu belajar banyak lagi. Tetapi saya tidak kisah dan gembira belajar dengan rakan-rakan dan adik-adik yang menjadikan ikhlas sebagai perisai dalam senyum dan amalan mereka.

Hanya Allah yang dapat melimpahkan rezeki dan keberkatan untuk mereka, dunia dan akhirat.

Ilmu itu cahaya dan hari ini saya faham;

Tuhan memberikan cahaya supaya kita dapat membiasnya menjadi pelangi!  


TfTN – Dahikmah
21 Julai 2012 / 1 Ramadhan 1433H
(Foto ihsan Saudagar Permata (Facebook))

Comments

wah.. bagus ni. semoga terus maju!
ASaL said…
Sokong dan doakan kami ye :)

Terima kasih
Mungkin kawannya itu seorng yang prihatin lalu memberitahu kita atau sekadar memaklumkan, tetapi wajah polos anak ini seperti memberitahu kita: bantulah saya supaya saya tahu bagaimana harus saya menyiapkan diri supaya tidak meminta-minta esok hari.

Kita temui dia, kita mengerti derita dan kita beri joran supaya dia tahu memancing. Itulah TfTN!
Amir said…
Assalamualaikum,
saya Amir Aizzat, pelajar KPM Seri Iskandar, Perak.
Boleh tak saya dapatkan details ttg rumah Dahikmah, Gopeng tersebut?
insyaAllah, saya bercadang utk mengadakan jamuan berbuka puasa bersama anak2 di sana.
ini email saya,
i_zzat93@yahoo.com
ASaL said…
Salam Amir,
Terima kasih respon, dan juga berbesar hati untuk menggembirakan anak-anak ini.

Rakan saya akan menghubungi Amir dalam masa terdekat, untuk arragement jamuan berbuka puasa.

Jazakallahu khairan.
Anonymous said…
Usaha yang sungguh murni. Hanya Allah yang mampu membalasnya....

Sedang merancang juga satu aktiviti untuk anak2 ini...moga dapat dilaksanakan dgn jaya
Anonymous said…
assalamualaikum...saya nur atikah.day pelajar dari upm..kelab kami berhasrat unruk melakukan aktiviti bersama anak-anak yatim di gopeng.jika tidak keberakatan boleh tak tolong emailkan details tentang rumah anak yatim dahikmah,gopeng tersebut?saya dah try contact,tapi tu mungkin contact lama,so saya x dpt nk hubungi tempat tu.terima kasih.
email: cattiah39@gmail.com

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah