Menyemai benih hati rela

Dalam banyak-banyak 'wan', hartawan, ilmuwan, angkasawan, dermawan, satu 'wan' yang kurang dekat dengan saya iaitu sukarelawan. Sehinggalah saya bertemu dengan satu kelompok yang menjadikan kerja-kerja membantu golongan yang tidak bernasib baik sebagai satu misi dalam hidup.
 
Saya belajar bukan mudah menjadi kelompok yang satu ini, kerana ia mempunyai pra syarat iaitu hati rela, jujur, ikhlas dan tidak mengharap apa-apa ganjaran dan balasan. Berbanding segala 'wan' yang lain, sukarelawan akan sentiasa disenyapkan dari kilauan glamour, sanjungan orang dan populariti.
 
Tiga sebab sukarelawan ini jauh dari kilauan glamour, 1. kerja-kerja yang tidak akan diganjari (melainkan kepuasan diri) 2. mereka yang diperjuangkan adalah majoriti dari golongan tertindas (marginal) 3. Tidak berdaya ekonomi untuk dieksploitasikan oleh golongan kapitalis.
 
Realiti yang saya tidak pernah tahu sehinggalah pada minggu lepas saya diajak melibatkan diri dalam kerja amal menjana dana untuk TFTN. Pencetusnya ada golongan mahasiswa yang muda belia dalam linkungan 18-23 tahun. Mereka mengajak saya membuka gerai untuk promosi TFTN sambil menjual lencana dan wakaf kamus pada 6-7-8 September yang lalu.
 
Banyak perkara yang membuat hati tersentuh dengan aktiviti yang satu ini. Banyak benda yang saya belajar. Banyak benda buat saya terdetik, yang selama ini seolah-olahnya saya tidak buat apa-apa. Paling buat bermenung panjang ialah, saya akhirnya faham kerja-kerja amal adalah jambatan untuk menyuburkan semula kemanusian dan mewujudkan kembali peluang untuk melihat keadilan.
 
Hakikat paling dilupakan orang seperti saya, bahawa manusia pilihan Tuhan tidak pernah diagihkan kerana kedudukan, harta, rupa, wang dan pangkat. Allah hanya melihat taqwa. Taqwa tidak datang bergolek. Ia adalah proses dan ujian bersilih ganti. Tidak ada minimum umur atau maksimum umur untuk mendapat taqwa. Barangkali orang di bawah kita yang paling muda lebih dulu mengenal dan mendapatnya dari kita.
 
Entah kenapa, saya berkesimpulan cara paling cepat untuk sampai menjadi manusia pilihan adalah dengan kerendahan ego. Dengan mengembalikan kemanusiaan dan keadilan. Menjadi manusia patuh rela berserah. Kasih sayang yang penuh cinta.
 
Tuhan terlalu banyak cara mendidik saya. Tinggal lagi saya selalu tidak sepenuhnya sedar. Perhatian Dia terlalu akrab spesifik untuk saya.
 
Banyak yang mahu saya ceritakan, untuk saat ini saya renungi diri, "Asal, nikmat yang mana dari TuhanMu belum lagi kau sungguh-sungguh syukuri, atau sebenarnya kau dustakan?"
 
Allah, perbaikilah akhlak dan hati nurani. Semaikanlah benih hati rela sehingga aku sampai kepadaMu tanpa hijab.
  

Comments

Najwa Najihah said…
setuju.

hidup itu untuk memberi dengan sepenuh hati. moga mampu menjadi 'wan' itu.
ieka said…
Let's meet up. Tak sabar nak dengar cerita :-)
ASaL said…
Najwa Najiha

Amin.

memberi sepenuh hati, melihat depan mata, mereka (generasi muda masa depan) yang mencurah masa dan tenaga dengan ikhlas sangat menggembirakan.

dunia ini masih punya harapan, dengan syarat kita percaya.
ASaL said…
Ieka - insyaAllah dengan keizinanNya.
khairul azman said…
menbacanya menbuatkan saya tidak henti-henti berfikir.bersukurnya saya dapat melibatkan diri. walaupun tidaklah sehebat yang lain. walaupun tidaklah sekuat yang lain. tapi saya mula sedar kita semua perlu.perlu menjadi "WAN"

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?