Puncak Cinta
Puncak kasih sayang dan cinta adalah kesetiaan. Sejauh mana kata-kata manis, hadiah dan penghargaan yang diberikan tidak akan dapat menyamai tulus hati seorang pencinta untuk sentiasa ada, walau tidak dapat hadir zahir. Tetapi tetap ada meski tidak nampak di mata.
Tidak kira dekat atau jauh, sihat atau sakit, baik atau berbuat salah, hidup atau yang telah pergi, miskin atau kaya, sempurna atau pincang, selagi hayat dikandung badan cubalah untuk setia.
Ada orang bertanya bagaimana?
Hadirkan mereka dalam jaga dan tidur, sedar dan mimpi, lapang dan sibuk, sejahtera mahupun kesempitan, hidup dan sedang sakarat. Ia bukan usaha berlebih-lebihan pun, cukup sekadar sepotong doa memohon agar Allah memandang mereka dengan kasih sayang. Doa yang sepotong itu, bagi ramai orang adalah beban yang terlalu berat untuk diucap di bibir apatah lagi dihadirkan dalam hati.
Jadilah Sang Pencinta seperti Nabi, jika bukan kerana kita masakan baginda mahu kembali ke bumi setelah bertemu Cinta di malam Isra' dan Mikraj. Jadilah Sang Setia seperti Rasulullah, ketika sedang sakarat yang mengilukan baginda masih tetap menyebut ummati, ummati, ummati.
Meski untuk umat seperti kita yang jarang-jarang sekali berselawat pada Baginda.
Musim Haji, kubah hijau di mataku.
Allahumma solli ala Muhammad, wa ala ali Muhammad.
Comments