Air Mata Lelaki

Susah benar untuk melihat lelaki menangiskan? Tidak sesuai dengan ego mereka yang diciptakan kental dan keras hati. 

Tidak boleh berubahkah?

Hari itu aneh benar. Kata Mak, Ayah demam. Saya berusaha memujuk Ayah untuk ke klinik. Tetapi Ayah tidak mahu. Ayah memang begitu, kalau sakit sikit-sikit akan digagahkan sehingga kebah sendiri. Saya menelefon Abang kalau-kalau dia dapat memujuk Ayah untuk menerima khidmat Doktor. Lepas bekerja, Abang singgah di rumah dan tidur di sana. Sebagai persediaan andai Ayah mahu menerima pujukan kami.

Abang saya manusia kental yang bertubuh besar. Seperti ahli sukan gusti lagaknya. Mak selalu cakap Abang yang ini keras hatinya. Sejauh mana keras hati Abang saya tidak tahu, saya belum hidup cukup lama untuk menilai orang. Jadi malam itu Abang tidur di rumah, meski Abang sudah berkeluarga dan rumah sendiri.

Pagi subuh saya menjenguk bilik Ayah. Selalu Ayah yang lebih dahulu bangun untuk membersihkan diri dan solat subuh. Pagi itu Ayah tidak ke bilik air. Saya tidak pernah tahu, itu Subuh terakhir untuk Ayah. Matanya aktif memerhatikan saya yang menjenguk tetapi Ayah sudah tidak mampu lagi untuk menggerakkan tubuhnya.

Peristiwa-peristiwa berentetan sehingga ke Asar masih banyak. Tetapi saya belum berdaya untuk cerita. Ketika Ayah telah selesai segala rawatan di ICU, doktor mencadangkan untuk dipindahkan di wad biasa. Dipindahkan bermaksud, bekalan oksigen yang membantu Ayah bernafas akan dihentikan sementara. Bergerak dari ICU, naik lif dan dipindahkan ke atas katil, akan menyebabkan Ayah bergantung kepada kemampuan dirinya sendiri untuk bernafas. Mungkin Ayah sudah letih, perjalanan dari ICU ke wad biasa Ayah sudah tidak mahu bernafas lagi.

Abang saya yang kental itu sentiasa di katil Ayah dan memandu Ayah melafazkan nama Allah. Abang-abang lain dan ahli keluarga yang lain juga turut menyertai. Juga adik-beradik serta anak-anak buah yang ramai datang untuk melihat Ayah hari itu di hospital.

Ketika sepupu saya memegang bahu Abang dan mengatakan, "sudahlah Man, Ayah dah tak ada," Abang menekup matanya dengan kuat. Menggosok-gosok matanya yang berair, tidak peduli kepada Abang sepupu. Abang masih mendekatkan diri ke telinga Ayah dan mengajarkan kalimah Allah. Sehingga ada orang menutup wajah Ayah dengan selimut.

Hari itu pertama kali saya melihat air mata lelaki, seorang Abang yang kental dan keras hati.

Ya lelaki, tidak dijadikan Allah tanpa air mata. Dan air mata tidak seharusnya melekat pada peribadi seorang perempuan dan wanita. Ia dijadikan oleh Allah untuk semua.

Baru-baru ini saya bertanya Abang, apa perlunya air mata untuk lelaki.

"Tahu lelaki kan? Lelaki selalunya hati kering dan tidak mudah peduli dengan keadaan orang lain. Tapi kalau sudah biasa mendengar perjalanan susah payah dan derita Nabi dan keluarganya, Alhamdulillah hati tidak lagi kering macam dulu lagi."

Abang menitiskan air matanya sekarang, dengan menghayati sejarah Nabi. Susah payah Baginda dan ahli keluarga yang berkorban demi ummat akan datang. Yang sirah mereka hanya layak kita kenang dengan air mata sesungguhnya, kerana mereka telah berkorban banyak. Terlalu banyak.

Sambung Abang, "sebenarmya sedih dan airmata falsafahnya ialah menghidupkan hati manusia supaya lebih prihatin dan lebih manusiawi. Satu lagi, kalau kita mengingati sirah Rasulullah dan keluarganya, apa-apa masalah dan musibah yang kita manusia alami ini, sebenarnya tidak ada apa-apa kalau hendak dibandingkan dengan mereka."

Saya berhenti membaca pesan dalam kotak mesej saya. Bersetuju sepenuhnya.

Kata Abang yang saya tidak akan ingkari, "dengan begitu, jiwa-jiwa manusia lebih kental dan tahan kalau menghadapi musibah."

Alangkah bagusnya jika setiap lelaki pun mahu menitiskan air mata mereka demi untuk Nabi.

Ya apa pun yang datang kepada kita, rupanya bukan apa-apa, untuk dibandingkan dengan pengorbanan KekasihNya.


****************




Comments

AzianKhalil said…
hampir 8 tahun hidp bersama suami...kali pertama lihat dia menangis ketika arwah kakaknya pergi dgn cara yg lebih kurang sama dgn ayah awak

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah