Pelajaran Rezeki 3

Pelajaran Rezeki 3

Dia adik, yang saya sayangi setelusnya. Demi kasih sayang, saya tidak mungkin melimpahkan dia dengan kesenangan dan kemewahan. Dan kerana itu saya tegar membiarkan dia menjalankan kehidupan dengan kepayahan. Dengan realiti kehidupan yang ada, supaya dalam masa muda ini juga dia belajar, bukan kemudian-kemudian. Itu yang arwah Ayah bentukkan dalam diri saya. Menyenangi kesusahan, demi membentuk peribadi teguh dan kental.

Yang saya tahu, arang batu dan berlian terdiri dari bahan yang sama. Tetapi nilai keduanya berbeza. Berlian bernilai tinggi kerana ia telah mengalami proses tekanan yang begitu hebat dan dahsyat. Tetapi arang tidak, kerana itu ia murah dan senang di dapati.

Saya mengajari adik tentang ilmu. Bahawa ia bersifat sebagai cahaya. Ia hanya akan masuk ke dalam hati yang memerlukan, yang tunduk, yang ikhlas, yang menghormati sebagai jalan keluar dari tidak tahu kepada tahu. Dari bodoh kepada kepandaian. Dari di pandang rendah kepada penghormatan. Dan kerana agung sifatnya sebagai cahaya, ia mustahil dapat dengan jalan senang lenang, sambil lewa, curang dan menipu, tidak menempuh susah, ikhtiar dan doa.

Sepanjang adik menuntut ilmu, saya tahu kesusahan dia. Yang saya kadang-kadang insafi dengan air mata. Dalam beberapa ketika saya hulurkan dengan sedikit kemewahan, untuk memberikan dia suasana aman sekali sekala. Tetapi saya bersyukur, dia menginsafi keadaan kami yang serba kekurangan. Jalan keluarnya percaya kepada Allah yang akan memberi petunjuk.

Satu hari dia bercerita, “kami hanya makan sekali sehari. Sekali yang makan itu pun akan dipastikan cukup banyak sehingga dapat mengenyangkan perut sehingga esok.” Saya menahan air mata. Menghulurkan lebih keping duit ringgit.

Kata adik, “bukan duit yang menjadi masalah. Tetapi masa yang kami perlu aturkan, kerana selalu tidak mempunyai masa senggang untuk pergi makan.”

Saya mengucapkan kesyukuran, bahawa adik sudah faham tentang erti pengorbanan demi menggapai cahaya.

Banyak yang terjadi padanya yang jika tidak kuat boleh merobohkan semangat dan daya juang. Adik sudah kehilangan Ayah belum pun berusia 17 tahun dan dalam tahun getir mengambil SPM. Anak buah sulung kami, rakan baik adik yang hanya berjarak umur 2 tahun meninggal dunia kemalangan. Kata adik akhir-akhir ini tentang perasaannya mengenai peristiwa itu, “sayap saya patah dan selama-lamanya tidak akan ada ganti.” Tidak sampai setahun selepas itu, kakak kami pula pergi mengadap Ilahi, ketika adik berjuang untuk menyudahkan pengajian diplomanya.

Satu masa yang dapat kami berbicara adik bertanya, “perasaan tak masa Syafiq dan Kak Ngah meninggal, saya sedang dekat benar dengan peperiksaan akhir.” Dalam hati saya menyambung, “juga ketika kamu mahu mengambil SPM dahulu.”

Jika saya yang ditempat adik, mungkin sudah mengambil cuti khas untuk menenangkan fikiran dan hati. Tetapi adik tetap juga mempercayakan takdirnya kepada Tuhan, terus berusaha, berikhtiar, berdoa dan tawakal.

Saya tidak tahu bagaimana adik berdoa, tetapi saya berdoa supaya dia sudah faham tentang bertawakal kepada Allah Ar Razzaq, yang akan menyempurnakan kurniaNya di tempat yang kita tidak duga, dan yang paling kita suka.

Adik tamat diploma dengan selempang di bahu dan badannya. Penerima anugerah Naib Canselor. Adik tamat sarjana muda dengan pengiktirafan kepujian kelas pertama. Dan setelah bersusah payah selama setahun di tempat kerja kecil yang tidak terjamin perkembangan kariernya, adik sudah diberi kepercayaan di syarikat besar.

Ketika dia bersusah balik lewat malam kadang-kadang subuh (ketika bekerja di syarikat kecil dahulu), saya menyirami hatinya dengan nasihat, “anggaplah semua ini sebagai pelajaran yang mahal. Allah yang beri kerana mahu mengajari kamu lebih banyak.”

“Tiada buku yang hebat yang boleh menceritakan dengan detail pengalaman susah payah kamu. Tiada jumlah duit yang boleh dibayar untuk membeli peristiwa yang telah kamu alami. Pengalaman itu lebih banyak menyekolahkan, dari bertahun-tahun menelaah buku di sekolah.”

Ketika dia sampai demam kerana terlalu stress, saya menasihati adik di hujung telefon, “pergilah beli sup panas dan makan bersama nasi. Jangan kosongkan perut kerana nanti tidak ada tenaga untuk proses sihat semula.” Adik mengadu dia tidak mampu menelan nasi, tetapi terima kasih atas nasihat dia dapat memperkuatkan badan dengan minum sup yang dicadangkan.

Ketika mengiringi adik untuk menerima Ijazahnya di Dewan Agung, sudah tentu peranan saya mengganti arwah Ayah dan mak yang tidak sihat untuk menyaksi sendiri. Anak kecil dengan segala dugaan dan kepahitan yang jarang sekali diceritakan dengan emosi, melainkan dengan ketangguhan semangat dan daya juang, rupanya sudah dewasa. Sidang itu menjadi lebih indah kerana orang pertama yang dipanggil untuk membuka sidang konvokesyen hari itu adalah adik. Yang seluruh perjalanan juang menuntut ilmunya, saya percaya ditemani Cahaya untuk memenuhkan jiwanya dengan cahaya.

*****


Tiga kisah di atas akan bertahan lama dalam diri saya insyaAllah. Juga banyak kisah keajaiban kecil dan besar yang berlegar, yang kadang-kadang tidak dapat saya olah dalam bentuk perkataan. Tapi ia wujud setiap hari, berkitar di hadapan mata saya, yang menyebabkan tidak boleh tidak, saya tunduk kepada kebesaranNya, Sang Pemberi Rezeki.

Comments

Aderi Aryasu said…
Terima kasih kakak. I don't know what to say.

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?