Pilihan

Semalam ketika menekan punat kawalan jauh Adik bertanya, "tidak singgah kat saluran 103 ke?" 

Saya mengangkat kening, bertanya kenapa dengan isyarat sahaja malas sangat.

"Saja nak mention je, bukan ke malam ini ABPBH?"

"Oh dah tengok sekejap tadi, macam siaran ulangan."

Adik yang selalu faham sikap saya terhadap majlis anugerah seperti ini tidak terkejut. "Benda yang sama sahaja setiap tahun?"

"Ya, tidak memberikan kita apa-apa dan seolahnya mereka sudah kekeringan idea. Kasihan kita perlu bergelak ketawa dengan parodi dari Johan yang menggayakan lagu Shae."

"Parodi lagu Sayang?"

"Yea. Klip video nyah yang paling glamer di YouTube diparodikan oleh Johan."

Tentu saya gelak. Memang Johan lucu tidak dinafikan. 

Meski begitu saya memilih menonton Master dan Commander siaran TV2, lakonan Russel Crowe yang selalu dikagumi dan mengesankan. Sepanjang masa saya membayangkan getir perjalanan di laut, bagaimana menjadi nakhoda yang baik sekaligus melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan. Konflik persahabatan dan kesetiaan. Saya memikirkan andai satu hari nanti mempunyai kesempatan yang sama. Mengembara dengan menaiki kapal dan mencerna keindahan ciptaan Allah Yang Maha Esa. Kemewahan yang sangat mengujakan.

Hidup itu pilihan barangkali ini adalah satu saranan yang asing. Lebih ramai yang percaya hidup adalah sesuatu yang telah ditakdirkan. Kita lahir ke dunia itu tidak syak bukan pilihan, tetapi setiap tindakan adalah dari pilihan yang kita ada.

Seperti kawalan jauh di tangan, kita punya kuasa memilih rancangan TV yang kita suka, kita juga punya kuasa untuk tidak menonton, juga punya pilihan untuk membuat pekerjaan lain yang lebih berfaedah, seperti membaca buku atau berdiskusi, atau beberapa banyak pilihan lain yang awak sendiri lebih arif mengenainya.

Bagaimana mahu memilih?

Ketika saya menukar saluran ke TV2, saya memilih secara sedar. Keperluan saya ketika itu bukanlah untuk sama bersorak sorai untuk penyanyi pelakon yang popular yang dinobatkan melalui undi akhbar Berita Harian (BH). Berapa ramaikah yang membeli BH? Tentu popular mereka itu bukanlah bersifat menyeluruh, tetapi terpilih melalui pembaca akhbar yang tidak mencapai rating paling tinggi di Malaysia (saya difahamkan akhbar paling laris adalah Metro).

Saya memilih untuk tidak menonton ABPBH kerana apa yang boleh dapat sedikit, hiburan yang berulang sifatnya (tidak bermaksud saya menolak hiburan tau!). Memilih Master and Commander kerana saya tidak pernah menonton lagi filem ini, banyak pelajaran teknikal mengenai pelayaran dan ilmu menundukkan angin, taktikal perang laut, bagaimana sains dapat digunakan untuk memperbaiki ilmu sedia ada, ilmu tentang kelakuan manusia, dan memberi makna kepada persahabatan dalam keadaan getir dan menekan. Seolah-olah membaca Bedar Sukma Bisu dan Sukma Angin sebelum ini mendapat bentuknya yang visual.

Selesai menonton Master and Commander saya masih dapat tahu Bintang Paling Popular ialah Shaheizy Sam. Tanpa perlu menukar saluran pun, saya masih dapat maklum tentangnya.

Hidup di zaman ini buat kita semakin sedar bahawa pilihan ada di hadapan mata kita, terbentang dan tidak dipaksa. Ujian pada waktu ialah memilih yang lebih baik, kerana pilihan itu akan membentuk diri secara perlahan-lahan siapa kita di masa depan.

Saya tidak mencadangkan menonton Master and Commander lebih baik, mungkin ada siri rancangan kuliah untuk pemulihan jiwa disiarkan di TV Al Hijrah pada waktu yang sama (beginilah kekurangan diri yang boleh kita nilaikan).

Menjadi selektif adalah tanggungjawab diri. Ia dibina dan dibentuk dengan apa yang ada dalam diri kita. Dulu mungkin kita tidak akan miss ABPBH, Juara Lagu, AIM, dan segala macam rancangan berbentuk popular kerana kita perlu kelihatan update di kalangan masyarakat. Dulu ilmu terhad, pergaulan terhad, kesedaran belum tiba, keinginan terhadap hiburan lebih menyala dan pelbagai alasan lagi.

Sekarang, sebahagian dari kita sudah melalui proses kematangan diri, tidak bergantung umur muda atau memang sudah mencecah dewasa.

Beruntunglah mereka yang memilih dengan kesedaran yang tinggi, untuk memilih atas pilihan yang lebih baik.

Kita memilih perkara yang dekat dengan kita pada hari ini, begitulah jika mahu menilai kita dimana.

(seperti ada unsur-unsur untuk ke pilihanraya? hahaha, macam ambil kesempatan pula). 





   

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK