FiZi Kir
Baru perasan untuk Fikir dan
Zikir berkongsi hujung yang sama. Yang beza hadapannya, iaitu Fi dan juga Zi.
Bagaimana fikir itu boleh menjadi
zikir?
Agak susah juga menjawab soalan
ini. Tapi saya cuba. Zikir mempunyai maksud yang khas iaitu mengingati. Tetapi
kita selalu menghadkan pengertiannya dalam bentuk ibadah. Lepas solat misal
kata. Bila kita dapat duduk 10-15 minit menghitung ruas jari atau butir
tasbih. Sambil menyebut-nyebut nama
Tuhan Yang Husna, atau lafaz-lafaz memohon ampun dan puji-pujian.
Itu yang sekurang-kurangnya
muncul dalam kepala. Tidak dinafikan ia memberikan makna mengingati (zikir)
dengan tepat sekali.
Bagaimana fikir boleh menjadi
zikir?
Ini bukan soalan khas untuk kita
orang yang sudah beragama, tetapi juga untuk mereka yang belum.
Tak susah pun. Zikir maksudnya
mengingati. Sebab guna Bahasa Arab kita mengkait hubung dengan soal agama.
Fikir bukan soal agama sangat, ia adalah soal kesedaran. Kalau semua orang
boleh buat ni, dunia boleh aman.
Fikir yang digalakkan sangat
adalah benda paling asas je pun.
Fikir itu boleh jadi benda
semudah kita merenung langit yang biru dengan burung-burung melintasi awan
dengan gembira.
Boleh jadi melihat banjaran
gunung-ganang saujana mata memandang.
Boleh jadi melihat bunga yang
begitu ungu warnanya.
Boleh jadi ketika mencicipi manis
rasa madu.
Boleh jadi ketika merasa takjub bagaimana banjir di Kuantan dan Kemaman boleh berlaku dalam keadaan yang sangat dahsyat.
Boleh jadi ketika kita memerhatikan
bintang-bintang di angkasa.
Boleh jadi ketika mendengar
ketawa anak-anak.
Boleh jadi ketika kita merenung
mata orang yang kita sayang, sambil berfikir dari mana datangnya rasa kasih
yang penuh ini dalam hati?
Senang cerita boleh tengok
YouTube lagu Maher Zain, Open Your Eyes.
Boleh jadi ketika menyebut
sebutan nama Tuhan dalam zikir sambil guna tasbih kita lalai. Sebab larut dalam
khayalan, walau tangan sibuk menghitung butir manik tasbih.
Tapi sekiranya kita ambil masa,
merenung langit, melihat haiwan terbang berkumpulan, melihat gunung ganang
tersergam, mendengar air hujan turun, melihat pemandangan air terjun dan
persekitaran yang luar biasa cantik, melihat matahari terbit dan menerangi
alam, melihat bintang-bintang yang begitu banyaknya di angkasa, melihat pelangi
yang 7 warnanya….
Kemudian hati kita terdetik, Maha
Suci Tuhan yang Menjadikan. Tidaklah Kau jadikan semua ini sia-sia. Itu adalah
tanda fikir sudah menjadi zikir.
Apa sahaja yang kita lakukan,
fikirkan, selagi ianya membuatkan kita ingat pada Dia, itu sudah menjadi
FiZiKir.
Ketika saya cuba menyelesaikan entri ini, sepupu saya yang sedang berada atas kapal menitipkan ini:
"Zikir itu ialah jalan yang tinggi pada mendampingi Allah. Tetapi zikir sukar membawa khasiatnya jika manusia BERZIKIR TANPA BERFIKIR."
"Tidak keterlaluan saya katakan bahawa FIKIR itulah yang membawa Barat datang kepada Islam. Manakala orang Timur pula berbondong-bondong meninggalkan Islam kerana mereka tidak BERFIKIR."
Comments