Tuesday, March 19, 2013

Cinta itu seperti apa?

Ketika berpenatan dengan masing-masing badan berbau seperti kilang kerana penat seharian bersolidariti, kami berkumpul di ruang antara gerabak LRT. Di sisi saya 3 orang anak muda pemimpin masa depan. Seorang masih menuntut di bidang forensik, seorang bakal guru bahasa Inggeris dan seorang lagi adalah bakal peguam. Tanya saya apa yang menjadi penghalang rakan-rakan lain untuk turun padang berbakti kepada masyarakat pada usia muda.

"Mereka tidak sanggup mengorbankan lifestyle hujung mereka. Shopping dan outing (atau mungkin dating). Mereka masih mahukan life mereka."

"Bagaimana dengan awak?"

"Inilah life yang saya pilih."

Saya menganggat kening.

"Kami juga sukakan life sepertimana kawan-kawan yang lain. Tetapi bila fikir-fikirkan, kenapa tidak lakukan kerja-kerja yang memberi makna? Aktiviti seperti ini, adalah life yang saya pilih."

Bakal teacher kemudian mencelah, "saya sedang menunggu nama untuk dipilih menjadi sukarelawan di Peru."

"Amerika Latin?" tanya saya.

Si gadis manis bersuara lunak mengangguk laju.

Kemudian kami berbual mengenai filem. Mengenai pendermaan organ, hukum dalam Islam. Keinginan untuk masuk ke dalam bilik mayat. 

Dalam keadaan berusaha semaksimal mungkin setiap hari seperti ini, dengan tanggungjawab di kuliah, memanjangkan dengan kerja-kerja masyarakat, memanjakan diri dengan hobi masing-masing, masih bersosial bersama rakan-rakan yang ramai, mereka sudah pun merancang dan menyediakan silibus untuk memastikan adik-adik yang tidak boleh membaca di rumah Khairiyah akan dapat membaca tahun ini juga.

Jika orang bertanya saya, seperti manakah cinta? Saya akan jawabkan, cinta itu mempunyai wajah-wajah seperti mereka. 

Malam, turun dari stesen LRT Setiawangsa, saya mengiringi mereka semua ke kereta. Saya keluarkan dari beg seplastik vitamin untuk diberikan kepada adik-adik dalam penjagaan mereka. Mereka menyambut dengan wajah tersenyum. Masing-masing sudah letih lelah dan lesu. Tetapi masih menguntum senyum lemak bergula. 

Sungguh cinta itu punya wajah, dan saya cukup bertuah kerana dapat menyaksikannya.


Monday, March 18, 2013

Bukalah jendelamu

Hujung minggu lalu, memang mengujakan.

Seawal pagi perlu menyiapkan teks dan catatan kerana diminta untuk menjadi pengulas buku di Annexe, berdekatan Central Market, KL. Tergesa, kerana saya diminta untuk mengantikan orang yang tidak dapat hadir. Dan buku pilihan orang yang tidak dapat datang itu berwacana berat. 

Tapi saya kira dari pagi saya diberkati. Waktu sarapan ketika sibuk-sibuk menulis dalam buku catatan di kedai mamak NZ di Setiawangsa, kawan tiba dengan buku catatan di tangan. Ketika itu teh tarik sudah pun surut 3/4 gelas. Ya saya selalu gembira berjumpa dia, kerana biar berapa lama (sekejap) pun kesempatan waktu yang diberikan kepada kami, saya selalu tahu akan ditimbuni ilmu bekal untuk beberapa bulan akan datang. 

Waktu yang sekejap itu (sejam lebih sikit) kami sudah pun mengumpul tentang model ekonomi, beberapa contoh tentang kebaikkan dan keburukan model ekonomi yang telah diadaptasi oleh sesebuah negara, bagaimana mempercepatkan perkembangan ekonomi, tentang intelectual human sebagai capital, pendidikan anak-anak genius, pendidikan anak-anak corot, home schooling, Khalifah metod, sekolah Khalifah, pemenang anugerah Nobel Ekonomi, teori dan prinsip mikro ekonomi Muhammad Yunus, Grameen Bank, mengenai latihan berkumpulan untuk mengenal pasti kebolehan dan karakter manusia, dan mungkin ada lagi yang saya tidak tertuliskan di sini.

Saya perlu bergegas, kerana menyiapkan diri sebagai bidan terjun untuk acara sebelah petang. Ujian saya juga bukan kecil, kerana diberitakan penulis buku itu sendiri akan hadir (berpeluh).

Tetapi rupanya tiba di Annexe jam 2 itu adalah rahmat yang banyak. Saya bertemu lagi dengan ramai anak-anak muda pemimpin masa depan, dan menjadikan hati saya kembang dengan harapan. Mereka juga, seperti rakan saya di mapley, menimbunkan saya dengan ilmu dari sudut yang pelbagai. Masing-masing dengan cerita, pengalaman dan azam untuk berjuang langsung bersama anak-anak marginal dan terpinggir.

Ruang kecil, panas, dengan pengudaraan yang tidak begitu sempurna itu, serasa saya dipenuhi dengan bunga dan cahaya.

Satu perkongsian petang semalam adalah berkenaan dengan peranan akal dalam mendapatkan ilmu. Menceritakan tentang anologi bagaimana ilmu boleh menetap tetap dalam hati dan minda kita adalah seperti ini,

"Bayangkan kita berada di dalam sebuah bilik yang gelap gelita. Tanpa ada sebarang lubang untuk dimasuki cahaya. Tetapi hari sedang siang, di luar ada matahari terang benderang. Apa jadinya jika kita buka sedikit jendela?"

Audien menjawab, bilik kita seluruhnya diterangi cahaya.

"Begitulah bagaimana perlu kita gunakan akal. Mesti ada upaya untuk dibuka seperti mana kita membuka jendela. Dan kemudian ilmu akan dapat menerangi jiwa dan minda."
  
Petang itu kami bersantai atas lantai. Sambil sembang-sembang pengalaman dari pagi dengan makan kek yang manis berkrim.

Sehingga malam dan berjumpa awal pagi semula, mata, minda, hati saya, cerah terang benderang. Seperti dipasang mentol dengan watt yang sangat tinggi.

Malam itu saya tahu lena (tidak lena) tidur dipenuhi mimpi-mimpi tentang jendela yang siap sedia untuk dibuka.


Friday, March 15, 2013

Doa untuk semua

Untuk kamu yang menyayangiku, dan aku menyayangimu kerana Allah. 

Ya Allah, aku bermohon padaMu agar Kau kurniakan segenap kebaikkan kepada ibu, ayah, adik, abang-abang, kakak, keluarga, guru-guru, rakan-rakanku yang disayangi dan mereka yang Kau kasihi. Sayangi mereka kerana aku tidak akan dapat menyayangi mereka melainkan dengan apa yang Kau izinkan. Kerana Kau Maha Kaya, pembendaharaanMu meliputi apa yang kami tahu. Permudahkan urusan mereka, basahkan hati mereka dengan mengingatiMu, cinta Kamu, damba Kamu, bergantung kepadaMu. Hanya padaMu tempat segala permohonan.

Aku sayang kamu dengan segenap kemanusiaanku yang serba kurang. Yang melihat kelebihanmu kerana usaha kerasmu yang berusaha mencari rezeki yang halal, senyum yang masih kau ukir bila mana melihatku meski kamu terlalu lelah atas urusan yang dituntut ke atas dirimu, yang mendoakanku kala aku tidak pernah tahu, yang menyimpanku dalam hati dan sukma, yang kurasakan penjagaan dan perhatian pada setiap ketidakberdayaan, yang mengingati selama peninggalan, yang tetap nampak diriku dalam keramaian yang padat dengan orang. 

Aku sayang kamu dengan segenap kemanusiaanmu dan kehambaanmu. Kerana itu aku berusaha mengekalkan akhlak dan amal perbuatan di jalan yang diredhaiNya. Kerana jika aku jadi terlupa berdoa untuk kamu, semoga amal dan akhlak yang baik yang terpakai ditubuhku dapat dipanjangkan dan ditebus sebagai doa kepadamu. Sepanjang masa, sepanjang nyawa.  

Allahumma solli ala Muhammad wa ali Muhammad.

Perkenankanlah.


Thursday, March 14, 2013

Seperti Air yang Mengalir...

"Sungai Jordan dan laut mati. Kedua-duanya di Palestin. 1. Sungai Jordan mengalir menjadikan tanah subur. 2. Laut mati penuh dengan garam sehingga tiada hidupan mampu hidup di sana. Sungai Jordan mengalirkan air ke laut mati. Dan laut mati tidak mengalirkan ke mana-mana. Di sini dapatlah kita lihat betapa besarnya nikmat memberi dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan."

Itu status seorang Adik yang dalam hatinya ada pelangi. Sejak akhir-akhir ini Adik itu sudah menitipkan pesan-pesan berguna dan bermakna dalam status Facebooknya. Sudah berubah, statusnya sudah menjadi seperti air yang mengalir dan cahaya, dengan berkongsi ilmu. Yang ditulis untuk menyampaikan pesan-pesan kebenaran, meski saya sendiri tahu apa kritik dan perlian rakan-rakan disekelilingnya. 

Harga yang perlu dibayar oleh mereka yang mahu berpesan kepada perkara baik dan kebenaran.

Saya kagum kerana diusia muda, Adik itu menyanggupi kerja mulia, tidak kisah tidak menjadi seperti majoriti mereka seusia, kelihatan ganjil dan poyo, tidak membantu banyak kepada konteks pembelajaran di bidangnya di Universiti, seolah-oleh menghabiskan masa kepada perkara yang tidak perlu dan sebagainya. 

Besar pengorbanan Adik tetapi dia masih lakukannya sepenuh hati, sepenuh keikhlasan.

Dalam dada sepenuh doa untuk Adik: kekuatan, kesabaran, ketekalan, semangat, niat yang putih, pertolongan Tuhan, ketenangan dan keamanan, keselamatan, nama yang baik, kebahagiaan dan disempurnakan segala cita-citanya. Dalam hati ada cemburu dan kagum sekaligus, kerana saya tidak seperti Adik di usia yang sama seperti dia.

Tapi demi, contoh-contoh yang baik didatangkan di hadapan mata dan sekeliling saya sejak setahun dua ini, saya juga akan berusaha untuk menjadi seperti air yang mengalir. Bersih lagi menyucikan, murni lagi menghidupkan, sejuk lagi menghilangkan dahaga, bergenang dan menitis (air mata) yang boleh menyubur jiwa, suci yang melengkapkan wuduk seterusnya melayakkan kita berdiri dan sujud di hadapan Tuhan.

Adik itu mahu terlibat secara langsung dalam pendidikan adik-adik yang masih di bangku sekolah. Meski dia bukan seorang guru, tetapi bagi dirinya selagi kita ada ilmu tetap membolehkan kita menyampaikan. Bukan saudara kandung yang mahu diajarinya, tetapi adik-adik yang menempati rumah kebajikan, miskin dan anak-anak yatim.

Saya lihat langit cerah terang bercahaya di balik awan. Pewaris bangsa dan negara seperti ini, bukankah di hati kita boleh menguntum senyum menggunung? Ya, saya meletakkan harapan bangsa dan negara di bahu dia. 

Tetapi untuk berlaku adil, saya tidak boleh sekadar berpeluk tubuh dan menepuk bahu Adik memujinya bangga. Untuk adil, saya sendiri terlebih dahulu perlu menyinsing lengan baju, bersama-sama mereka menyediakan prasarana untuk kemudahan mereka bergerak, dan sama-sama bergerak selagi boleh.

Adik mahu bantu membetuli yang masih kurang dalam masyarakat dan negara. Kata dia, tidak cukup dengan cakap dan angan-angan kosong. Tidak akan membawa kemana-mana kecuali perasaan marah yang semakin menimbun dalam dada.

Entah kebetulan, saya membaca ayat indah dalam buku Pramoedya Ananta Toer (PAT), 

"akhir-akhirnya masalah kemasyarakatan, kenegaraan dan kehidupan bersama kita bukan khusus masalah para pemimpin dan pemerintah belaka, tetapi adalah masalah kita semua, yang harus kita pecahkan dan garap bersama, di mana tiap orang wajib punya sumbangsih dalam kerja pembangunan ini. 

Aku tetap percaya, bahwa dengan bantuan kita semua maka hanya mereka yang lebih banyak bekerja yang berhak akan apa yang biasa dinamai bahagia. 

Dan sebaliknya, tanpa sumbangsih kita bersama, sekalipun nasib akan memberi kita umur dua atau tiga kali lipat dari semestinya, keadaan akan tetap beku, kerana kita semua tidak ikut bekerja memusnahkan sebab-sebab yang mengakibatkan kebekuan ini."

Semalam subuh-subuh pagi lagi, rakan baik yang jauh menitipkan pesan surah Al Baqarah (2):220. Doa saya ayat itu mewakilkan apa yang ingin dilakukan Adik, in shaa Allah.

Saya pernah menukilkan cerita tentang air sebelum ini berjela. Ya saya cinta kasih kepada air sepenuhnya, seperti mana rasa saya pada tanah. Datang kewujudan kita yang tidak dapat dimungkiri adalah dari air, setitis yang seni itulah yang menjadikan kita manusia. Kenapa menidakkan asal usul kita sendiri?

Semoga akhir nanti, Allah menemukan kita semua bersama Nabi di telaga Kautsar, untuk dapat minum dari air yang diberkati.


Wednesday, March 13, 2013

Baca Lagi

Akhir-akhir ini saya sering dapat soalan, buku jenis apa yang patut saya baca? Soalan dari remaja/orang muda yang mahu keluar dari stereotype generasi Y: hedonisme, muzik, movie, drama Korea, shopping, Facebook, Twitter. Jelas, dia mahu menjadi parajurit sebenar, bukan parajurit keyboard.

Buntu kadang-kadang. Sebab saya jenis membaca semua jenis bacaan. Malah suratkhabar tabloid dan murahan pun baca. Cuma nak kekal baca lama itu berbeza. Bagi akhbar yang hanya memuatkan berita sensasi dan gossip, saya cuma menyelak dan melihat-melihat gambar.

Tetapi kalau ada bahan bacaan menghidangkan idea dan pelan tindakan, itu akan buat saya melekat dan akan membaca sehingga habis. 

Yang saya percaya, baca apa pun akan memberi kebaikkan. Untuk baca menjadi lubuk pahala, kena mula dari niat dengan memusatkan apa yang kita buat itu dengan nama Tuhan Yang Menjadikan. Jika itu tujuannya, kita akan memilih untuk membaca bacaan yang sihat minda, akal, hati, rohani, jasmani, jiwa, dan pemikiran. 

Kalau ada pun diselit bacaan itu, ayat-ayat menyimpang dan merosakkan, saya percaya bagi mereka yang punya kawalan diri yang mantap, dia akan mempercepatkan bahagian itu atau tidak membacanya langsung. Lebih bijak bahan bacaan itu selektif di peringkat awal, supaya kita tidak rasa bersalah apabila memulakan aktiviti membaca.

Baca juga tidak terhad. Rasa macam pernah bincang sebelum ini. Membaca alam juga adalah satu aktiviti baca juga. Membaca sifat dan perangai manusia juga satu aktiviti penting. Hanya bila kita memahami sepenuhnya sesuatu perkara, dari sudut teori dan praktik, baru penilaian dan kesimpulan yang kita buat lengkap dan sempurna.

Baca sejarah. Sangat penting. Kerana ia akan memberikan kita makna-makna tertentu dalam bahan bacaan yang kita mulakan. 

Macam leceh je baca ni kan? Ya tentu bila ia belum menjadi habit kepada seseorang individu. Bila sudah jadi habit, kita akan melihat mereka seperti kecanduan. Macam kucing kena catnip. High semacam. Sehari tidak membaca, terasa tidak lengkap. Seperti kurang sesuatu. 

Apa yang dicari dalam membaca?

Ada yang mencari pandai. Supaya boleh menunjuk pandai. Tetapi ramai mahu mencari tahu dan faham. Kerana hanya dengan itu dapat memberikan nilai-nilai, dan menjadikan mereka bernilai.

Manusia akhir nanti akan berkalang tanah, tubuh mereka. Tetapi ruh yang kekal hidup dan mengadap pengadilan, akan membawa juga bersama mereka ilmu yang mereka pelajari dari baca. Melekat, tidak bercerai.

Seorang tawanan perang kaum musyrik di zaman Rasulullah, boleh mendapatkan kemerdekaan mereka jika dapat mengajarkan sehingga pandai 10 kaum muslimin sehingga pandai baca tulis. 

Kemahiran membaca boleh menebus seorang tawanan perang yang sepatutnya dihabiskan. Begitu besar nilaiannya.

Kita yang sudah pandai membaca ini, tidak menghargaikah apa yang ada?

#tftnmembaca  

Tuesday, March 12, 2013

Berbuat baik dengan Menerima

Seperti biasa, dalam minggu-minggu yang luar biasa menerima asakan dan ujian bentuk peribadi, saya sering diberi perhatian istimewa dari langit. Saya juga percaya perkara yang sama boleh berlaku pada awak, pada sesiapa sahaja, jika kita benar-benar aktifkan indera untuk memerhati dan merasai. 

Apabila menerima hadiah dari langit, kita akan segera faham marah-marah itu tidak perlu, merasa diri diprovokasi juga tidak perlu, melenting itu lebih patut disiramkan dengan sabar. Pelajaran yang selalu kita boleh dapat dari rancangan tanyalah Ustaz, tapi sangat sukar kadang-kadang untuk dipraktikkan.

Hari ini saya belajar, manusia juga secara nalurinya boleh belajar mengalami pengalaman. Belajar untuk sabar itu lebih getir dengan mengalami sendiri. Ya, teori lebih mudah berbanding dengan berbuat.

Apa yang saya merepek pagi-pagi ini.

Owh, saya cuma mahu berkongsi. Selalu kita merasa berbuat baik apabila dapat memberi dan berkongsi dengan orang lain. Semalam saya mendapat pengajaran, bahawa berbuat baik juga boleh berlaku dengan menerima.

Konsep ini mungkin jarang dibincangkan. Tetapi bagus juga kalau dapat menghayati.

Membuat baik dengan menerima itu seperti ini. Katalah rakan atau ahli keluarga berpergian jauh, mengembara atau berziarah. Kemudian mereka pulang. Pulang mereka pula dengan membawa hadiah, kecil besar, mahal atau murah, dan dengan rasa besar hati memberikan kepada kita.

Pada masa itu kita akan merasa gembira dan berterima kasih. Menerima dengan ikhlas itu juga kebajikan, kerana kita telah melengkap syarat orang lain yang mahu berbuat baik, bersedekah dan memberi hadiah. Pada masa itu hendaklah kita dengan sepenuh jiwa mensyukuri dan menghargai. 

Saya juga belajar jangan juga lokek untuk membalasnya dengan perkataan yang baik-baik, seperti "saya sangat suka dengan semua hadiah yang awak hadiahkan." Perbuatannya amat kecil pada sesetengah orang, tetapi memberi makna eternity kepada orang yang lain pula.

Ya, saya baru belajar semua ini, faham maknanya, dan merasainya dalam hati.

Bagi saya bukan makna kepada hadiah yang dititipkan kepada kita itu yang mengkagumkan. Tetapi ingatan mereka, ketika mereka singgah ke kedai/kiosk cenderahati, ketika memilih-milih, ketika membungkus, ketika meletakkannya dalam plastik atau beg kertas, ketika mereka mengunjung atau dikunjungi, perkara pertama yang muncul di benak mereka ketika bertemu dua mata dengan kita ialah hadiah untuk disampaikan dan lain-lain rentetan-rentetan peristiwa. Ya paling mahal untuk saya ialah, mereka membawa kita bersama-sama dalam ingatan, minda dan hati meski mereka berpergian untuk melaksanakan tanggungjawab penting atau tujuan peribadi yang lain. 

Yang paling mahal itulah, ingatan.

Menerimalah dengan sepenuh ikhlas, menghargai yang dihadiahi dengan menggunakan atau memanfaatkan dengan sepenuh kesyukuran, dan lebih utama, limpahkahlah mereka yang telah melakukan kebaikkan dan kebajikan dengan doa-doa.

Untuk kawan, jazakallahu khairan katsiran, semoga Allah membalas kamu dengan kebaikkan yang sebanyak-banyaknya.

Amin. 

Diriwayatkan dari Jabir berkata,”Rasulullah saw bersabda,’Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni).


Friday, March 08, 2013

Menjadi ilmuwan atau cendiakawan?

Menjadi ilmuwan atau cendiakawan, adalah satu soalan yang sesuai dilontarkan di kalangan individu yang merai ilmu. Mereka yang suka belajar, membaca, mencari pengalaman, mencerap, berdiskusi, berwacana adalah tergolong dalam kelompok ini.

Apa bezanya?

Ilmuwan adalah golongan teori dan mencerap. Melihat data-data dan membuat kesimpulan, juga cadangan kepada aplikasi.

Cendiakawan ialah orang yang mempercayai ilmu mereka, terjun di tengah-tengah masyarakat, dengan tangan mereka kotor dan bergelumang peluh serta mencurah apa yang punya mereka, untuk bersama-sama membentuk masyarakat dan dunia yang lebih baik. Ilmu mereka menjadi jambatan kepada masyarakat. 

Apa pilih kita?

Wednesday, March 06, 2013

hadiahkan sahaja!


Ini adalah gambar anak buah saya Muhammad Alif, 10 tahun di Facebook ibunya dengan catatan "Untuk arwah pakcik zul dan perwira negara yg terkorban..hadiah dr Muhammad Alif.." dalam diam saya berlinangan air mata.

Tidak syak lagi saya merasa bangga dan pada masa yang sama rendah diri. Kesedaran anak kecil yang putih kadang-kadang mencengangkan, tindakan mereka spontan dari hati yang ikhlas, kasih sayang yang selalu penuh, dan boleh sahaja menginsafkan dewasa yang ego. Dewasa ya, yang seperti saya.

Dunia ini dan kehidupan kita tentunya hasil dari didikan. Bermula dari rumah, sekolah, universiti dan pengalaman. Selalu saya berdoa, kita semua di'sekolah'kan dari 'sekolah' yang baik. Meski kita melalui pelbagai perkara, pahit dan manis, hitam dan putih, akhirnya saya tetap berdoa kita semua akan menjumpai jalan kembali yang sebenar dan menemui kebenaran.

Tidak syak lagi, akhir-akhir ini saya seringkali disentuh dengan tindakan anak-anak muda, yang masih di bangku sekolah rendah, yang muda-remaja-belia, dengan satu kebenaran yang terbentang di hadapan mata dan semakin jelas, "kita masih mempunyai harapan untuk masa hadapan yang lebih baik, indah, penuh keadilan dan harmoni."

Tetapi masa depan yang saya impikan itu bersyarat. Mesti dimulai dengan anggota masyarakat sekarang, yang mendominasi politik, sosio-ekonomi iaitu orang dewasa. Kita mesti menunjukkan mereka jalan, menjadi murabbi yang baik bukan setakat cakap-cakap di mulut, tetapi dengan tindakan yang dapat diikuti mereka.

Kita sangat percaya kepada model sebagai contoh tauladan yang lebih kuat, dari nasihat mulut yang berjela-jela. Kerana itu Rasulullah sendiri mengotori tangannya yang mulia untuk membina masjid Nabawi. Juga tidak kisah untuk memegang alat untuk menggali parit di perang Khandak. Itu qudwah hasanah (contoh tauladan), sebaik-baiknya.

Marilah bersama-sama anak-anak muda yang putih ini, di tengah-tengah mereka, bersaing bersama mereka, memegang tangan dan menunjukkan satu persatu jalan: tentang kebenaran, keadilan, harapan, kasih sayang, kemanusiaan dan menyayangi golongan terpinggir. 

Tidak cukup jika kita hanya memerhatikan tentang nasihat yang baik, sedang kita cukup lokek untuk bertindak sama seperti apa yang kita ucapkan dibibir. 

Hadiahkan kepada mereka energi yang baik dan positif, kerana energi tidak akan musnah, tidak akan pernah musnah. Ia hanya akan boleh berubah bentuk dan dipindahkan. Mari kita pindahkan kepada mereka, energi yang penuh dengan cinta dan kasih sayang. Dunia masa hadapan nanti bukan untuk kita, tetapi untuk mereka.

Muhammad Alif menghadiahkan bacaan Al Quran untuk perwira negara, mereka-mereka yang tidak pernah Muhammad Alif kenali. 

Marilah kita hadiahkan sahaja apa yang punya kita. Sebagai hadiah, ia hanya layak jika kita memberi yang terbaik dari apa yang menjadi milik kita. Untuk saya, selain dari apa yang kita boleh hadiahkan dalam bentuk material, nasihat yang baik, doa yang tulus ikhlas: hadiahkanlah juga akhlak yang baik untuk mereka jadikan sebagai contoh tauladan dan panduan. 

Tuesday, March 05, 2013

yang mana satu?

Saat ini kemelut paling panas adalah yang berlaku di Lahad Datu Sabah. Termasuk juga cuaca panas meleting yang berlaku di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar. Sedangkan di tempat-tempat lain hujan lebat dan banjir kilat. 

Saya mahu komen tentang pencerobohan, menyedari tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, di sini saya hanya mampu nukilkan satu catatan pendek pengalaman semalam. Tidak ada kena mengena dengan kejadian pencerobohan Lahad Datu.

Beberapa hari lalu, saya diajukan satu pertanyaan yang ditanya oleh seorang adik, yang sehingga sekarang saya masih buntu untuk memberikan jawapannya.

Adik itu seorang perempuan manis, sedang belajar asas Bahasa Perancis sebelum terbang ke Perancis untuk mendapatkan ijazah pertamanya. Tanya dia dalam perjalanan balik yang panjang, dari Shah Alam ke Titiwangsa (kerana tersesat barat), 

"yang mana satu lebih baik Kak, orang agama yang ilmu agama di tingkatan tinggi, tetapi kemanusiaannya kurang. Atau orang yang tidak mempunyai begitu mendalam pengetahuan agama, tetapi begitu cemerlang sekali sifat kemanusiaan mereka?"

Adik itu berusia 19 atau 20 tahun. Tahap soalan yang dilemparkan kepada saya seperti itu. Membuatkan saya 4 hari tergamam tanpa jawapan.

Saya mengutip pendapat agamawan yang pernah saya dengar. Tidak silap saya Dr Maszlee Malik pernah mengatakan bahawa "di awal perkembangan agama Islam, yang Rasulullah bawa ialah isu kemanusiaan. Bukan hukum hakam dan autokratik."

Ada benarnya pandangan Dr Maszlee dari ilmu sejarah saya yang cetek. Waktu itu, Rasulullah memperhatikan isu tauhid dan penindasan golongan berkuasa. Sudah tentulah penindasan itu tidak membawa makna yang sempit. Antara tuan dan hamba abdi dan hamba sahaya. Ia lebih luas dari itu. Penindasan terhadap politik, ekonomi dan kelas sosial. 

Kerana itu seruan tauhid memecahkan semua tembok penindasan tersebut. Mengembalikan manusia kepada sifat kemanusiaan yang sebenar. Manusia yang meraikan sifat kehambaan kepada Pencipta Yang Mutlak dan meraikan hubungan sesama manusia.

Saya terkenangkan Nabi. Kisah Baginda dan perempuan Yahudi yang sering menyakiti Rasulullah. Kisah yang saya salin seperti ini "Seorang wanita tua selalu menyakiti Baginda dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas, Bagindai SAW sentiasa bersabar. Akhirnya apabila wanita tua itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan merawati menunjukkan kasih sayang terhadapnya,dengan keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW,lalu terbukalah pintu hidayah lantas wanita tua tersebut memeluk Islam di tangan Baginda." (dipetik dari blog ini)  

Jika tanya saya melalui cerita di atas, tentulah yang Nabi minta kita contohi adalah sifat kemanusiaan yang tinggi. Nabi tetap menyantuni sesama manusia meski orang itu berlainan agama dan seringkali menyakitkan. 

Adik manis tersebut bertanya melalui pengalaman kerja sukarelawan yang sering dilakukan di waktu cuti semester. Kata dia, "saya selalu juga mengikut kumpulan punk yang selalu memasak dan mengedarkan makanan di kalangan anggota masyarakat kota yang tidak berumah dan bergelandangan. Akan datang saya akan menyertai program Food for Homeless." Kata dia penuh semangat yang berkobar.

Imam Ali kemudian muncul di mata saya. Menurut sirah, Imam Ali adalah pembela janda dan anak yatim paling tegar di masa hidupnya. Seringkali mereka mendapat pembelaan tanpa pengetahuan mereka. Imam meletakkan makanan di pintu-pintu rumah mereka di waktu malam.

Cerita kemanusian seperti inilah yang perlu diraikan di muka depan suratkhabar dan majalah-majalah, bukan masalah sosial dan nafsu kebinatangan manusia.

Kata adik saya, "kata-kata itu adalah doa." Saya setuju dengan adik. Jika media massa kita lebih berperanan melebar luaskan jurang kedamaian, keadilan, persahabatan, kasih sayang, harapan baik, dunia yang lebih harmoni, kita tidak akan ditekan dengan begitu masalah dan gejala sosial. Kita sebenarnya sangat-sangat kurang berbuat kebajikan walau dengan bercakap dan berpesan dengan kata-kata yang baik.

Sehingga sekarang saya masih hairan, kenapa orang yang berbuat baik lebih malu untuk bercerita aktiviti baik kepada komunitinya, berbanding mereka yang sehingga sorak menyorak menceritakan perihal negatif yang merosakkan diri dan masyarakat.

Sehingga sekarang saya mencari jawapan kepada soalan adik manis tersebut, awak ada idea yang dapat dikongsikan?