yang mana satu?

Saat ini kemelut paling panas adalah yang berlaku di Lahad Datu Sabah. Termasuk juga cuaca panas meleting yang berlaku di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar. Sedangkan di tempat-tempat lain hujan lebat dan banjir kilat. 

Saya mahu komen tentang pencerobohan, menyedari tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, di sini saya hanya mampu nukilkan satu catatan pendek pengalaman semalam. Tidak ada kena mengena dengan kejadian pencerobohan Lahad Datu.

Beberapa hari lalu, saya diajukan satu pertanyaan yang ditanya oleh seorang adik, yang sehingga sekarang saya masih buntu untuk memberikan jawapannya.

Adik itu seorang perempuan manis, sedang belajar asas Bahasa Perancis sebelum terbang ke Perancis untuk mendapatkan ijazah pertamanya. Tanya dia dalam perjalanan balik yang panjang, dari Shah Alam ke Titiwangsa (kerana tersesat barat), 

"yang mana satu lebih baik Kak, orang agama yang ilmu agama di tingkatan tinggi, tetapi kemanusiaannya kurang. Atau orang yang tidak mempunyai begitu mendalam pengetahuan agama, tetapi begitu cemerlang sekali sifat kemanusiaan mereka?"

Adik itu berusia 19 atau 20 tahun. Tahap soalan yang dilemparkan kepada saya seperti itu. Membuatkan saya 4 hari tergamam tanpa jawapan.

Saya mengutip pendapat agamawan yang pernah saya dengar. Tidak silap saya Dr Maszlee Malik pernah mengatakan bahawa "di awal perkembangan agama Islam, yang Rasulullah bawa ialah isu kemanusiaan. Bukan hukum hakam dan autokratik."

Ada benarnya pandangan Dr Maszlee dari ilmu sejarah saya yang cetek. Waktu itu, Rasulullah memperhatikan isu tauhid dan penindasan golongan berkuasa. Sudah tentulah penindasan itu tidak membawa makna yang sempit. Antara tuan dan hamba abdi dan hamba sahaya. Ia lebih luas dari itu. Penindasan terhadap politik, ekonomi dan kelas sosial. 

Kerana itu seruan tauhid memecahkan semua tembok penindasan tersebut. Mengembalikan manusia kepada sifat kemanusiaan yang sebenar. Manusia yang meraikan sifat kehambaan kepada Pencipta Yang Mutlak dan meraikan hubungan sesama manusia.

Saya terkenangkan Nabi. Kisah Baginda dan perempuan Yahudi yang sering menyakiti Rasulullah. Kisah yang saya salin seperti ini "Seorang wanita tua selalu menyakiti Baginda dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas, Bagindai SAW sentiasa bersabar. Akhirnya apabila wanita tua itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan merawati menunjukkan kasih sayang terhadapnya,dengan keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW,lalu terbukalah pintu hidayah lantas wanita tua tersebut memeluk Islam di tangan Baginda." (dipetik dari blog ini)  

Jika tanya saya melalui cerita di atas, tentulah yang Nabi minta kita contohi adalah sifat kemanusiaan yang tinggi. Nabi tetap menyantuni sesama manusia meski orang itu berlainan agama dan seringkali menyakitkan. 

Adik manis tersebut bertanya melalui pengalaman kerja sukarelawan yang sering dilakukan di waktu cuti semester. Kata dia, "saya selalu juga mengikut kumpulan punk yang selalu memasak dan mengedarkan makanan di kalangan anggota masyarakat kota yang tidak berumah dan bergelandangan. Akan datang saya akan menyertai program Food for Homeless." Kata dia penuh semangat yang berkobar.

Imam Ali kemudian muncul di mata saya. Menurut sirah, Imam Ali adalah pembela janda dan anak yatim paling tegar di masa hidupnya. Seringkali mereka mendapat pembelaan tanpa pengetahuan mereka. Imam meletakkan makanan di pintu-pintu rumah mereka di waktu malam.

Cerita kemanusian seperti inilah yang perlu diraikan di muka depan suratkhabar dan majalah-majalah, bukan masalah sosial dan nafsu kebinatangan manusia.

Kata adik saya, "kata-kata itu adalah doa." Saya setuju dengan adik. Jika media massa kita lebih berperanan melebar luaskan jurang kedamaian, keadilan, persahabatan, kasih sayang, harapan baik, dunia yang lebih harmoni, kita tidak akan ditekan dengan begitu masalah dan gejala sosial. Kita sebenarnya sangat-sangat kurang berbuat kebajikan walau dengan bercakap dan berpesan dengan kata-kata yang baik.

Sehingga sekarang saya masih hairan, kenapa orang yang berbuat baik lebih malu untuk bercerita aktiviti baik kepada komunitinya, berbanding mereka yang sehingga sorak menyorak menceritakan perihal negatif yang merosakkan diri dan masyarakat.

Sehingga sekarang saya mencari jawapan kepada soalan adik manis tersebut, awak ada idea yang dapat dikongsikan?


      

Comments

Berbalik kepada soalan di FCR - Mother Theresa masuk syurga ke?

Jengjengg
ASaL said…
Jangankan Mother Theresa, kita sendiri pun tidak tahu ke syurga atau tidak.

Yang pasti kita akan disoal mengenai keimanan, dan iman itu juga dimaksudkan:

Diriwayatkan dari Jabir berkata,”Rasulullah saw bersabda,’Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni)

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?