Bukalah jendelamu

Hujung minggu lalu, memang mengujakan.

Seawal pagi perlu menyiapkan teks dan catatan kerana diminta untuk menjadi pengulas buku di Annexe, berdekatan Central Market, KL. Tergesa, kerana saya diminta untuk mengantikan orang yang tidak dapat hadir. Dan buku pilihan orang yang tidak dapat datang itu berwacana berat. 

Tapi saya kira dari pagi saya diberkati. Waktu sarapan ketika sibuk-sibuk menulis dalam buku catatan di kedai mamak NZ di Setiawangsa, kawan tiba dengan buku catatan di tangan. Ketika itu teh tarik sudah pun surut 3/4 gelas. Ya saya selalu gembira berjumpa dia, kerana biar berapa lama (sekejap) pun kesempatan waktu yang diberikan kepada kami, saya selalu tahu akan ditimbuni ilmu bekal untuk beberapa bulan akan datang. 

Waktu yang sekejap itu (sejam lebih sikit) kami sudah pun mengumpul tentang model ekonomi, beberapa contoh tentang kebaikkan dan keburukan model ekonomi yang telah diadaptasi oleh sesebuah negara, bagaimana mempercepatkan perkembangan ekonomi, tentang intelectual human sebagai capital, pendidikan anak-anak genius, pendidikan anak-anak corot, home schooling, Khalifah metod, sekolah Khalifah, pemenang anugerah Nobel Ekonomi, teori dan prinsip mikro ekonomi Muhammad Yunus, Grameen Bank, mengenai latihan berkumpulan untuk mengenal pasti kebolehan dan karakter manusia, dan mungkin ada lagi yang saya tidak tertuliskan di sini.

Saya perlu bergegas, kerana menyiapkan diri sebagai bidan terjun untuk acara sebelah petang. Ujian saya juga bukan kecil, kerana diberitakan penulis buku itu sendiri akan hadir (berpeluh).

Tetapi rupanya tiba di Annexe jam 2 itu adalah rahmat yang banyak. Saya bertemu lagi dengan ramai anak-anak muda pemimpin masa depan, dan menjadikan hati saya kembang dengan harapan. Mereka juga, seperti rakan saya di mapley, menimbunkan saya dengan ilmu dari sudut yang pelbagai. Masing-masing dengan cerita, pengalaman dan azam untuk berjuang langsung bersama anak-anak marginal dan terpinggir.

Ruang kecil, panas, dengan pengudaraan yang tidak begitu sempurna itu, serasa saya dipenuhi dengan bunga dan cahaya.

Satu perkongsian petang semalam adalah berkenaan dengan peranan akal dalam mendapatkan ilmu. Menceritakan tentang anologi bagaimana ilmu boleh menetap tetap dalam hati dan minda kita adalah seperti ini,

"Bayangkan kita berada di dalam sebuah bilik yang gelap gelita. Tanpa ada sebarang lubang untuk dimasuki cahaya. Tetapi hari sedang siang, di luar ada matahari terang benderang. Apa jadinya jika kita buka sedikit jendela?"

Audien menjawab, bilik kita seluruhnya diterangi cahaya.

"Begitulah bagaimana perlu kita gunakan akal. Mesti ada upaya untuk dibuka seperti mana kita membuka jendela. Dan kemudian ilmu akan dapat menerangi jiwa dan minda."
  
Petang itu kami bersantai atas lantai. Sambil sembang-sembang pengalaman dari pagi dengan makan kek yang manis berkrim.

Sehingga malam dan berjumpa awal pagi semula, mata, minda, hati saya, cerah terang benderang. Seperti dipasang mentol dengan watt yang sangat tinggi.

Malam itu saya tahu lena (tidak lena) tidur dipenuhi mimpi-mimpi tentang jendela yang siap sedia untuk dibuka.


Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang