Wednesday, March 13, 2013

Baca Lagi

Akhir-akhir ini saya sering dapat soalan, buku jenis apa yang patut saya baca? Soalan dari remaja/orang muda yang mahu keluar dari stereotype generasi Y: hedonisme, muzik, movie, drama Korea, shopping, Facebook, Twitter. Jelas, dia mahu menjadi parajurit sebenar, bukan parajurit keyboard.

Buntu kadang-kadang. Sebab saya jenis membaca semua jenis bacaan. Malah suratkhabar tabloid dan murahan pun baca. Cuma nak kekal baca lama itu berbeza. Bagi akhbar yang hanya memuatkan berita sensasi dan gossip, saya cuma menyelak dan melihat-melihat gambar.

Tetapi kalau ada bahan bacaan menghidangkan idea dan pelan tindakan, itu akan buat saya melekat dan akan membaca sehingga habis. 

Yang saya percaya, baca apa pun akan memberi kebaikkan. Untuk baca menjadi lubuk pahala, kena mula dari niat dengan memusatkan apa yang kita buat itu dengan nama Tuhan Yang Menjadikan. Jika itu tujuannya, kita akan memilih untuk membaca bacaan yang sihat minda, akal, hati, rohani, jasmani, jiwa, dan pemikiran. 

Kalau ada pun diselit bacaan itu, ayat-ayat menyimpang dan merosakkan, saya percaya bagi mereka yang punya kawalan diri yang mantap, dia akan mempercepatkan bahagian itu atau tidak membacanya langsung. Lebih bijak bahan bacaan itu selektif di peringkat awal, supaya kita tidak rasa bersalah apabila memulakan aktiviti membaca.

Baca juga tidak terhad. Rasa macam pernah bincang sebelum ini. Membaca alam juga adalah satu aktiviti baca juga. Membaca sifat dan perangai manusia juga satu aktiviti penting. Hanya bila kita memahami sepenuhnya sesuatu perkara, dari sudut teori dan praktik, baru penilaian dan kesimpulan yang kita buat lengkap dan sempurna.

Baca sejarah. Sangat penting. Kerana ia akan memberikan kita makna-makna tertentu dalam bahan bacaan yang kita mulakan. 

Macam leceh je baca ni kan? Ya tentu bila ia belum menjadi habit kepada seseorang individu. Bila sudah jadi habit, kita akan melihat mereka seperti kecanduan. Macam kucing kena catnip. High semacam. Sehari tidak membaca, terasa tidak lengkap. Seperti kurang sesuatu. 

Apa yang dicari dalam membaca?

Ada yang mencari pandai. Supaya boleh menunjuk pandai. Tetapi ramai mahu mencari tahu dan faham. Kerana hanya dengan itu dapat memberikan nilai-nilai, dan menjadikan mereka bernilai.

Manusia akhir nanti akan berkalang tanah, tubuh mereka. Tetapi ruh yang kekal hidup dan mengadap pengadilan, akan membawa juga bersama mereka ilmu yang mereka pelajari dari baca. Melekat, tidak bercerai.

Seorang tawanan perang kaum musyrik di zaman Rasulullah, boleh mendapatkan kemerdekaan mereka jika dapat mengajarkan sehingga pandai 10 kaum muslimin sehingga pandai baca tulis. 

Kemahiran membaca boleh menebus seorang tawanan perang yang sepatutnya dihabiskan. Begitu besar nilaiannya.

Kita yang sudah pandai membaca ini, tidak menghargaikah apa yang ada?

#tftnmembaca  

No comments: