Bukan Kucing Kami
Ia bukan kucing kami. Adikku selalu mengingatkan aku tentang itu. Tapi, Putih akan datang waktu aku paling sedih. Bukan sebelum ini Putih tidak pernah datang, cuma dalam keadaanku kesayuan Putih akan luar biasa manja denganku. Sebelum ini sebelah mata pun Putih tidak mahu mendekat. Kawan baik Putih itu dialah, adikku yang punyai aura kucing sejak kecil. Aku suka sangat tidak, membenci pun tidak. Tapi agak-agak aku sudah jatuh kasih pada Putih. Kucing yang ini. Putih akan berdiri dihadapan tingkap luar sambil mengiaw sekali dua. Ia sangat tahu bahawa Ia mustahil dikecewakan. Kemudian pintu akan dibuka lebar-lebar memberikan Putih peluang menjelajah keseluruh rumah. Tapi Putih sangat baik, sangat pelik juga. Kalau kami menyediakan makanan di dalam pinggan, atau memberinya dari tapak tangan, Putih akan mencicip dan menghidu sekejap sebelum pergi menjelajah lagi. Dalam hal ini aku selalu memanggilnya mengong. Geram. Marah sebab makanan tidak berusik. Putih ni betul kucing ke jelmaan kucing. Aku jarang nampak Putih makan di rumah. Malam-malam yang mengusik kalbu yang rindu, Putih selalu ingin berkongsi katil denganku. Memang demam rasanya kucing ini. Biasanya Putih akan memilih adikku daripada aku. Tapi bila masa-masa aku pula mengong, haiwan kurniaan Tuhan inilah yang selalu meneman. Sama-sama mengong agaknya. Baguslah boleh jadi kawan baik. Aku tak pernah bercakap dengan kucing. Tapi kawanku selalu. Kadang-kadang Atuk kawanku yang sudah susut deria penglihatannya menjadi hairan sehingga bertanya, kawanku bercakap dengan siapa. Adikku juga selalu marah, biasalah cakap dengan kucing. Hairan aku. Tapi bila si mengong Putih ini tidak mahu turun dari katil, aku akan mengusapnya manja sambil bercakap-cakap dalam hati. Putih pula akan memandangku tepat ke mata, hingga turun ke hati. Aik, Ia faham ke? Putih ini selalu membuatku rasa asing di hadapan orang lain. Tapi bila bersendirian, aku rasa Ia yang paling memahami. Kalau Ia tidak ada, kadang-kadang aku juga rasa rindu.
Aku tidak ingat siapa, tapi ada yang beritahu kucing tidak sesuai di bela di rumah. Mungkin ibadat kita akan cacat jika najis yang di bawa oleh haiwan ini tidak diselenggara dengan sebaiknya.
Aku memandang Putih. Bagaimana jika ada orang menghalang aku mengusapnya? Bagaimana jika ada orang menghalangku dari memeluk dan menciumnya dangan kasih? Kalau aku hanya ada seorang kawan sahaja, Putih, bolehkah mereka yang menghalang faham kesunyiaan yang akan ditinggalkan oleh Putih ini. Aku rasa mereka tidak akan faham, sebab mereka tidak pernah mengenal Putih.
Miaw.
(gambar kucing putih tiada dalam simpanan. Gambar di atas hanyalah cameo kucing orang lain, pinjam kejap. Atuk kawan saya sedang sakit dihospital sekarang. Moga Atuk cepat sembuh)
Comments