Mimpi & Intuisi

Dalam seminggu lebih yang telah lalu, kawan saya bermimpi. Kami bertiga hampir lemas ditenggelami air laut, kerana kami telah menggunakan laluan pesisir pantai untuk ke pasar malam. Kawan yang memandu kereta (bukan pemilik kereta-pemilik kereta ialah kawan yang mengalami mimpi ini), berdegil untuk mengikuti laluan yang dikatakan pintas dan ramai orang lain melaluinya. Air pasang. Kami betul-betul di gigi air. Dari jauh ombak yang sedang menggulung untuk menelan. Di atas ombak yang bersedia untuk mengganas, kelihatan barge yang dibuat dari tayar yang sedia menghempap kami mati. Kata yang empunya kereta pada saya, selamatkah kita ini. Kata saya (menurut mimpinya) berdoa sahajalah. Moga kita selamat. Ombak menelan, nasib baik barge terhempas ke arah lain. Kami terkapai-kapai mengambil nafas. Akhirnya ombak surut. Kereta selamat. Kami selamat.


Sehari sebelum majlis anugerah, saya keluar makan dengan rakan. Kata saya, seolah-olah saya akan mengambil hadiah esok pagi meski untuk pertandingan yang disertai harapannya sangatlah tipis. Saingan saya kawan yang bermimpi tadi. Satu peluang lain adalah cabutan bertuah. Terasa sahaja akan bertuah. Rakan berpesan, jangan berharap sangat, nanti kecewa. Saya kata, baik saya bersedia, supaya bila menang nanti saya tidak terperanjat sangat. Harap-harap tidak tersadung kaki di atas pentas yang gilang gemilang. Kalau kalah, tidak mengapa, sebab begitulah adat pertandingan.

Kami ke tandas dua kali. Strategi untuk lari dari majlis. Kali pertama, kami teragak-agak untuk lari. Kali kedua saya bertekad untuk terus lari. Kawan saya (kawan yang memandu dalam mimpi) pula beria-ria untuk menyertai majlis. Dewan telah hampir penuh. Semua tempat duduk belakang dipenuhi orang. Tempat duduk yang kosong adalah paling hadapan. Tempat duduk untuk ketua-ketua. Tanpa malu kami duduk tanpa jawatan khas. Seronok mendengar ceramah, tanpa sedar kami mengikuti sampai ke akhir majlis keraian tersebut. Untuk cabutan bertuah, saya memilih nombor James Bond. 007. Rupanya James Bond tidak bertuah tahun ini (kalah dari segi kutipan tiket dengan filem Happy Feet). Saya hampa. Untuk kategori pertandingan saya kalah juga.

Kata orang mimpi air, mimpi rezeki. Sudah tentu rezeki pada yang empunya mimpi. Kawan saya yang bermimpi telah menang dalam kategori pertandingan. Tapi dia tidak ada kerana menyertai kursus. Sebagai ganti nama saya telah dipanggil untuk mengambil hadiah (sebagai wakil). 1 piala pusingan (yang besar), 1 plak, 1 sijil dan 1 surat penyertaan.

Kami telah lupa tentang mimpi. Saya juga telah lupa tentang intuisi. Mimpi air mimpi rezeki. Mimpi dan intuisi, benarkah ia boleh berlaku selalu?

p/s: kawan saya takut air sebenarnya, baru saya tahu, hehehe......watlu?



Comments

Anonymous said…
rindu pada si penakot air itu

what a tragic life we are all lead
Anonymous said…
rindu gak korang kat aku ek..hehehe..time ksih la tolong amik kan hadiah.isyh..tak sangka.cam rasa kat langit ke tujuh jer dpt anugerah tu.tak cayo!!

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK