Derita Muharram

Bila menangis pemergian
Disifat perilaku berlebih-lebihan
Apalagi yang tinggal
Bila saudara sedarah dihabisi
Dalam derita paling mengharukan di medan sejarah

Dunia merah di hari darah membasahi tanah Karbala
Asyura tidak pernah gembira menjemput kehadiran dirinya
Juntaian manik pasti akan luruh berguguran
Dari kelopak mata yang hiba
Melainkan hati sudah hilang cinta kasih
Pada kesayangan Abal Qassim, si pemilik telaga Kautsar

Mungkinkah akan terukir senyuman di bibir As – Sajjad
Bisakah rambut Zainab kembali hitam bersinar
Mengenangkan detik-detik pemergian
Penghulu pemuda syurga
Di hujung mata pedang tanpa hak

Wahai jasad dimuliakan langit dan bumi
Wahai roh dijemput penuh kemulian pulang ke pangkuan
Wahai dunia yang derita, tanah yang merah
Wahai hari yang berduka, jiwa yang lara
Ya Asghar dihujani panah yang buta
Ya Abal Fadhl dalam perjuangan tidak pernah berkesudahan
Ya Sakinah tabahlah jiwa dan hati
Ya Zainal Abidin bekalmu sepasang mata yang menyaksi
Redhakanlah pemergiaan syuhada’ penghuni syurga
Dalam hati yang lapang
Kerana Allah telah redha, Karbala telah menyaksi, Assyura mencatat lembaran terperinci

Inilah kesedihan, kerana kesedihan itu satu
Di bulan Muharram mulai detik pertama
Sehingga pintu Assyura diketuk penuh derita
Langit mula berbicara, awan-awan hitam berarak perlahan
Dunia sedang berkabung, tanah kembali merekah dan memerah
Petala mencurahkan tangisan, perlahan-lahan, sendu dan syahdu

Ya Aba Abdillah
Syahidmu akan terbela
Janji pasti tertunai
Sehingga itu
Muharram tetap akan bercerita
mengenai deritanya……

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK