Singapura Tanah Seberang
"Mmm, kalau kita bergerak ke arah Pantai Timur lagi hijau. Semulajadi lagi. Di Karak, di kilometer 39.5, di km 44.4 dan banyak tempat lagi, kan hijau-hijau semuanya".
"Dik, ini saya bercakap tentang kota. Sebuah kota dengan landskap hijau. Ada kat KL?. Kamu hendak kerja di Singapura. Tukang sapu sampah boleh sahaja menjana pendapatan 1800 Sing Dollar sebulan. Mahal tu. Cuba darabkan dengan 2.4 untuk ditukar nilainya kepada RM".
Adik saya bersikap tidak endah. "Tahu tidak Singapura tidak pernah pun jadi milik Malaysia?"
Saya menjegil mata tidak faham. Sejarah lagi. Saya memang tidak reti.
"Sewaktu Malaysia diisytiharkan merdeka, British tidak mahu menyerahkan Singapura kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebab itu Lee Kuan Yew masuk Malaysia untuk membolehkan Singapura di bawah pentadbiran Tanah Melayu. Kemudian selepas itu baru Lee Kuan Yew mohon keluar dari persekutuan untuk merdeka dan mendapat kebebasan penuh."
"Jadi, Singapura memang tidak pernah menjadi milik Malaysia".
Adik saya pakar sejarah tidak rasmi itu mengangguk.
"Yup, Singapura memang tanah seberang".
"Tapi lama dulu, sebelum ada orang luar, Singapura adalah sebahagian dari Kepulauan Melayu. Kita satu pulau yang serumpun. Masih ramai lagi orang Melayu di sana".
"Seperti mana mereka itu?"
Saya diam. Tidak mahu beri respon. Kami di bawa melawat di kawasan Melayu di Kampung Gelam. Di sana ada istana, yang dulu menjadi tempat kediaman keluarga di raja. Tetapi seluruh dunia telah tahu, golongan di raja Melayu ini diberi penempatan lain (atau kita patut baca dihalau dari tanah sendiri). Kawasan Kampung Gelam dan Istana diberi nama lain. The Malay Heritage. Ada masjid, ada gerai-gerai kecil menjual cenderahati, ada kedai-kedai menjual makanan halal, ada Istana yang dijadikan tarikan pelancong. Dalam hati, saya mengandaikan, orang Melayu di Singapura telah menjadi sebagai bahan muzium, mereka dilihat pelancong luar sebagai bahan tarikan. Sebagai produk pelancongan. Itu sebenarnya yang saya rasa dan tidak mahu diceritakan pada adik.
Ah, kebetulan mungkin, saya kemudian membeli novel Rawa yang ditulis oleh Isa Kamari. Seorang Melayu yang tinggal di Singapura. Kita boleh merasai sendiri, rasa pedih kehilangan sesuatu yang kita sayang, yang membuluh dalam darah diambil orang. Kerana silap sendiri, kerana serakah penguasa.
Saya memberi adik. Sebuah globe. Globe itu kecil, dan diruang disebelah Laut China Selatan mereka cop gambar Merlion besar, mungkin 1/4 dari globe kecil itu.
Adik saya merenung globe macam ada yang salah (selain dari sejarah, dia juga pakar geografi) "Padahal, mereka (Singapura) di dalam peta tidak kelihatan langsung. Halus seperti debu. Kenapa di globe ini seolah-oleh dunia ini mereka yang punya".
Khali. Dalam hati, saya ingin berpesan, "Saya bagi kamu globe kecil muat dalam gengaman, agar kamu dapat menyimpan cita. Satu hari nanti, nanti, kamu benar-benar akan menggengam dunia".
Saya berjalan-jalan di KL kemudian dari minggu saya pulang dari Singapura. Siapa kata di KL tiada pohon hijau yang cantik?
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik hujan batu di negeri sendiri.
Ya benar.
Comments
Pembetulan fakta. Singapura tidak pernah memohon untuk keluar dari Malaysia. Cuma Tengku Abdul Rahman dan kabinet Malaysia pada ketika itu tidak lagi boleh bekerjasama dengan Lee Kuan Yew. Dengan lain perkataan, Tuanku sudah muak dan tingkah laku Lee Kuan Yew dan membuat keputusan agar Singapura keluar dari Malaysia.
Cuba baca Memoirs Lee Kuan Yew. LKY sendiri pernah mengatakan bahawa Singapura tidak pernah bersedia untuk menjadi sebuah negara bebas disebabkan saiz dan sumber yang terbatas milik SIngapura.
Sekadar pandangan saya.