Tuesday, June 30, 2009

Versi Cinta

CINTA
Kerana cinta duri menjadi mawar
Kerana cinta cuka menjelma anggur segar
Kerana cinta pentungan jadi mahkota penawar
Kerana cinta kemalangan menjelma keberuntungan
Kerana cinta rumah penjara tampak bagaikan kedai mawar
Kerana cinta tompokan debu nampak sebagai taman
Kerana cinta syaitan berubah menjadi bidadari
Kerana cinta batu yang keras menjadi lembut bagai mentega
Kerana cinta duka menjadi riang gembira
Kerana cinta hantu berubah menjadi malaikat
Kerana cinta singa tidak menakutkan tikus
Kerana cinta sakit menjadi sihat wal afiat
Kerana cinta ammarah berubah menjadi keramah-tamahan.
*******
Jalaluddin Rumi
(courtesy Mohd Ali Atan)
bandingkan
BERCINTA
Benarkanku tuk berbicara
bicara terus ke hatimu?..hatimu..
hati yang penuh rasa ragu
jangan terus pergi tanpa mendengar ku
begitu mudah untuk kau terus berlalu nanti dulu
berikanlah waktu untuk aku untuk kamu
ingatkah lagi waktu kau bersamaku
kaku aku melihat mu
lidah kelu sedangkan aku mahu kau tahu
aku cinta padamu, benci padamu, cinta padamu
ke tepi lihat ku berlalu
pasti itu yang terbaik untuk ku
tiada lagi mahu ku tahu
tentang hidup kamu tentang mati kamu
aku tahu engkau tahu apa yang mataku tahu
apa yang kau tunggu mahu aku buka pintu
ingatkah lagi waktu kau bersama ku
kaku aku melihat mu sedangkan aku mahu kau tahu
dengar kata ku aku cinta padamu
benci padamu cinta padamu
sakitnya aku membenci kamu
sakit lagi mencintaimu
dan aku pergi tapi kembali
benci aku mencintai dirimu
ku benci?. kamu?
aku cinta?.kamu?
ingatkah lagi waktu kau bersama ku
kaku aku melihat mu
sedangkan aku mahu kau tahu
dengar kata ku
aku cinta padamu
benci padamu
padamu?..
ingatkah lagi waktu kau bersamaku
kaku aku melihat mu
lidah kelu sedangkan aku mahu kau tahu
aku cinta padamuaku benci padamu
aku cinta aku benci
padamu
ingatkah lagi waktu kau bersama ku
dengar kata ku
aku cinta padamu
aku benci padamu
aku cinta aku benci
*******
Faizal Tahir
*******
Saya belajar banyak perkara dari rakan saya seorang Jurutera di negeri pantai timur. Satu hari dia memprovokasi saya dengan satu pertanyaan, sudah lihat masjid Mabawi? Payung mekanikal telah dipasang dibahagian halaman. It's splendid structure, beautiful.
Saya senyum padanya. Kata saya, 'bangunan yang hebat perlu menampung makna yang hebat juga'.
Balas dia, 'Falsafah, falsafah'.
Saya sebenarnya tidak kagum dengan binaan yang besar jika ada ruang pembaziran. Di Masjid Nabawi, memang binaan besar agam begitu perlu, untuk menampung pengunjung jutaan untuk satu-satu musim haji, jutaan jemaah yang lain pula di musim-musim umrah dengan makna sepanjang tahun. Ya, kita di Malaysia kunjungan ke Madinah bermusim, tetapi masyarakat Arab yang tinggal berdekatan menghabiskan hujung minggu mereka untuk mengerjakan ibadah umrah, di hari cuti hujung minggu.
Saya komen begitu kepada rakan jurutera saya, sebuah bangunan jika dilabel ia sebagai tempat ibadat, maka ia perlu menyokong makna ibadah itu. Jika terdapat pembaziran ruang, ia sudah bercanggah dari makna asal. Bukankah 'Innama al mubazirruna ikhwatu syaitan'.
Sila buat lawatan di masjid-masjid negara kita yang besar agam. Contoh di Masjid Negeri Selangor. Ruang besar tetapi tidak menampung makna. Koridor luas, sebelum sampai ke ruang solat utama, kita telah pun lenjun berpeluh. Jika syarat sah solat perlu didirikan solat sebelum wuduk kering, nescaya solat di Masjid Negeri tidak akan pernah sah. Melainkan selepas wuduk kita belari ke dewan utama.
Saya membayangkan setiap sudut koridor yang sejuk dan luas itu terdapat kelas-kelas pengajian agama. Mengaji secara talaqqi contohnya. Atau pengajian intektual lain meski tidak didasari hal-hal teologi dan spritual. Pengajian asas keusahawanan misal kata, atau asas penulisan, atau kelas-kelas tusyen percuma untuk anak-anak orang susah. Mungkin sahaja hal berkaitan kesukanan, ruang untuk memanah (sudah tentu perlu belandaskan syariat), dll. Saya membayangkan itu dalam fikiran ketika bejalan di koridor Masjid Negeri ke kereta yang diletakkan di halaman pintu hadapan. Tetapi koridor itu tetap koridor, yang luas, selesa, bersih tetapi tidak menampung makna lebih besar dari menyediakan ruang bejalan kaki ke ruang solat utama.
Begitulah karya seni. Kerana itu saya membawakan dua puisi di atas. Satu dari Jalaluddin Ar Rumi, satu lagi lirik lagu dendangan Faizal Tahir. Owh, betul, saya memang tidak adil membandingkan dua karya ini. Kerana sudah tentu sasarannya berbeza, meski temanya sama.
2 karya. Menampung makna. Tetapi mana satu yang akan membawa kita untuk memahami makna lebih besar dari apa yang tertulis sebagai bait-bait kata dalam puisi?
Bangunan adalah ciptaan manusia. Puisi juga. Kedua-duanya boleh menjadi jambatan ke syurga. Pilihan tetap terletak, di tangan sendiri.

Sunday, June 28, 2009

Pagi Ini

Rupanya semalam Keramat disimbahi hujan berat. Tidak sedar, cuma apabila menjejak kaki ke tanah, tandanya ada di mana-mana. Tanah basah bertakung, daun menampung air, udara tepu kelembapan, langit masih kelabu, matahari juga malu-malu.

Tapi Mak mengajak jenguk Ayah. Akhir-akhir ini Mak kerap minta untuk kami membawa bekalan untuk Ayah.

"Sampaikan sendiri ke tangan Ayah, bukankah lebih baik begitu".

Tapi Mak sendiri tidak pernah pun menjejak kaki. Maklumlah rumah Ayah itu tersergam di atas bukit. Tempat orang kaya. Mak juga sendiri tidak mampu untuk mendaki, tinggi benar. Kami dua beradik yang akan menapak anak-anak tangga simen, meredah daun basah. Sebelum itu seluar perlu dilipat tingi seadanya, agar semalu tidak banyak melekat.

Tapi kali ini kami punya strategi yang lain. Rupanya tempat Ayah itu boleh menampung kereta yang banyak di halaman bawah. Dari situ kami perlu mendaki 3/4 lagi untuk dapat berjumpa Ayah. Jimat 1/4 jarak perjalanan. Halaman bawah menempatkan kawan-kawan Ayah yang lain. Haji Dollah dan Haji Jalal. Tidak silap Shukeri Hashim juga di kawasan yang sama. Jadi kami tinggalkan Mak di situ, untuk kami terus naik ke atas bukit hingga bertemu rumah Ayah yang biru di bawah pencawang elektrik grid nasional.

Ya saya rindu Ayah, lebih-lebih lagi hari ini. Hari selepas Keramat disimbahi hujan berat.

Tempat Ayah masih dijaga, cuma sedikit sebanyak rumput-rumput yang tumbuh di atas tanah subur dan cuaca yang menggalakkan pula. Lalu kami mengambil keputusan untuk mencabut dulu rumput-rumput yang mencari ruang dicelah binaan rumah Ayah. Juga memetik daun pokok puding yang sudah berubah warna. Agaknya pokok puding itu telah tumbuh hebat subur dan meninggi tetapi kemudian dipangkas orang ketika gotong royong. Kami sendiri tidak tahu bila ianya belaku. Cuma 2 batang puding masih terpasak kukuh masuk ke dalam tanah Ayah, meninggalkan kami tanda. Dengan batangnya jelas kesan ditebang, kami boleh ukur lilitan batang untuk menganggarkan betapa besarnya ia. Besar, cukup besar. Tidak hairan kenapa ianya ditebang. Tetapi sudah ada pohon puding kecil. Patah tumbuh hilang berganti?
Sewaktu Ayah di sisi, Ayah sendiri seperti sebuah pohon lebat yang menaungi. Tidak hairan, bila Ayah berpindah, pokok-pokok sendiri ingin menjadi payung untuk Ayah. Harapnya kami juga boleh jadi seperti itu, sebuah payung.

Silap sendiri, bila jubah hitam yang dipakai untuk melindungi seluar panjang mengundang banyak nyamuk untuk beserta. Saya tidak kisah pun. Apalah sakitnya gigitan nyamuk di pipi, kaki, tangan dan badan. Bukankah semalam Keramat hujan, nyamuk pun datang meneman. Setelah selesai, kami membekalkan Ayah dengan sedekah. Ketika ianya diapungkan, burung-burung pun mengiring. Dengan kicau yang mengamankan.

Pagi di Keramat dari rumah Ayah damai. Dari jauh diseberang bukit sebelah sana, kami lihat binaan rumah besar agam. Beberapa buah sahaja. Begitu besar, meski di bina di atas bukit kami masih boleh lihat dengan jelas. Jelas, ianya sangat besar. Ironi, Ayah kami tidak perlu menjadi orang kaya untuk dapat tinggal di puncak bukit. Dan bila memandang ke bawah, atap rumah-rumah teres golongan pertengahan yang tersusun kelihatan sama seperti di dalam filem Slumdog Millionaire. Dari jauh, kami dapat mendengar bunyi hon mamak roti untuk mengundang jualan. Suara dari corong pembesar suara dari sekolah yang sedang mengadakan karnival.

Akhirnya meski semalam Keramat basah disimbahi hujan, kami menyiramkan juga air dari botol yang dikirim Mak. Ya, moga Ayah sentiasa aman dengan tanah yang lembab dan menyegarkan. Bukankah dari tanah kita datang, kepada tanah juga kita akan dikembalikan.

Saya memandang sepenuh hati mahu tahu dan sesungguhnya hari ini mahu merasa, bagaimana keadaannya berada di dalam sana?

"Turun?" Adik memberi isyarat. Seluar panjang perlu dilipat kembali. Hujung seluar basah mengeringkan daun. Semalu yang ada dibiarkan dulu, turun nanti lebih banyak akan menyusul.


Ramai juga yang datang menziarah saudara masing-masing. Dan kami berjalan melewati rumah kawan-kawan Ayah. Pak Dollah Bilal Masjid yang baru seminggu lepas menyusul, Haji Jalal dan mungkin di tapak itu salah satunya Shukery Hashim. Mak menyambut kami di kereta dengan wajah ceria. Botol air pun sudah kosong, lenggang kami jadi lebih santai.


Saya menyusun langkah, memandang tanah. Merah. Masih lembab, disebahagian tempat bertakung air. Saudara mara penghuni taman yang sedang duduk di atas tikar, dengan tangan memegang surah Yasin menoleh pandang. Saya membalas dengan senyum. Dalam episod-episod kehilangan dan kesedihan, masih tetap ada kehidupan dan pertalian hubungan kemanusian.


Talqin dan tahlil sudah dibacakan, tapi tetap akan ada hari tanah pasti disimbahi hujan.

Saturday, June 27, 2009

Dunia Kiamat 2012?

2012, itu tarikh yang diberikan oleh Roland Emerich. Untuk memahami apakah halnya, pada peminat pengarah yang telah banyak memusnahkan bumi dalam filem seperti Independence Day dan The Day After Tomorrow perlu menantikan hujung bulan ini atau bulan depan. Filem hebat yang akan ditayangkan pada musim panas ini. Tajuknya 2012, tema hari kiamat.

Bukan susah mahu percaya peristiwa yang satu ini. Terlalu banyak tertulis dalam Al Quran, hampir setiap surah dilengkapi peringatan yang ini. Setiap rakaat solat juga diulang agar sentiasa sedar masa akan tiba. Pasti tiba.

Roland Emerich dalam filem 2012 cuma membantu memvisual latar. Ngeri, kucar kacir, rancu, takut, putus asa, sedih, keliru, segala.

Jika kita memahami hakikat masa, kiamat itu sebenarnya telah terjadi. Sebagai manusia yang terikat dengan relatif, untuk diri saya dan anda ia sedang ditangguhkan dalam dimensi ini. Ia akan berlaku pada masa akan datang, tetapi sedang berlaku dalam dimensi Tuhan. Kerana itu bila Tuhan berbicara tentang kiamat, ia adalah satu kenyataan yang diulang-ulang pasti terjadi tanpa syak, kerana Allah Maha Tahu peristiwanya sedang terjadi.

Kiamat pada saya? Saya berpendapat ianya sedang terjadi meski belum dapat memahami dengan jelas. Meski peristiwanya akan datang, belum terjadi sekarang tetapi saya percaya kedatangannya amat dekat. Kiamat saya memang dekat. Macamana saya boleh mendapat rumusan seperti itu? Kerana saya percaya dengan simbol agama. Yang ditulis dalam hadis-hadis. Yang diisyarat dalam Al Quran sendiri.

Kalau anda pernah menonton Da Vincci Code dan Angels and Demons, bagaimana keterujaan Profesor Langdon terhadap simbol. Dia percaya bahawa simbol membawa maksud-maksud tertentu dan benar pula, sedang pada saya Profesor Longdon percaya pada sumber yang boleh diragui kesahihannya. Sedang kita mempunyai sumber mutlak, tidak diragukan sedikit pun. Tetapi soalnya kenapa tidak kita percaya pada simbol agama yang akan membantu kita memahami peristiwa, memberikan panduan, dan membuat kita bertindak pada jalan yang benar?

Antara lain simbol kiamat dari sudut pandangan Islam ialah keluarnya asap dari bumi. Kalau bertanya orang yang arif, jerebu itu adalah tandanya. Kalau bertanya orang arif dengan adaptasi moden, asap yang keluar dari kilang-kilang hingga menyebabkan pencemaran udara juga intepretasi hadis 'keluar asap dari bumi'. Anda boleh berselisih pendapat dengan saya tidak mengapa, ia satu aktiviti janaan fikiran yang baik. Anda juga boleh menolak dan tidak percaya, tidak mengapa. Bukankah ia hak peribadi. Tetapi kalau ada menolak atas sebab masih belum puas berseronok, itu kena ikut tagline Nabil “lu fakir la sendiri’.

Tekak dan hidung saya yang panas minggu lalu yang seakan mahu sembuh, panas kembali hari ini. Nasib belum keluar asap dari hidung. Asap dari bumi juga kan? Bagi saya, sakit dan kesedihan juga satu bentuk kiamat, kiamat kecil.

Wednesday, June 24, 2009

Penyelamat 2

Bila saya menulis mengenai penyelamat dalam entri yang lalu, ia telah menyebabkan saya dikejutkan dengan panggilan awal subuh dari nombor tidak dikenali yang datang jauh beribu batu dari luar negara.
Soalan bertubi yang datang ‘siapa penyelamat anda?’
Ia soalan yang baik dan strategik untuk menyebabkan mata terus dijegilkan, dengan mencongak agar talian tidak lama. Jangan sampai bil si pemanggil melambung tinggi.
Kalau saya tidak menulis pun, soalan itu telah sedia ada dalam diri. Dan sepatutnya jawapannya juga turut ada dalam diri. Ia persoalan fitrah total. Cuma sedar atau tidak sahaja.
Di entri yang lalu saya mulakan dengan watak Clark Kent dari cerita Smallville, tujuannya satu. Superman yang hebat taraf ultra itu juga memerlukan watak penyelamat. Jika bukan untuk melindungi fizikal dirinya, adalah untuk melindungi jiwanya yang rapuh, tidak seutuh tubuh yang kalis segala. Penyelamat Superman adalah ibu bapa angkatnya di bumi. Yang mendidik percaya diri, menyayangi, melindungi.
Dan bagi mereka yang melihat cerita Wonder Pet bersama anak-anak, ada tiga watak haiwan peliharaan menjadi penyelamat haiwan yang lain dalam kesusahan. Hamster, Itik dan Kura-kura. “Kami kecil dan kami tak kuat, tapi bila bekerjasama kami jadi hebat”. Tagline mereka yang sangat terkenal, “Apa yang penting”. “Kerjasama”. Haiwan juga mempunyai penyelamat.
Di Real Madrid, mereka mengharapkan watak penyelamat untuk membolehkan mereka memintas Barcelona yang diuruskan Guardiola, iaitu Christiano Ronaldo dan Kaka. Dan kini di Manchester United yang resah keresahan menanti penyelamat yang baru, antara calonnya ialah Frank Ribery. Meski MU mempunyai Euro 80 juta (hasil jualan Ronaldo ke Madrid) tetapi bukan mudah untuk mendapatkan seorang juru selamat. Antara lain yang perlu dimiliki oleh hero ialah keserasian bersama orang yang mahu diselamatkan.
Kita ambil contoh, Chelsea sebelum ini menyandarkan harapan ke atas Jose Mourinho kemudian pada Louis Felipe Scolari. Tidak menjadi, tidak serasi. Kemudian meletakkan di bahu Guss Hiddink, jadi. Sayangnya Hiddink perlu pulang kembali ke Russia. Apa lagi yang tinggal pada Abramovic? Siapa hero seterusnya?
Wah banyak betul soal menjadi sang penyelamat ini. Perlu serasi dan kekal berjodoh. Sang penyelamat juga perlu ciri-ciri unggul tahap ultra (agaknya dari situ datangnya Ultraman).
Apa perlunya penyelamat? Ia melambangkan supremacy, keunggulan, keistimewaan, kelebihan, kegagahan dan kadang-kadang satu simbol kebenaran.
Kembali pada mula, soalan rakan yang tinggal nun jauh beribu batu merentas Selat Inggeris, sebelum soalan itu timbul semula, saya mahu bertanya, “siapa penyelamat anda pula?”
Bukankah ia persoalan fitrah?
Saya bukan main-main, ini soalan serius, penting dan strategik.
Bandingkan ini.
Dalam persoalan penting dari sudut akidah juga menuntut watak hero.
Hiduisme meletakkan kegemilangannya pada konsep tanah suci iaitu Bharat. Pernah dengar? Bharat ialah sebuah kota suci yang didiami oleh Dewa dan Dewi yang tinggal di bumi dan pada masa kegemilangannya mempunyai hak eklusif sebagai satu-satu agama yang benar. Kemudian ia runtuh dan selama 8 kurun India telah ditakluk oleh orang Islam juga di dominasi agama lain. Antara kawasan tersebut (yang membentuk Bharat) ialah Pakistan (Islam), Bangladesh (Islam), Maldives (Islam) dan Sri Langka (Buddha) termasuk India. Penguasaan bangsa lain meninggalkan parut mendalam kepada integriti Hiduisme dan Bharat sebagai tanah suci. Untuk membolehkan supremacy agama Hindu ke atas dunia, mereka perlu mengembalikan Bharat. Bharat adalah sentral untuk mengesahkan kebenaran agama Hindu ke atas agama yang lain. Jadi Bharat adalah lambang penyelamat kepada agama Hindu.
Begitu juga yang terjadi untuk agama Yahudi. Sangat mengejutkan Yahudi mempunyai konsep yang hampir sama dengan Hinduisme. Tanah yang dituntut Yahudi adalah Jurusalem (Al Quds). Namun, Yahudi tidak berdiri hanya dengan keperluan untuk mendirikan semula Jurusalem dan negara Israel, tetapi dengan satu watak hero iaitu Messiah yang akan mengembalikan kegemilangan agama Yahudi. Jurusalem perlu di bina semula dan Messiah perlu kembali sebagai pemerintah. Kemudian dari itu, Israel akan memerintah dunia.
Begitu juga dengan Kristian, mereka menunggu Messiah, Jesus the Son of Mary. Bagi orang Krisitan, Jesus adalah sang penyelamat, tiada orang lain (difahamkan cerita Superman bertitik tolak (interteks) dari fahaman Kristian yang ini).
Dan bagi umat Islam, siapakah pula Sang Penyelamat kita? Yang utama dan telah menyelamatkan seluruh umat di dunia (rahmatan lil alamin) tentulah Rasulullah sawa. Dan kemudian di akhir zaman, 2 watak unggul akan muncul. Saya rasa kita lebih beruntung, kerana kita punya Nabi Isa dan juga Imam Mahdi sekaligus. Dua orang yang akan memastikan kebenaran hak akan mengalahkan yang batil.
Yup, sang penyelamat itu perlu citra ultra dan unggul. Mereka akan mengalahkan batil dan memenangkan yang Hak. Dan ini bukan tugas orang biasa, ia memerlukan yang luar dari biasa.
Yup, sang penyelamat adalah soal strategik untuk diri dan juga agama.
Barangkali Sang Penyelamat perlu terunggul, serasi dan berjodoh bagi yang mengimani.
Bagi saya, sang penyelamat cukup sudah dengan mengingati jiwa jadi tenang dan tenteram.
Dan untuk menjawab rakan yang telah berusaha menelefon jauh dari negeri atas angin ‘Penyelamat saya yang menidurkan dengan aman. Menyelimutkan dengan keteguhan. Yang menepuk bantal dengan azimat. Yang membisikkan “jihad-jihad”. Mendatangkan mimpi syahid. Mengejutkan dari lena untuk menjadi seperti dzibhin azim.
Anda? Sudahkah berjumpa dengan sang penyelamat?

Tuesday, June 23, 2009

Menjadi Sang Penyelamat

Kata Clark Kent di sambutan Thanksgiving, 'saya amat menyukuri ibu bapa saya kerana mereka membuat saya percaya tentang kebolehan, dan percaya diri'.
Superman juga ada sang penyelamat kepada jiwanya. Ibu bapa angkat Clark Kent adalah manusia di bumi. Sedangkan dia adalah makhluk yang datang dari angkasa. Clark Kent adalah Superman, penyelamat untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan.
Rupanya menjadi penyelamat itu rasanya sangat hebat. Dia adalah sandaran kepada harapan, di wajah ada raut aman, penyelesai masalah, mengangkat martabat, menjauhkan dari kesakitan dan penderitaan, juga menjamin sebuah dunia seperti syurga.
Sang penyelamat itu, dengan tahu hadir dia setiap masalah akan terungkai.
Kadang-kadang hadir fizikal pun sudah tidak perlu. Bila sudah mengenal dia, cukup mengingati ia akan membuatkan kita bebas dari segala beban dan tanggungan.
Saya rasa saya ada penyelamat.
Dan saya juga mahu jadi seorang.

Monday, June 22, 2009

Iklan

Minggu sudah - bermaraton menyiapkan kerja-kerja dan juga hari keluarga (buek sakit badan den yo, ponek tarik tali).
Hari ini - sedang melayan tekak mula sedang perit dan sakit-sakit, hidung yang semakin panas, dan mata yang juga sedang pedih-pedih.
Di depan 3 botol air mineral, moga sakit hilang jangan sampai demam...aduh!

Wednesday, June 10, 2009

Usik mengusik

ADLI ZOKHAIR MENGADAP SULTAN ALAUDDIN

DATO’ TEMENGGUNG, Raja Merlang dan sekalian Petinggi 18 cemas memandang Tun Adli Zokhair dan kumpulan abintara kepercayaan Sultan tiba. Tun Adli Zokhair tidak bersenang lenang dan menyuruh katwal meletakkan tanda disekeliling dengan tali yang dikenali orang sekarang sebagai reben barricade berwarna merah dan putih, agar jangan ada yang akan masuk dan mengganggu. Kedatangan mereka adalah atas titah Sultan sendiri. Pesan baginda apa yang diperlukan Tun Adli Zokhair jangan sampai dilengah-lengah, jangan sampai tidak tertunai. Tun Adli Zokhair yang cendayam itu tidak lain tidak bukan adalah karib Raja Husin yang telah diangkat menjadi Sultan Melaka yang baru delapan purnama, Sultan Alauddin Riayat Syah.

Seluruh negeri Melaka dan jajahan takluk jadi gempar bila tempat bersuka-suka untuk permainan rakyat runtuh tiba-tiba. Bukan, bukan seluruhnya tunduk menyembah bumi, bahkan bumbung tempat paling sedikit menanggung beban itulah yang roboh. Tun Adli Zokhair dipanggil khusus untuk menyiasat. Gerangan apa binaan megah begitu runtuh belum pun sampai setahun.

(nota: terima kasih Eika meminjamkan saya Hikayat Amir Hamzah)

Monday, June 08, 2009

Baru Ku Tahu

Ia minggu yang lelah, lelah fizikal lelah jiwa.
Sekembali pulang dari menzirah sepupu rakan yang telah arwah dalam satu kemalangan jalan raya, saya masih lagi lelah. Kehilangan adalah sesuatu yang selalu melelahkan.
Dan di sana ada wajah-wajah yang mengingatkan saya pada rakan merangkap saudara sedarah-iaitu kakak saya sendiri.
Lalu saya bertanya sejak sekian lama, bagaimana sebenarnya perasaan adik saya pula.
Adik saya lebih dulu kehilangan rakan, merangkap saudara sedarah-anak buah kami. Anak buah kami dan adik saya adalah 2 rakan yang akan sentiasa bersama ke mana-mana. Sejak kecil mereka kelihatan seperti adik beradik sehingga meningkat remaja. Tetapi Allah tidak menghendakkan hubungan itu lama di dunia, lalu Dia simpankan untuk kami di akhirat.
Setelah setahun kehilangan kakak-jiwa saya masih lelah.
Telah 2 tahun, jiwa adik saya juga lelah sama seperti saya. Telah 2 tahun, baruku tahu.
Saya melihat wajah bonda arwah (mak saudara rakan saya), begitu kehilangan. Dan kalau boleh saya menangis, mungkin seperti itulah saya akan jadi.
Tetapi mungkin Allah sayangkan kami, kerana saya pernah membaca, jika Allah sayangkan hambaNya, Dia akan menguasainya dengan kehilangan keluarga.
Ya, Tuhan sayangkan saudara-saudara kami. Tuhan juga sayangkan kami. Mereka telah berangkat ke syurga, mungkin nanti kami akan menyusul mereka pula. Alfatihah.
Arwah ialah Mohd Zukhair bin Noraini (nama ibunya) telah berangkat ke rahmatullah pada 4 Jun 2009 sewaktu umurnya 21/22 tahun.

Tuesday, June 02, 2009

Muda berjaya

Yang muda dan berjaya, siapa pilihan anda?

Saya memilih Pep Guardiola, pengurus dari Camp Nou, kelab bolasepak Barcelona dari Sepanyol untuk musim 2008/09 ini. Dalam akhbar STAR menulis, petikan kata-kata Guardiola yang menjadi inspirasi,

“The greatest risk is not taking risk at all”. (lebih kurang)

Untuk orang seperti saya yang tidak akan memihak Manchester United, Barcelona adalah pasukan paling sesuai untuk disokong untuk perlawanan akhir Piala Liga-liga di Roma Italy. Ya personal, begitulah. The enemy of my enemy is a friend. Barcelona definitely a friend.
Guardiola belum pun masuk 40 tahun. Secara relatif dia lebih muda berbanding pengurus yang lebih matang, berpengalaman dan menempa banyak kejayaan. Berbanding dengan Sir Alex Furgeson, membandingkan dengan Guss Hiddink, Louis Felipe Scolari, Arsene Wenger, Juergen Klinsman, Jose Marinho dan ramai lagi, Guardiola jauh lebih muda.

Apa yang telah Guardiola lakukan? Dia telah membawa pulang piala Juara Liga di Sepanyol mengalahkan lawan yang lebih terampil yang diuji dari segi kemahsyuran dan rekod, Real Madrid. Dia telah membawa piala Champions League mengalahkan Manchester United 2-0. Telah membawa pulang piala Copa yang hanya ditaruhkan di Sepanyol. Tiga piala, trebel untuk musim yang mengkagumkan. Dan lebih penting, dia telah memberi peluang kepada Tierry Henry menambah koleksi peribadi kemenangan dalam perlawanan sangat penting, yang tidak pernah dirasai sebelum ini di Arsenal, iaitu piala Juara Liga-Liga.

Menjadi pengurus yang berjaya memerlukan kepintaran dan daya percaturan yang luar biasa. Bolasepak memerlukan lebih dari itu. Kemahiran teknikal salah satu dari antaranya. Menimbang kelebihan, kekuatan dan kelemahan pemain adalah antara bakat lain yang perlu. Perancangan dan memanipulasi kekuatan dan kelemahan pemain lawan juga adalah antara kemahiran yang mesti ada. Dengan bentuk industri bolasepak yang semakin kompleks, pengurus sebuah kelab lebih-lebih lagi yang ternama dan hebat memerlukan lebih dari apa yang boleh difikirkan.

Di tangan Guardiola, dia mempunyai sebarisan pemain yang paling hebat di planet Bumi. Barcelona mempunyai Messi, Eto’o dan Tierry Henry. Sembilan puluh minit di Roma, perbandingan antara Messi dan Ronaldo untuk siapa lebih hebat telah terjawab. Messi si cilik yang tidak mempunyai susuk yang sempurna sebagai pemain bolasepak, telah menonjolkan keupayaan melampau apa yang mereka katakana hanya dapat dicapai dengan mempunyai tubuh yang ideal. Bagi saya, Messi seperti Nopalean Bonaparte, kecil tetapi penuh keazaman. Kecil tetap menggegar lawan. Jangan lupa Edwin Van De Sar telah tumpas dengan tandukan si cilik yang banyak helah ini.

Mempunyai pemain-pemain yang hebat tidak mencukupi, sebuah pasukan perlu mempunyai think tank yang superb seperti Pep Guardiola.

Dalam bolasepak, pengurus telah menjadi sama penting dengan pemain. Malah aspek paling
penting dalam menentukan kejuaraan. Kalau tidak kita tidak akan menyaksi pengurus Chelsea ditukar berkali-kali.

Saya lama sudah tidak ambil peduli dengan bola sepak. Tapi pencapaian Barcelona terlalu hebat untuk didiamkan (betul hanya samata untuk menyakiti penyokong MU), walau sudah hampir seminggu berlalu.

Musim panas ini amat penting. Samada Ronaldo akan berpindah ke Real Madrid atau tidak ke kita akan saksikan juga nanti. Jika Ronaldo berpindah, kemungkinan besar tempat yang kosong di Manchester United akan diisi oleh Kaka atau Ribery? Oh tidak, janganlah sampai Ribery ke MU meski mereka menawarkan jersi nombor 7 Red Devil. Mungkin juga Csec Febragas kapten Arsenal memakan umpan untuk berhijrah ke Sepanyol? Ini adalah musim panas yang penuh debaran!

Walau apa, pesan Pep Guardiola menjadi gema dalam sukma dan dalam banyak ketika saya percaya ada banyak benarnya;

“The greatest risk is not taking risk at all”. To all my phd friends, juang jangan lelah!