Penyelamat 2

Bila saya menulis mengenai penyelamat dalam entri yang lalu, ia telah menyebabkan saya dikejutkan dengan panggilan awal subuh dari nombor tidak dikenali yang datang jauh beribu batu dari luar negara.
Soalan bertubi yang datang ‘siapa penyelamat anda?’
Ia soalan yang baik dan strategik untuk menyebabkan mata terus dijegilkan, dengan mencongak agar talian tidak lama. Jangan sampai bil si pemanggil melambung tinggi.
Kalau saya tidak menulis pun, soalan itu telah sedia ada dalam diri. Dan sepatutnya jawapannya juga turut ada dalam diri. Ia persoalan fitrah total. Cuma sedar atau tidak sahaja.
Di entri yang lalu saya mulakan dengan watak Clark Kent dari cerita Smallville, tujuannya satu. Superman yang hebat taraf ultra itu juga memerlukan watak penyelamat. Jika bukan untuk melindungi fizikal dirinya, adalah untuk melindungi jiwanya yang rapuh, tidak seutuh tubuh yang kalis segala. Penyelamat Superman adalah ibu bapa angkatnya di bumi. Yang mendidik percaya diri, menyayangi, melindungi.
Dan bagi mereka yang melihat cerita Wonder Pet bersama anak-anak, ada tiga watak haiwan peliharaan menjadi penyelamat haiwan yang lain dalam kesusahan. Hamster, Itik dan Kura-kura. “Kami kecil dan kami tak kuat, tapi bila bekerjasama kami jadi hebat”. Tagline mereka yang sangat terkenal, “Apa yang penting”. “Kerjasama”. Haiwan juga mempunyai penyelamat.
Di Real Madrid, mereka mengharapkan watak penyelamat untuk membolehkan mereka memintas Barcelona yang diuruskan Guardiola, iaitu Christiano Ronaldo dan Kaka. Dan kini di Manchester United yang resah keresahan menanti penyelamat yang baru, antara calonnya ialah Frank Ribery. Meski MU mempunyai Euro 80 juta (hasil jualan Ronaldo ke Madrid) tetapi bukan mudah untuk mendapatkan seorang juru selamat. Antara lain yang perlu dimiliki oleh hero ialah keserasian bersama orang yang mahu diselamatkan.
Kita ambil contoh, Chelsea sebelum ini menyandarkan harapan ke atas Jose Mourinho kemudian pada Louis Felipe Scolari. Tidak menjadi, tidak serasi. Kemudian meletakkan di bahu Guss Hiddink, jadi. Sayangnya Hiddink perlu pulang kembali ke Russia. Apa lagi yang tinggal pada Abramovic? Siapa hero seterusnya?
Wah banyak betul soal menjadi sang penyelamat ini. Perlu serasi dan kekal berjodoh. Sang penyelamat juga perlu ciri-ciri unggul tahap ultra (agaknya dari situ datangnya Ultraman).
Apa perlunya penyelamat? Ia melambangkan supremacy, keunggulan, keistimewaan, kelebihan, kegagahan dan kadang-kadang satu simbol kebenaran.
Kembali pada mula, soalan rakan yang tinggal nun jauh beribu batu merentas Selat Inggeris, sebelum soalan itu timbul semula, saya mahu bertanya, “siapa penyelamat anda pula?”
Bukankah ia persoalan fitrah?
Saya bukan main-main, ini soalan serius, penting dan strategik.
Bandingkan ini.
Dalam persoalan penting dari sudut akidah juga menuntut watak hero.
Hiduisme meletakkan kegemilangannya pada konsep tanah suci iaitu Bharat. Pernah dengar? Bharat ialah sebuah kota suci yang didiami oleh Dewa dan Dewi yang tinggal di bumi dan pada masa kegemilangannya mempunyai hak eklusif sebagai satu-satu agama yang benar. Kemudian ia runtuh dan selama 8 kurun India telah ditakluk oleh orang Islam juga di dominasi agama lain. Antara kawasan tersebut (yang membentuk Bharat) ialah Pakistan (Islam), Bangladesh (Islam), Maldives (Islam) dan Sri Langka (Buddha) termasuk India. Penguasaan bangsa lain meninggalkan parut mendalam kepada integriti Hiduisme dan Bharat sebagai tanah suci. Untuk membolehkan supremacy agama Hindu ke atas dunia, mereka perlu mengembalikan Bharat. Bharat adalah sentral untuk mengesahkan kebenaran agama Hindu ke atas agama yang lain. Jadi Bharat adalah lambang penyelamat kepada agama Hindu.
Begitu juga yang terjadi untuk agama Yahudi. Sangat mengejutkan Yahudi mempunyai konsep yang hampir sama dengan Hinduisme. Tanah yang dituntut Yahudi adalah Jurusalem (Al Quds). Namun, Yahudi tidak berdiri hanya dengan keperluan untuk mendirikan semula Jurusalem dan negara Israel, tetapi dengan satu watak hero iaitu Messiah yang akan mengembalikan kegemilangan agama Yahudi. Jurusalem perlu di bina semula dan Messiah perlu kembali sebagai pemerintah. Kemudian dari itu, Israel akan memerintah dunia.
Begitu juga dengan Kristian, mereka menunggu Messiah, Jesus the Son of Mary. Bagi orang Krisitan, Jesus adalah sang penyelamat, tiada orang lain (difahamkan cerita Superman bertitik tolak (interteks) dari fahaman Kristian yang ini).
Dan bagi umat Islam, siapakah pula Sang Penyelamat kita? Yang utama dan telah menyelamatkan seluruh umat di dunia (rahmatan lil alamin) tentulah Rasulullah sawa. Dan kemudian di akhir zaman, 2 watak unggul akan muncul. Saya rasa kita lebih beruntung, kerana kita punya Nabi Isa dan juga Imam Mahdi sekaligus. Dua orang yang akan memastikan kebenaran hak akan mengalahkan yang batil.
Yup, sang penyelamat itu perlu citra ultra dan unggul. Mereka akan mengalahkan batil dan memenangkan yang Hak. Dan ini bukan tugas orang biasa, ia memerlukan yang luar dari biasa.
Yup, sang penyelamat adalah soal strategik untuk diri dan juga agama.
Barangkali Sang Penyelamat perlu terunggul, serasi dan berjodoh bagi yang mengimani.
Bagi saya, sang penyelamat cukup sudah dengan mengingati jiwa jadi tenang dan tenteram.
Dan untuk menjawab rakan yang telah berusaha menelefon jauh dari negeri atas angin ‘Penyelamat saya yang menidurkan dengan aman. Menyelimutkan dengan keteguhan. Yang menepuk bantal dengan azimat. Yang membisikkan “jihad-jihad”. Mendatangkan mimpi syahid. Mengejutkan dari lena untuk menjadi seperti dzibhin azim.
Anda? Sudahkah berjumpa dengan sang penyelamat?

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK