Pagi Ini

Rupanya semalam Keramat disimbahi hujan berat. Tidak sedar, cuma apabila menjejak kaki ke tanah, tandanya ada di mana-mana. Tanah basah bertakung, daun menampung air, udara tepu kelembapan, langit masih kelabu, matahari juga malu-malu.

Tapi Mak mengajak jenguk Ayah. Akhir-akhir ini Mak kerap minta untuk kami membawa bekalan untuk Ayah.

"Sampaikan sendiri ke tangan Ayah, bukankah lebih baik begitu".

Tapi Mak sendiri tidak pernah pun menjejak kaki. Maklumlah rumah Ayah itu tersergam di atas bukit. Tempat orang kaya. Mak juga sendiri tidak mampu untuk mendaki, tinggi benar. Kami dua beradik yang akan menapak anak-anak tangga simen, meredah daun basah. Sebelum itu seluar perlu dilipat tingi seadanya, agar semalu tidak banyak melekat.

Tapi kali ini kami punya strategi yang lain. Rupanya tempat Ayah itu boleh menampung kereta yang banyak di halaman bawah. Dari situ kami perlu mendaki 3/4 lagi untuk dapat berjumpa Ayah. Jimat 1/4 jarak perjalanan. Halaman bawah menempatkan kawan-kawan Ayah yang lain. Haji Dollah dan Haji Jalal. Tidak silap Shukeri Hashim juga di kawasan yang sama. Jadi kami tinggalkan Mak di situ, untuk kami terus naik ke atas bukit hingga bertemu rumah Ayah yang biru di bawah pencawang elektrik grid nasional.

Ya saya rindu Ayah, lebih-lebih lagi hari ini. Hari selepas Keramat disimbahi hujan berat.

Tempat Ayah masih dijaga, cuma sedikit sebanyak rumput-rumput yang tumbuh di atas tanah subur dan cuaca yang menggalakkan pula. Lalu kami mengambil keputusan untuk mencabut dulu rumput-rumput yang mencari ruang dicelah binaan rumah Ayah. Juga memetik daun pokok puding yang sudah berubah warna. Agaknya pokok puding itu telah tumbuh hebat subur dan meninggi tetapi kemudian dipangkas orang ketika gotong royong. Kami sendiri tidak tahu bila ianya belaku. Cuma 2 batang puding masih terpasak kukuh masuk ke dalam tanah Ayah, meninggalkan kami tanda. Dengan batangnya jelas kesan ditebang, kami boleh ukur lilitan batang untuk menganggarkan betapa besarnya ia. Besar, cukup besar. Tidak hairan kenapa ianya ditebang. Tetapi sudah ada pohon puding kecil. Patah tumbuh hilang berganti?
Sewaktu Ayah di sisi, Ayah sendiri seperti sebuah pohon lebat yang menaungi. Tidak hairan, bila Ayah berpindah, pokok-pokok sendiri ingin menjadi payung untuk Ayah. Harapnya kami juga boleh jadi seperti itu, sebuah payung.

Silap sendiri, bila jubah hitam yang dipakai untuk melindungi seluar panjang mengundang banyak nyamuk untuk beserta. Saya tidak kisah pun. Apalah sakitnya gigitan nyamuk di pipi, kaki, tangan dan badan. Bukankah semalam Keramat hujan, nyamuk pun datang meneman. Setelah selesai, kami membekalkan Ayah dengan sedekah. Ketika ianya diapungkan, burung-burung pun mengiring. Dengan kicau yang mengamankan.

Pagi di Keramat dari rumah Ayah damai. Dari jauh diseberang bukit sebelah sana, kami lihat binaan rumah besar agam. Beberapa buah sahaja. Begitu besar, meski di bina di atas bukit kami masih boleh lihat dengan jelas. Jelas, ianya sangat besar. Ironi, Ayah kami tidak perlu menjadi orang kaya untuk dapat tinggal di puncak bukit. Dan bila memandang ke bawah, atap rumah-rumah teres golongan pertengahan yang tersusun kelihatan sama seperti di dalam filem Slumdog Millionaire. Dari jauh, kami dapat mendengar bunyi hon mamak roti untuk mengundang jualan. Suara dari corong pembesar suara dari sekolah yang sedang mengadakan karnival.

Akhirnya meski semalam Keramat basah disimbahi hujan, kami menyiramkan juga air dari botol yang dikirim Mak. Ya, moga Ayah sentiasa aman dengan tanah yang lembab dan menyegarkan. Bukankah dari tanah kita datang, kepada tanah juga kita akan dikembalikan.

Saya memandang sepenuh hati mahu tahu dan sesungguhnya hari ini mahu merasa, bagaimana keadaannya berada di dalam sana?

"Turun?" Adik memberi isyarat. Seluar panjang perlu dilipat kembali. Hujung seluar basah mengeringkan daun. Semalu yang ada dibiarkan dulu, turun nanti lebih banyak akan menyusul.


Ramai juga yang datang menziarah saudara masing-masing. Dan kami berjalan melewati rumah kawan-kawan Ayah. Pak Dollah Bilal Masjid yang baru seminggu lepas menyusul, Haji Jalal dan mungkin di tapak itu salah satunya Shukery Hashim. Mak menyambut kami di kereta dengan wajah ceria. Botol air pun sudah kosong, lenggang kami jadi lebih santai.


Saya menyusun langkah, memandang tanah. Merah. Masih lembab, disebahagian tempat bertakung air. Saudara mara penghuni taman yang sedang duduk di atas tikar, dengan tangan memegang surah Yasin menoleh pandang. Saya membalas dengan senyum. Dalam episod-episod kehilangan dan kesedihan, masih tetap ada kehidupan dan pertalian hubungan kemanusian.


Talqin dan tahlil sudah dibacakan, tapi tetap akan ada hari tanah pasti disimbahi hujan.

Comments

Cikli said…
al-Fatihah.
kepada ayah-ayah yang telah pergi dulu.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang