Manisnya kemenangan...

"Dapat gangsa je?" Begitulah sinis teguran seorang kawan kepada A. Saya yakin A mendengar. Kawan tadi bukan memberi komen sekadar untuk didengar sendiri-sendiri, ia bertujuan supaya A sedar bahawa A sudah dikalahkan. A bukan cukup bagus. A bagus cuma dalam lingkungan bukan pada medan pertandingan sebenar. Dan semua orang pun tahu kawan tadi adalah saingan A paling sengit. Sementelah kawan itu memenangi pingat emas.

Tetapi saya hairan, A masih senyum sampai ke telinga. Sekilas pandang mungkin orang lain beranggapan A sudah menang pingat emas.

A mengajak saya minum. Saya memilih kuih kasui. A memilih pulut panggang. Saya bertanya A tidak kecil hatikah dengan pandangan sinis orang. A akhirnya menjawab,

"Apa yang kau nampak dalam pingat ini? Jawab sejujurnya."

"Pingat gangsa, bimakna (dengan makna) tempat ketiga. Dengan maksud, kau kalah dengan dia."

"Bahkan aku sedang mengecapi kemenangan, kemenangan paling manis."

Saya mengangkat kening. Saya yang dungu ini selalu sahaja mohon A menjelaskan keadaan.

"Benar ini pingat gangsa tetapi aku lihat lain dari kilauannya. Aku lihat wajah kesungguhan rafik yang bersekang mata setiap hari hanya semata untuk menyiapkan projek ini. Aku nampak keringat yang mengalir dari dahi mereka diseka dalam keadaan tidak sedar namun mereka terus senyum dan menyempurnakan tugas dengan gelak ketawa. Aku rasai kesungguhan yang mendalam datang dari sukma untuk satu tujuan, agar harapan dan cita melihat projek ini dijelmakan depan mata direalisasikan juga."

A menelan cebis pulut panggang yang akhir. Tangan yang berminyak dibersihkan dengan tisu di atas meja.

"Kau tahu, tim aku yang bersungguh-sungguh berpesan untuk kami mencuba lagi tahun depan. Dan mereka akan berusaha sehabis daya, moga pintu rezeki menyebelahi kami nanti." A senyum, saya nampak kepuasan dalam matanya. Saya rasa dada A cukup kembang saat ini kerana A sudah membuktikan sesuatu pada orang yang meragui. Meskipun A hanya menang pingat gangsa.

"Kejayaan itu bukan kejayaan kalau ada yang tidak redha. Jika ada hati-hati yang jauh kerananya. Juga bukan sekiranya kita memeras tenaga hasil dari kerja orang tetapi tidak menghargai mereka dengan hak. Atau kita menggunakan helah hanya semata untuk memuaskan kepentingan diri."

"Kiranya kau tidak marah?" Saya dengan niat memprovokasi. Saya tahu A sebenarnya memaksudkan tentang seseorang, boleh jadi tentang kawan tadi. Yang pernah mengkhianati dan berhelah untuk kepentingan diri. A senyum dan menjawab, "Hendak marahkan siapa? Keputusan hakim kan muktamad."

"Marahkan dialah, siapa lagi."

A gelak menghilangkan matanya yang kecil. "Tidak, aku rasa manis dari kata-katanya."

"Manis?"

"Ya manis, sangat manis. Kerana dia telah membuat aku sedar, aku dapat lebih besar dari sebuah kemenangan."

"Apa dia?"

"Bahawa kemenangan sebenarnya ialah, bila kita berjuang bersama-sama dengan mereka yang disayang. Pahit manisnya dikongsi, kegembiraannya dirasai. Walau apa pun keputusan akhirnya, tiada secebis pun kesalan kerana kita telah mencuba sehabis baik. Dan lebih hebat kami telah menjadi dewasa dengan kenangan ini."

Saya cuba memahami. Dalam. Kata-kata A selalu mendalam. Senyum A masih belum bersisa. Nyata, A sangat gembira. Saya mengingat kembali satu persatu wajah teman-teman yang berjuang di sisi A. Mereka juga gembira, sangat. Saat mereka mengucapkan tahniah, mereka berjabat tangan dengan erat. Kejap. Saya masih ingat ada aura sedang mengapung di langit waktu itu. Aura keikhlasan dan betul kata A, ia adalah aura yang manis. Sangat manis.

A mencuit saya, "Jom!"

"Kemana?"

"Sujud syukur dan solat sunat gerhana."

Saya mengikut. Dalam hati saya juga mahu bagaimana rasa, manisnya sebuah kemenangan.

Comments

InsyaAllah, kemenangan itu akan hadir juga nanti asalkan kita tidak putus usaha.

Saya ingin dengar juga komen dari teman yang menerima anugerah Isnin nanti. Kita nantikan bersama

:-)

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang