Aneh-aneh: Falsafah Ikhlas
Pernah sekali saya berbual dengan rakan, tentang satu perkara penting iaitu keikhlasan. Kawan saya kata, bila di alam pekerjaan sifat ikhlas itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Kerana kita mula berkira atas setiap apa yang kita lakukan. Saya mula berfikir. Mungkin benar katanya. Dan beberapa kejadian telah memungkin tekaan beliau itu benar.
Satu masa dahulu ketika berhempas pulas untuk menyambut orang kenamaan negara datang ke tempat kami, dan terpaksa bekerja siang malam pagi dan petang. Sekali pernah diminta seorang pekerja fasiliti untuk tolong membantu kami mengangkat karpet, dia memandang hairan. Kemudian dia berkata, "Berapa nak bayar?". Walhal, itu waktu bekerja dan memang itulah skop pekerjaan dia.
Satu kejadian lain, ketika kami meminta bantuan pemandu untuk mengambil buku di pos pengawal di Kuantan. Bila tiba waktu petang, kami menjangkakan buku itu akan sampai di pejabat. Rupanya tiada. Untuk mengesahkan bahawa memang tidak ada penghantaran, kami menyemak semula di pos pengawal. Pekerja keselamatan menjawab, "memang mulanya pemandu tu hendak ambil buku-buku tu, tapi sebelum dia mengangkat kotak dia bertanya ada apa-apa tak? Bila jawab 'tidak' pemandu itu terus meletak kotak dan berlalu dari situ."
Begitulah.
Kawan saya itu pernah kata, "benda yang paling ikhlas yang kau buat dalam dunia ini ialah ketika kau berada di tandas."
Saya ingin bertanya, ketika buang yang besar ke yang kecil? Saya juga ingin tahu, jika ia ketika membuang yang besar, ikhlas itu keadaan seharusnya seperti apa? Maksud saya, siapa yang lebih ikhlas, orang yang ke tandas bila yang 'itu' sudah berada di muka pintu atau yang berlama-lama sambil baca buku dan menunggu 'itu' keluar dengan tenang dan aman. Tapi saya tahankan saja. Kami belainan gender, takut dia fikir yang bukan-bukan.
Hairan. Saya tidak pernah dengar kata hikmah tentang ikhlas seperti itu. Yang selalu diulang-ulang ialah, 'ikhlas itu seperti seekor semut, berwarna hitam, berada di atas batu hitam, di malam yang gelap gelita.'
Mungkin ketika dia ke tandas, dia padam lampu kot nye. :)
Comments