Wednesday, April 21, 2010

Debu bukan biasa!

Ashwa mengamati botol kecil yang hanya sebesar botol minyak wangi atar atau haruman Raudhah. Botol itu dipenuhi butiran debu. Debu yang penuh cerita. Dia memandang ke luar. Langit di Heathrow masih cerah, tapi Ashwa tidak boleh ke mana-mana. Armterdam yang menunggu, masih perlu menunggu. Sedang musim bunga sudah menjengah diri. Kincir-kincir angin perlu terus berputar tanpa Ashwa, tulip yang berkembang juga perlu mekar tanpanya.

"Peduli apa kincir angin dan tulip tanpaku," Ashwa senyum sendiri. Ashwa terperangkap di sini tanpa tahu untung nasib diri. Akan dapatkah dia terbang ke Netherland ketika langit Iceland digelapkan muntahan debu? Untuk berapa lama lagi dia tidak tahu.

Ashwa memandang botol. Dalam hatinya jerebu segelap langit di Eyjafjallajokull. Butir debu dalam botol itu dikutip dari dahi Farish Asytar selepas solat Asar lama dulu. Ketika Farish usai solat dan dahi dipenuhi pasir halus di tanah Taman Negara Pahang, Ashwa memandang tepat sambil menunjuk-menunjuk ke arah dahi Farish. Farish menyentuh dahi perlahan, ada butir kasar. Farish mengisyaratkan Ashwa supaya menadah tangan, kemudian Farish menjatuhkan butiran debu di dahi ke tangan Ashwa. Ashwa ingin membantah, akhirnya menyerah kemudian tertawa menghilangkan bebola mata.

"Debu bukan biasa." bicara Farish menghentikan tawa. Ashwa tekun mendengar sambil membersihkan tangan kanan. Tangan kiri dibiarkan berdebu dan digenggam dengan kemas. Dia ingin menyimpan tanah dari dahi Farish Asytar, usai Asar, di tanah Taman Negara meskipun Farish tidak tahu.

"Maksud Abang?"

"Pelajar Abang dimakmal geli gelaman bila disuruh mereka memegang tanah dan debu dengan tangan. Kotor. Alih-alih meminta sarung tangan."

"Sampai begitu sekali. Dengan sikap begitu bolehkah mereka faham ilmu praktikal?"

"Ashwa tahu apa alasan mereka?"

Ashwa mengangkat kening.

"Mereka mempertikai Abang tidak teliti memilih tanah. Takut-takut tanah diselepat najis anjing."

Ashwa menghadiahkan raut simpati. Begitu sekali mereka memperlekeh suaminya. Ya, Farish Asytar hanya seorang pembantu teknik, tetapi ramai tidak tahu Farish memiliki kelulusan sarjana muda. Kerana ketidak tahuan orang itu membuka ruang mempertikai keputusan Ashwa, bahawa dia tidak pandai memilih yang sekufu.

"Apa jawab Abang?"

"Abang pandang mereka satu-satu tepat pada mata. Ego memang tidak boleh dilentur. Mereka hanya melihat Abang sebagai pembantu mengangkat barang, bukan sebagai pemudah cara untuk memahami ilmu. Abang menjelaskan pada semua, tanah dan debu ini lebih mulia kerana ia suci lagi menyucikan. Ia dapat menyucikan kamu dan membolehkan kamu bersolat. Kamu bahkan, belum tentu suci dan mustahil dapat menyucikan debu ini."

"Apa yang jawab balas mereka?"

"Tiada apa-apa. Semua hanya diam dan membuat kerja makmal tanpa meminta-minta yang bukan-bukan lagi." Ashwa tersenyum. Farish kemudiannya menceritakan tentang 7 fasa kejadian manusia. Manusia dimuliakan dan didengki kerana asal usul dari tanah yang berdebu.

"Debu bukan biasa." Seolah baru semalam Farish memperkatakan. Benar, debu bukan biasa. Manusia tidak pernah tahu itu. Debu yang dimuntah keluar Eyjafjallajokull lebih luar dari biasa, malah lebih berkuasa. Ia telah menghukum ruang udara. Kapal terbang tidak boleh merentasi asap gelap yang tidak tentu hujung pangkal. Ia telah memisahkan hubungan benua. Ia telah menghalang pertembungan antara tamadun. Kerugian berbilion dolar dan cuaca berantakan kerana matahari tidak dapat menembusi ruang bumi. Segala.

Ashwa di sini terperangkap seorang. Ada sendu meresap ke pembuluh darah. "Debu bukan biasa." Ashwa memandang kembali botol kecil yang dipegang jari telunjuk dan ibu jari. Ashwa menadah tangan kanan, menggigil. Ashwa masih terasa-rasa debu tanah yang berbaki di tapak tangan ketika berarak pulang meninggalkan Farish Asytar bersemayam seorang di perkuburan. Tapak tangan tidak lagi berdebu. Di bawah bumbung Heathrow yang dihukum Eyjafjallajokull, tapak tangan kanan Ashwa dibasahi hujan air mata.

4 comments:

ieka said...

sedihnya cerita ni :(

Nur said...

Salam Kak,

Ahhhhhhhhhhghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhgggggggggh, sebelum saya teruskan, mengapa sang suami meninggal? Akak memang suka dramatic ending, huhuhuh..

Kak, new blog, old blog will be closed...:) Take care as I care

http://stunningyellow.blogspot.com/

NorziatiMR said...

Sambung! Sambung! Sambung!

ASaL said...

terima kasih sudi membaca.

zati: malangnya, ini cuma cerpen sam (satu muka), tiada sambungan :)

nur: dramatik ending sahaja yang cepat menyentuh :) sumimasen, nanti buat yang eppy ending plak (bila tu ermm...)

eika: sedih, sebab tak reti nak menyebut ejafjallayokul dengan betul :( terpaksa berkursus sebutan dengan adik.