Tuesday, April 13, 2010

Keajaiban Zahrah Masoumah dan Salman Ali Shariati

Kami mengikuti kisah adik beradik bersemangat waja, Zahrah Masoumah dan Salman Ali Shariati ini sejak 2009 lagi. Ketika mereka bertekad menawan Selat Inggeris dengan kudrat dan tenaga sendiri, iaitu dengan berenang.

Saya terus kagum, bagaimana mungkin mahu menguakkan kayuhan hanya dengan kudrat dua tangan dan tubuh. Merentasi 37km lautan dalam air dingin yang sejuknya mencecah 15 darjah Celcius, dari Dover (selatan England) ke Calais (utara Perancis). Misi gila apakah ini, yang mahu dirintis oleh dua orang anak muda. Zahrah yang baru berusia 18 tahun dan Salman pelajar darjah 6.

Barangkali saya sudah lupa lama dulu, Usamah juga dilantik Rasulullah menjadi Jeneral perang mengetuai batalion dalam misi ketenteraan ketika umurnya juga baru berusia 18 tahun.

Masakan saya tidak menjadi lebih teruja. Zahrah itu hanyalah seorang remaja, wanita pula, dan dia tegar mengenakan jilbab penuh ketika berenang! MashaAllah.

Ketika remaja distigmakan dengan pelakuan sumbang menyimpang fitrah sehingga membuang dan membakar bayi, Zahrah menjelmakan dirinya sebagai ros merah suci yang mewarnakan harapan. Bahawa ada remaja yang berjiwa besar, masih ada yang kekal menjunjung fitrah dan hukum Allah, yang boleh menggegar dan menawan, walau sesejuk dan sedalam Selat Inggeris!

Memang, saya terlalu berlebih-lebih. Semua orang tahu Zahrah dan Salman tidak berjaya menawan Selat Inggeris. Bukan kerana semangat mereka luntur, tetapi kerana cuaca dan keadaan tidak mengizinkan.

Itu cerita 2009 yang lalu. Mentari panas mencengkam boleh sahaja diganti hujan.

Ketika mereka mulakan renangan Selat Inggeris, kami menghantar mereka dengan doa dan selawat yang diulang-ulang. Tetapi Allah merancang, masih belum mahu memakbulkan menawan Selat Inggeris.

Itu cerita 2009 yang lalu. Malam bisa sahaja menghilang di balik siang.

Tahun 2010 pun sudah empat bulan berlalu. Bulan ini, baru saya tahu mereka ini dekat sahaja. Bapa mereka dekat sahaja dengan kami. Bapa mereka rupanya adalah salah seorang akademia yang berada dalam sistem kami. Kami baru tahu. Tidak berjaya menawan Selat Inggeris bukan bermakna mereka akan terus lupa untuk berjuang.

Bukankah kalah di Uhud Rasulullah masih bangkit terus menerus. Sehinggalah Makkah dibuka dengan aman. Dan segala berhala dirobohkan. Sehinggal Bilal melaungkan takbir kebesaran. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.

Hari ini, tahun 2010. Salju tebal akan mencair juga bila musim beralih.

Beginilah titipan ayahanda mereka pada kami,

'Zahra Masoumah (18 thn) merupakan pelajar Diploma Sains Sukan UiTM Shah Alam, manakala Salman (12 thn) merupakan pelajar Tingkatan 1, Sek Men Gunung Rapat, Ipoh. Dengan pakaian full-suit dan jilbab bagi Zahra serta berbekalkan makanan gel dan air isotonik, mereka berenang tanpa henti selama 23 jam dari Tanjung Medang, Pulau Rupat Sumatera, Indonesia hingga ke PD sejauh 60 km di atas Misi “Perpaduan Nusantara Malaysia-Indonesia”. Pengalaman mereka yang luas dalam acara mahupun latihan renangan jarak jauh sebelum ini membolehkan mereka dapat melaksanakan cabaran tersebut. Banyak pengorbanan perlu dicurahkan iaitu ....masa .... wang … tenaga …sehinggalah air mata! Laut yang bergelora, ombak tinggi, cuaca buruk diiringi hujan dan kilat, mengelak dilanggar kapal besar, air pusar, sengatan obor-obor dan ampai-ampai, ikan berbahaya (spt Barracuda atau Jerung) merupakan sebahagian kebiasaan mereka dalam mengharungi cabaran dan risiko tinggi yang dilalui di mana-mana saja.'

Kami tidak tahu berenang. Sedang berenang dengan lengkap berpelampung tempoh hari di Pulau Payar telah meninggalkan kenangan yang begitu jerih, inikah pula 23 jam atas air lautan terbentang. MasyaAllah, semangat apa yang meresap dalam dadamu Zahrah dan Salman? Kekuatan apa yang melambungkan kamu ke seberang sana, atas nama perpaduan, atas nama nusa, atas persaudaraan rumpun Melayu Malaysia-Indonesia. MashaAllah, Zahrah hanyalah seorang remaja 18 tahun, perempuan, menyampaikan lebih dari nama perpaduan-nusa-persaudaraan-rumpun Melayu. Ia adalah ikon kecemerlangan, ikon upaya, ikon remaja, ikon gender, bahawa yang luar biasa itu tidak pernah ada. Yang perlu ada hanyalah kesungguhan dan percaya. Tanpa perlu mengorbankan hukum dan tetap membesarkan Allah, Hu. Hebat! Super.

Zahrah, seperti namanya, unggul. Yang satu, tiada duanya. Yang terpilih, Puteri Nabi, penghulu wanita syurga.

Zahrah Masoumah, tidak diberikan nama itu, jika dia tidak mampu mengharungi segala cubaan dan gelombang kecil dan besar. Jerung dan barracuda. Berjilbab sempurna, mengagungkanNya.

Nama Salman adalah nama sahabat, ia adalah cerminan. Bahawa hati yang ikhlas dan bersungguh pasti akan berjumpa. Dialah yang mencari Nabi dari Parsi sehingga ke Tanah Arab. Dialah yang mengusulkan agar parit digali, kemudian keringat membasahi tubuh Nabi.

Salman Ali Shariati, di telah pun menggali, potensi dirinya sendiri. Dalam usia begitu rebung, seperti Ali, dia telah membukti. Moga Allah juga mengurniakannya kapasiti intelektual seperti Shariati, yang dari idea dan pacuan mindanya membuka jalan pada sebuah revolusi.

Allah, saya tidak henti memuji namaNya. Berita dua ikon muda belia begitu mengujakan. Saya berdoa, agar Allah memelihara mereka, moga remaja dini akan membuka mata. Hidup bukan semata untuk mengejar keseronokkan sementara. Hidup, meski di usia muda, masih tetap dapat menggegar dunia!

Akhirnya, ayahanda Zahrah dan Salman menitipkan lagi, bahawa mereka akan terus merentas laut dalam misi 5XOE- 5 Extreme Ocean Expedition-5 Ekspedisi Lautan Ekstrim.

Kami? Kami akan terus-terusan berdoa dan mengulangi selawat. Kerana, kata ayahanda mereka lagi, mereka akan melaungkan slogan, 'Do it all for God, because God deserve the best!'

Allah.

Ini 2010. Di langit, bintang Tsurayya masih ada. Dan mereka...anak Melayu muda dari Malaysia.

4 comments:

Naskah Percuma said...

salam saudara,

saya hanya tahu kuak lentang.. itupun bukan di laut tapi di katil :) tabik kpd keduanya.

ASaL said...

saya hampir tidak dapat compute, dua remaja, lautan luas, berenang? aduh...semangat apa yang ada dalam diri mereka?

Cinta Misteri said...

I just saw him (Salman Ali) on Sejuta Impian TV3. He have such a big heart
GO GREEN.....come support him

ASaL said...

I waited for this to be air, but how come I miss it. Arrrgghhhh. Hope the uploaded it on YouTube. I like to watch him and his father presenting his dream.