Eksperimen Emas - 1
Saya bukan penjual emas (setakat
hari ini la, tidak tahu masa hadapan kalau terjadi agen ke kan?) tetapi
berminat terhadap emas dan dirham apabila membaca dan mendengar ceramah dari
Imran Nazar Hosein. Buku yang menjadi ulangan setiap tahun ialah Surah Al Kahfi
and the End of Time. Dalam buku ini tertulis secara strategik panduan atau
manual untuk hidup di akhir zaman dan pengajaran-pengajaran dari empat kisah
dalam satu surah yang sama – Surah Al Kahfi. Salah satunya kisah pemuda gua dan
duit perak yang digunakan untuk membeli makanan sejurus bangkit dari tidur yang
panjang.
Yang menyebabkan saya terus
menerus mengkaji tentang logam tulen ini ialah saya pernah memenangi peraduan
esei yang telah dianjurkan oleh Hasbullah Pit (ejen emas) dalam blog. Saya memenangi
tempat ketiga untuk mengusulkan duit KWSP mesti disimpan dalam bentuk simpanan
emas, bukan wang ringgit yang susut nilainya. Hadiah kemenangan saya duit juga,
saya harap dapat menang dinar atau dirham (hahaha), ia akan jadi lebih
bermakna. Mungkin saya patut menganjurkan pertandingan juga dan menghadiahkan
kawan-kawan dengan dirham (akan datang, insyaAllah).
Eksperimen 1 – Mengkaji kecairan
Saya menceritakan kebaikkan emas
pada rakan. Beliau agak skeptik mengenai kecairan. Maksud cair di sini ialah, mudah
tak mudah kita tukarkan emas ke wang kertas. Zaman sekarang ini, kita bukan
boleh membeli barang guna emas atau dirham kecuali di pasar Dinar dan Dirham
(D&D) atau outlet yang meletak label D&D. Jadi saya mengajak rakan
untuk menguji sendiri pasaran di Bandar Pusat Jengka.
Emas eksperimen ini ialah emas
pinjaman (nak buat eksperimen pun pinjam ka? Kau mana tahu emas mahal dowh, :p) yang
dibeli pada tahun 2010 dengan harga RM2980.
Kedai pertama ialah kedai emas.
Jadi saya menunjukkan emas dan bertanya berapa harga yang tukang emas mahu
ambil. Dia mengeluarkan kalkulator, mengambil emas dan menimbang. Setelah
menekan beberapa butang di kalkulator di meletakkan harga. Tanya saya, “boleh
jual selalu (sekarang)?” Jawab pekedai, “Boleh.” Sambil memuji emas itu cantik
dan kemudian menambah pesan, “Tak payahlah jual, cantik ni. Simpan dulu.” Saya
senyum, dan meneruskan ke kedai kedua.
Kedai kedua ialah kedai emas
juga. Saya membuat proses yang sama, dan proses yang sama juga yang dibuat oleh
pemilik kedai. Pemilik kedai tergesa-gesa pergi ke kaunter untuk mengambil
duit. Dia mahu membeli dan dan itu juga. Nak bagi saya duit tunai. Saya senyum
kata “saja tanya.”
Eksperimen kedua ialah di kedai
pajak Ar Rahnu. Di sini emas saya tidak dapat diberi timbangan dan nilai wang
ringgitnya kerana Ar Rahnu hanya mengambil barang kemas, bukan emas bullion.
Kata saya jangan risau, ada kedai pajak yang dipunyai oleh Agro Bank yang ambil
emas dalam bentuk bar. Saya mahu mengajak tetapi kawan saya kata sudah cukup
puas hati dengan eksperimen yang kami buat.
Berdasarkan eksperimen tersebut
rakan saya puas hati betapa emas memang boleh dicairkan kepada wang ringgit
bila-bila masa. Tidak kira lokaliti. Kedai emas di Bandar Pusat Jengka pun
menerima, takkanlah kedai emas di bandar-bandar besar tidak terima?
Eksperimen 2 – Nilai di Lokasi
yang Berbeza, Beijing dan Makkah
Kami berada di Beijing (saya dan
rakan yang sama) untuk siri bekerja sambil melawat. Untuk tempat-tempat
lawatan, kami dibawa untuk membeli belah di tempat-tempat eksklusif seperti
kedai menjual mutiara, jed dan batu berharga.
Di kedai batu berharga, mereka
biasa menjual emas sebagai bahan perhiasan. Emas ini (emas kuning dan emas
putih) digunakan untuk mengikat batu-batu eksotik seperti sapphire, ruby, firuz
dan sebagainya. Kami dibenarkan mencuba dan pembantu-pembantu kedai sangat
bersemangat untuk melayan.
Ketika saya menghulurkan tangan,
mereka sangat terpegun dengan rantai emas di tangan saya. Ia pemberian emak.
Bukan besar pun, standard sahaja dan hanya seutas. Mungkin warnanya yang menyerlah.
Kata kawan saya punya peluh yang serasi dengan emas kuning. Jadi kalau saya
pakai emas warnanya tidak pudar (ye ke? ntah?) Tetapi oleh kerana lebih
tertarik kepada emas di tangan, mereka jadi tidak fokus untuk mempromosi
barangan. Salah seorang dari mereka minta untuk melihat dari dekat. Mula
bertanya harga dan macam-macam lagi. Mereka akan terpegun kerana emas yang
dihasilkan di Malaysia lebih baik dari yang dihasilkan di China dan harga jauh
lebih mahal. Spontan mungkin, mereka minta saya jualkan kepada mereka. Orang
biasa pun mahu membeli kerana barangnya bernilai walau didatangkan jauh dari
Malaysia.
Di Mekah lain pula. Saya melihat
jemaah beramai-ramai dalam kedai emas. Saya cuma berdiri di muka pintu. Musim
haji sudah sampai ke penghujung, dan duit saya sudah kering untuk membeli.
Tetapi yang menjadi minat ialah bagaimana emas selalu menjadi tarikan orang.
Kalau ada duit lebih lagi, pasti saya membeli emas kenangan dari Tanah Arab
(kedekut la tu). Tetapi saya sudah punya satu buah rantai yang dihadiahkan oleh
ibu saudara, jadi tidak perlu tambah lagi.
(mungkin entri seperti ini pernah ditulis sebelum ini, saya ingat-ingat lupa. Siapa yang pernah terbaca tu kira ulangkaji la ye, sumimasen).
Comments