Nilai 2
Entri ini tidak ada kena mengena
dengan Nilai 3 untuk promosi membeli belah di Negeri Sembilan. Entri ini respon
kepada pembaca yang menghuraikan panjang lebar tentang nilai dan perspektif
berbeza dengan lokasi. Pembaca itu orang yang saya kenali. Dia adalah ahli
ekonomi terbaik pernah yang dikenali, kalaupun beliau tidak mahu mengaku ahli
dalam bidang ekonomi. Cerita rakan saya itu menarik, dan kerana ia berisi
pengajaran patut dipanjangkan pada yang lain.
Lokasi yang dibandingkan ialah
Kuala Lumpur dan Terengganu. Persepsi mengenai pakaian dan pandangan di mata
orang. Di Kuala Lumpur, bagaimana kita berpakaian tidak pernah menjadi soal
yang terlalu besar. Mungkin dalam aspek untuk fit dalam lingkungan yang
memandang brand dan fesyen, itu cerita lain. Secara kasarnya, di Kuala Lumpur
kita akan lihat rencam budaya yang pelbagai, liberalisasi dalam soal berpakaian
itu berlaku. Apa kisah kalau kita mahu memakai jeans dan kasut sukan sekalipun,
jika itu yang menjadi efektif untuk kerja dan pergerakkan si pemakai, apa
salahnya. Dan kerana pekerjaan di Kuala Lumpur terlalu rencam, soal imej dalam
berpakaian tidak jadi isu. Lebih-lebih lagi mereka yang memilih untuk mempunyai
kerjaya sendiri.
Tapi tidak di Terengganu. Di sana
imej berpakaian dan perlu berada dalam keadaan cantik itu satu kemestian. Kena
jangok sket (ikut bahasa Terengganu), bermakna perlu mengikut fesyen dan trend.
Material pakaian mesti dari yang mahal-mahal dan buatan yang halus. Industri
fabrik di Terengganu adalah yang paling cepat dihasilkan dari segi corak dan
material. Jangan cakap harga, ia bukan harga yang boleh dibeli borong di pasar
minggu di Jengka Street.
Perbezaan yang sangat ketara.
Tapi saya dan beliau berkongsi perkara yang sama. Iaitu nilai terhadap idea dan
pemikiran kritis itu lebih utama berbanding isu luaran yang dinilai tidak
tetap. Seperti berpakaian, di KL dan Terengganu, ia berbeza.
Itu membawa saya kepada risau
seorang adik terhadap Kijang. Kijang ini bukan biasa, ia adalah emas yang
dihasilkan oleh bank negara yang boleh dibeli oleh orang awam. Waktu adik ini
beli, ia berharga mahal iaitu RM1400 suku auns, lebih kurang hampir RM179 per
gram. Hari ini, harga emas itu jatuh ke paras RM176 per gram. Hari-hari adik
menjenguk bank negara untuk memerhati kenaikkan harga kijang. Tapi tidak
naik-naik lagi ke paras yang menguntungkan si pembeli. Kata adik, nilai emas
jatuh. Tapi saya yakinkan bahawa tidak perlu risau, ia akan naik semula nanti,
jika tidak tahun ini, tahun depan, tahun hadapan-hadapan. Pasti naik,
insyaAllah.
Dua kisah ini buat saya menimbang
lama. Ia persoalan nilai yang diletak pada persepsi: masyarakat, lokasi dan
harga pasaran. Ikut sempadan geografi, perbezaan budaya dan mereka yang
mengawal harga. Kerana flesibiliti ini ia akan memberi kita kebimbangan yang berbeza.
Bimbang pada persepsi masyarakat, bimbang pada spekulator, bimbang pada
kerugian.
Saya tidak suka bimbang, ia
menambah stress. Sudahlah pekerjaan saya perlu mengira stress hari-hari, jadi
menambahnya adalah satu tindakan yang tidak bijak. Satu soalan pada diri
sendiri ialah bagaimana untuk tidak bimbang pada persoalan ini?
Jawapan mudah ialah kita perlu
ada nilai yang tetap, yang menjamin tiada perubahan. Jika ada, segala bentuk
bimbang itu boleh diatasi.
Nilai yang tetap itu telah sedia
diberi oleh Allah. Petunjuknya ada dalam Al Quran. Di pandangan Allah, kita
manusia tidak pernah dinaikkan atau direndahkan martabat dengan pakaian dan
harta. Nilaiannya konsisten sepanjang zaman dan masa, semenjak diciptakan Adam
iaitu persoalan taqwa. Siapa yang paling bertaqwa itulah yang akan dinilai yang
mendapat tempat di akhirat dan syurga kelak.
Yang bagusnya tentang taqwa ia
adalah perlawanan terbuka. Siapa-siapa pun boleh kejar. Tiada siapa akan dengki
mendengki kerana masing-masing punya peluang yang sama untuk meraihnya. Lagi
best ialah kita dibenar bersikap tamak untuk mengejar dan mendapatkannya.
Kumpul banyak-banyak, dah banyak, banyak lagi, dan lagi dan lagi. Tiada siapa
akan menghalang kecuali syaitan yang akan memesongkan.
Best tak?
Untuk soal Kijang yang akan
melompat-lompat harganya mengikut pasaran dan spekulator, pesan saya pada adik
tersebut, jangan risau. Kita cuma akan risau jika kita membeli Kijang untuk
mengejar keuntungan.
Saya suka memetik apa yang
dikatakan oleh Robert Kiyosaki (penulis Rich Dad Poor Dad), “I do not trust our
government or corporate leaders. If I trusted the President and congress, the
Fed or big banks, I would be holding dollars; but I don’t . With everyone
printing money, savers of money are biggest LOSERS.”
Simpanlah Kijang sebagai matawang
yang dijanjikan dalam Al Quran dan Sunnah, ia dibeli bukan untuk di speculate,
tetapi untuk mengembalikan transaksi adil sesama manusia. Wang ringgit kita
hanya sehelai kertas tiada nilai sebenar, jika berlaku perang atau kita pergi
ke negara lain ia tidak boleh digunakan langsung. Tetapi bawalah Kijang itu
ketika perang atau ke negara lain, ia tetap dinilai sangat tinggi dan
masing-masing akan mahu merebutnya.
Bila ia dijamin Allah swt,
nilainya tetap walau apa pun manusia nak buat terhadapnya. Tidak percaya
kajilah harga emas sepanjang zaman. Kita akan terkejut dengan konsistensi dan
nilai yang tidak berubah, malah semakin naik setiap tahun.
Emas dan perak, atau dinar dan
dirham petunjuknya ada dalam surah Al Kahfi. Perak yang dipunyai oleh pemuda Al
Kahfi tidak susut nilai walau sudah tertidur selama 300 tahun, malah nilainya
berganda-ganda tinggi sehingga mereka mengatakan pemuda Al Kahfi menjumpai
harta karun.
Kalau risau juga, by the time
perlu jual Kijang itu, jualah pada saya, saya sudi menjebaknya dengan harga
yang sama ketika dibeli J.
(Nota: Kijang Emas adalah item carian yang sukar didapati di pasaran terbuka.
Walaupun Bank Negara meletakkan harga, jika kita membeli dari peraih emas
harganya akan tinggi sedikit dari harga yang diumumkan Bank Negara).
Ia mungkin rendah sekarang secara
relatif dengan harga yang dibeli. Tetapi tahun depan pasti harganya naik
kembali. Sebab emas tidak berubah nilai, yang susut nilai wang ringgit. Sebab
apa wang ringgit confirm susut nilai, sebab ahli ekonomi meletakkan setiap
tahun pasti ada inflasi. Harga barang pasti akan naik. Jadi duit yang kita
simpan tidak punya kuasa yang sama besar dengan tahun sebelumnya.
Emas tidak tertakluk dengan harga
wang ringgit, sehinggalah kita mahu menjualnya. Selagi tidak jual ia tetap
bernilai malah semakin tinggi.
Comments
Pada zaman nabi dulu harga seekor kambing adalah bersamaan 1 dinar emas, dan kini kita masih boleh beli 1 ekor kambing dgn 1 dinar emas iaitu bersamaan dgn ~RM500++
Terima kasih info ini.
Jazakallahu khairan.