Wednesday, June 13, 2012

Ekperimen Emas - 2

Eksperimen 3 – Apa yang disimpan dalam Emas dan apa yang disimpan dalam Wang Kertas

Saya diberi pinjam buku oleh teman dengan tajuk Satanic Finance. Buku yang kecil tetapi diceritakan dengan baik tentang asal usul wang kertas dan mengapa ia perlu diwujudkan. Mengejutkan, wang kertas diwujudkan dengan tujuan jahat, iaitu untuk memudahkan penjajah menjajah dan untuk mengekalkan kuasa politik. Jika bukan untuk dua perkara ini, wang kertas tidak perlu ada pun. Kerana ada wang kertas, perlu ada bank untuk menyokong industri ini. Manusia masih senang bertransaksi menggunakan dirham dan emas, atau menggunakan komoditi yang bernilai seperti tamar, beras, gula, garam dan sebagainya.

Susah juga nak terangkan ini. Jadi mudahnya, dapatkanlah buku kecil Satanic Finance dan bagaimana dunia ditipu dengan persepsi. Kita percaya wang kertas ada nilai. Ia cuma bernilai bila kita dapat beli barang di kedai. Tapi kalau dok elok dalam dompet, ia sebenarnya hanyalah sekeping kertas bercop agong. Pergi negara lain, baru kita sedar ia memang sekeping kertas.

Kalau dirham atau dinar ia tetap juga dapat beli barang. Kalau disimpan dalam dompet ia tetap bernilai walau tanpa ada cop agong. Kalau pergi negara lain, mereka juga dapat mengenal logam apakah itu, kerana emas kekal sebagai emas. Ia berkilau tidak kira sempadan mana pun.

Ada pepatah dalam Facebook saya kutip yang benar bunyinya, “Give a man a pistol, he can rob banks. Give a man a bank, he can rob the whole world.”

Eksperimen 4 – Membeli dengan D&D

Ini saya belum buat lagi. InsyaAllah satu hari saya berpeluang untuk membeli belah, saya akan ceritakan pengalamannya.

Itu ayat saya 15 minit sebelum keluar berjogging pada 06062012. Saya memang berhenti menulis di situ kerana kekurangan idea, jadi ambil langkah untuk keluar. Mana tahu ilham datang ketika melihat alam.

Alhamdulillah, masuk kereta sebelum ke taman rekreasi saya mendapat telefon dari seorang penjual buku dan bertanya bagaimana buku yang saya pesan akan dibeli. Kata penjual, “mahu dibeli dengan dirham ke duit fiat?”

Saya terkejut dengar fiat. Apa ke ayat yang dia guna ni. Tidak sampai satu saat fikiran saya kembali ke kapasiti asalnya. Maksud penjual duit kertas.

Saya menjawab, “kalau saya mahu beli dengan dirham bagaimana prosesnya?”

Penjual pun menerangkan saya perlu memasukkan dirham dalam sampul surat. Balut dengan elok supaya posmen tidak dapat kesan saya sedang mengirim logam berharga.

“Saya akan pos buku hari ini. Buku tersebut harganya RM17. Satu dirham bernilai RM25. Jadi saya akan masuk siap-siap baki fiat RM8 dalam buku. Saya akan beri alamat, nanti kirimkan dirham ke alamat yang saya akan SMS nanti.”

“Ok. Nanti saya akan poskan dirhamnya.”

Saya keluar berjogging dengan hati gembira. Baru terfikir bagaimana nak meneruskan penerangan entri untuk eksperimen ke 4, Allah sudah beri jalanNya. Allah, sangat menarik Allah mendengar permintaan kita dan menunaikannya dengan segera.

Saya gembira kerana dapat membuktikan dengan adanya kepingan dirham kita boleh membeli barangan secara terus. Tanpa perlu menukar dahulu ke wang ringgit. Kurang sedikit proses renyah untuk membeli barangan keperluan. Kata rakan saya, sudah ada kedai di sekitar Bangi yang membenarkan penjual menggunakan dirham untuk membeli barang keperluan rumah seperti beras, gula dan lain-lain.

Huh, insyaAllah, saya akan mencuba membeli ke sana pula.

Terasa macam di zaman dulu kala la, membeli dengan 1 dirham, dapat buku yang begitu tinggi nilai bahan di dalamnya. Tajuk buku tersebut, Satanic Finance (hahaha, akhirnya dapat buku sendiri tanpa perlu meminjam dari orang). Dan lebih bermakna membeli dengan matawang syariah. Tentu Syaitan dan Iblees tengah lebih panas lagi.

Eksperimen 5 – Nilai Emas di Tahun 2012

Owh, bukan-bukan. Saya bukan speculator. Saya cuma mahu eksperimen emas yang dibeli pada tahun 2010 dan bagaimana pula harganya pada waktu ini.

2010 – RM2980
2012 – RM3400

Jadi keuntungannya lebih kurang 14% dalam masa 2 tahun. Menarik juga kadar kenaikan yang diperolehi hasil dari pelaburan emas ni. Lebih tinggi dari Amanah Saham dan lain-lain. Lagi pula ia tidak susut nilai berdasarkan mata wang. Ia bernilai tetap disebabkan kandungan logam yang ada dalamnya.

Kalau boleh banding, ia sebaik pelaburan tanah dan juga rumah. Kereta, kereta bukan pelaburan sebab ia menyusut nilai. Kawan saya bagi formula Robert Kiyosaki. Bila dapat gaji 20% dari gaji mesti dijadikan simpanan. Simpan dahulu baru buat kira-kira untuk anak-anak dan isteri, bayar bil, bayaran ansuran rumah dan kereta, keperluan diri, keperluan rumah dan sebagainya.

Jangan buat kira-kira dulu, jika ada baki baru jadi simpanan. Memang tidak ada baki.

Katalah gaji RM3000 untuk orang bujang. 20% dari RM3000 ialah RM600. Soalannya, mana cukup nak beli tanah dan rumah. Jadi ada opsyen lain iaitu beli emas.

Meh saya cerita dengan RM600 tu boleh beli apa.

1g emas = RM176.00

Jadi dengan duit simpanan tu boleh beli, 3.4 g emas. Setiap bulan simpan 3.4 g emas berbanding simpan RM600. Di akhir tahun kita dapat 40.8 g emas. Jika kiraan mudah saya betul, habis tahun akan dapat 7% keuntungan, jadi kalau simpan duit dapat dapat RM7200, tapi kalau simpan emas dapat RM7347.84. Dapat la RM147.84 lebih. Banyak tu boleh beli tiket konsert Maher Zain 1 keping.

Boleh ke simpan RM600 sebulan. Ishh, apa pulak tak boleh. Jangan merokok la, rokok mahal.

Hummm, saya kekeringan idea untuk bereksperimen apa lagi. Ada cadangan tak? Boleh kongsi dan saya juga boleh cuba.

Untuk faedah dan mengapa dibuat semua eksperimen tu, kita jumpa di entri akan datang.

Siapa buat, dia dapat. Selamat beramal.

1 comment:

ASaL said...

Alhamdulillah, dapat mesej dari si penjual buku di Facebook seperti ini:

Abu Ilkiya Ashajj

Baru terima 1 Dirham daripada Asal untuk buku Satanic Finance. Alhamdulillah, sudah 2 tahun terakhir ini menerima pembayaran menggunakan dirham melalui perkhidmatan poslaju. Masih tidak percaya? Kalau orang lain boleh, Anda sangat berpotensi boleh! Mari bermuamalah dengan dinar dan dirham!