2 Hari Kehilangan dan Menjumpai


Lewat-lewat minggu ini saya kelelahan kerana perlu berulang merentasi negeri. Kuala Perlis – Langkawi – KL – Jengka – Gambang – Jengka. Entah bila, perjalanan terasa terlalu memenatkan. Sehingga dua hari di Gambang membawa saya kembali berfikir, lewat hari-hari saya sebenarnya kehilangan, dan 2 hari ini saya mencari kembali diri.

Mungkin perjalanan yang panjang-panjang itu walau sepenuhnya dengan kesedaran dan komitmen, tetapi sela masanya dihiasi dengan urusan kerja yang bersangkut paut dengan manusia, tetapi kami tidak langsung bercerita pasal manusia.

Dalam mencari dan menjumpai, saya menemui resolusi. Hidup ini adalah mengenai manusia, bukan hanya setakat manusia, tetapi kemanusiaan. Kita bukan diukur kemajuan dengan mewah makan tetapi sejauh mana dengan makanan yang sama kita dapat berkongsi dengan yang lain, yang lebih memerlukan. Kemajuan kita bukan diukur dengan kita punya busana cantik, tetapi betah tinggalkan jiran yang berkain lusuh dan itu satu-satunya pakaian yang melekat di badan mereka. Bukan mampu kita membeli tas tangan berjenama LV dengan ribuan ringgit, tetapi tidak pernah terfikir untuk harga yang sama boleh memberi makan sebuah keluarga berminggu lamanya.

Hidup saya meski setiap hari penuh diisi dan dikayakan, tetapi passion telah mati. Perkataannya bahasa Melayunya ‘semangat’. Sehingga sahabat senior yang setia mengingatkan saya tentang banyak perkara. Mengingat kembali tentang sejarah dan bagaimana magis menghiasi hidup kami saban hari. Saya hampir terlupa kami melalui itu semua. Bagaimana dulu kami mendiami alam magis bila masa dilenturkan khas untuk kami. 24 kami lebih panjang dari orang lain. Ruang dimensi yang sempit diluaskan.

Kata kuncinya, kami mengerjakan pekerjaan kami dengan ikhlas, tidak berkira, membantu ramai orang, komited dan berusaha bersungguh-sungguh.

Sungguh saya sudah ketinggalan jauh. Saya yang dulu itu sudah hilang.

Saya lupa, sehingga rakan senior ahli hikmah yang setia ini mengingatkan, ibadah itu bukan setakat berteleku di atas sejadah, membilang buah tasbih, membaca Al Quran berlama-lama. Ibadah itu adalah sejauh mana kita buktikan iman dan ilmu. Berjujur kita terhadap profesion yang melibatkan masa, pelaksanaan tugas dengan cemerlang, keberadaan, itu lebih di pandang orang. Kita adalah Duta Allah di tempat masing-masing. Yang Allah tuntut dari kita istiqamah dan ketundukan.

Dan yang paling saya cari ialah keikhlasan yang mengangkat tinggi martabat kemanusiaan.

Saya rindu banyak perkara. Yang saya hargai benar-benar dalam hidup dimensi ini adalah nilai yang sempurna di mata Allah dan sudah tentu sempurna untuk diamalkan sesama manusia dan alam.

Ada cerita kemanusian di celah dua hari ini yang menyentak alam khayal saya. Sejauh mana pun kita meratapi nasib yang mengiring perjalanan hidup, kita, kata rakan hikmah jauh sejuta kali ganda lebih bertuah orang lain.

Ada yang kematian isteri yang sudah lama sakit jantung, dan pada masa yang sama menanggung anak kurang upaya yang terlantar di perbaringan. Ada yang diserang stress sehingga jatuh pengsan, setelah dimasukkan ke hospital disahkan menghidap penyakit jantung, kemudian diuji dengan masalah keluarga.

Dan saya saban hari berjalan, di jalanan anak-anak miskin dan yatim dengan sejuta keperitan kehidupan, yang mereka tidak tahu pun mereka sedang hidup dalam derita, kerana derita itu adalah mereka. Sehingga mereka tidak lagi merasa derita.

Apa yang menghalang saya dari bersyukur, dan mensyukuri nikmat yang ada setiap hari?

Apa yang menghalang saya menggunakan hari-hari dengan sebaiknya, seperti yang dituntut? Seterusnya membukti bahawa kita hamba Allah yang tunduk dalam pengabdian?

Ibadah itu tidak sesempit seperti mana dalam pemikiran ramai orang. Banyak jalan, hatta dengan menguntum sebuah senyuman. Dan untuk menjadi Duta kebaikkan, tidak perlu sijil yang disahkan. Satu nasihat yang tidak diluah dari bibir rakan hikmah tetapi saya dengar di setiap tutur kata yang diluah, ‘berbuatlah segalanya dengan ikhlas.’

Ya ikhlas.

Kemudian beliau mengajari satu perkataan: Utopia. Ya, saya tahu benar maknanya. Dunia impian, yang ideal, yang terbaik di fikiran kita.

Saya mengimpikan dunia yang aman damai penuh kasih sayang, yang mengEsakan Allah, sayang Rasulullah dan keluarganya, yang meletakkan hak di tempatnya, penuh keadilan, total ketaatan pada perintahNya, tiada kepentingan diri, keikhlasan, dan damai. Dan cinta.

Tolong jangan menindas orang kerana kita lebih berkuasa, kerana punya pangkat dan nama, kerana punya takhta. Tolong jangan melihat orang lain seolah seperti tiada harga diri dan tiada orang menyayangi, meski dia tinggal seorang pun, Allah masih tetap sayang pada dia. Seperti Siti Hajar. Seperti Nabi Ismail. Seperti Nabi Ibrahim dalam kobaran api yang sedang marak membakar dirinya. Seperti Rasulullah yang sedang sakit diperbaringan di Hari Khamis. Seperti Hussien di padang Karbala.

Tolong. Kita tidak diajar menindas. Kita tidak diajar membesarkan yang lain selain dari Allah. Allahu Akhbar itu ertinya, Allah Yang Maha Besar, tiada yang lebih besar darinya.

Seperti yang diajari dari guru saya, hidup ini hanya ada tiga detik. Detik kita dilahirkan, semasa diberi nafas, dan waktu kita dihidupkan kembali.

Hiduplah, jangan sekadar wujud.

Jadilah air, yang sentiasa akan menghidupkan dan memberi harapan. Jika kamu masih punya udara dan air, berbahagialah. Itu sebenar-benarnya hakikat penyambung hidup, bukan yang lain.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK