Friday, November 23, 2012

Dia Mendengar


Ketika mendengar berita tentang genjatan senjata Ghazzah (22 November 2012), saya selesai menghadam pelajaran tentang nama Allah As-Sami' iaitu Yang Maha Mendengar dari seorang Ustaz yang saya kenali di Facebook (FB: Abu Ilkiya Ashajj). 

Pemahaman saya tentang nama Allah Yang Maha Mendengar hanyalah sehala sebelum ini, sehingga mendapat pencerahan semalam. Selama ini yang saya fahami ialah seperti mana indera kita berfungsi. Setiap bunyi yang mampu ditangkap indera mendengar. Keupayaan manusia amat terbatas. Tetapi untuk As-Sami', Dia dapat mendengar segalanya, meski yang paling kuat atau paling perlahan, tidak terbatas waktu dan ruang. 

Yang kedua yang terlepas dari pemahaman saya sebelum ini ialah, As-Sami' yang dikembarkan dengan Al-Mujib, ertinya Allah mengabulkan. Saya termenung panjang memikirkan ini, betapa Allah itu begitu baik mendengar setiap suara kita dan kemudian pasti memakbulkan.

Bandingkan ini.

Mendengar itu sepertimana bila ibu memanggil di dapur, kita pun menjawab "Ya". Bila Cikgu memanggil juga kita akan terus respon. Begitupun bila kawan-kawan memanggil, kita akan berpaling. Jika telefon berbunyi, kita mengangkat dan mendengar. Tetapi kita manusia selalu punya pilihan, untuk menjawab dalam keadaan yang kita sukai atau tidak. 

Kadang-kadang itu yang membuat kita kecewa pun. Bila orang yang paling kita beri perhatian bila dipanggil, dia bersikap tidak acuh. Seperti Ibu dan Ayah, memanggil anak untuk menolong berbuat sesuatu, dan kita memilih untuk menyumbat telinga dengan headphone/earphone supaya kita boleh dimaafkan bila tidak menjawab. Atau bila telefon berdering, kita melihat di skrin siapakah yang memanggil. Kita memilih untuk menjawab pada mereka yang kita suka, atau kita biarkan bila kita rasakan tidak penting.

Kini saya fahami, panggilan, apa-apa pun bernilai. Sekurang-kurangnya kita menghargai ingatan orang pada kita pada waktu tersebut. Mungkin dia dalam kesulitan, dan kita satu-satunya orang yang diharap. Bayangkan kita menolak, dan membiarkan mereka dalam kerisauan dan kesusahan. Kawan semacam apa kita ini?

Selalu kita faham panggilan perlu bunyi untuk membolehkan kita mendengar. Saya juga faham yang sama. Tetapi ia tidak semestinya perlu berlaku begitu. Pernah tidak awak teringat seseorang, kemudian secara tiba-tiba dia telefon, atau tidak lama selepas itu dia datang menemui kita? Selalu Ibu mempunyai deria mendengar keenam ini, kerana selalu selepas kita teringat ibu atau ibu mengingat kita, kita akan terpanggil untuk menelefon atau balik ke kampung. Begitu hati kita yang punya suara yang begitu seni, tetapi cukup kuat untuk orang yang sayang kita mendengarkannya.

Saya kembali mengenang betapa besarnya kasih sayang dan cinta Allah pada kita. Banyak waktu kita tidak menadah tangan pun ke langit, dan selalu doa kita tidak mempunyai suara. Selalu benar kita bergantung kepada imam solat untuk berdoa, usaha kita hanyalah meng'amin'kan. 

Sejak Muharram saya percaya ramai yang mengalirkan air mata bila melihat imej-imej kanak-kanak yang dibunuh rejim haram Zionis yang dilaknat. Dalam hati kita pada waktu itu sedang berkata-kata, harapkan Allah menghentikan segera pelanggaran keji bangsa derhaka itu. Mohon kemenangan berpihak Ghazzah. Doa agar tentera mujahiden Al Qassam diperteguhkan kekuatan hati mereka untuk terus mara, hancurkan Tel Aviv dan sekutu pengecut, dan selamatkan anak-anak dan mereka yang ditindas. 

Allah As-Sami' dan Allah Al Mujib. 

Saya suka Allah kerana dalam keadaan kita paling berdosa pun, Dia Maha Mendengar. Tidak ada istilah memilih atau berpaling, tidak kira siapa pun hambaNya, Dia Mendengar dan seterusnya mengabulkan permintaan. 

Tanpa suara, apa yang terdetik dalam benak, apa yang diungkapkan dalam hati, Dia Mendengar dan Memakbulkan.

22 November 2012, kemenangan berpihak kepada Palestine bila Tel Aviv meletak senjata gerun kepada roket Al Qassam yang sudah boleh menjangkau dan merosakkan bangunan mereka.

Doa-doa, yang dipanjatkan dalam benak dan hati, yang dilontar dengan suara, yang dihulur dalam kotak derma, dihadiahkan dengan pengorbanan masa, tenaga dan nyawa, Allah sudah Mendengarnya!

Tindakan dan tangisan kita juga adalah doa yang tidak putus-putus.

*Jumaat tas'ua (9 Muharram) menanti Asyura (10 Muharram). Hujan turun sejak dari semalam, mendamaikan hari dengan cuaca yang sejuk tenteram.

ALLAHU AKHBAR!

Nota: Empower doa kita dengan melantunkannya dalam keadaan berpuasa. Hari terbaik untuk semua, 10 Muharram 1434 Hijrah (Sabtu, 24 November 2012). Ayuhlah, Asyura ini kita berpuasa.


2 comments:

محمد رازيق said...

perkongsian yang baik tuan blog. sesungguhnya dia maha mendengar. sentisa memohon padanya. terima kasih juga peringatan mengenai hari assyura semlam.

ASaL said...

Jazakallah singgah lagi. Pujian hanya untuk Dia, semoga Dia kurniakan lagi upaya untuk kita sama-sama menulis, yang baik untuk semua.