Seperti Dijangka

Saya membaca status di Facebook, sudah ada orang yang menyelar. Kata dia, “aku dah kata dah, semua orang sudah senyap, cari di mana-mana status Facebook, tidak ada orang memperkata tentang Gaza lagi. Semua sudah berada di tempat masing-masing, mereka sudah main Facebook seperti biasa.”

Doodle untuk Ghazzah
Dia sudah jangka, sebaik sahaja genjatan senjata bermula, Facebook jadi senyap sunyi. Tiada kempen boikot memboikot. Sentimen orang Melayu Malaysia, sangat berkait dengan fenomena popular. Mungkin seseorang perlu menulis, Malay Dillema yang baru.

Saya senyap juga. Tetapi pagi 10 Muharram lalu, saya berjumpa perkataan doodle. Sepanjang hari saya melukis doodle untuk Ghazzah. Bukan boleh dibangga pun, macam lukisan anak-anak, tapi inilah hasilnya. Harapan visual saya untuk Ghazzah. Banyak yang saya mahu lukiskan untuk Ghazzah, tetapi tidak pandai, jadi untuk permulaan, bolehlah agaknya. Boleh?
                
Begini pun, saya rasakan melukis agak susah. Perlukan orang penyabar untuk mendetailkan lukisan mereka. Begini pun, banyak muka surat sudah saya koyak kerana tidak berpuas hati. Rupanya melukis juga perlukan perancangan, sekurang-kurangnya penggunaan ruang dan warna. Juga besar kecil saiznya. (Haha, Asal, apa lagi yang kau nak buat ini?). Tak lawa pun tapi nasihat kawan saya, “Live at will”, buat sahaja apa kau suka selagi tidak menyimpang agama.

Melayu dan Fenomena Popular

Saya tidak mengkaji sosiologi Melayu, tetapi pemerhatian sederhana, saya kategorikan Melayu suka benda-benda yang fenomena lagi popular. Contoh lama, ialah kumpulan Air Supply. Mereka bertapak di Malaysia dahulu, sambutan agak luar biasa walau di arena antarabangsa mereka tidak dikenal. Yang paling baru, tentulah Maher Zain. Maher Zain punya tahap kecairan tahap luar biasa dengan Malaysia, kerana peminat kipas-susah-mati (die-hard-fan) bermula di rantau Melayu ini. Luar biasa. Mencapai jutaan peminatnya di sini.

Saya juga minat sikit-sikit (peace). 16 Jun 2012 yang lalu, betul saya pergi tengok Maher Zain. Lepas konsert saya tidak boleh komen langsung, kerana berlaku gegaran di otak. Bunyi dan warna lampu limpah yang keterlaluan. Otak saya tidak boleh adjust, perlukan satu malam untuk pemulihan. Esoknya saya jeritkan pada adik, “Wow, suara Maher Zain superb macam dalam VCD.” Adik saya membalas, “lambatnya respon.”

Konsert Maher Zain
Kini, satu fenomena lagi, iaitu Ustaz Azhar Idrus (UAI). Pemerhati mengkategorikan UAI sebagai Ustaz celebriti. Seperti Ustaz Don Daniyal dan ramai lagi. Saya tiada offense dalam perkara ini. Kadang-kadang suka sahaja saya dengar. Lawak-lawak UAI memang disukai ramai, terutama dalam memberi hukum. Sebagai contoh, “Ustaz, boleh tidak makan telur penyu?”. Jawab Ustaz UAI, “tidak boleh, kalau kita tidak ada duit.”

Saya juga pernah juga buat entri semacam itu, contoh, soalan, “batal tidak ambil wuduk sambil minum air?”. Jawab saya, “batal, kalau kita ambil wuduk dan minum air tu, kita terkentut.”

Kenapa UAI fenomena? Dari pemerhatian saya, kerana orang Melayu ialah orang yang sangat simplistik. Kita tidak mahu mendengar hujah akademik, kita cuma nak tahu halal haram, boleh tidak. Kita ambil hukum dengan mudah. Seperti itu. Errrmmm, betul?

Soalan saya dalam hati, berapa lama perkara itu boleh bertahan? Maksudnya konsisten kita untuk mengerjakan perkara halal haram itu dengan keadaan rela, kerana seorang Ustaz sudah memberi hukum mengenainya? InsyaAllah, sampai bila-bila kot. Ni yang saya faham sebagai taqlid (salah beritahu ya?).
                
Saya tiada offense dalam perkara ini. Saya melihat UAI perlu wujud di dalam masyarakat Melayu Malaysia untuk mengimbangi satu lagi fenomena popular, Raja Lawak, Maharaja Lawak, Maharaja Lawak Mega dan segalanya tentang lawak yang dipersembahkan dalam saluran Citra Astro.

Masyarakat Melayu Malaysia membudayakan lawak sebagai landskap kehidupan kita. Eh siapa kata saya tidak suka? Tengok juga kadang-kadang. Tetapi saya lebih suka lawak style urban seperti dalam AHHA, Afdlin Shauki dan Harith Iskander. Atau stand-up komedi Harith Iskander dalam Lawak ke derr. Kategori lawak brilliant dan pecah kepala kalau nak cari  idea. Untuk slapstick, saya kurang sedikit tetapi bolehlah kalau ada pengisian yang bagus. Dalam hal ini, saya suka kot Jozan, Boboi dan dalam Spontan. Dalam banyak sudut saya boleh mengangkat comedian sebagai genius dan brilliant. Afdlin Shauki masuk dalam kategori ini.

Dalam hal ini, saya akan mengangkat Mamat Khalid (pengarah filem) yang mengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) sebagai pengkritik sosial Melayu paling kritis (setakat hari ini). Sama level dengan P Ramlee. Saya masih ingat ada satu scene dalam HKLBR, sewaktu bomoh menyeru hantu untuk berdamai dan dihalau, jampi serapahnya ialah, “Pelawok, pelawok, pelawok.” Sindiran tajam yang mengena sebenarnya. Mamat Khalid pun saya kategorikan brilliant.

Dalam HKLBR Mamat Khalid menyindir Melayu yang pelawak, suka bergebang, suka menghukum, suka untuk nampak hantu-hantu, suka memperlekeh kejayaan orang lain, tidak realisitik, bergantung kepada kepakaran orang lain dari percaya dari diri sendiri dan banyak lagi. Akhirnya kita tahu bahawa Kak Limah adalah seorang yang tidak waras, bukan hantu. Kita akan lihat apa yang kita mahu lihat, itu sindiran Mamat Khalid kepada masyarakat Melayu. Sosiolog yang membawa wacana melalui pembikinan filem, hebat. Bagi saya bukan calang-calang orang punya keupayaan yang sedemikian. Menghasilkan filem bukan hal kecil anak.

Memahami Psikologi
                
Perlu benar kita memahami psikologi secara massa. Saya tidak banyak mengkaji, cuma saya pernah dengar tentang Wali Songo yang membawa wayang kulit sebagai medium dakwah. Untuk mengimbangi pengaruh Hindu dalam masyarakat. Transisi perlu dibuat tidak mengejut, dan supaya masyarakat boleh menjiwai ajaran agama dengan tolenrasi yang besar. Medium dakwah yang menggunakan pendekatan hiburan, di terima dengan baik sekali di rantau Melayu ini.
                
Memahami jalur ini, saya sokong sahaja kehadiran Ustaz-ustaz yang boleh mengimbangi segala macam budaya dan psikologi semasa Melayu zaman ini. Selebriti agama perlu ada, untuk mewujudkan pull. Kerana, hendak tidak hendak, masyarakat memang suka bercakap tentang orang yang popular.
                
Saya masih ingat ketika menelefon emak di kampung, tiba-tiba emak mencelah dan memberitahu, “Eh Farah TV9 tu sudah bersalin, tahu tak?” Saya cuma menjawab, “err, OK. Alhamdulillah, anak apa?” Emak saya menjawab, tetapi saya sudah tidak ingat anak lelaki atau perempuan.
                
Dalam konteks untuk disebut lebih ringkas, masyarakat kita di cirikan dengan apa yang berlaku seputar celebriti. Tetapi media kita memilih-milih untuk mengangkat siapa. Yang paling boleh menarik pemodal, itu akan mereka laburkan. Takpe, takpe, boleh sahaja kritik kesimpulan dangkal saya ni yang tidak bersandar mana-mana research sekalipun.

Dr Maszlee Malik
Saya meraikan sebenarnya. Tetapi yang paling saya suka kalau boleh kita menfenomena-popularkan Suhaib Webb, Bro Nouman Ali Khan, Hamza Yusof, Yusof Estes, etc. “Errkkk, semua orang putih ni, apa ke hal?” Maaf atas kedangkalan ini, boleh kot bagi cadangan untuk Ustaz-ustaz Melayu dan berbahasa Melayu. Oh ya, Dr. Mazslee Malik, Ustaz Nor Azamir Alias. Opss saya lupa pula satu nama, Imran Nazar Hosein.

Kenapa mereka-mereka ini menjadi pilihan saya? Boleh jadi kerana saya suka mereka membuat perbincangan mengenai refleksi dan kritis dalam perbincangan. Kupasan Al Quran mereka selalu dikaitkan dengan dilemma dalam diri manusia moden, dan kaitan dengan perkembangan zaman sekarang. Jadi kita akan melihat Al Quran dan Hadith dibincangkan diluar dari konteks zaman. Tidaklah kita lihat Al Quran hanya relevan pada zaman Nabi. Tetapi kita betul embrace Al Quran sebagai wahyu petunjuk, untuk kita sekarang ini. Zaman millennium, zaman bangunan pencakar langit, zaman penerokaan angkasa, zaman banyak  bencana alam sana sini, zaman internet, zaman gajet, zaman globalisasi.   

Ketahanan

Seperti kritikan rakan Facebook, sejauh mana ketahanan kita untuk membicarakan isu seperti Ghazzah dan Palestin. Kerana dari sini pun kita sudah nampak, orang Melayu mengulangi fenomena-popular dalam isu Ghazzah juga.

Kat mana puncanya ya?

Saya rasa ia adalah pemilihan media kita untuk memilih isu. Pandangan kita ditentukan apa yang berputar sekitar TV dan radio. Juga sekarang kawalan media sosial, Facebook, Twitter, etc. Sekali lagi, kalau tidak betul POV saya ini, dibuka untuk teguran ya.
                
Seterusnya kita juga akan bertanya, berapa lama kawan-kawan kita yang berbicara tentang boikot produk Zionis Yahudi itu akan boikot dan bertahan?
                
Jangan risau, pertanyaan ini akan sampai kepada saya dulu, sebelum ia ditanya rakan-rakan.
                
Bagi saya kita perlu lebih dari fenomena-popular. Tentu akan kembali kepada satu perkara penting iaitu ilmu. Ilmu yang perlu dicari gali dari segi sejarah, agama, kepentingan dalam kehidupan dan tentu sekali soal hati yang mahu peduli.
                
Konflik Palestin vs Zionis Yahudi sangat sentral dalam menentukan hala tuju iklim dunia secara keseluruhan. Ramai yang merasakan ia cuma cerita kenegaraan di daerah Asia Barat, tanpa dapat menyentuh kita di Malaysia. Untuk saya, saya percaya ia adalah cerita dunia yang akan menyentuh setiap manusia dan individu yang bernyawa di Bumi yang kita cintai ini.
                 
Tapi keyakinan itu soal individu bukan? Kecuali kita mahu melihat kenapa dalam sejarah moden yang kita sebenarnya punya PBB, OIC dan undang-undang Hak Asasi Manusia, kita tidak boleh melihat keamanan tulen di Palestin? Jika kita seorang Islam, kita juga akan bertanya kenapa dalam beberapa tempat di dalam Al Quran kenapa Allah menunjuk secara khusus kepada Al Qudds (Masjidil Al Aqsa) dan Jurussalem?
                
Oh ya, saya tidak akan memanjangkan lagi untuk kali ini. Mungkin sambungan di entri akan datang? InsyaAllah.
                
Cuma drama konflik yang kita lihat semenjak berakhir Perang Dunia I, dan sehingga berdirinya negara haram Israel selepas Perang Dunia II adalah ujian untuk semua. Allah sedang menguji kita semua, termasuk Zionis Yahudi sekali.
                
Ujian yang sama ketika Allah memerintahkan Iblis untuk sujud kepada Adam. Ujian ketundukan kepada perintahnya.
                
Apa tu? Moga sampai kesempatan lain untuk saya menulis lagi.
                
Sign off.
Kiffeyeh Palestin yang pernah masuk Kolam
(Kalau orang bertanya “kau tu sampai bila pula akan bertahan bercerita pasal Ghazzah vs Zionis Yahudi”. Saya akan jawab secara jujur, “saya pun tidak tahu. Seperti yang kau pun tahu, aku juga Melayu.” Tetapi di hadapan Tuhan saya berharap usaha kecil saya menulis seperti ini tercatat sebagai amalan. Memang sangat simplistik, minimal dan ambil mudah. Ya saya setuju, saya seperti itu. Tetapi dalam buku ‘Tuhan’, meski kecil pun ia sudah dicatat dalam buku keabadian.)


Comments

hara said…
Salam. Yes, sangat setuju. sikap ambil mudah sesimple simplySiti.eh. dlm masyarakat, walaupun sesetengah masa mereka so called 'peka'ngan isu2 semasa ni, tp hakikatnya mereka mengambil apa yg mereka suka saja. So, memang betullah, melayu ni perlu dididik utk suka utk mencari ilmu..bukan ilmu yg datang bergolek, dan kita plak yang judge ilmu yg sampai. how tu?
hara said…
lupe nk ckp, cantik doodle tu :)
ASaL said…
Salam Hara. Doodle cantik? (blush). Budak tadika boleh buat lebih baik rasanya.

Setuju. Didik untuk cari ilmu, debat dengan ilmu dalam fikiran kita sehingga kita puas dan rela beramal.
Cikli said…
Saya suka juga lawak sepontan selagi mereka tak menyentuh sesuatu yang mereka sendiri jahil seperti yang Azhar Sulaiman lakukan baru-baru ini. Saya setuju 'buat apa saja, selagi tak menyimpang agama'.
ASaL said…
Lawak biar berpada, juga tidak setuju lawak Azhar Sulaiman.

Saya lebih suka kalau tidak tahu kita diam sahaja, atau kalau pun mahu tahu, bertanya cara berhemah. Berdiskusi secara lapang dada. Ada medannya, bukan provokasi.
Anonymous said…
Assalamualaikum, entri menarik. Kebanyakan bersetuju dgn lontaran pendapat saudari. Ada rakan muslim Malaysian yg memang istiqomah dgn boikot, tapi benar majoriti hanya pengikut fenomena. Ada juga yg tidaklah beria mengepos status di FB, tapi sentiasa berdoa dari sudut hati yg dalam akn kesejahteraan semua umat islam fi kulli makaan. Teringat akn ustaz imam pembimbing haji kami 1432h berdoa dlm qunut tiap subuh di arafah, muzdalifah dan mina utk mereka d palestin, syria dll. Benar sangat, ini ujian utk kita semua.
ASaL said…
Ramai yang percaya boikot bukan perkara sentral, tapi bagi ramai yang melakukannya berpendapat,

boikot adalah the least yang kami boleh lakukan sebagai protes kepada kekejaman, dan membela mereka yang ditindas.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang