Ghazzah yang Bermusim



Seperti saya dan blog ini, kita semua bermusim. Dan musim ini tulisan saya mengenai Peduli Palestina. Saya tahu ramai yang akan mengeji perasaan yang bermusim, itu pun kepada satu daerah yang secara konsisten ditekan dan dizalimi. Jika tidak diserang, mereka di blockade secara ekonomi dan politik. Daerah yang minta dipedulikan sejak berakhir Perang Dunia Pertama dan dinodai ketika Perang Dunia Kedua. Akhirnya kita melihat diri kita sendiri, umat Islam, buntung, hilang maruah dan segalanya di Perang Enam Hari antara Arab dan Israel.

Sejak 2000 tahun lalu, wilayah yang Allah berkahi, Al Aqsa bergolak dengan segala macam kuasa dan penguasa.

Amaran, entri ini mungkin akan jadi panjang dan penuh emosi. Kalau ada pun perkataan mengeji dan merendahkan, itu sebenarnya ditujukan dulu pada diri sendiri. Kerana sebagai orang yang mengakui dari kelompok pembaca, saya masih lagi buntung, terpasung kaki dan tangan untuk membukti apa yang saya percaya dari bahan bacaan, yang lebih malang apa yang telah pun saya percaya dalam hati.

Saya mengutuk diri sendiri.

1 Muharram lalu, seperti bermusimnya perasaan kita, kita pun diuji dengan sentimen bermusim mereka yang seringkali mahu mempermain, menguji dan mengacah-acah. Zionis Israel sekali lagi membakar Semenanjung Ghazzah, ketika kita berpesta arak-arakkan di awal Muharram, atau sekadar terbaring di katil menghabiskan cuti percuma dari kerajaan.

Saya tidak diajar membaca sejarah Palestin sewaktu kecil. Meski saya bersekolah agama dari darjah 5 hingga ke tingkatan 3. Meski saya mengambil silibus agama Islam sehingga tingkatan 5. Meski saya mengambil sekurang-kurangnya 12 jam kredit pelajaran agama Islam di Universiti. Cuma sekali di kelas tutorial, Ustaz membacakan kisah Maryam. Kemudian menunjukkan gambar Kubah As Sakrah, dan gambar masjid Al Aqsa, gambar batu terapung, dan gambar-gambar yang berkaitan dengan bumi Palestin.

Saya kagum dengan Ustaz yang menghafal surah (saya tidak ingat surahnya). Kemudian setiap satu ayat, dibacakan tafsiran. Saya berterima kasih kepada Ustaz Mat Dani yang fasih, dan begitu bijak bercerita sehingga saya melihat Maryam di depan mata. Al Fatihah untuk Ustaz yang memberi pelajaran berguna, Al Fatihah untuk semua guru-guru yang membentuk peribadi diri saya.

Maryam yang bersusah payah melahirkan Nabi Isa dalam keadaan paling menghairankan ummat sepanjang zaman, kemudian diilham menggoyangkan pohon tamar untuk mengembalikan tenaga yang habis melahirkan. Di sisinya, air sungai yang Allah anugerah, untuk memberi segar supaya Maryam dapat kembali kepada keluarga dan komuniti sambil membawa Al Masih di tangan. Itu memori yang ada.

Selepas itu tiada siapa bercerita mengenai Palestin, Masjid Al Aqsa, dan relevansinya dengan dunia yang kita diami ini. Mengupas sisi sejarahnya, sehingga saya yang lahir dan dapat hidup di zaman milineum mengambil pengajaran. Tiada siapa yang berupaya mengupas sehingga dapat faham, dan bagaimana kita dapat bertindak.

Kata bijak pandai, apa sahaja di dalam Al Quran punya petunjuk berlapis waktu, berlapis zaman. Saya percaya. Tentang Palestin juga ada petunjuk di sana. Yang kita mungkari waktu untuk mentadabbur dan fahami petunjuk yang dibawa Nabi, yang dihantar sendiri oleh Sang Maha Penjaga Waktu.

Sehingga saya membaca buku-buku karya Imran Nazar Hossein (INH) terutama Jurussalem in Al Quran, Surah Al Khafi dan pelbagai lagi. Setakat ini, tentang Palestin, INH punya ketajaman analisa dan kesimpulan. Yang diadun dalam konteks semasa, yang diperkuatkan dengan hadith Nabi dan ilmu eschatologi yang beliau miliki. Terbaik di kalangan sarjana Islam, setakat buku yang pernah saya baca dan fahami.

Saya pernah temui Imran Nazar Hossein dalam mimpi di hadapan Masjidil Haram di Makkah al Mukarram. Saya bertemu beliau di dalam dunia nyata lebih dari 2 kali. Saya tidak tahu alamat mimpi yang diberi Allah untuk saya. Namun saya percaya mimpi tentang Masjidil Haram, Makkah, bertemu sarjana Islam yang fasih, adalah yang petunjuk yang baik-baik, tidak pernah ada sekelumit ragu.

Begitu.

Saya percaya Palestin adalah petunjuk makro kepada sejarah yang ditinggalkan. Untuk Muharram ini saya kira setepatnya kita kembalikan sejarah Karbala. Peristiwa yang dimiliki oleh semua umat Islam, tidak kira Sunni, Salafi, Sufi, Syiah, Tareqat, malah bapa kemerdekaan India, Mahatma Ghandi juga pernah berangan untuk miliki tokoh ulung dalam tragedi Karbala; Imam Hossein bin Ali, sebagai ikon perjuangannya. Karbala adalah miniatur kepada Palestin.

Kisah kita meninggalkan saudara seIslam kita untuk diratah puak-puak zalim. 

Saya ulangi kisah sedih di bulan Muharram, kerana seluruh keluarga saya masih menangisi peristiwa di bulan ini. Untuk menenangkan diri, saya kenangi apa yang perlu dilalui oleh Saiyidah Zaynab binti Ali, juga Imam Zainal Abidin (As Sajjad). Tiada yang lebih sedih dari mereka, walau kesedihan kami kehilangan kakak tercinta masih bersemadi di dalam hati, tidak pernah hilang.

Saya ceritakan dahulu kisah saya.

4 tahun yang lalu, di pagi hari cuti awal Muharram, saya mendapat panggilan telefon dari Keramat. Isinya ringkas dan mudah, kakak saya sudah meninggal dunia. Saya hanya mempunyai seorang saudara perempuan, yang gembira sedih saya diceritakan padanya. Yang Kak Ngah juga, menceritakan cerita sedih gembira Kak Ngah pada saya. Yang anak-anak Kak Ngah adalah anak saya, anak kami, yang seluruh ketawa kami sekeluarga dengan cerita-cerita Kak Ngah. Setiap kali Kak Ngah ada, kami akan pecah ketawa dengan gelagat dan ceritanya. Sedangkan saya tahu, derita apa yang disimpan jauh disudut hati.

Terlebih dahulu bulan Mei 2007, kami dikejutkan dengan pemergian anak buah kami, anak sulung Kak Ngah kerana kemalangan. Beliau pada ketika itu baharu sudah SPM, sudah diterima masuk ke UiTM. Dalam cuti sekolah yang panjang, Syafiq ingin berdikari dan bekerja sebagai pembantu pengawas peperiksaan di UiTM Shah Alam. Syafiq menaiki motor melalui jalanraya Shah Alam-Meru yang sedang sibuk dibangunkan. Hari yang Allah janjikan itu, Syafiq pulang dengan menaiki motor. Allah lebih tahu rencanaNya, Syafiq dilanggar lori pembinaan, kata orang lori hantu. Saya pasti ianya lori hantu kerana pemandu yang tidak bertanggungjawab itu lari tidak berada di tempat kejadian. Moga Allah membalas setimpal dengan kesalahan keji kepada kami.

Syafiq meninggal di tempat kejadian. Jenazahnya diletakkan di tepi jalan. Tiada siapa yang memberitahu Kak Ngah kejadian yang sebenar, kerana Kak Ngah ada penyakit darah tinggi. Takut-takut yang lebih buruk menimpa Kak Ngah.

Waris yang paling dekat respon ke tempat kejadian, adalah pengasuh Syafiq sejak dari kecil sehinggalah beliau mencapai umur 17 tahun. Jiran Syafiq, Wak Lan yang membawa kain pelikatnya guna untuk menutup mayat. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana sudah masuk kes polis. Sehingga selesai, baharu boleh membawa jenazah Syafiq ke rumah untuk disempurnakan.

Kak Ngah diminta pulang segera. Tanpa mengesyaki apa-apa Kak Ngah pulang ke rumah. Di laluan Shah Alam-Meru, Kak Ngah nampak ada orang ramai berkerumun di tepi jalan. Dalam hatinya tertanya siapakah yang telah menjadi korban jalanraya, sedang Kak Ngah tidak tahu, itu adalah anak sulungnya sendiri. Tetapi Kak Ngah pulang dengan hanya menyedari sudah ramai berkerumun di rumah. Kemudian  baharu Kak Ngah tahu, yang menjadi korban jalanraya itu adalah anaknya sendiri.

Itu bulan Mei 2007.

Bulan April 2008, tidak sampai setahun, Kak Ngah pula pergi menyertai Ayah, dan anak sulungnya Syafiq. Untuk manusia seperti saya, yang lemah serba serbi, salahkah kalau saya menangisi Muharram setiap tahun?

Saya mendapat khabar di telefon pagi Muharram. Sampai di rumah Kak Ngah, jenazah beliau sudah siap, hanya menunggu saya dan adik sebelum dibawa ke liang lahad. Saya sampai dan yang termampu saya lakukan adalah memeluk Bonda dan menangis di dadanya. Tersengguk-sengguk, tidak segan pada orang lain. 

Saya kehilangan, satu-satunya saudara perempuan tempat saya mengadu.

Bila-bila masa pun, jika teringat, kami akan disampuk syahdu yang nyata. Siapa yang tidak menangisi saudaranya yang pergi, begitu apa pun cara mereka meninggalkan kita.

Baik. Muharram ini, saya meminjam kekuatan Saiyidah Zaynab binti Ali, untuk terus sabar dan tabah dengan ujian. Tiada yang lebih menyedihkan dari Zaynab dan Zainal Abidin bin Hossein. Jika mereka tidak mampu tersenyum sehingga di penghabisan nyawa, saya jauh dari faham.

Yang terjadi di Karbala, adalah miniatur untuk mewakili apa yang berlaku sekarang di Palestin. Di sana, Saidina Hossein dan keluarga berangkat untuk kembali ke Kufah. Sebelum itu mereka berada di Makkah. Sehingga sampai di tanah Karb dan Bala, rombongan ini dicegat daripada terus bergerak ke Kufah. Saidina Hossein yang lebih tahu, berhenti untuk memenuhi janji. Janji yang lama dahulu ketika Saidina Hossein masih bayi, Rasulullah sudahpun menangis untuk anak ini. Yang dewasanya akan jadi peristiwa pemisah antara hak dan batil. Di tanda di Karbala.

Sesiapa yang masih tidak tahu apa yang berlaku kepada Saidina Hosein, mereka sekeluarga sejumlah lebih 70 orang anggota keluarga dihabisi oleh tentera-tentera Yazid tanpa belas kasihan.

Itu yang berlaku sekarang. Peristiwa yang sama di Ghazzah. Sebuah daerah yang telah dicegat semuanya, bekalan air, makanan, perubatan, hak untuk sekolah, hak untuk kemanusiaan. 2012, mengulangi kembali yang berlaku dahulu, mereka membedil dengan roket, seperti mana tentera Yazid menghujani dengan anak panah.

Jika dahulu anak-anak dan rombongan Saidina Hosein kehausan akibat dikepung di tanah Karb dan Bala, seperti itu juga anak-anak Palestin dan keluarga mereka, dicegat dengan bekalan air bersih untuk minum dan makan mereka sehari-hari. Mereka dikepung, dan satu-satunya laluan untuk bekalan dari dalam terowong. Sempadan ditutup untuk mereka. Apa-apa pun ditutup untuk mereka. 

Kita yang mendengar berita ini, juga menjadi seperti mereka yang berada di Kufah dan sekitar semenanjung Arab, berpeluk tubuh tidak buat apa-apa.

Ini Muharram yang Zionis Israel tidak segan mempersendakan kita, hidup-hidup, secara live terpampang di TV. Zionis Israel percaya, yang kita, sepertimana sejarah Saidina Hosein akan berbuat benda yang sama, berpeluk tubuh. Meski yang sedang dizalimi itu, cucuanda Rasulullah sawa yang mempunyai mirip wajah yang serupa. Yang bibir Saidina Hosein pernah dikucup Nabi. Yang mereka, Hasan dan Hosein, dipanggil, disayangi, dimanja, seperti anak-anak lelaki Rasulullah sendiri.

Tuhan, aku tahu kutukan ini telah mengenai diriku. Jika Saidina Hosein menjerit dan aku mendengar suaranya pun, aku akan jadi seperti inilah. Hanya menangis memohon: Kau Ya Allah, bantulah Imam. Berilah Imam air, Imam sedang haus Ya Allah. Seluruh keluarga sedang haus Ya Allah. Di perit mentari, di tanah gersang. Ya Allah, bantulah bayi-bayi yang dihujani panah dan mati dalam keadaan dahaga.

Kutukan ini telah mengenai kami. Palestin sedang menjerit, bukan hanya di Muharram 2012, lama sudah. Sejak berakhir Perang Dunia Pertama, sejak berakhir Perang Dunia Kedua, sejak maruah kami umat Islam ditelanjangi di Perang Enam Hari.

Allah, aku masih tidak berdaya sekarang. Tetapi Kau tahu benar hatiku. Berikanlah aku peluang menunaikan janji-janji sehingga Kau berikan daku kelapangan, agar aku dapat menyempurnakan pula janjiku kepadaMu. Ya Allah, aku mohon Ya Allah. Sekarang Kau lihatku dengan selemah-lemah iman, tetapi Kau tetap tahu doaku untuk diperteguhkan iman. Sehingga dapat dibuktikan dengan tindakan dan apa adanya dalam dadaku.

Kenapa saya kata dalam Al Quran ada petunjuk tentang peristiwa Palestin? Bukan saya kata, saya ambilnya dari INH, yang memperincikan analisa tentang Palestin dan peristiwa akhir zaman dalam Jurussalem in the Quran. Bacalah, saya tidak mampu ringkaskan kerana segalanya dalam buku itu ada petunjuk dan pedoman untuk diri saya sendiri, juga untuk kamu yang saya cintai.

Respon kita terhadap Palestin bermusim. Ketika roket Israel yang ditulis, from Israel with Love dilepaskan ke penduduk awam Palestin dan membakar mereka, baharu kita respon. Bila media TV dan sosial kita berasak-asak dengan mayat bayi yang rentung, dan mereka dikapankan dalam senyum kita akan sama turut bersorak seperti mana media bersorak kepada kita. Khatib di khutbah Jumaat kita bermusim. Peti-peti derma kita bermusim. Kata-kata menganjing dan mengunjing Zionis Palestin bermusim. Boikot kepada barangan tajaan Israel bermusim. Entri kepada Peduli Palestina, seperti yang saya lakukan sekarang juga bermusim.

Padahal Al Quran tidak mengajarkan kita untuk peduli Palestina bermusim.

Buka surah Al Isra’ ayat yang pertama. Petunjuk tentang nasib yang mengenai Palestina di situ. “Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ke MASJIDIL AQSA yang telah Kami berkahi sekelilingnya.”

Ya benar ini cerita Isra’ Mi’rajnya Nabi. Tapi saya percaya, sesiapa sahaja yang sanggup berjalan, terbang, belayar, menaiki kenderaan malah berjalan kaki demi apa pun; berkorban wang, masa, tenaga, harta, darah, nyawa, untuk memberi apa pun; makanan, pakaian, ubat-ubatan, senjata, kepakaran untuk membina fasiliti ketenteraan mahupun awam, berkongsi rasa, kesedihan, kegembiraan meraikan syahid dan syahidah, mengusung keranda ke perkuburan mengiringi para jihadis, apa-apa pun, akan mendapat ganjaran. Kerana kata-kata Al Quran, kalam Allah, tidak bersabit zaman, keadaan, dimensi mahupun masa.

Kata Allah, “Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya.”

Siapa pun yang setitis peluhnya tertumpah di Ghazzah dan sekitar Masjid Al Aqsa akan diberkahi. Saya percaya, kerana Allah telah berkata yang demikian. Saya percaya wajah-wajah yang gugur menguntum senyum yang kita pun berangan penghabisan nyawa kita tersenyum seperti itu, telah menjumpai jalan Mi’raj mereka mengadap Ilahi, di tempat yang Allah berkahi sekelilingnya.

Tiada siapa menghalang saya, dan kamu yang saya kasihi, untuk mencari jalan Mi’raj di bumi Palestin. Apa pun alasan kita, tiada siapa yang akan menghalang jika kita berkeputusan untuk menaiki kapal Rachel Corrie dan Ghazza Flotilla.

Entri ini bermusim, saya tahu. Kutukan telah mengenai diri saya. Maafkan saya Tuhan, maafkan kami, yang telah meninggalkan mereka di bulan-bulan haram perang. Yang dilaknat telah melancarkan roket dan meninggal saudara kami tanpa pelindung. 

Melihat video Tears of Gaza, saya juga turut menangis. Kami menangisi keluarga yang telah pergi. Dan mereka menangisi kerana ramai yang tidak peduli. Ngilu itu akan terus berada dalam dada mereka dan betapa, senyum pun telah hilang dari wajah-wajah. Jangan salahkan mereka jika air mata tidak akan pernah berhenti. Jangan salahkan mereka, jika mereka akan sering mengunjungi pusara syahid dan syahidah yang tergolong dari keluarga mereka sendiri. Jangan salahkan mereka menggantung gambar mereka yang gugur di ruang tamu, kerana hanya itu yang tinggal. Bayang di dalam bingkai cermin.

Wahai Tuhan Pemilik Musim, dengarkan suara anak-anak yang kehilangan ini. Bantulah mereka Ya Allah. Bantulah kami agar segera sedar, hal ini bukan hal bermusim. Pembelaan dan gerakan diperlukan sekarang. Bukan lagi hanya setakat doa, tetapi dengan tindakan!

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK