Ghazzah: Erti Boikot


Awak yang selalu saya sayangi dan peduli.


Beginilah keadaan kita Melayu yang peduli cara sendiri. Ketika Ghazzah bermandi darah, kita bergaduh mengenai McD tak sudah-sudah, tidak berhenti, sehingga timbul istilah mufti McD dan sebagainya. Sehingga mereka yang mahu menjustifikasi membawakan gambar Ustaz Azhar Idrus (UAI) dan keluarga yang sedang makan di McD. Itu justifikasi Muslim di Malaysia untuk persoalan McD!

Sepele dan parah!

Meletakkan UAI sebagai justifikasi tindakan, saya hanya mampu mengerut dahi tidak percaya. Kawan, esok, bila kita ditanya, UAI tidak akan berada di sisi untuk menjadi saksi! Ingat tu.

Dalam satu sudut cara pandang, saya akan katakan kita sudah mencapai taraf amat parah. Kerana tidak memahami letak duduk perkara, sekurang-kurangnya dari apa yang kita yakini dalam hati.

Maaf jika entri ini menyinggung kamu, ia lebih dahulu untuk menyinggung diriku.

Erti boikot untuk saya. Ya kamu pun tahu, saya sudah memulainya sejak perang Zionis Israel-Lubnan 2006. Sewaktu Hasan Nasrallah dan Hezbollah mengajar Zionis sehingga lari terbirit. Sehingga tercipta cerpen cinta khusus untuk menyatakan komitmen saya tentang boikot dengan tajuk Pi.

Tetapi bukan mudah untuk istiqamah. Pada tahun 2006, saya sangat didorong dengan momokan, aggression dan sentimen. Bila suhu perang sudah mereda, saya pernah juga tergelincir sekali dua di McD, terutama di musim Raya Cina untuk makan prosperity burger.

Kali ini, seperti mana status-status dalam FB saya, komen saya lebih liberal. Soal boikot, saya serahkan pada yang empunya diri. Boikot atau tidak, tindakan kita yang akan mencerminkan apa yang ada dalam hati.

Kenapa liberal? Kerana saya percaya untuk istiqamah dalam tindakan tidak boleh didorong dengan amukan, sentimen, ancaman apatah lagi makian. Jika asas yang kita bina dari situ, ia akan jadi asas yang sangat rapuh. Lebih-lebih lagi soal yang masih belum mendapat hukum yang jelas halal haramnya.

Saya lebih suka, jika kita bertindak kerana ilmu. Kemudian Allah memberi kita faham atas ilmu itu seterusnya beramal dengan yakin total. Tidak goyah walau esok Yahudi Zionis bersetuju untuk melaksanakan genjatan senjata selama 15 tahun. Kita tetap tidak akan kembali ke kaunter McD dan menjadi konsumer produk Yahudi.


Ia soal sikap, soal hati, soal kesetiaan, soal keyakinan, soal kemanusiaan, soal belas kasihan. Terhadap mereka yang ditindas. Penduduk Ghazzah adalah mereka yang jelas ditindas. Dengan perang yang berat sebelah. Dengan pembantaian kepada bayi, kanak-kanak, perempuan dan orang tua yang tidak lagi berdaya.

Namun jika dimomok dan dimaki dengan hal burger telur percuma yang diberikan McD pada 19 November 2012, sehingga melibatkan letak duduk soal iman, saya juga akan bertindak agresif!

Saya tidak lunak dalam hal ini. Saya sudah memboikot, lama sudah. Tetapi begitupun saya tidak akan memaki mereka yang belum cakna hal, seperti mana saya 6 tahun lalu yang jahil, belum faham, belum bersikap, tidak istiqamah. Soal hati Allah pemegangnya, kerana itu kita akan berdoa, Ya Muqallibal Qulub, Wahai Tuhan yang membolak-balik hati.

Boleh jadi yang memaki hari ini, esok ketika genjatan senjata dia orang pertama yang berbaris di kaunter. Mana tahu mereka yang mengambil burger percuma tempoh hari, dia antara delegasi yang akan bermukim selama beberapa minggu di kapal Flotilla Ghazzah dan menjadi sukarelawan mengambil semua risiko termasuk bergadai nyawa. Siapa tahu?

Pesan Ustaz seorang rakan mengenai boikot McD dan Coca-cola seperti berikut:
  1. Memboikot kerana status halal
  2. Memboikot kerana status kualiti dan nutrisi. Ternyata kedua-dua produk boleh menjadikan manusia obesiti, malah Coca-cola boleh dijadikan cecair pencuci tandas yang sangat-sangat berkesan untuk menanggalkan kotoran yang degil.
  3. Menolak produk Yahudi untuk menjaga kualiti doa yang hendak dipersembahkan kepada saudara-saudara kita di Ghazzah.
Cerita rakan seorang engineer komputer
  1. Boikot kerana McD dan fastfood bukan makanan yang sihat, dan well untuk diet!
  2. Boikot McD kerana menyokong untuk menyokong Palestin, kerana sebahagian dana McD disalurkan ke Zionis Israel.
  3. Yang no. 1 orang tidak akan kata apa, yang no. 2 akan buat orang bergaduh-gaduh.
Saya setuju dengan cadangan kedua-dua rakan, dari aliran agama juga dari aliran kejuruteraan.

Erti boikot untuk saya adalah mengenai kesedaran dan hidayah. Saya bina dari kesedaran. Tahun 2006 yang lalu, seperti mana sekarang, blog yang membicarakan hal perang Zionis vs Lubnan begitu marak. Saya belum ada akaun Facebook, Twitter juga masih belum dikenal.

Melihat anak-anak kecil yang teraniaya dalam gambar berdarah perang Zionis-Hezbollah, hati saya dijentik sayu, hiba dan ngilu. Saya membayangkan jika anak-anak sendiri dizalimi dengan kaedah serupa. Kemudian saban hari berdoa untuk Allah selamatkan Lubnan dan Hezbollah. Juga berdoa untuk saya faham, berkaitan boikot, apa yang perlu saya lakukan. Saya tidak terlibat dalam polemik dan debat mengenai boikot. Saya tahu, jika saya boleh buat pun bukan untuk semua produk. Kita akan memilih-milih dengan apa yang termampu kita buat untuk boikot. Saya juga tidak mahu orang menilai iman saya dalam hal seperti ini.

Sebagai contoh, tempelak yang sama akan mengenai muka saya bila mereka mempersoal bagaimana dengan Facebook, YouTube, Twitter, Intel Processor, pen drive dan lain-lain. Juga item lain yang dibuat dari tangan Zionis Yahudi. Mereka yang banyak soal jawab akan bertanya soalan yang sama, “kenapa tidak boikot juga, kenapa ada double standard?” Debat akan jadi panjang kerana saya berada di pihak mempertahankan diri.


Erti boikot untuk saya seterusnya adalah kerana hidayah. Suatu petang saya sampai ke stesen minyak untuk mengisi tangki kereta yang kosong. Pada waktu itu, seorang Abang yang kakinya tempang yang bertugas dipam yang saya berhenti. Ketika sedang senyap menunggu, Abang tempang menghulurkan saya sehelai kertas. Di atasnya tertera logo-logo produk yang menyokong Zionis Yahudi, dan perkataan boikot di bawahnya serta penerangan serba ringkas. Saya mengambil dengan senyum dan rasa hormat. Sangat hormat kerana saya tidak berbuat seperti mana yang Abang itu buat. Kata beliau, “sekurang-kurang ini yang boleh kita buat,” juga dengan senyum.

Dengan kelemahan dan kekurangan dirinya, Abang itu masih mahu menyatakan sokongan dan keyakinannya. Bukan dengan paksaan, tetapi sebaran ilmu. Abang itu juga memberikan saya satu pemandangan yang lebih ampuh dan kuat, iaitu dengan tindakan berhemah. Kecil tetapi signifikan. Tidak tahu berapa ramai yang berubah seperti saya, tetapi pada waktu itu hati saya seolah-olah diseru untuk respon secara positif kepada pelawaan aman Abang tempang tersebut.

Seterusnya saya terus membaca bahan bacaan lain, bertukar pandangan secara akademik, bereksperimen, dan tentu tidak henti berdoa. Sehingga Allah kurniakan hidayah faham itu dalam dada. Doa saya moga ia kekal di situ selamanya, sehingga sampai sesi soal jawab di hari kita berada di hadapan Sang Raja Mutlak, saya dapat menjawab dengan apa dalam dada dan dengan tindakan. Ikhlas sebab saya dikurniakan faham.

Saya pastikan diri sendiri supaya tidak justifikasi pendirian sendiri dengan momokan, aggression, makian dan sentimen. Ia tidak akan melahirkan istiqamah dan cuma bersifat temporal. Kalau perlu berdebat pun ingatlah medan kita berhujah dengan orang Islam juga, meski berlainan kefahaman. Berbalas pandangan dengan berhemah dan hikmah. Sentuhlah manusia dengan kasih sayang, bukan kebencian, bukan terror (momokan). Kadang-kadang hidayah boleh datang dengan secebis kertas. Kerja Tuhan siapa yang tahu.

Saya pernah melihat video mengenai seorang artis arkobatik Jepun yang badannya sarat dengan tattoo. Kisah ini berlaku di Jepun, saya menonton di YouTube. Suatu hari artis ini selesai persembahan berjalan pulang melihat seorang Syeikh berpakaian serba putih di tengah-tengah kota. Bekal Syeikh ini hanyalah senyum dan kertas yang tertulis Allah dan Muhammad dalam tulisan Arab.

Syeikh ini hanya memberikan kertas tersebut pada manusia yang lalu lalang, termasuk artis bertattoo tadi. Beliau mengambilnya dan memerhati tulisan yang sangat asing, bukan kanji atau kana (tulisan Jepun). Tetapi kertas yang secebis itu (2”x3”) yang menjadi asbab jalan pulang padanya. Sehingga beliau menjadi muslim yang taat, berguru kepada Syeikh dan menjadi imam kepada jemaah kecil di tempat tinggalnya. Walau dalam ketika menjadi Imam, masih jelas kelihatan tattoo di tangan meski yang lain-lain sudah ditutup jubah panjang.

Saya percaya manusia, walau bobrok macamana sekalipun, secara fitrahnya adalah makhluk yang mencari kesempurnaan. Untuk tujuan ini, kita akan menggunakan semua potensi yang ada dalam diri. Potensi fitrah, akal, pancaindera, hati, imaginasi dan teks suci. Tetapi sebagaimana potensi, ia berkembang dengan umur, ilmu, pergaulan, pengalaman zahir dan batin. Tentu mengambil masa. Ada yang mendapatnya seawal usia muda, Alhamdulillah, ada yang lewat, tetap Alhamdulillah.

Dalam keadaan tegang perang di Ghazzah, seolah-olah Zionis Israel boleh bersorak gembira dengan 2 sebab. Terbunuhnya penduduk-penduduk awam dan tentera Mujahideen, dan kita yang bergaduh dengan hal-hal sebegini. Hal kecil ranting amat. Itu menjadikan mereka lebih gembira kerana yakin yang kita jauh dari dapat bersatu.

Erti boikot pada saya adalah dari kesedaran (awareness) dan hidayah. Biarlah tindakan yang dibuat dari pandangan yang memiliki sendi yang utuh; secara logik akal, rasional, emosional, spiritual, gagasan mendalam, cita-cita besar yang luhur dan suci. Seperti artis Malaysia, Afdlin Shauki yang merubah seluruh sentimen boikot yang negatif kepada yang lebih positif. Kata beliau, “kalau McD boleh berbangga dengan mengatakan mereka menaja rejim Zionis Israel, kenapa kita syarikat korporat Malaysia tidak berbuat benda yang sama."

Contohnya seperti syarikat Celcom, Maxis, Digi berbangga dengan mengatakan kami menaja kerajaan Ghazzah dan Tebing Barat. Bayangkan NZ curry hourse, Rangkaian restoran Kayu Nasi Kandar, HPA Industries, ILoveIslam, Yusof Taiyyob juga berbuat yang sama.

Ya, why not. Afdlin Shauki untuk filem Pontianak vs Orang Minyak (ditayangkan pada 22 November ini) menyatakan komitmen seluruh krew akan menyumbangkan sebahagian keuntungan yang dapat ke tabung Palestin. Positif dan kreatif. Thumbs up Afdlin!

Berusaha, mohon, dan bertindaklah! Apa pun yang mahu kita lakukan, ia mesti bermula dengan hati yang mahu mencari kebenaran dan kesempurnaan. Mulakan dengan kasih sayang dan cinta. Ghazzah memerlukan pembelaan dari cinta kita, kerana kita benar peduli, benar kasih. Pembelaan kita untuk mereka kerana kemanusiaan, kerana mereka golongan yang tertindas. Seperti perjuang Rasulullah awal dahulu di Makkah, membela golongan mustadaffin. Dan saya yakin, dengan cinta dan kasih sayang, Rasulullah mulakan perjuangannya.

Saya doakan kamu. Amin.

Akhir nanti di ‘sana’ kita sendiri yang akan menjawab semua soalan yang ditanyakan (sekali lagi bukan UAI ye, ingat tu.)

Comments

Cikli said…
Kemas dan keming hujah saudari Asal. Saya setuju dan angguk banyak-banyak.

Isu Palestine menimbulkan banyak persoalan dalam kepala. Mengingatkan ancaman Iran dahulu kepada Israel jika menyerang Palestine. Berfikir tentang Hassan Nasrallah dan peranannya. Juga peranan dia di Syria, juga Iran. Teringatkan Ghadafi...

Kadang-kadang melihat Palestine menjadi 'tool' untuk semua pihak yang pro dan yang kontra.

Untuk kita yang tiada kepentingan selain kerana Allah, semoga boikot kita yang sedikit memberi impak.

Allah selamatkan Palestine. Allahuakbar.
berisi entri. buat saya terfikir dan menekankan sebab-sebab boikot. ayuh berdoa, moga Palestin selamat.
ASaL said…
Cikli, betapa pun kita rasa tidak berdaya dengan usaha seni sekecil hama, Allah lebih Maha Tahu apa yang ada dalam dada.
Itu yang saya pasakkan dalam keyakinan, ampunkan saya yang lemah ini Allah.
ASaL said…
Ajik, terima kasih.

Bersuara dengan apa semampunya kita, yang ada dalam tangan, dengan kelebihan yang Allah izinkan. Di tangan Ajik tulisan yang mampu membawa impak, ajaklah semua orang untuk sama-sama berdoa.

:) Moga Palestin selamat, Amin.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah