Friday, December 28, 2012

Regu

Bila sebut perkataan regu, yang paling sinonim adalah sukan badminton. Sebab ada kategori beregu. 

Tetapi ini entri sambungan, dan fokus di sini ialah regu baca atau dapat difahami juga dengan maksud rakan ganding baca.

Sepertimana bermain badminton, kita juga perlu ada regu baca. Tetapi selalu kita salah faham untuk mendapat regu baca yang sama level dan kapasiti intelektual dengan kita. Tidak selalunya perlu begitu. Seperti main badminton dalam kategori beregu, kedua-duanya mesti berada di posisi yang seimbang supaya serangan lawan dapat ditangkis dengan baik. Kalau seorang di depan, seorang lagi akan cover bahagian belakang. Kalau sorang duduk di sebelah kanan gelanggang, seorang lagi akan mengawal di kiri gelanggang. 

Begitu lebih baik, meski dalam mencari rakan untuk ganding baca. Yang saling melengkapi, yang duduk di kawasan tertentu, bukan overlapping. Overlapping pun kadang-kadang bagus juga, kerana ia akan membuatkan kita lebih faham tentang sesuatu.

Regu ganding saya pelbagai. Dari yang muda dan lebih berusia. Semuanya berperanan di tempat masing-masing. Tidak perlu mereka perlu baca apa yang saya baca, dan tidak juga selalunya perlu untuk saya baca apa yang mereka baca.

Regu baca saya yang pertama ialah adik saya sendiri yang pakar dalam bidang sejarah dan geografi. Jadi saya mengambil jalan pintas untuk tidak perlu tahu banyak tentang sejarah, dengan merujuk kepada dia untuk tahu tentang sesuatu perkara, keadaan, situasi, sosio-politik, peristiwa-peristiwa besar dan sebagainya. Beza usia kami adalah 10 tahun, saya menghargai dia sama seperti guru-guru yang mencerahkan ketika mana saya tidak tahu. 

Regu baca yang kedua ialah abang saya juga pakar sejarah dan geografi, dan tambah kepada satu aspek penting iaitu teologi dan agama. Juga membuatkan saya mempunyai ensiklopedia sejarah, geografi dan teologi yang dapat bercakap dan memberi respon jika saya bertanya. Beza umur saya dengan dia juga sejarak 10 tahun dan penghormatan tidak luntur sebagai saudara sekandung, guru dan pencerah.

Saya bersyukur kerana ada mereka berdua kerana kekurangan diri sendiri kerana kebolehan saya untuk memahami sejarah adalah sangat minimal, begitu juga keupayaan untuk memahami bentuk muka bumi dan lokasi.

Ok baik, bagaimana kami berinteraksi?

Ya tidak perlu kita bayangkan bahawa ulat buku semuanya berkaca mata, akan duduk berteleku di atas kerusi berjam-jam sambil menyelak lembaran kertas, dan berbual perkara yang serius.

Ulat buku sekarang sudah berevolusi dengan pakaian t-shirt kadang-kadang v-neck, duduk di Star Bucks atau Secret Recipe kemudian berbincang apa yang mereka mahu dari intipati buku yang mereka baca. Atau ulat buku mungkin juga dari mereka yang dari industri oil & gas, yang seperti tidak serius dalam semua perkara, tetapi bila bercakap mengutip kata-kata mutiara dari Carlyle, Chomsky, Confucious, Ali Shariati, Ibn Tamiyyah, Ibn Arabi, Che Guevera, Malik Ben Nabi, Said Nursi Badiuzzaman dan sebagainya.

"Beruntunglah dapat adik beradik macam tu."

Well, sebenarnya pada permulaan pun saya tidak tahu mereka berkecenderungan membaca secara serius. Tidak pernah ada satu appearance yang menunjukkan mereka adalah pembaca buku tegar. Kerana pada masa yang sama mereka juga adalah penonton movie tegar, pelepak dengan kawan-kawan yang tegar, penonton bola EPL, Champions League, La Liga yang tegar, pengukur shopping complex yang tegar, pemain games tegar, menonton TV dan segalanya.

Sehinggalah satu masa kami berkumpul bersama dan cuba berbual serius yang menyeronokkan, kemudian baharu saya tahu di kalangan adik-beradik saya sendiri mutiara ilmu yang belum dieksplorasi.

Kemudian akhirnya saya mendapat rahsia bagaimana adik saya mempunyai keupayaan sejarah dan geografi jauh lebih hebat dari apa yang saya mampu kuasai. Antara adik dan abang yang berjarak umur 20 tahun, mereka lebih dahulu menjadi rakan gading baca (regu baca). Bertahun-tahun lebih awal dari saya. Errmm, no wonder my brother has that capabilities, almost similar like my brother (bila mereka sembang eh?)

Well, itu di kalangan ahli keluarga sendiri. Kawan-kawan lain pula. Kami akan pergi ke restoren kedai makan, pizza hut, secret recipe, mapley selalunya. Pesan makan yang boleh alas perut dan sembang sampai bergaduh-gaduh mengenai satu-satu isu dan gagasan. Masing-masing akan bawa perisai masing-masing, buku itu buku ini, intelektual itu intelektual ini, dan kupasan mesti dibuat sehingga apa yang terhidang atas meja selesai habis dimakan.

Dan kami pergi berperang idea dengan pakaian santai yang kadang-kadang sambil berseluar jeans koyak (stylo letew).

Akhirnya saya tahu membaca lebih dari horizon pasif yang hanya berinteraksi dengan teks, tetapi berinteraksi aktif dengan manusia lain, sehingga menjelmakan idea-idea manusiawi yang boleh dilakukan dengan tindakan, dengan tulang empat kerat, dengan peluh, tanpa modal.

Seperti badminton, baca juga perlu pergerakkan maksimum. Hanya dengan itu keseronokkan akan muncul berdatangan. Bagaimana? Jangan terima bulat-bulat apa yang dibaca. Berani untuk dekonstruk dan rekonstruk. Berani mengemukakan idea baru dari apa yang telah kita baca. Berani untuk eksplorasi lebih jauh dengan idea yang dibaca dari buku. Cabar idea itu adakah sesuai dengan apa yang ada di dalam masyarakat sendiri, negara sendiri dan sebagainya. Lebih berani, bereksperimen dengan idea yang dijelmakan dalam buku.

Saya bukan bercakap ini atas pengalaman diri semata, pelajar yang jarak umur lebih dari 10 tahun pernah berkongsi di dalam kelas. Kata beliau, "belajar dengan guru memang kita boleh mempelajari sesuatu, tetapi belajar dari buku ilmu itu tanpa batas dan sempadan. Kita boleh tahu apa sahaja, dengan syarat kita mahu membaca." Pelajar itu rupanya suka baca buku Dr. Suess dan penguasaan Bahasa Inggerisnya, masyaAllah, memang boleh dipuji. Dia tidak mempunyai kriteria ulat buku yang tipikal pun. Berkarektor dan versatile. Dan mungkin juga Harith, yang hadir dalam ruangan komen dalam entri sebelum ini punya karaktor yang sama?

"Seronok sangatkah membaca dan bagaimana untuk memulai kumpulan membaca ini?"

Keseronokkan itu kena cari sendiri. Pengalaman rasa seronok membaca untuk diri saya sampai lewat. Keupayaan saya untuk visual dalam kepada sangat lemah. Kerana itu dulu saya memang kurang membaca. Sekarang keupayaan itu sudah berjaya ditingkatkan, kerana itu setiap kali membaca saya rasakan kepala saya riuh rendah dengan karaktor manusia, cantik dan berkesan dengan latar cerita, tersentuh sehingga mengalir air mata dan tersayat di ulu hati. Jika buku perjuangan yang dibaca, terasa semangat mereka meresap masuk membakar dan mencabar. Menjadikan kita sendiri bertanya, bila akan mampu kita berbuat sesuatu yang bermakna seperti itu?

Kumpulan membaca itu tidak semestinya kita declare, "oii kawan-kawan, jom buat circle membaca." Mati hidup balik mungkin tiada orang yang mahu. Saya saksikan satu peristiwa kecil yang simple yang terjadi sewaktu cuti Krismas baru-baru ini. Saya membawa sepupu untuk makan-makan di rumah kawan yang juga hantu buku. Sepupu saya dan kawan ini adalah kawan yang baru bertemu. Mungkin komunikasi mereka akan jadi terhad sebab belum begitu banyak kali bertemu mata.

Sebelum balik, sepupu saya meminta untuk melihat beberapa buah judul buku, dan melihat buku-buku yang ada dirak. Sebelum balik juga, sepupu saya ada 2-3 buah judul ditangan untuk dibaca. Habis saya menulis entri ini, sepupu saya sekurang-kurangnya sudah menghabiskan 2 buah judul buku dan tunggu untuk dipulangkan semula.

Senangkan? Hanya dengan bertukar-tukar buku.

Saya juga ada rakan yang senang hati memberi buku yang sudah cantik berbalut, untuk saya baca walau bertahun-tahun belum tentu habis.

Carilah pengalaman sendiri melalui buku. Saring maklumat dan ambil apa yang boleh dimanfaat. Kawan-kawan saya sudah menjadi pelari hanya kerana membaca buku Murakami. Kawan-kawan saya sudah jatuh cinta dengan aktiviti backpakers hanya kerana mereka membaca Into the Wild.

Saya? Saya sudah jadi apa? Belum ada apa-apa lagi yang boleh dibangga, tetapi untuk penutup 2012 ini saya berani berkata saya sudah menjadi pembaca!

Percayalah, setiap kali buka buku, mulalah dengan bismillah. Kita sedang mengulangi sejarah dalam gua Hira', ketika Jibrail menyampaikan ayat Tuhan kepada Rasulullah, dan ayat itu sebenar-benarnya untuk kita. Terimalah perutusan Tuhan ini dengan rasa rendah diri dan penuh berserah, dan bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menjadikan.

Belilah bacaan-bacaan baik walaupun murah, dan hadiahkanlah kepada kenalan, adik-adik, anak-anak saudara, anak-anak kecil miskin dan yatim. Jika mereka membaca dan mendapat manfaatnya, insyaAllah kebaikkan itu akan dapat juga terpalit kepada kita semula.


Thursday, December 27, 2012

Entri untuk kamu

Saya menulis entri Kesyukuran Yang Dipanjangkan, kemudian mendapat komen dari Hara dengan kata-kata ringkas, “saya mahu jadi orang muda itu.” Tiba-tiba suatu suara muncul di kepala, saya mesti menulis untuk Hara, setidak-tidaknya sebelum penghabisan tahun 2012 ini.

Saya menulis entri ini untuk Hara, bukan hanya seorang Hara tetapi beribu-ribu Hara di luar sana yang menjelma mungkin sebagai Azman, Ahmad Suhaimi, Daud, Basyir, Azizi, Izzati, Hazimah, Teha, Kamarul, Ajik, Zahid, Ariffuddin, Atikah, Amalina dan ramai lagi. Untuk orang muda sezaman, dari suara orang muda yang telah terkehadapan zaman lebih 5-10 tahun seperti saya, dan angkatan yang seusia.

Ini pernyataan komitmen, dan mungkin entri ini akan jadi bersambung-sambung panjangnya.

Saya patut sudah menulis lebih awal, selepas mendapat komen Hara. Ketika berjogging pagi dan petang, dalam kepala sudah terbentuk isi-isi penting untuk ditulis sebagai perkongsian, sebagai pesan perdamaian dan kasih sayang. Tetapi tetap tertangguh, sehingga saya disinggahi flu sederhana berat.

Semalam ketika berkumpul dengan sepupu-sepupu orang muda, saya mendapat alasan kenapa tulisan ini ditangguhkan. Pertemuan saya dan sepupu-sepupu yang tidak direncana, tetapi dapat membolehkan kami membuat perkongsian begitu bermakna. Itu memantapkan lagi keperluan untuk saya membuka notebook hari ini dan menulis. Meski mata pedih dan mukus ringan yang panas berterus-terusan mengalir dari hidung. Hari ini saya menulis kembali, semoga waktunya tepat sebagai penutup tahun. Sekarang saya fahami, adik saya bukan hanya seorang. Generasi akan datang akan bermunculan dengan waktu.

Hari ini saya percaya perkongsian walau kecil dan ringkas, ia amat bermakna. Dengan syarat kita ikhlas berkongsi. Saya belum pernah lagi kenal Hara secara fizikal, tetapi penglibatan saya bersama yang seusia dengan beliau telah menyebabkan ruang dimensi saya terbuka lebih lebar dan luas.

Ini zaman penuh dengan kekeliruan, budaya informasi dan internet mengisi ruang. Tetapi belum lagi dapat memulihkan kemanusiaan dan mengembalikan kemuliaan manusia secara global dan besar-besaran.

Kalau kita membuka mata besar-besar, ternyata ramai antara kita sudah lelah. Dalam usia muda sekalipun, kita sudah mengalami kesan ditikam rakan dari belakang, kita dikhianati oleh orang dalam organisasi sehingga melabuhkan maruah dan kehormatan kita sekaligus, peluang yang tidak datang secara adil kerana kita kurang dari segi harta, rupa, kabel (orang VVIP yang mempunyai kuasa memberi arahan dan membuat keputusan), kita mendapat keputusan peperiksaan yang rendah kerana mengambil keputusan tidak mahu meniru (membuat toyol), kita di pandang lekeh kerana mahu bersederhana dan menjalani hidup yang lurus, segalanya. Seribu macam perkara, kerana satu sebab, dunia ini dan sistem yang ada dalamnya dikuasai oleh orang yang tidak adil. 

Dunia yang sudah begitu advanced teknologinya, tetapi telah mematikan segala kemanusian yang murni.

Pokok persoalan yang berat tetapi ada benda lain yang mahu dikongsikan.

Satu perkara yang mahu dikongsikan adalah persoalan-persoalan "bagaimana kami orang muda dapat menjadi orang yang hebat dan melakukan sesuatu yang hebat pula?"

Sedang yang ditanya tidak lebih hebat dari yang menanya. Tetapi berdasarkan pemerhatian, mungkin saya boleh kongsikan beberapa tips, yang juga boleh dibincang lebih lanjut, dikritik, dan komen membina.

Saya mendefinisikan hebat dengan satu tindakan yang meninggalkan impak. Tidak perlu berskala besar, tetapi sudah cukup menggerakkan yang dekat dengan sesuatu yang bermakna.

Satu perkara yang cukup simple, tetapi tetap tidak diperhatikan oleh kita orang Melayu Malaysia adalah untuk membaca. Barangkali mereka yang kerap kali singgah di blog saya ini akan terus-terusan mengeluh "takkan nak tulis tentang membaca lagi."

Satu status update saya di Facebook berbunyi seperti ini, "Ramai orang yang super berjaya dan mendapat jawatan penting di jabatan, surprisingly adalah mereka yang kuat membaca. Kalau membaca bukan aktiviti yang cool, tentu mereka buat benda lainkan? Membaca itu cool and fun!"

Saya mendapat idea menulis begitu hasil dari perkongsian rakan TFTN, saudara Anas Alam di sini. 

Baik, siapa sahaja boleh meragui idea simple yang mudah dan murah ini boleh menjadikan kita manusia hebat. Tetapi saya berharap apa yang dikupas nanti dapat dijadikan panduan sebelum membuat resolusi tahun 2013. Bukan syarahan untuk orang, tetapi ini adalah untuk diri saya juga. Bukankah sudah saya katakan bahawa ini adalah perkongsian untuk direnungkan.

Teman-teman baru yang saya kenali, yang menggerakkan TFTN rupanya mempunyai satu persamaan yang baru saya sedar sekarang. Mereka adalah pembaca tegar, meletakkan agenda membaca sebagai satu rutin dalam hari-hari mereka, membudayakan diskusi untuk menjana idea yang kritis dan kreatif, menulis sebagai bentuk ekspresi dan segala-galanya tentang membaca, yang saya sendiri ketinggalan dari amalan mereka itu.

Kenapa saya katakan mereka adalah super cool, kerana mereka adalah manusia yang memperjuangkan keadilan dan membenci ketidakadilan, sentiasa memandang dengan kasih golongan yang dikasihi Nabi seperti anak yatim dan miskin, sentiasa meluangkan masa agar dapat mencurahkan bakti dan kebajikan, berusaha tidak pernah kenal alasan, dan sentiasa bersemangat tinggi. Saya juga kalah dengan budaya mereka yang ini.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga tidak melupakan hak-hak pada diri dan keluarga. Selalu punya waktu untuk menggembirakan anggota keluarga, dan sangat mengujakan mereka sudah pun mengelilingi separuh dunia, dan merancang untuk mengelilingi dunia sekaligus.

Hebatkan!

Jangan salah sangka, mereka bukan ultra kaya. Tetapi tetap orang sederhana seperti kita. Kawan-kawan saya itu hanya kaya dengan impian, dan dari membaca telah menyebabkan ruang mereka dibukakan. Melancong keluar negara bukan perlu duit yang banyak, tetapi cukup hanya dengan ilmu backpacking. Atau mencari ruang untuk dapat membentang kertas kerja keluar negara, mereka akan dapat juga melihat negara orang.

Kalau saya sendiri tidak kenal mereka, saya juga mungkin akan menganggap ia kisah yang sengaja dicipta dan disensasi sedemikian rupa. Saya masih hidup dan tidak bermimpi, ketika melihat sahabat-sahabat pencandu buku dan baca ini membuat sesuatu yang meninggalkan impak pada diri sendiri dan masyarakat setempat. Modal kata mereka, "semua itu boleh dicari. Yang penting hati yang mahu."

Ada sebab baca dianggap tidak menarik.

1. Baca tidak dijadikan kegiatan aktif. Kebanyakkan orang menganggap membaca aktiviti sehala yang pasif.
Solusinya, cari 2-3 orang rakan yang suka berkongsi. Ajak mereka berbincang setelah selesai baca.

2. Baca bukan aktiviti yang cool dan dipandang sebagai mereka yang tidak pandai bersosial.
Solusinya, jadikan budaya membaca sesuatu yang cool seperti yang dipelopori oleh gerakan komuniti internet seperti Baca@LRT dan BukuJalanan.

3. Baca tidak membawa kemana-mana. Mereka dilihat sebagai introvert yang hidup dalam alam sendiri.
Solusinya, jadikan bahan bacaan kita sebagai eksperimen dan kongsikan pengalaman dengan kawan- kawan.  

Banyak cara lagi, mungkin ada yang sudi beri cadangan nanti.

Apa pun yang cuba dicungkil aspek positif dari baca ini, ia tidak boleh melawan promosi yang telah dibuat sejak Rasulullah sawa dari wahyu pertama yang diterima Baginda.

Rasulullah menerima wahyu pertama, perkataannya "Baca."

Kata kita sepenuh percaya pada Tuhan, Al Quran, pada Nabi, tetapi untuk suruhan yang mudah ini pun kita tidak sanggup untuk buat. Dimanakah letak keimanan kita pada suruhan pertama?

Kata rakan saya, Anas Alam, CEO CEO terkemuka dunia adalah mereka yang membaca 50 buah judul buku setahun. Saya percaya kejayaan mereka ada kaitan secara langsung dengan aktiviti membaca. Alhamdulillah, sata saya sendiri menyaksi, yang serius menjadikan baca sebahagian dari rutin hidup mereka adalah penjawat-penjawat jawatan penting di institusi mereka sendiri.

Ini zaman keliru. Kita beranggapan bahawa TV, games memberikan kita manfaat kerana kita gembira lakukannya. Tetapi secara hakikatnya, ia tidak pernah memberi kebaikan yang sebenar. Sekiranya TV satelit, games, online games boleh memberikan kita manfaat, sudah tentu kemanusian akan turus subur di bumi kita bukanlah keganasan dan kezaliman.

Saya memberi nasihat yang sama kepada adik saya seorang di rumah, dan sepuluh ribu orang yang lain di luar sana. Ketika kita tenggelam dalam budaya menonton TV dan main games, anak-anak muda di Eropah, Barat dan di Israel tenggelam dengan buku-buku. 

Ketika mereka menjadi jutawan sebelum usia 30, kita masih lagi menyanyi "apa yang penting? kerjasama!"

Tahun 2013. Untuk diri sendiri dan adik-adik di luar sana, marilah kita imani wahyu pertama sepenuh jiwa. Kata sepupu, "iman itu apa yang sebut di lidah, yang dibenarkan dalam hati, dan dibuktikan dengan amal perbuatan."

Sudah sampai masanya untuk kita faham erti iman dengan ertikatanya yang sebenar. Imani wahyu pertama yang dihantarkan oleh Allah, melalui perantara malaikat Jibrail yang mulia, kepada junjungan besar Rasulullah sawa. Dan Nabi tidak menerima wahyu itu jika bukan akhirnya Baginda mahu sampaikan kepada kita.




Friday, December 21, 2012

Kesyukuran yang Dipanjangkan

Saya bersyukur.

Dipertemukan dengan orang-orang baik dan hebat. Yang percaya bahawa tindakan lebih layak bersuara dari teori dan segala macam bentuk diskusi.

Mereka telah mengajar saya bagaimana mahu melangkah semula. Seperti bayi, saya bertatih sekarang, moga mereka mahu memimpin sehingga saya mampu berlari.

Apa yang saya kagumkan lewat hari-hari ini?

Anak-anak muda. Ya kamu, yang sedang membaca.

Kita yang selalu berfikiran negatif, bahawa anak-anak inilah perosak bangsa. Tanpa melihat, adakah kita sebahagian dari masalah mereka? Ya orang dewasa yang meninggalkan, yang menyalahkan, yang membenci, yang menghukum. Kita tidak bertindak seperti mana perlunya.

Orang dewasa yang menunjuk jalan, orang dewasa yang memberi nasihat, orang dewasa yang mendokong, menjunjung nilai, orang dewasa yang penuh kasih sayang dan memaafkan, yang lebih penting dari itu orang dewasa yang menjadi contoh. Akhlak, perbuatan, percakapan, pemikiran, tindakan, semua boleh dijadikan contoh dan tauladan.  

Anak-anak muda yang saya kenali, mereka yang menyingsing lengan baju sehingga ke siku, turun untuk menyumbang kepada komuniti. Yang merasa penuh kasih sayang pada mereka yang tidak berkecukupan, yang yatim piatu, miskin, tidak dipandang. Mereka mencurahkan keringat, tenaga, pendapat, fikiran dan kadang-kadang air mata guna untuk sama-sama merasai kekosongan dan kesunyian. 

Mereka lakukan semua meski masih belajar, tidak mempunyai duit yang cukup, tiada kenderaan, tiada pekerjaan, tiada tempat tinggal, tiada modal. Ada seruan untuk menyumbang kepada masyarakat, mereka yang pertama mengangkat tangan, "saya mahu ikut serta."

Kata mereka, "ini sahajalah modal yang saya ada sebagai pelaburan di akhirat sana."

Saya memandang mereka yang punya hati dan wajah yang putih. 

Jarang sekali yang seangkatan punya jiwa sukarela seperti mereka.

Di manakah contoh tauladan yang kita tunjukkan?

Mereka bertanya, kenapa saya lakukan semua ini?

Saya sendiri belum ada jawapan untuk justify apa yang saya lakukan sekarang. 

Saya cuma tahu, "satu masa dahulu ketika saya seusia dengan kamu, saya dididik oleh orang dewasa yang menunjuk jalan, tidak kering nasihat, mendokong, menjunjung nilai, penuh kasih dan sayang, yang percaya, sentiasa memaafkan kebodohan dan gopoh-gapah, dan dia sendiri adalah contoh tauladan yang bergerak. Kata-kata, pemikiran seiring dengan perbuatan dan tindakan mereka. Ilmu dan amal mereka yang sejalan."

Dalam diri saya ada mereka. Itulah orang dewasa yang memimpin ketika saya seusia anak-anak muda ini. 

Kata saya, "jika saya benar bersyukur dengan kehadiran guru-guru ini, saya perlu tunjukkan. Inilah yang saya panjangkan, jasa merekalah yang saya panjangkan. Jasa mereka yang mendewasakan saya."

Tetapi lebih dari itu, yang menyebabkan saya tidak gentar untuk melangkah lebih jauh dan panjang, lebih berani, adalah kamu. Kamu, anak-anak muda yang percaya bahawa dunia ini lebih indah bila kita bersama-sama berganding bahu & tangan, berusaha mengindahkannya.



Jumaat mubarakah, Tuhan limpahkanlah kasih sayangMu kepada guru-guru murabbiku.

p/s: Mereka masih bersama-sama saya, belum pernah meninggalkan, belum pernah berputus asa, benar-benar percaya, masih tetap memberi nasihat dan menunjuk jalan, tidak pernah berhenti menegur silap dan salah, kasih sayang yang selalu penuh, dan tetap berbuat seperti apa yang mereka ucapkan di bibir (they walk the talks).


Jumaat di Tahun Baru Maya

Ramai mungkin telah menjadi paranoid pada filem 2012. Hari masih awal, sepertimana dalam saranan Al Quran, kita menunggu dan mereka juga menunggu.

Hari ini 21.12.2012, seperti dalam Filem 2012, dunia akan segera berakhir. Masih terlalu awal untuk yakin tidak akan ada apa-apa berlaku, atau saya juga dijangkiti dengan keraguan serupa. 

Kita bertindak, berfikir berdasarkan apa yang menjadi kepercayaan dalam hati.

Kalau ada orang kata dia atheis, sebenarnya dia juga punya kepercayaan. Lihat pada tindakan dan perlakuan, cara berfikir, itulah kepercayaan yang mendasar dalam sukmanya. 

Hari ini cuaca begitu redup dan aman. Mari kita doakan hari esok masih ada, untuk kita menyesali atas setiap perbuatan buruk dan memohon ampun, serta berusaha untuk menjadi orang yang lebih baik daripada semalam.

Kalau pun dunia akan berakhir, jangan putus harap untuk terus melakukan kebaikkan. Jika ada sebutir benih di tangan, tanamlah. Jadilah mereka yang menerangi alam. Ada 2 cara untuk jadi yang disebut.

1. Jadilah lilin yang menerangi gelap
2. Jadilah cermin yang akan memantulkan cahaya lilin 

Tentu, kata-kata tersebut saya petik dari ayat-ayat baik yang bertebaran di Twitter. Maaf saya lupa catat siapa yang menuturkannya.  

Hari ini adalah hari akhir di kalender kaum Maya, esok permulaan Tahun Baru. 

Esok, semoga masih ada. Jika tidak, marilah kita saling memaafkan.

Wednesday, December 19, 2012

The Life of Pi (reviu)

Ada orang bertanya, best sangatkah filem ini? Saya tidak tahu nak jawab macamana. Ia akan sangat bergantung kepada selera seseorang. Untuk saya, memang tidak tertandingkan. Sekurang-kurangnya untuk filem-filem Hollywood mutakhir yang hanya mahu menayangkan hero-hero komik.

Hero komik tidak masuk dengan selera akal dan logik, walau sinematografi memukau macamana sekalipun, ia belum cukup untuk mendorong saya kembali ke layar perak.

Life of Pi (LOP) lain. Ada daya penarik yang memanggil. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu LOP itu apa sehinggalah kawan hantu buku menegur sinis, "Ia adalah event terbesar 2012, dan kau tidak tahu?"

Rakan-rakan saya memang kejam begitu. Mereka akan hanya memberi komen berpenggal-penggal dan akan menyebabkan saya perlu mencari Haji Google sendiri. Sedikit hint pun kawan-kawan saya tidak mahu cerita tentang LOP. Kejam. Tetapi kekejaman begitu ada nikmat tersendiri, tanpa spoiler, saya boleh menikmati dengan kejutan-kejutan.

LOP akan meninggalkan semua filem tentang terdampar, kesunyian, ujian hidup, survival seperti Cast Away & Titanic jauh kebelakang. (Titanic, kau biar betul?)

Pujian sangat perlu diberikan kepada Ang Lee, direktor dari Asia yang menyebabkan LOP hidup ditangannya. Saya rasakan LOP akan diceritakan bertahun-tahun kehadapan, tidak akan kering dari diskusi dan perbalahan.

Malang, saya hanya menonton 2D di Wangsa Walk. Tiada disajikan 3D di situ. Kata adik, sangat perlu menontonnya sekali lagi dengan 3D. Ang Lee telah mencorakkan cerita realisme dengan 3D. Berbanding cerita animasi dan separa real 3D yang dipelopori oleh filem Avatar oleh James Cameron. Filem 3D dijenamakan semula dengan elemen real, seperti seekor harimau (kalau harimau tidak makan orang, tentu saya katakan mereka sangat comel). 

Sepanjang masa saya menahan tawa, penonton di sebelah kiri yang begitu takutkan harimau. (Kemon, Harimau itu namanya Richard Parker OK). Hahaha, saya juga takutkan si Richard Parker yang bila menyeringai menampakkan gigi-giginya yang super magestic. Sehingga penonton di sebelah, sepanjang filem dimainkan menaikkan kakinya di atas kerusi. (Saya pula jadi ngilu ngeri bila di provoke orang sebelah begitu).

Bayangkan filem 2D begitu, jika 3D, saya rasa penonton sebelah kiri saya itu akan pulang awal.

Kenapa saya suka LOP, malah super suka. Kerana LOP adalah lukisan kehidupan saya sendiri. Sepanjang masa mungkin saya menangis, walau pada scene-scene yang tidak perlu. Mungkin agak pelik bagi orang, kerana Pi di dalam LOP bukan watak peleleh dan melankolik. Malah semangatnya begitu mengejutkan. Terdampar lebih 200 hari tanpa dapat melihat daratan, semangat apa yang boleh ada dalam badannya?

Semua yang Pi lakukan, saya telah buat. Bukan terapung di laut, semua soalan dan pertanyaan tentang ketuhanan adalah sama dengan apa yang terbuku di dalam dada.

Ketika Pi menjerit-jerit di sapa petir dan dilambung ombak ganas, saya juga pernah menjerit begitu rupa.

Ketika Pi teresak-esak menangis, meraung seperti anak-anak kecil kerana kehilangan Richard Parker, musuh utama Pi, ketakutannya, perjuangannya, kasih sayangnya, penderitaan dan segalanya bersabit Richard Parker saya juga mahu menangis dengan kaedah serupa. Cuma saya masih berwaras kerana ramai orang.

Dan sepanjang perjalanan, masih banyak soalan tentang LOP berlegar-legar menjadikan perjalanan pulang saya bersama adik tidak terasa. Masih terlalu banyak tentang LOP perlu disoal jawab, dibincangkan, dibalahkan.

Akhir, saya dan adik sama-sama bersetuju, Cast Away bukan apa-apa dengan adanya LOP.

Best? Sukar untuk saya beri komen. Tonton sendiri. LOP bagi saya magical. Syurga naratif, alegori, realisme magis, tentang Tuhan.

Nama Pi sendiri adalah simbolisme yang boleh dikupas, dengan berkajang-kajang kertas.

Saya belum mahu lakukan itu lagi. Kajang-kajang kertas saya masih tersimpan dan tersudut.

Barangkali setiap penulis juga menginginkan benda yang sama, alangkah bagusnya kalau dapat menulis naskah seperti Life of Pi!

Nota: Kucing-kucing adik saya sekarang ini semua bernama Richard Parker.  
  

Monday, December 17, 2012

The Life of Pi

Mesti tonton.
Saya mahu menonton lagi, dengan 3D.
Screenwriter & Director, OMG, you guys done an excellent job. Stunning!

Wednesday, December 12, 2012

Man Bi To Hicham

Without YOU, I'm nothing

Aku sudah bisa tersenyum dan hidupku penuh makna. Sungguh nikmat tidak terjangka untuk mempelajari tentang hidup dan hakikatnya dari seorang yang sangat muda.

Hati emas mana yang Dia kurniakan padanya?

Sahabat muda saya itu, muda sangat usianya. Tetapi ketrampilannya memukau. Dia tidak pernah mahukan gemerlapan podium untuk berpidato, undi untuk mengetuai perwakilan pelajar dan meraih perhatian, atau memerlukan apa-apa dana untuk melakukan apa-apa kebaikan dan kebaikan. Dia hanya berbekalkan hati yang mahu, percaya, percaya diri, buat apa sahaja selagi apa daya, usia bukan penghalang, muda bukan untuk dibazirkan. Orang tidak bercerita tentang usahanya pun tidak mengapa. Dia melangkah keluar dengan berani, seorang pun tidak mengapa, kerana yang akan menemani adalah yang Pertama, DIA. Idea baginya bukan apa-apa kalau kita tidak berani bertindak.

Saya sehingga sekarang masih terdiam, dan berfikir. Kerdil sangat semangat yang saya kumpulkan ini. Tidak berbekas pun dengan semangat yang ada dalam dada sahabat muda.

Kata dia, "di hari akhir nanti, Tuhan tidak akan bertanya tentang gred peperiksaan, tetapi apa yang kita lakukan."

Ayat akhir itu memukul benak seperti bunyi gong yang bergema tidak hilang. Berkali-kali dan bergaung-gaung.

"Saya tidak kisah tentang gred, tetapi saya peduli tentang kelebihan yang ada tetapi tidak dikongsi dengan yang lebih memerlukan."

Bunyi gong yang kedua memukul.

Dengan kesibukan kuliah, projek, tugasan dan peperiksaan, dia tetap melangkah ke rumah anak-anak yatim guna untuk memberi anak-anak kesayangan Nabi senyum dan harapan, bahawa masih ada yang sayang, masih ada yang peduli.

Saya memejam mata. Berfikir tentang diri. Di usia ini, hati keluli saya melebur di kawah api semangat anak muda yang sudah faham tentang hakikat. Makrifat telah terbuka di depan matanya, dia percaya ilmu itu hanya berkesan dengan amal.

Man Bi To Hicham, Without YOU I'm nothing. Saya berdoa Tuhan juga akan memandu saya seperti dia, sahabat muda saya. Saya berdoa agar Allah akan memudahkan segala urusan dia, dunia dan akhirat. Semoga Allah memelihara kami dan memperkuatkan langkah kami di jalan yang kami pilih ini.

Man Bi To Hicham.




Saturday, December 08, 2012

Jumaat dan Uncle Roti

Entah bila bunyi hon roti menjadi sesuatu yang diperhatikan kalau pulang ke KL. Barangkali selepas catatan rakan dan foto yang merakamkan motor Uncle Roti yang perlu diberhentikan operasinya ketika hujan.

Begini catatan saya tentang Jumaat dan Uncle Roti semalam;


"Semalam ketika saya sampai, jam sudah masuk pukul 9 malam. Saya dengar hon uncle roti. Tetapi saya sibuk masukkan kereta ke garage. Dalam hati memang nak beli. Terlepas bila uncle roti laju je pergi.

Pagi ni, uncle roti parking depan rumah. Tawakal tinggalkan motor dan roti-rotinya bergerak ke masjid. Entah untuk singgah membuang air, solat dhuha atau sekadar menyegarkan wajah dengan air masjid. 

Saya menunggu beliau sabar di depan rumah. Sehingga dapat memberi makan kucing-kucing jalanan yang takut mendekati.

Ketika uncle roti sedang mahu bergerak, saya berjalan mendekati beliau. Di wajahnya ada senyum, ikhlas masuk ke sukma. 

Hari Jumaat ini, saya membeli bermacam-macam di motor rotinya yang masih sarat walau jam sudah menunjukkan jam 11 pagi.

Survival peniaga mobile seperti ini begitu kuat di mata saya. Pagi petang dan malam, tiada titik noktah dalam berusaha.

Mungkin di hati dia puas untuk bekerja, selagi tenaga kuat, kesihatan mengizinkan, walau tiada jaminan jumlah yang akan beliau perolehi setiap hari.

Jumaat selalu indah bagi mata-mata dan hati-hati yang mahu melihat. Salam Jumaat semua, doakan ibadah kita semua diterima meski dengan membeli di motor uncle roti."



Saya tahu Uncle Roti seorang India, cuma kebelakangan baru mendapat maklum beliau sudah masuk Islam. Selepas itu baru saya tidak ada rasa prejedis membeli dari motor Uncle Roti. Ya, dalam beberapa kecil walaupun kita mengaku kita bukan, kadangkala kita juga amalkan rasis atau sekurang-kurangnya bias kepada bangsa ataupun warna kulit.

Barangkali kita perlu menukar cara pandang dan tindakan. Walaupun kita perlukan sedikit persamaan, dalam kes ini sesama agama, baru menjadikan saya lapang dada untuk membeli. Sudah sampai masanya kita perhatikan tentang garis pemisah itu antara yang tertindas dan pelaku zalim. Peniaga-peniaga mobile seperti Uncle Roti sedar tak sedar sedang ditindas dengan kapitalis, dan kita sebagai pengguna yang merasakan membeli di hypermarket extra super cool berbanding membantu peniaga-peniaga kecil.

Mak kemudian bercerita, "Uncle Roti tu, setiap Jumaat dia akan bersedekah di Masjid."

Subhanallah.

Thursday, December 06, 2012

Errmm, risau juga


Saya membaca status Facebook teman yang sangat muda, Husna Nabila Badarolzaman,

“Teringat Dr Har Siraj ada cakap betapa berbezanya zaman dia dan zaman yang dilalui oleh golongan muda dan remaja zaman sekarang dan dia bersyukur sangat. Dan katanya lagi ujian untuk muda mudi zaman sekarang sangat-sangat besar dan dahsyat…

Perkara yang haram mudah didapati seperti low values of entertainment (movie yang tayang bad content, budaya barat), games (violence), improper clothing (tak tutup aurat) dan perkara yang halal susah nak dapat, kalau senang pun tak ramai yang hargai.”

Hakikat semasa yang siapa pun tidak boleh hendak sangkal. Sedih, bukan kepada anak-anak muda, tetapi kepada diri sendiri juga kerana menjadi saksi kepada perubahan zaman tapi tangan bagai digari seperti tidak buat apa.

Masyarakat kita diracun denga pepatah, jaga tepi kain sendiri jangan jaga tepi kain orang, dan apa pun nak jadi jadilah asal tidak kena pada diri dan keluarga sendiri.

Racun yang menjadi kerana kita pun tidak peduli.

Hakikatnya segala yang diceritakan oleh Dr Har Siraj itu sudah menjadi budaya, dan memang diamalkan secara majoriti. Di Malaysia yang menjunjung hukum demokrasi, apa sahaja yang majoriti itulah kebenaran dan dimenangkan meski tipis 2/3 undi. Hukum kita bersandarkan budaya majoriti, bukan budaya hakikat.

Ramai ibu bapa memang seram sejuk dengan senario dan perkembangan zaman. Bagaimana elok pun dibentuk, satu hari yang kita lepaskan anak-anak kepada masyarakat yang lain nilainya dari apa yang kita pupuk dalam rumah, akan terdedah kepada bahaya budaya asing. Di sinilah pincangnya pepatah jaga tepi kain sendiri. Kerana kita tidak menjaga ummah dan masyarakat, kita jadi takut melepaskan anak-anak dalam dakapan masyarakat.

Jadi, bagaimana mahu mencari jalan penyelesaian?

Mungkin ramai parents di luar sana boleh bagi cadangan. Satu yang saya nampak dan diperlukan segera kepada anak-anak muda ialah kematangan dan sistem nilai yang ampuh. Dan tidak ada cara lain dengan mendedahkan dengan realiti, membawa mereka berbincang, ilmu dan pengukuhan, doa tidak putus. Juga tidak ada cara lain, melainkan ia datang dari didikan ibu bapa dan sistem pendidikan yang baik.

Ini zamannya, dan kita menyaksikan.  

Wednesday, December 05, 2012

Nasib

Kau percaya nasib? Kadang-kadang aku percaya, tetapi selalu tidak. Untuk berserah pada semua perkara, akan menjadikan kita makhluk tidak berdaya. Sedang mereka yang tidak percaya nasib telah jauh maju ke depan.

Orang-orang yang tidak percaya nasib ini, mengajar aku satu perkara, tentang kasualiti. Kata mereka "dunia ini hukum sebenarnya ialah kasualiti." Apa itu? 

"Kasualiti adalah hukum sebab dan akibat. Contoh, kau lapar, sebabnya kau tidak makan. Jadi untuk mengatasi nasib malang ini, kau makan akibatnya nanti kau akan kenyang."

Itu semua orang pun tahu.

Tetapi kawan yang tidak percaya bulat-bulat pada nasib ini seterusnya melanjutkan, "bila kau percaya pada perkara ini, untuk semua perkara, sesuatu itu berlaku akan ada sebabnya dan akan juga akibatnya, maka kau akan berusaha lebih."

Maksud?

"Kalau kau tidak pandai Bahasa Inggeris, itu bukan nasib. Kalau kau percaya ia adalah nasib, kau akan biarkan sahaja tanpa buat apa-apa. Tetapi kalau tiap-tiap hari kau tulis diari dalam Bahasa Inggeris, cakap sorang-sorang dalam Bahasa Inggeris, cuba cakap dengan orang lain, takkanlah sampai bila-bila pun tahap penguasaan Bahasa Inggeris kau lemah."

Kata beliau memang masuk akal. 

"Dengan maksud, boleh sahaja nasib itu berubah seiring dengan usaha dan doa." 

Kadang-kadang aku mahu percaya dia. Atau aku ambil jalan percaya sahaja dia. Dunia ini kita bukan tidak dihadapkan dengan pilihan. Bukan sehala, dan bukan jalan mati. Untuk satu-satu perkara, ada sahaja jalannya, selagi kita berusaha, selagi kita punya doa.

"Nasib itu hanya terjadi bila perkara itu telah berlaku. Selagi belum, kau selamanya tidak akan tahu apa kesudahannya."

Hanya sahaja, "jangan lakukan sesuatu yang luar batasan dan menjadi murka Tuhan."